Pengikut

Selasa, 14 Mac 2023

Op Iblis: "Allah...Abaaang"

 Bersambung dari SINI....

Setelah memberitahu butiran lokasi untuk Markas Taktikal Batalion kepada CO, Kapt Shahrir dan anak buahnya bergerak ke AO yang diperuntukkan kepada kompeninya. Sepanjang pergerakan, mereka tidak ditemukan kesan-kesan kehadiran petualang negara. Apabila tiba di AO, Kapt Shahrir memilih satu lokasi sebagai Markas Taktikal Kompeni. Seterusnya, beliau mengatur pengagihan tugasan kepada ketiga-tiga Ketua Platun. Tugasan meronda dan mengesan petualang dipertanggungjawab kepada Platun No 1 dan Platun No 3. Platun No 2 pula sebagai platun simpanan dan menjaga keselamatan Markas Taktikal Kompeni.

Bagi Lt M Abdul Rashid bin Mahmud, Ketua Platun Kompeni Alpha, tiba masanya berhadapan dengan alam nyata. Beliau adalah pegawai terbaharu menyertai 12 RAMD setelah tamat latihan kadet di Maktab Tentera Diraja (kiri: Mej Abdul Rashid bin Mahmud (B)). Setelah ditauliah pada April 1971, beliau diberi cuti selama dua minggu sebelum melapor diri ke pasukannya. Beliau dilantik sebagai Ketua Platun No 3, Kompeni Alpha yang diketuai oleh Kapt Shahrir bin Hashim.[1]

Selari dengan tradisi unit, semua pegawai muda baharu diwajibkan mengikuti ‘Program Orientasi’ tanpa pengecualian. Sebaik program itu berakhir dan masih belum dapat mengenali anggota platunnya, pasukannya diarah  bergerak ke Ipoh. Kebiasaannya, pegawai yang baru ditauliah dikehendaki  mengikuti dua kursus asas kerjaya untuk semua pegawai Tentera Darat Malaysia, iaitu ‘Kursus Muslihat Pegawai Muda’ dan ‘Kursus Senjata Kompeni.’ Itu dalam keadaan biasa tetapi sekarang keadaan luar biasa.

Kini Lt M Abdul Rashid akan didedah kepada operasi sebenar. Beliau tidak lagi berhadapan dengan ‘musuh’ yang diarah oleh jurulatih di kawasan latihan tetapi berhadapan dengan musuh dalam kata erti sebenar di padang permainan mereka. Bukan itu sahaja, paling digeruni oleh anggota pasukan keselamatan musuh halimunan...jerangkap samar!

Selari dengan ‘saya yang menurut perintah’ yang sudah terpahat semenjak menceburi alam ketenteraan, Lt M Abdul Rashid dengan dibantu oleh Sjn Nazri selaku ‘Sarjan Platun’ serta lebih kurang 20 anggotanya bergerak dari Markas Taktikal Kompeni ke ‘kotak peta (map square)’ yang diberi oleh OC.

Kotak peta hanya lebih kurang 1,000 meter sahaja. Memang tidak jauh dan tiada masalah jika bergerak di kawasan lapang dan mendatar. Tetapi mereka bergerak dalam hutan tropika yang bergunung ganang. Pergerakan yang begitu perit sekali. Mendaki dan menuruni gunung yang curam dengan memikul haversack yang beratnya lebih kurang 50-60 kg. Ditambah dengan membimbit senjata SLR oleh setiap anggota repel (rifleman) yang beratnya lebih kurang 5 kg bersama 20 butir peluru 7.62 mm dalam kelopak. Manakala empat kelopak yang masing-masing berisi 20 butir peluru disumbat dalam ‘pouches.’[2]

Apa tah lagi bebanan yang dipikul oleh 20005 L/Kpl Romli bin Said yang memikul senjata GPMG bersama ‘links/belts’ dengan lebih kurang 200 butir peluru 7.62 mm setiap link. Berat GPMG itu sahaja lebih kurang 10 kg. Sama juga operator radio yang terpaksa memikul set radio dan SLR selain haversack. Dalam apa jua keadaan, peluru adalah ‘nyawa’ mereka. Itu diakui oleh 19886 Kpl Wahab bin Omar (B) yang menyatakan  bahawa “peluru lebih dipentingkan daripada makanan.”[3] Untuk membantu mendaki/menuruni gunung, ada antara mereka mengguna tongkat. Dan ‘tongkat’ itu ialah SLR. Mungkin pereka senjata SLR tidak terfikir ciptaannya mempunyai dwi fungsi selain senjata; tongkat! Dalam keadaan begini, sememangnya sehingga dagu mencecah lutut!

Bebanan yang dipikul membuatkan mereka lebih selesa bersandar pada pokok atau duduk di atas batang pokok yang tumbang daripada duduk di atas bumi semasa berehat. Kerana mereka berhadapan masalah untuk bangun semula sehingga terpaksa meminta bantuan rakan seperjuangan.  Inilah asam ragam yang mereka terpaksa lalui dengan negara.

Semasa bersama dengan platunnya, Lt M Abdul Rashid mengambil kesempatan untuk mengenali anggotanya dengan lebih mendalam. Barulah beliau menyedari ada sesuatu yang unik dalam platunnya. Dua orang anggotanya adalah adik-beradik: 25291 Pbt Abdul Rahim bin Itam Ismail, lebih dikenali sebagai ‘E-Perang’ di kalangan anggota Kompeni Bravo dan adiknya, 27878 Pbt Mohd Khalid  bin Itam Ismail dari Kati, Perak. Kedua-dua mereka adalah anggota Pasukan Pertahanan Tempatan (PPT) sebelum diserap dalam 12 RAMD.[4]

Anggota adik beradik Platun No 3, Kompeni Alpha, 12 RAMD. Dari kiri: Allahyarham 25291 Pbt Abdul Rahim bin Itam Ismail juga dikenali sebagai ‘E-Perang’ (abang), Allahyarham 27878 Sjn Khalid bin Itam Ismail (B) (adik). Sumber: PW II Ahmad bin Sulaiman (B)


 *****

Seperti yang diarah, setiap hari Lt M Abdul Rashid menghantar ‘Sitrep’ (Laporan Keadaan) kepada ‘Sunray (OC).’ Beliau seterusnya diarah untuk meronda kotak peta berikutnya. Arahan ini berterusan dan dipatuhi tanpa banyak soalan: “Roger, out.” Maka, setiap awal pagi Platun No 3 meneruskan rondaan menjejaki musuh durjana.

Pada 22 Jun 1971, setelah sembilan hari Kompeni Alpha diatur gerak, Platun No 3 ternampak satu kumpulan Orang Asli semasa rondaan. Namun demikian, kaum tersebut telah mengelak daripada bertembung dengan mereka. Tidak lama kemudian, platun dan penghuni hutan terkejut apabila kesunyian hutan belantara dicemari oleh bunyi muzik yang kuat.

Muzik dalam hutan belantara? Adakah dari penempatan Orang Asli? Masalahnya sepanjang rondaan, Lt M Abdul Rashid tidak pula diketemukan penempatan kaum itu. Mereka hanya secara kebetulan ternampak kumpulan Orang Asli sebelum itu. Sememangnya kaum Orang Asli juga perlu berhibur tetapi mengapa dipasang begitu kuat? Adakah itu sebagai isyarat kepada musuh negara tentang kehadiran wira-wira negara memburu mereka? Soalan-soalan yang bermain dalam fikiran Lt M Abdul Rashid.[5] Ada yang tidak kena.

******

Memang wajar Lt M Abdul Rashid memikirkan persoalan itu. Bukan semua kaum Orang Asli yang mesra-kerajaan; ramai juga mesra-musuh. Tanggapan ini bersandar apabila musuh negara telah mewujudkan satu unit khas yang diberi gelaran Kumpulan ASAL (ASAL Group). Gelaran ini memberi makna bahawa komunis mengiktiraf Orang Asli sebagai penghuni asal Tanah Melayu, bukannya sebagai hamba sejak era darurat lagi (1948-1960).[6] Mereka melarikan diri ke kawasan pendalaman setelah diburu oleh pasukan keselamatan.

Ketika berada di kawasan pedalaman ini, mereka telah mengambil kesempatan untuk mengeksploitasi Orang Asli supaya membantu mereka mendapatkan makanan, ubat-ubatan dan maklumat mengenai pergerakan pasukan keselamatan. Selain itu, mereka merekrut Orang Asli untuk diberi latihan ketenteraan supaya kaum ini boleh menyertai pasukan dari kalangan mereka dengan tujuan menentang kerajaan.[7] Namun, objektif sebenar penubuhan kumpulan ini adalah untuk mewujudkan tenaga kerja sebagai porter dan gerila untuk berjuang bersama musuh negara.[8] Di samping itu, kaum ini juga dijadikan sebagai skrin radar di penempatan musuh.[9]  Lt M Abdul Rashid perlu berhati-hati!

*****

Rondaan mereka pada hari itu berakhir di atas bukit pada waktu petang. Selain kehausan, mereka terpaksa catu makanan kerana hampir kehabisan bekalan makanan. Lt M Abdul Rashid membuat keputusan untuk turun bukit keesokan hari di mana terdapat anak sungai supaya membolehkan mereka membersihkan diri dan menyediakan makanan untuk hari itu sebelum meneruskan tugasan.

Waktu yang ada itu diambil kesempatan oleh Pbt Abdul Rahim berbual dengan adiknya, Pbt Mohd Khalid . Kesejukan malam membuatkan si abang telah minta sebatang rokok daripada adiknya. Namun, adiknya agak keberatan menunai permintaan abangnya kerana stok beliau terbatas.

*****

Keesokan pagi, 23 Jun 1971, seperti yang dirancang, Lt M Abdul Rashid dan anggotanya turun bukit ke arah anak sungai. Setelah memasak untuk hari itu dan  mengambil sarapan, tiba masanya untuk meneruskan rondaan. Pagi itu, kawasan yang perlu dironda ialah sebuah bukit di seberang anak sungai tersebut.

Aturan pergerakan didahului oleh 25291 Pbt Abdul Rahim bin Itam Ismail sebagai peninjau pertama disusuli oleh Pbt Hamzah selaku peninjau kedua. Manakala Lt M Abdul Rashid di belakang Pbt Hamzah, iaitu nombor ketiga. Satu seksyen pula di sebelah kanan sementara satu lagi seksyen bersama L/Kpl Romli dengan GPMG di belakang kumpulan Ketua Platun.

Pada 9:40 pagi,[10] semasa mendaki bukit, terdengar satu das tembakan: ‘bang.’ “Siapa pula yang tertembak senjata itu?” Fikir Lt M Abdul Rashid. Kebiasaannya komunis tidak tembak satu das tapi bertubi-tubi. Kemudian beliau melihat Pbt Abdul Rahim menoleh ke arahnya dan cuba memberitahu sesuatu kepada ketuanya. Tidak sempat anggota itu membuka mulutnya, Pbt Abdul Rahim rebah tertiarap menyembah bumi. Kaku. Sebutir peluru menembusi dadanya.

Disusuli “bang...bang...bang.” Platun No 3 diserang oleh musuh durjana! Anggota platun bergegas mencari perlindungan. Sambil membalas tembakan, Lt M Abdul Rashid menjerit: “Tembak.” Berlakulah tembak-menembak antara platun dengan petualang negara. Dalam desingan peluru bersimpang-siul, terdengar jeritan: “Hoi Askar Melayu, kalau berani naiklah.” Musuh mencabar mereka.

Sambil memerhati Pbt Abdul Rahim kerana bimbang senjata mangsa dirampas oleh petualang negara, Lt M Abdul Rashid memberi arahan:

“GPMG,” jerit Lt M Abdul Rashid.

Jika musuh beranggapan provokasi mereka akan melemahkan semangat anggota platun, mereka tersilap percaturan. Sebaliknya berkobar-kobar semangat wira-wira negara. Sebaik sahaja mendengar jeritan ketuanya dan semangat setia kawan serta cabaran si petualang negara, L/Kpl Romli meluru ke hadapan melepasi kedudukan Lt M Abdul Rashid. Tanpa perlindungan dan menghiraukan keselamatan dirinya sendiri, dan dalam keadaan berdiri ala Rambo, L/Kpl Romli terus menarik picu senjatanya. Tindakan itu membuatkan laras senjata memuntahkan dengan kadar minimum 600 butir seminit dengan ‘muzzle velocity’ minimum 750 meter.[11] Keberanian luar biasa. Kebiasaannya, penembak dalam keadaan meniarap dan senjata pula mengguna ‘tripod’, sesaat. Habis kesemua lebih kurang 200 butir peluru.

