JULAI…Negara di ambang musim patriotisme - Ogos dan September. Bermula dengan ‘Hari Pahlawan’ pada 31 Julai 2022 nanti. Seperti amalan biasa, akan ada majlis sambutan Hari Pahlawan di Dataran Pahlawan, Putrajaya. Tahun ini, 2022, penantian ketibaan musim itu disulami dengan tayangan filem “Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.” Pahlawan Melayu Pahang menentang penjajah Inggeris di abad 19 lagi. Tanpa diduga, ia mendapat sambutan di luar dugaan bagi sebuah filem genre sejarah. Selepas 21 hari penayangannya, ia telah berjaya meraih RM71 juta.[1] Penonjolan semangat patriotisme...satu fenomena!
Pada
musim patriotisme rakyat akan disaji dengan filem dan laporan kisah-kisah pengorbanan
anggota pasukan keselamatan menentang kedurjanaan pengganas kom unis baik di
Semenanjung mahu pun Sarawak. Ancaman militan itu berakhir pada 2 Disember 1989
di Semenanjung sementara 17 Oktober 1990 di Sarawak.[2]
2
Disember 1989 begitu bersejarah bagi Semenanjung khususnya. Pada tarikh
tersebut telah termeterai dua Perjanjian
Damai di Hotel Lee Gardens, Hat Yai, Thailand pada jam 10:30 pagi (waktu Thai).
Perjanjian Damai antara Kerajaan Malaysia dan PKM dan Perjanjian Damai antara
Kerajaan Thai dan PKM. Dengan termeterainya
perjanjian itu secara rasminya berakhir ancaman ketenteraan PKM terhadap
Malaysia yang bermula semenjak tahun 1948 apabila British mengisytihar darurat.
Mereka
yang diberi penghormatan untuk menandatangani dokumen bersejarah itu bagi pihak
Kerajaan Malaysia ialah Dato’ Sidek bin Wan Abdul Rahman (KSU KDN), Jeneral Tan
Sri Hashim bin Mohd Ali (PAT) dan Tan Sri Haniff bin Omar (KPN). PKM pula diwakili oleh Ong Boon Hua@Chin Peng
(Setiausaha Agung), Abdullah C.D. (Pengerusi PKM) dan Rashid Maidin.
Dalam
ucapannya sebaik sahaja majlis menandatangani dokumen tersebut, Chin Peng mengumumkan
mereka “...menamat perjuangan senjata” terhadap negara dan akan memusnahkan
senjata. Dia seterusnya berikrar bahawa: “...Sebagai warga negara Malaysia, kami
berikrar akan taat setia pada Duli Yang Mulia Seri Paduka Yang diPertuan Agong
dan negara.”[3]
Chin
Peng mengukuhkan lagi pengumuman itu semasa sidang akhbar selepas majlis
tersebut apabila dia mengulangi pendirian PKM bahawa “...mereka akan mematuhi perlembagaan
dan undang-undang di Malaysia.”[4]
Bagaimana pula sama ada dia masih kekal berideologi komunisme? Memetik laporan
akhbar ‘Berita Minggu’: “...Beliau juga mengiyakan dengan tegas
apabila ditanya sama ada beliau masih menganggap dirinya berfahaman komunis Marxist-Leninist.”[5]
Ya,
sememangnya dia penganut tegar ideologi komunis Marxist-Leninist.
Selain
itu, Chin Peng cuba mengelak soalan yang diajukan sama ada PKM telah/akan
dibubar. Jawapan dia tidak meyakinkan seperti yang dilapur oleh Berita Minggu
apabila dia mengatakan: “Saya sudah jawab tadi, pengumuman bersama (pernyataan
bersama) sudah menerangkan segala-galanya.”[6]
Masalahnya pengumuman itu tidak menyentuh mengenai status PKM dan ini dilapur
oleh akhbar tersebut: “Sebenarnya perjanjian tiga pihak itu tidak menjelaskan
kedudukan CPM.” Jawapan dia boleh dirumuskan bahawa PKM tidak dibubar dan masih
wujud.
Ketegasan
Chin Peng yang dia tetap berpendirian Marxist-Leninist
dan PKM masih wujud mempertikaikan keikhlasan mereka. Menyentuh kenyataan Chin
Peng itu, SAC (B) Aloysius Chin, mantan
Timbalan Pengarah Cawangan Khas, PDRM merumuskan: “...justeru, ini bererti
bahawa dia dan partinya akan meneruskan objektif komunis (thus, implying that he and his party would continue to
pursue communist objective.)”[7]
Bagaimana
pula dengan kejujuran Setiausaha Agung PKM itu membabitkan ikrar ‘taat setia’
kepada DYMM SPD Agong dan ‘mematuhi perlembagaan dan undang-undang.’ Keraguan
ini timbul kerana pendirian Chin Peng bercanggah sama sekali dengan ‘ideologi’
negara, iaitu Rukun Negara:
v Kesetiaan
kepada Raja dan Negara.
v Keluhuran
Perlembagaan.
v Kedaulatan
Undang-Undang.
v Kesopanan
dan Kesusilaan.
Paling
utama dan selari dengan prinsip pertama Rukun Negara - Kepercayaan Kepada
Tuhan. Apakah pendirian komunis terhadap agama? Adakah mereka menganut atau
percaya terhadap sebarang agama?
Persoalan
ini dibangkitkan kerana menurut Karl
Marx, Pelopor Komunisme mengatakan:
“Agama adalah
reaksioner (ajaran usang dan penghalang kemajuan). Ia adalah alat penindas
jiwa, ideologi untuk perhambaan golongan pekerja. Jalan usaha untuk
memperkuatkan kekuasaan golongan menindas. Agama merupakan candu bagi
masyarakat.”[8]
Dalam
kata mudah, komunisme tidak percaya kepada sebarang agama! Faktor penolakan
agama inilah punca utama kegagalan PKM menarik majoriti orang Melayu menyertai
pergerakan mereka menentang British dan kerajaan Malaysia.
Bagi
mendapat sokongan Melayu, mereka telah
menubuh Rejimen ke-10 di mana majoriti gerilanya terdiri daripada orang Melayu
pada 21 Mei 1948 di kawasan Kerdau, Temerloh, Pahang.[9]
Gelaran ke-10 diberi sempena 10 Zulhijah, iaitu orang Islam meraikan Hari Raya
Korban. Chin Peng bersetuju dengan gelaran itu kerana ia memberi konotasi
bahawa ideologi komunisme selari dengan Islam. Tetapi tidak setuju penggunaan
songkok sebagai sebahagian daripada pakaian seragam gerila komunis. [10]
Walau
bagaimanapun, kewujudan Rejimen ke-10 masih gagal menarik sokongan orang
Melayu. Orang Melayu tidak termakan umpan mereka. Kepincangan ini telah dibincang
dalam mesyuarat tertinggi PKM pada April 1952 sebelum Chin Peng dan para
gerilanya berundur ke selatan Thailand. Dalam analisisnya, Lee Aun Tong@Lau Lee
yang mengetuai Biro Propaganda Pusat merumuskan:
"Kita
berjuang menentang Islam dan sikap anti agama kita telah memarahkan orang-orang
Melayu. Kita tidak akan mempengaruhi petani-petani Melayu untuk menyertai kita
kerana sikap kita itu. Belum tiba masanya untuk kita menyemai 2 benih ideologi
kita kepada orang-orang Melayu. Kita mesti cuba mempengaruhi orang-orang Melayu
dengan cara yang lembut."[11]
Bersandar
kepada analisis itu dan doktrin komunisme, bererti jawapan Chin Peng bercanggah
dengan prinsip pertama Rukun Negara. Persoalannya, adakah PKM sedia menerima bahawa
Islam adalah agama Persekutuan dan menjamin kebebasan beragama sebagai salah
satu daripada tujuh ciri-ciri asas Perlembagaan Negara?[12]
Wallahualam (Hanya Allah yang lebih mengetahui kebenaran yang sesungguhnya).
Ya,
mereka berikrar akan mematuhi undang-undang negara. Itu memang selari dengan
Rukun Kelima. Mudah sahaja bagi membuktikan kejujuran mereka. Bubar sahaja PKM
yang telah diharam semenjak 1948 dan tidak pula berdaftar dengan Pendaftar
Persatuan Malaysia. Adakah itu yang berlaku?
Pengiktirafan
PKM bukan isu baharu. Ia mula dibangkit oleh Chin Peng semasa pertemuannya
dengan Tunku Abdul Rahman, Ketua Menteri, Persekutuan Tanah Melayu di Baling,
Kedah Darulaman pada 28-29 Disember 1955. Tunku dengan tegas tidak akan
mengiktiraf parti yang telah diharamkan oleh British. Malah isu ini menjadi
salah satu faktor kegagalan pertemuan tersebut. Ketegasan Tunku Abdul Rahman itu
mungkin merupakan salah satu punca Chin Peng menyatakan “Maaflah. No komen”
apabila dilontar soalan sama ada dia berhasrat menemui Tunku Abdul Rahman.[13]
Sebelum
majlis di Hat Yai, isu ini telah dibincang dengan panjang lebar semasa mesyuarat
pertama antara wakil Malaysia dengan PKM di Phuket, Thailand pada 2 Februari
1989. Delegasi Malaysia diketuai oleh CP Dato’ Abdul Rahim
bin Mohd Noor (Pengarah Cawangan Khas, PDRM) dengan wakil PKM yang diketuai
oleh Chang Ling Yin. Mesyuarat dipengerusikan oleh Mej Jen Kitti Ratanachaya,
Timbalan Komander Thai 4th Army, Selatan Thai.
Pada
1 Februari 1989, sehari sebelum mesyuarat itu, delegasi PKM telah kemukakan
agenda mereka kepada delegasi Malaysia. Dan pengiktirafan PKM merupa item kedua
daripada 11 item dalam agenda itu: item pertama ialah penamatan permusuhan (Common desires to end hostilities).[14]
Alasan
PKM tidak perlu dibubar dijelaskan oleh Zainon@Ah Yan (ahli politburo PKM)
selaku utusan Chin Peng semasa mesyuarat kedua pada 15-17 Mac 1989 di Phuket. Alasan
dia ialah: “Hasrat untuk menamatkan peperangan dan sedia berunding secara aman seharusnya
diterima sebagai kejujuran PKM dan justeru tiada keperluan untuk perisytiharan
rasmi [pembubaran PKM].”[15]
Mereka
mahu menjadikan politik sebagai platform dalam usaha meneruskan perjuangan demi mencapai
objektif utama menjadikan negara tercinta ini berideologi komunisme. Sebagai
parti yang sah dari segi undang-undang, PKM layak bertanding dalam Pilihan Raya Umum apabila
diadakan nanti. Perjuangan mereka tidak pernah pudar selagi objektif penubuhan
parti itu pada 1930 tidak tercapai selari dengan ideologi dan falsafah politik
Niccolò Machiavelli yang menekan “matlamat menghalalkan cara.”
Dato’ Abdul Rahim menjelaskan
negara tidak boleh iktiraf PKM bagi menghormati lebih separuh daripada rakyat
beragama Islam dan mereka anti-komunis yang dianggap sebagai anti-agama. Selain
itu, ramai rakyat yang masih belum ‘sembuh’ daripada kekejaman PKM. Lagi pula,
pengiktirafan akan memberi implikasi negatif terhadap kerajaan. Beliau
menegaskan kerajaan tetap tidak
iktiraf walaupun Parti Komunis Malaya dijenama semula sebagai ‘Parti Komunis
Malaysia.’[16]
Walau
bagaimanapun, Dato’ Abdul Rahim memberitahu delegasi PKM bahawa anggota parti
yang telah menjalani proses yang dipersetujui untuk kembali ke Malaysia boleh
bergiat dalam politik dan menubuh parti politik. Beliau memberitahu mereka
boleh menubuh parti yang berprinsip sosialis. Namun demikian, beliau mengingatkan
mereka bahawa Pendaftar Pertubuhan
Malaysia akan menolak permohonan penubuhan parti sekiranya terdapat ideologi komunisme dalam draf perlembagaan parti itu.
Peringatan
itu dipertikai oleh Rashid Maidin. Dia mengatakan Perlembagaan Malaysia tidak
tercatat sekatan terhadap ideologi ‘Marxism.’
Bagi menjawab Rashid Maidin, DCP Dato’ Norian Mai (Timbalan Pengarah I,
Cawangan Khas) menjelaskan Perlembagaan mencatat apa yang rakyat boleh lakukan
tetapi ‘diam’ apa yang tidak boleh dilakukan.[17]
Pada
mesyuarat sesi ketiga pada 11-13 Mei 1989, PKM
memberitahu delegasi Malaysia, sebagai kompromi sementelah kerajaan menolak
pengaktifan PKM, mereka mencadang untuk menubuh parti baharu yang dikenali
sebagai Parti Buruh Sosialis Malaysia (PBSM) (Socialist
Labour Party of
Malaysia
[SLPM]). Tetapi prinsip parti itu tetap berpaksi
kepada ideologi Marxism. Justifikasi mereka
bersandarkan bahawa:
“Marxisme
ialah falsafah untuk menganalisis keadaan sosial dalam masyarakat, tidak
seperti Leninisme dan Pemikiran Moa Tse-Tung yang menyokong keganasan dan
perjuangan bersenjata. Oleh itu, Marxisme, sebagai ideologi panduan SLPM sesuai
dengan objektif yang diisytiharkan untuk berfungsi secara aman dalam kerangka
Perlembagaan Malaysia.”[18]
Setelah
mendengar hujah di atas, sekali lagi delegasi Malaysia mengulangi bahawa Marxisme adalah ideologi yang begitu asing
kepada rakyat Malaysia dan tidak boleh diterima. Rakyat akan beranggapan SLPM adalah sambungan kepada PKM. Dan undang-undang
Malaysia telah menetapkan hanya mereka
yang bermastautin di negara ini boleh memohon untuk menubuh parti politik.
Hujah delegasi negara mendapat perhatian serius delegasi PKM.[19]
Penjelasan
delegasi Malaysia di atas membuahkan hasil. Pada mesyuarat sesi kelima di
Phuket pada 12-14 November 1989, Wu Jit Shih, ketua delegasi PKM menyatakan
bahawa PKM tidak akan mengguna ideologi Marxisme dalam perlembagaan
parti itu nanti. Mereka akur rakyat
tidak boleh menerima ideologi itu. Dia seterusnya memohon supaya proses
permohonan untuk menubuhkan SLPM dipercepatkan.[20]
Kesediaan
menggugur perkataan Marxisme mendapat sambutan baik oleh delegasi
Malaysia. Dato’ Rahim Noor dengan panjang lebar menjelaskan permohonan untuk
menubuh parti politik perlu melalui prosedur yang telah ditetapkan.[21]
Kebiasaannya proses itu mengambil masa 6-12 bulan.[22]
Oleh yang demikian, beliau tidak boleh memberitahu secara spesifik bila parti
itu akan diluluskan oleh Pendaftar Persatuan.
Delegasi
Malaysia juga sedia berkompromi. Dato’ Rahim Noor memberitahu
delegasi PKM bahawa tuntutan kerajaan supaya klausa PKM dibubarkan dicatatkan dalam
dokumen Perjanjian Damai itu nanti akan diketepikan. Kerajaan mengambil kira dilema
yang dihadapi oleh Chin Peng untuk menerangkan kepada anggota bersenjatanya.
Malahan, pada 17 Mac 1989 lagi Dato’ Rahim Noor memberi dua opsyen kepada
mereka. Opsyen pertama ialah menubuh parti baharu selepas sembilan bulan
setelah menandatangani Perjanjian Damai atau kedua,
bubar PKM dan selepas sembilan bulan Perjanjian Damai ditandatangani, mereka
menubuh parti baharu.[23]
Justeru
di atas kesefahaman ini, dokumen Perjanjian Damai yang ditandatangani pada 2
Disember 1989 tidak terdapat klausa menyatakan PKM dibubar. Setahu penulis,
semenjak majlis di Hat Yai 32 tahun lalu sehingga sekarang, 2022, tidak
terdengar kewujudan Parti Buruh Sosialis Malaysia (PBSM)/Socialist Labour Party of
Malaysia (SLPM).
Persoalannya,
tanpa penubuhan parti PBSM/ SLPM adakah PKM masih wujud? Akhbar ‘Bangkok
Post’ mengguna istilah “now-defunct Communist Party of Malaya (CPM)”[24]
yang membawa erti PKM sudah tidak wujud lagi atau tidak aktif! Tetapi bagi C. C. Chin jawapannya: ‘Tidak.’ Dalam artikelnya – In Search of
the Revolution: A Brief Biography of Chin Peng –
beliau menulis: “Dengan termeterainya perjanjian itu [Perjanjian Damai],
insurgensi secara rasmi telah berakhir. Tetapi Parti [PKM] tidak dibubar, dan Chin Peng masih perlu
menjalankan tugas sebagai Setiausaha Agung Parti. (With that agreement, the insurgency is now officially
over. But the Party has not been disbanded, and Chin Peng still has to carry
out his duties as the Secretary General of the Party.)”[25]
Masih aktif? Wallahualam (Hanya Allah yang lebih
mengetahui kebenaran yang sesungguhnya).
Dan
Chin Peng akui bahawa: “Saya masih seorang sosialis.”[26]
[1] Berita
Harian, Selepas
21 hari, Mat Kilau raih RM71 juta, 12 Julai 2022. Lihat https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti /2022/07/975534/selepas-21-hari-mat-kilau-raih-rm71-juta.
[2] James Ritchie. (2011). Crimson Tide Over Borneo.
Kuching: Bekas Persatuan Polis Malaysia, hlm. 318. Perjanjian Damai pertama
antara Kerajaan Malaysia dan PARAKU berlaku ditandatangani Simanggang, Sarawak
pada 21 Oktober 1973. Kerajaan diwakili oleh Datuk Patinggi Abdul Rahman bin
Ya'kub, Ketua Menteri Sarawak, dan Bong Kee Chok mewakili Biro Ke-2 PARAKU.
Ancaman PARAKU berakhir apabila termeterai Perjanjian Damai antara Kerajaan
yang diwakili oleh Tan Sri Mohamad Bujang Nor (Setiausaha Kerajaan Negeri
Sarawak), Mej Jen Dato’ Abdul Manaf bin Ibrahim (GOC) dan T/PJP Datuk Ghazali
Yakub (Pesuruhjaya Polis Sarawak) di Kuching, Sarawak pada 17 Oktober 1990. PARAKU
diwakili oleh Hung Chu Ting dan Wong Lian Kui. Mereka mewakili 52 saki baki
anggota PARAKU.
[7] Aloysius Chin. (1995). The
Communist Party of Malaya: The Inside Story. Kuala Lumpur: Vinpress, hlm.
247.
[8] Kamal Nazarbayev, Kedudukan Agama Pada Pandangan
Marxisme-Komunisme, The Patriots, 3 Mei 2020. Lihat https://www.thepatriots.asia/?_gl=1%2A1596k3c%2A_ga%2AUm5xRkhwa VBJUVM3Wkw3M2QyRlJLcG1feGNIbUo2d2g4aXZnRGdoNkRBelVKNnhsYVpUSEJuSUw5ejhWRGsxSQ.
[9] Suriani Abdullah. (1999). Rejimen Ke-10 Dan
Kemerdekaan. Hong Kong: Nan Dao Publisher, hlm. 41. Suriani Abdullah
merupakan isteri kepada Abdullah C.D.
[10] Lamry Mohamed Salleh, A History of the Tenth Regiment's Struggles,
Inter-Asia Cultural Studies, Vol. 16, 24 Mac 2015, Routledge, hlm. 46. Lihat
https://doi.org/10.1080/14649373.2015. 1008201.
[11] ANM. Majlis Pengkisahan Sejarah Rundingan Baling 28-29
Disember 1955 sempena sambutan Kemerdekaan 2004 tanpa catatan lokasi dan
tarikh. Skrip asal oleh Tan Sri Dato' Hj. Shafie Abdullah, Setiausaha Peribadi
YTM Tunku Abdul Rahman; dan Miller, Harry. (1972). Jungle War in Malaya.
London: Arthur Barker Ltd., hlm. 119
[12] Haji Zainul Rijal Abu Bakar, AlQuran dan Masyarakat:
Undang-undang. Pengerusi, Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia Lihat https://mufti.penang.gov.my/ index.php/2014-11-12-02-48-39/kertas-kerja-seminar/kuliah-umum/89-al-quran-masyarakat/file.
[13] Berita Minggu, Chin Peng belum putuskan hendak ke mana,
3 Disember 1989.
[14] General Dato’ Kitti Ratanachaya.
(1996). The Communist Party of Malaya, Malaysia and Thailand. Bangkok:
Duangkaew Publishing House, hlm.
[15] Ibid, hlm. 103.
[19] Ibid, hlm. 186.
[21] Ibid, hlm. 255.
[23] Ibid, hlm. 147.
[24] Achara Ashayagachat, Bangkok Post, Former
insurgents celebrate 25 years of peace, 4 Disember 2014. Lihat https://www. bangkokpost.com/thailand/general/447082/former-insurgents-celeb
rate-25-years-of-peace.
[25] C. C. Chin, In Search of the
Revolution: A Brief Biography of Chin Peng, dalam Chin & Hack (editors). (2004).
Dialogues with Chin Peng: New Light on the Malayan Communist Party. Singapore:
Singapore University Press, hlm. 371.
[26] Ian Ward & Norma Miraflor.
(2003). Alias Chin Peng: Chin Peng - My Side of History. Singapore:
Media Master, hlm. 514. Ching Peng meninggal dunia di Bangkok pada 16
September 2013.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan