Pengikut

Selasa, 10 Mac 2020

Prakata


Ini draf Prakata untuk "Nuri@Burung Besi Dalam Kenangan" yang dah hampir siap.


PRAKATA

Aku Berlindung Dari Syaitan Yang Direjam. Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Januari 2020 sungguh bermakna bagi saya. Ketibaan 2020 disambut dengan pengumuman oleh Panglima Angkatan Tentera bahawa perkhidmatan helikopter Sikorsky S61A-4 Nuri ditamatkan. Januari 1968 pesawat pertama, FM1141 tiba di Malaysia: Januari 2020 berakhir kewujudannya dalam inventori TUDM dan TDM! Bersandarkan kepada pengumuman tersebut, saya yang sedang berusaha mencoret sebuah buku mengenai Nuri membuat keputusan untuk menjadikan ‘Nuri@Burung Besi Dalam Kenangan’ sebagai tajuk buku tersebut. Balangsukawa terhadap satu aset pertahanan negara yang selama setengah abad telah banyak menyumbang bakti kepada keselamatan dan pembangunan negara.

Keberkesanan Nuri sebagai platform memberi perkhidmatan mobiliti udara kepada agensi-agensi kerajaan diterjemahkan apabila kerajaan telah memperolehi sejumlah 43 pesawat. Di sini perlu dijelaskan bukan kesemua Nuri berusia 50 tahun;  hanya kumpulan pertama yang terdiri dari 10 buah yang tiba di Malaysia pada 1968. Kumpulan tiga pesawat terakhir tiba di negara ini pada  Januari 1978. Bersandarkan kepada fakta ini, adalah mengecewakan saya apabila terdapat pandangan supaya Nuri ditamatkan perkhidmatannya dengan alasan usianya yang menjangkau setengah abad sebagai faktor utama berlakunya sesuatu nahas. Paling menyedihkan apabila terdapat ungkapan Nuri sebagai ‘keranda terbang.’ Saya yakin ramai rakan seperjuangan yang terkesan dengan ungkapan sebegitu! Rakyat perlu memahami banyak faktor yang melibatkan berlakunya sesuatu nahas. Justeru, saya bersyukur alasan penamatan perkhidmatan Nuri yang diumumkan tidak menyentuh faktor usia pesawat. Syukur alhamdulillah.

Dalam buku ini, tumpuan saya hanya menonjolkan peranan yang dimainkan oleh Nuri dalam usaha pasukan keselamatan memerangi petualang negara yang mahu menjadikan negara tercinta ini sebagai sebuah negara berideologi komunisme. Bagi membolehkan para pembaca memahami keperluan pesawat Nuri, saya masukkan sepintas lalu sejarah permulaan kehadiran helikopter di Malaya/Malaysia sebagai satu instrumen peperangan yang mampu menentukan kejayaan sesuatu operasi.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui cabaran yang dihadapi oleh kru Nuri semasa melaksanakan tugasan. Selain kekurangan peralatan yang sesuai, keadaan muka bumi dan cuaca,  mereka juga berhadapan dengan keazaman musuh menembak jatuh pesawat. Saya cuba memaparkan cabaran tersebut. Kisah-kisah yang dicoretkan bersandarkan kepada  pengalaman para pelaku. Walaupun berhadapan dengan ancaman, namun ini tidak meluntur semangat kru untuk melaksanakan tugasan. Kegigihan kru membuatkan musuh negara merasai terancam kerana mereka kehilangan kekebalan walaupun berada di kawasan yang mereka anggap selamat.
Kepada mereka yang tercedera semasa operasi, Nuri merupakan satu-satunya talian hayat untuk menyelamatkan mereka. Semangat setia kawan sebagai anggota pasukan keselamatan membuatkan kru Nuri sedia mengambil risiko untuk menyelamatkan mereka. Tindakan pantas membawa keluar mangsa untuk mendapat rawatan begitu penting kerana ia meningkatkan morel pasukan keselamatan; prinsip kedua Prinsip Peperangan – Mengekalkan Morel.

Pelaksanaan tugasan oleh kru Nuri tidak akan tercapai tanpa satu komponen TUDM yang kurang ditonjolkan, iaitu para anggota kejuruteraan. Mereka yang merupakan pelaku di belakang tabir bertanggungjawab menentukan pesawat sentiasa berada dalam keadaan siap siaga untuk melaksana tugasan yang diberikan. Tanpa kegigihan dan dedikasi mereka, kemungkinan perjalanan operasi akan tergendala.

Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Jen Tan Sri Ahmad Saruji bin Che Ros TUDM (B), Mej Jen Felix Gonsalvez a/l Alexander TUDM PTU Brig Jen Dato' Ranjit Singh Gill TUDM (B), Kol Suhirtharatnam a/l Kulatratnam (B), ACP Norizan bin Murad, Pegawai Memerintah No 3 dan No 5 Skuadron, Mej Dato’ Salehuddin bin Mutalib (B) PGB, Mej Lim A.P. TUDM (B), Pengarah Muzium PDRM, Kurator Muzium RAJD, Kapt Syed Ahmad bin Syed Aziz, Sjn (B) Shaari bin Che Mat (PDRM), L/Kpl Zainuddin bin Ahmad (B) dan rakan-rakan seperjuangan yang sentiasa bersedia memenuhi kerenah saya tanpa kira masa.

Saya juga merakam penghargaan khusus kepada Brig Jen Dato’ Abdul Rahim bin Abdul Rahman TUDM (B) PGB PTU yang menggalak dan mendorong saya menulis buku ini. Selain itu, penghargaan kepada isteri tercinta, Siti Roffini bt Mohd Yusof yang sentiasa menyokong usaha saya ini.

Adalah diharapkan agar buku ini dapat mencetuskan ramai lagi para veteran mencoret pengalaman mereka untuk tatapan rakyat yang menyintai negara ini.

Nuri...Sumber Inspirasiku

Tiada ulasan: