Tugu Nasional
Sementelah banyak
masa terluang akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya cuba mencungkil
laporan membabit satu perhimpunan yang dihadiri bekas anggota Parti Komunis
Malaya (PKM) di sebuah kolej swasta di Kajang pada 1 Disember 2019. Apa yang
menarik perhatian saya ialah penggunaan istilah ‘bekas’ anggota PKM.
Mengapa penggunaan istilah ‘bekas’? (Di SINI).
'Bekas' ahli PKM yang menghadiri majlis terbabit
Apakah definisi
‘bekas’? DBP mendefinisikan ‘bekas’ sebagai ‘pernah menjadi’. Berlandaskan
kepada definisi ini, mereka pernah menjadi ahli PKM. Itu sudah pasti. Pada
fahaman saya, penggunaan istilah bekas
ahli bererti mereka telah keluar dari parti atas sebab-sebab yang hanya mereka
sahaja yang ketahui atau mereka telah menyerah diri serta mengumumkan tidak
lagi percaya kepada ideologi komunisme atau parti tersebut telah dibubarkan.
Bersandarkan kepada kefahaman tersebut, persoalan yang bermain dalam fikiran
saya ialah: Jika PKM telah dibubarkan, bila ia dibubarkan?
Saya bukannya
seorang peguam dan mengaku jahil mengenai definisi dari perspektif
undang-undang. Dari bacaan saya, British telah mengharamkan PKM apabila
darurat diisytiharkan pada Jun 1948. Ya, istilah digunakan ketika itu ialah “diharamkan”
kerana parti tersebut adalah sebuah parti yang sah dan iktiraf oleh British.
Semenjak pengharaman tersebut, PKM kekal diharamkan. Itu semasa era pra
Merdeka. Apabila Persekutuan Tanah Melayu (PTM) mencapai kemerdekaan pada 31
Ogos 1957 disusuli dengan penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September
1963, PKM merupakan sebuah parti haram, bukan diharamkan!
Pandangan ini bersandarkan bahawa PKM tidak pernah berdaftar
dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan PTM/Malaysia!
Pejabat PKM di Kuala Lumpur sebelum darurat diisytiharkan pada Jun 1948
Isu pengisytiharan
PKM sebagai parti haram bukannya perkara baharu. Isu ini merupakan agenda utama
semasa Pertemuan Baling antara Tunku Abdul Rahman selaku Ketua Menteri
Persekutuan Tanah Melayu dan David Marshall, Ketua Menteri Singapura,
dengan Chin Peng selaku Setiausaha Agung
PKM di Baling, Kedah pada 28-29 Disember 1955. Malahan, sebelum pertemuan
tersebut, Tunku dengan tegasnya mengumumkan bahawa beliau sama sekali tidak
akan mengiktiraf PKM. Semasa pertemuan tersebut, beliau menegaskan supaya PKM
dibubarkan. Saranan ini ditentang oleh Chin Peng dengan alasan bahawa mereka
masih percaya kepada ideologi komunis. Seperti juga Tunku dengan ketegasannya,
mereka sama sekali tidak akan membenarkan orang lain memaksa mereka
mengetepikan ideologi komunis, sebaliknya mahu menguar-uarkan ideologi ini
kepada rakyat untuk membuat keputusan. Ketegasan Tunku dan kedegilan Chin Peng
membabitkan isu ini dan keengganan mereka menyerah diri merupa punca kegagalan
pertemuan tersebut.
Isu pengiktirafan dan
menyerah diri tidak berakhir di Pertemuan Baling. Ia dibangkit semula 34 tahun
kemudian semasa rundingan antara wakil kerajaan Malaysia, Thailand dan PKM di
Phuket, Thailand pada 1989. Ketiga-tiga parti terbabit telah bermesyuarat sebanyak
lima kali sebelum termeterainya Pengisytiharan Damai yang ditandatangani di Hat
Yai pada 2 Disember 1989. Kelima-lima mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh
Mej Jen Kitti Ratanachaya (Panglima 4 Thai Army). Malaysia diwakili oleh CP Dato’ Abdul Rahim bin Mohd Noor (Pengarah Cawangan
Khas, PDRM) sementara PKM diwakili oleh Chang Ling Yang yang sempat hadir
semasa mesyuarat pertama dan kedua sebelum meninggal dunia. Dia diganti oleh Wu
Yit Shih. Mesyuarat-mesyuarat tersebut telah diadakan pada: (1) 2-4 Februari
1989; (2) 15-17 Mac 1989; (3) 11 Mei 1989; (4) 2-3 Oktober 1989; (5) 12-14
November 1989.
Mesyuarat antara wakil Thai, Malaysia dan PKM di Phuket
Semasa mesyuarat
pertama, Chang L.Y. telah membangkitkan isu
pengiktirafan PKM. Isu ini merupakan perkara pertama dalam 11 senarai yang
mereka kemukakan kepada delegasi Malaysia pada 1 Februari 1989, iaitu sehari
sebelum mesyuarat. Petikan siri 2: “Kerajaan Malaysia mengiktiraf dari segi
undang-undang status Parti Komunis Malaya (PKM) dan Parti
Kebangsaan Melayu Revolusioner Malaya (PKMRM). PKM dan PKMRM diberi kebebasan berpolitik seperti lain-lain parti
politik.” (2. The Malaysian Government recognises the legal status
of the Communist Party of Malaya and the Parti
Kebangsaan Melayu Revolusioner Malaya (PKMRM). Both the CPM and PKMRM enjoy the same political rights
as other lawful political parties in our country (Malaysia)). Dia menegaskan supaya
parti tersebut sewajarnya diiktiraf oleh Malaysia bersandarkan bahawa mereka
turut berjuang menentang British untuk mendapatkan kemerdekaan. Ekoran itu,
pengiktirafan PKM sebagai sebuah parti yang sah dari segi undang-undang menjadi
impian para ahli parti tersebut. Dia juga menegaskan bahawa kegagalan Pertemuan
Baling disebabkan Tunku Abdul Rahman mahukan pengganas komunis menyerah diri.
Sama sepertimana Chin Peng, bak kata peribahasa ‘bapa borek anak rintik’, Chang
L.Y. dengan angkuhnya menegaskan bahawa istilah “...menyerah diri tidak wujud dalam
kamus PKM.”
Desakan mereka
ditangkis oleh Dato’ Rahim Noor. Beliau menegaskan bahawa majoriti rakyat
negara yang terdiri dari penganut agama Islam menentang keras terhadap komunis
kerana ideologi komunis tidak percaya kepada sebarang agama. Di samping itu,
luka yang dialami akibat kezaliman komunis terhadap rakyat masih belum sembuh.
Sebaliknya, beliau menyarankan supaya PKM dibubarkan.
Bersandarkan
kepada dakwaan bahawa mereka juga sebagai pejuang kemerdekaan, mereka begitu benci
dengan Tugu Nasional di Kuala Lumpur yang menonjolkan pengganas komunis dipijak-pijak.
Kebencian ini disuarakan oleh Rashid Maidin yang menegaskan bahawa tugu tersebut
merupakan satu penghinaan kepada mereka. Ekoran itu, dia tidak berhasrat untuk
pergi ke Kuala Lumpur apabila pulang ke Malaysia nanti. Kebencian pengganas komunis
ini dibuktikan pada 27 Ogos 1975 apabila
mereka telah mengebom tugu tersebut (di SINI). Justeru, mereka mendesak supaya kerajaan
memusnahkannya dan membina Tugu Kemerdekaan yang memapar penglibatan semua kaum
termasuk PKM sebagai pejuang kemerdekaan. Selain itu, mereka mahukan kerajaan
menghentikan tayangan filem “Bukit Kepong”!
Kerosakan pada Tugu Nasional akibat dibom oleh
petualang negara pada 27 Ogos 1975.
Ketegasan Kerajaan
Malaysia dalam isu pengiktirafan ini dipaparkan dalam draf cadangannya kepada
PKM:
Item
1: PEMBUBARAN PARTI KOMUNIS MALAYA (PKM)
Adalah
dipersetujui bahawa Parti Komunis Malaya (PKM) dan semua organisasi subsidiari termasuk Parti Kebangsaan Melayu
Revolusioner (PKMR) dan Suara Demokrasi Malaya (SDM)
akan dibubarkan.
Sepertimana yang
sudah dijangka, wakil Chin Peng tidak setuju dengan sebarang ayat yang
menyatakan PKM dibubarkan. Bantahan ini disuarakan oleh Zainon sebagai
jurucakap PKM. Kali ini secara ‘halus’. Dia menerangkan bahawa adalah agak
sukar untuk mereka mengumumkan pembubaran PKM dan PKMR secara rasmi. Kerajaan
sepatutnya tidak bertegas mahukan PKM dibubarkan kerana kesediaan mereka menyertai
rundingan ini untuk menamatkan
peperangan dan meneruskan perjuangan secara aman melambangkan keikhlasan dan kejujuran
mereka. Oleh yang demikian, tiada keperluan untuk mengisytihar pembubaran PKM
secara rasmi.
Sementelah istilah
PKM begitu fobia kepada kerajaan, mereka menyatakan bahawa mereka akan menjenamakan
semula PKM kepada Parti Buruh Sosialis Malaysia (Socialist Labour Party of Malaysia)
dan mengekalkan prinsip Marxisme. Rashid
Maidin menjustifikasikan pengekalan prinsip ini kerana Marxisme tidak terdapat Perlembagaan
Persekutuan. SAC Norian Mai menjelaskan kepada Rashid Maidin bahawa
Perlembagaan Persekutuan hanya mencatatkan apa yang rakyat boleh lakukan tetapi
‘diam’ apa yang tidak boleh dilakukan.
Dato’ Rahim Noor menegaskan
bahawa Pendaftar Persatuan akan menolak penubuhan Parti Buruh Sosialis Malaysia
jika ia mengekal prinsip Marxisme. Beliau menjelaskan
Marxisme merupakan ideologi yang begitu asing kepada rakyat dan tidak boleh diterima
oleh mereka. Rakyat beranggapan bahawa parti tersebut merupakan pelanjutan dari
PKM. Beliau seterusnya memaklumkan bahawa Pendaftar Persatuan tiada masalah
untuk meluluskan parti yang berpaksikan kepada prinsip sosialis, sebagai
contoh, PSRM, DAP dan SUPP.
Kerajaan Malaysia
sebenarnya tidaklah menutup pintu rapat-rapat yang membabitkan PKM sebagai
parti politik. Dato’ Rahim Noor
menjelaskan bahawa mereka boleh menubuhkan parti politik selepas
sembilan bulan termeterainya Perjanjian Damai. Beliau menerangkan bahawa rakyat
boleh menubuhkan parti politik selagi ia selari dengan undang-undang negara.
Permohonan perlu melalui proses yang sedia ada. Justeru, anggota PKM boleh
menubuhkan parti baharu bagi menggantikan PKM selagi tidak berprinsipkan
komunisme/ Marxisme.
Beliau seterusnya memaklumkan
bahawa kerajaan menawarkan dua pilihan:
1. Menubuhkan satu parti
politik baharu dengan mengekalkan PKM selepas sembilan bulan termeterainya
Perjanjian Damai dan seterus PKM dibubarkan mulai
tarikh Perjanjian Damai.
2. Membubarkan PKM dan selepas
sembilan bulan termeterainya Perjanjian Damai dan menubuhkan satu parti politik
baharu.
Setelah mendengar
hujah Dato’ Rahim Noor, akhirnya wakil PKM bersetuju untuk menggugurkan isu prinsip Marxisme dalam perlembagaan parti yang mereka
akan tubuhkan. Oleh kerana isu ini begitu sensitif, isu pembubaran PKM ‘didiamkan’
dan dikecualikan dalam Perjanjian Damai dan Peraturan Pentadbiran.
Dengar berakhirnya
mesyuarat kelima, majlis menandatangani Perjanjian Damai dilaksanakan di Hotel
Lee Gardens, Hat Yai pada 2 Disember 1989. Malaysia diwakili oleh Dato’ Wan Sidek
bin Wan Abdul Rahman (KSU KDN), Jen Tan Sri
Hashim bin Mohd Ali (PAT) dan Tan Sri Mohd Haniff bin Omar (KPN). PKM
diwakili oleh Ong Boon Hua@Chin Peng (Setiausaha Agung), Abdullah C.D.
(Pengerusi) dan Rashid Maidin (Ahli Jawatankuasa Pusat). Dokumen Peraturan
Pentadbiran antara Malaysia dan PKM ditandatangani oleh Dato’ Abdul Rahim bin
Mohd Noor (Timbalan KPN) dan Dato’ Zulkifli bin Abdul Rahman (Pengarah Cawangan
Khas, PDRM). PKM pula diwakili oleh Chin Peng dan Rashid Maidin.
Mengimbau kembali
aktiviti-aktiviti yang dibincangkan, PKM secara tersurat akur supaya tidak
menjadikan Marxisme sebagai prinsip
sekiranya mereka mahu menubuhkan parti baharu. Itu yang tersurat. Bagaimana
yang tersirat? Dalam ucapannya di Hat Yai, Chin Peng antara lain menyatakan
“...Kami akan bubarkan unit-unit ketenteraan kami dan memusnahkan semua senjata
kami sebagai keikhlasan kami menamatkan perjuangan bersenjata.” Memang
mereka memusnahkan senjata yang disaksikan oleh pegawai-pegawai Malaysia dan
Thailand. Namun, dia sama sekali tidak menyatakan akan menghentikan perjuangan
menuju ke arah objektif utama PKM. Kali ini politik sebagai platform untuk
mencapai objektif mereka. Sehingga kini, 2020, tidak terdengar kewujudan Parti
Buruh Sosialis Malaysia yang mereka suarakan sebagai pengganti PKM.
Bersandarkan kepada persetujuan penubuhan parti bagi menggantikan PKM, pada
pemerhatian saya hingga kini (2020) masih tidak wujud Parti Buruh Sosialis
Malaysia atau apa jua nama parti yang diberikan yang ditubuhkan oleh mereka.
Justeru, selagi tiada penubuhan parti seperti yang dirancangkan oleh mereka, bolehlah
dirumuskan bahawa PKM tidak dibubarkan dan masih wujud. Oleh yang
demikian, sekiranya ‘bekas ahli PKM’ yang hadir di majlis di Kajang tersebut
adalah hasil dari Perjanjian Damai, adakah mereka memenuhi takrif bekas?
Wallahualam.
Fokus coretan ini hanya
tertumpu kepada isu pengiktirafan PKM. Banyak lagi isu yang dibangkitkan oleh
PKM seperti desakan memansuhkan ISA, kerakyatan, pampasan, pemusnahan jerangkap samar, dan lain-lain. Perjalanan lima
mesyuarat tersebut boleh dibaca dalam buku Jen Dato’ Kitti
Ratanachaya, The
Communist Party of Malaya, Malaysia and Thailand.
(1996).
Bangkok: Duangkaew Publishing House. Beliau
telah memuatkan dalam bukunya kesemua minit-minit mesyuarat bersama dengan
kembarannya sekali.