Senjata bantuan General Purpose Machine (GPMG) dengan ‘link/belt’ lebih kurang
 200 butir peluru 7.62 mm. Sumber: Denel Land Systems. Gambar hiasan.

Lakaran memaparkan L/Kpl Romli bin Said tembak musuh dengan GPMG ala ‘Rambo’ apabila melihat Pbt Abdul Rahim bin Itam Ismail tersungkur menyembah bumi pada 23 Jun 1971. Lakaran oleh S/Sjn Zainudin bin Ahmad (B)

Sebaik sahaja peluru pada link itu digunakan, L/Kpl Romli meletak senjata atas tanah untuk memasukkan link baharu. Tatkala tunduk untuk membuka ‘flap’ senjata itu, sebutir peluru komunis telah menembusi siku tangan kanannya. “Allah...aduuuh!” Beliau terus terduduk. Tangannya terkulai dengan darah memancut keluar.

Semua ini berlaku di hadapan Lt M Abdul. “Tembak grenad”, jerit Ketua Platun. “Boom.” Letupan sebutir grenad yang dilancar daripada M79 pelancar grenad oleh Sjn Nazri. Pertempuran selama 10-15 minit itu berakhir akibat penggunaan senjata bantuan – GPMG dan pelancar grenad M79. Anggota platun terdengar arahan: “chow...chow.” Musuh bergegas beredar dari penempatan mereka itu.


 *****

Dalam keadaan kelabut dan keadaan begitu getir, Lt M Abdul Rashid menghubungi Markas Taktikal Kompeni:

"One Three. Contact...contact. Kami under heavy enemy fire. Mereka di atas Bukit. Kami di lereng bukit. Pbt Rahim KIA.”[12]

Panggilan itu didengari oleh semua sub-unit yang mengguna frekuensi yang sama, termasuk Markas Taktikal Batalion di Kem Suvla Line, Ipoh. Dengan pemasangan alat pembesar suara kepada set radio, CO dan staf turut mendengar tembak-menembak semasa Lt M Abdul Rashid membuat panggilan.

CO seterusnya mengarah Lt M Abdul Rashid untuk terus maju. “Roger, out.” Tetapi tidak semudah itu. Sama seperti yang dialami oleh mendiang Kapt Chandran 10 hari sebelum ini (23 Jun 1971), keadaan topografi di lokasi itu memberi kelebihan kepada musuh. Mereka berada di atas bukit yang curam lerengnya berbanding platun yang berada di bawah bukit.

*****

Setelah tidak lagi kedengaran tembakan musuh dan yakin musuh sudah beredar, Lt M Abdul Rashid mengarah anggotanya bergerak ke penempatan komunis dengan penuh berhati-hati. Ini kerana beliau ternampak wayar di laluan yang mungkin jerangkap samar. Beliau merapati L/Kpl Romli yang masih terduduk dengan darah mengalir dan mengarah anggotanya untuk memberi rawatan awal dan membalut luka wira tersebut. Seterus diberi suntikan morfin bagi mengurangkan kesakitan. Seterusnya Lt M Abdul Rashid merapati Pbt Abdul Rahim yang tertiarap. Sah...wira tersebut menyahut panggilan Ilahi!

Tiba-tiba kedengaran: “Tuan, Harun cedera.” Pbt Harun, anggota seksyen di sebelah kanan turut tercedera semasa pertempuran itu. Bergegas pula Lt M Abdul Rashid ke Pbt Harun. Wira itu telah mengalami kecederaan di paha kanan kanan akibat ditembusi peluru. Sama yang dilakukan ke atas L/Kpl Romli, Ketua Platun mengarah luka Pbt Harun dibalut dengan pembalut. Kemudian disuntik dengan morfin.

*****

Sebaik sahaja menerima arahan Ketua Platun untuk mara setelah petualang negara beredar, Pbt Mohd Khalid   meluru kepada abangnya yang masih tertiarap. “Ya Allah...Abaaang.” Teriak  Pbt Mohd Khalid . Terus beliau mengalih jasad dan jasad abangnya sambil menangis teresak-esak. Dalam tangisan itu, beliau meluahkan kekesalannya: “Abang. Adik minta maaf...adik minta maaf.” Beliau begitu kesal sekali kerana tidak memberi sebatang rokok yang dipinta abangnya kelmarin! Senario itu sungguh menyayat hati mereka yang berada di situ sehingga berlinang air mata.[13]

*****

Seterusnya Lt M Abdul Rashid mengagih tugasan kepada anak buahnya. Satu kumpulan ditugas untuk menggeledah kawasan itu manakala satu kumpulan untuk menyediakan tiga strecer dengan mengguna ‘hammock.’ Penggeledahan menunjukkan kekuatan musuh ialah lebih kurang 30-40 orang. Mereka menemui kesan darah dan sesuatu berat yang diseret. Penemuan ini membuat Lt M Abdul Rashid yakin bahawa musuh juga tercedera atau terbunuh semasa pertempuran sebentar tadi.[14]

Seperti biasa, Lt M Abdul Rashid menghantar Sitrep kepada Markas Taktikal Kompeni. Laporannya termasuk Pbt Abdul Rahim KIA serta L/Kpl Romli dan Pbt Harun WIA. Beliau diarah untuk kekal di situ sementara menunggu ketibaan anggota bantuan.

*****

Di Kem Suvla Line, Ipoh, Panglima 2 BIM mengarah  Lt Kol Abd Rahman ke AO dengan serta merta. Bagi tujuan itu, pergerakan Markas Taktikal beliau diatur gerak dengan pesawat Nuri. Ini menjimatkan masa kerana hanya mengambil lebih kurang 10-15 minit berbanding dua hari berjalan kaki dari Ulu Kinta setelah diturunkan di situ. Kumpulan Markas Taktikal terdiri daripada Platun Mortar dan Platun Tambur yang diketuai oleh seorang Sarjan[15] sebagai platun simpanan serta peralatan seperti mortar dan peluru. Dan berkotak-kotak rangsum. Pergerakan ini melibatkan beberapa sorti.

Sebaik sahaja tiba di Larik Mine, Kapt Zamri menentukan perimeter pertahanan dan kedudukan mortar di satu sudut di lokasi itu. Manakala Markas Taktikal pula di lereng bukit dengan pandangan kawasan lapang. Sebaik sahaja markas berfungsi sepenuhnya pada lewat petang, perlaksanaan operasi diambil alih sepenuhnya oleh CO.[16]

Arahan pertama CO ialah kepada Kapt Shahrir. Beliau diarah menjejaki musuh dan menghantar satu kumpulan ke lokasi pertempuran untuk membawa balik ketiga-tiga mangsa ke Markas Taktikal Batalion. Pergerakan petang itu juga. Noktah.

Kebetulan Platun No 1 berada di Markas Taktikal Kompeni ketika itu. Lantas, Kapt Shahrir memberi tugasan membawa balik tiga mangsa kepada Lt M Ashroff (kiri: Mej Ashrof bin Mohamed (B)). Sama seperti Lt M Abdul Rashid, Lt M Ashroff juga tergolong pegawai muda yang masih ‘hijau.’ Beliau melapor diri ke 12 RAMD setelah ditauliah pada 9 Oktober 1970. Hanya terawal enam bulan daripada Lt M Abdul Rashid. Sehingga diatur gerak ke AO Op Iblis, beliau masih belum mengikuti dua kursus asas kerjaya berkenaan (Kursus Muslihat Pegawai Muda dan Kursus Senjata Kompeni.) Dan operasi ini juga merupakan penglibatannya buat pertama dalam operasi sebenar.

Lt M Ashroff diarah bergerak dengan segera. Jawapan standard yang sudah semestinya terpacul daripada pegawai muda sebaik sahaja menerima arahan daripada pegawai atasan: “Baik tuan.” Bak bait-bait penyajak British, Lord Tennyson Alfred dalam sajaknya - ‘The Charge of the Light Brigade’: “Theirs not to reason why, Theirs but to do and die.”

Seperti yang diarah, Lt M Ashroff bersama lebih kurang 14 anggotanya termasuk seorang Koperal ‘Medic’ (anggota daripada pasukan Perubatan), bergerak ke lokasi pertempuran. Untuk misi ini, mereka tidak membawa haversack; hanya membawa senjata SLR dan empat kelopak berisi peluru yang disumbat dalam pouches. Mereka tiba di destinasi hampir waktu malam.

Apabila tiba di lokasi pertempuran, mereka mendapati ketiga-tiga mangsa telah diletak atas strecer ‘hammock’. Persiapan sudah disediakan oleh  Lt M Abdul Rashid. Pbt Mohd Khalid  pula diberi pelepasan oleh Ketua Platun untuk mengiringi perjalanan terakhir abangnya. Itu sahaja yang termampu dilakukan oleh Lt M Abdul Rashid terhadap anak buahnya. Mereka sedang memerangi musuh durjana daripada bermaharajalela.

Tanpa membuang masa dan hari makin gelap, Lt M Ashroff mengatur 12 anggota sebagai pengusung dengan masing-masing empat orang mengusung satu strecer. Sementara beliau dan empat orang lagi, termasuk Pbt Mohd Khalid , berperanan sebagai perintis laluan dan keselamatan. Mereka mula menuruni bukit yang curam dalam kegelapan. Sasaran Lt M Ashroff ialah sungai di kaki bukit kerana sungai itu akan membawa mereka ke Markas Taktikal Batalion. Bukan alang kepalang mengusung tiga strecer dalam gelap-gelita tanpa cahaya bulan mengambang. Mana boleh guna lampu; ini kawasan operasi dan padang permainan musuh!

*****

Pada malam itu, CO dan staf menunggu ketibaan Lt M Ashroff. Lewat tengah malam kelibat mereka masih tidak kelihatan. Beliau sedia memahami bukan mudah memikul tiga strecer dalam gelap-gelita. Lalu, CO mengarah Ketua Platun Mortar untuk melancar ‘Illuminating Mortar Cartridge 81 mm’ sepanjang malam ke arah laluan yang diambil oleh Lt M Ashroff.[17] Setiap cartridge itu mempunyai 525,000 cahaya lilin selama 50-60 saat.[18] Tidak cukup dengan itu, beliau turut mengarah unit-unitnya untuk menembak ‘Very Pistol’ supaya cahaya suar dapat membantu. Beliau mengharapkan cahaya itu dapat membantu pergerakan kumpulan Lt M Ashroff. Namun, cahaya daripada senjata itu tidak dapat menembusi kepadatan hutan di malam gelap-gelita. Mereka masih bergerak dalam kegelapan.

*****

Dengan satu tangan mengusung strecer sementara satu lagi tangan membimbit SLR, mereka akhirnya tiba di tebing sungai di kaki bukit. Tetapi cabaran masih berakhir. Sungai memang cetek tetapi sangat mencabar dengan tebingnya curam dan berbatu-batu yang besar-besar. Dalam keadaan ini, Lt M Ashroff membuat keputusan untuk meredah dan menyusur sungai. Kedua-dua mangsa pula mengerang kesakitan. Seperti yang dijangka, Medic menyuntik mereka dengan morfin.

Tetapi pergerakan dalam air terpaksa dihentikan. Dalam gelap-gelita, setiap langkah satu seksaan dan berbahaya. Mereka tidak mengetahui pelancaran ‘illuminating cartridge’ kerana mereka berada dalam keadaan gelap pekat. Dan anggotanya pula terlalu letih dan lapar untuk meneruskan perjalanan. Beliau tiada pilihan melainkan berhenti untuk bermalam. Keletihan yang terlampau itu membuatkan mereka terpaksa berehat dan tidur dalam air di celah-celah batu.

Keesokan pagi, 24 Jun 1971, sebelum menerus pergerakan, mereka hanya bersarapan dengan biskut kering dan air sungai. Tetapi, kekurangan ini tidak sama sekali meluntur semangat setia kawan untuk memastikan rakan seperjuangan mereka cedera mendapat rawatan sewajarnya. Perjalanan diteruskan. Kegigihan mereka akhir mereka tiba di Markas Taktikal Batalion di Larik Mine.[19] Tidak lama kemudian, sebuah Alouette III mendarat untuk membawa Pbt Mohd Khalid, bodevac and dua casevac ke Kem Suvla Line, Ipoh.

Sebaik sahaja pesawat mendarat, L/Kpl Romli dan Pbt Harun terus dibawa ke Hospital Besar Ipoh untuk rawatan sewajar dengan dua buah ambulans. L/Kpl Romli ditahan di hospital selama dua bulan.[20] Allahyarham Pbt Abdul Rahim pula dibawa ke surau kem untuk urusan jenazah sebelum dihantar ke kampungnya di Sauk untuk disemadikan. Pbt Mohd Khalid turut mengiringi jenazah abangnya.[21]

Sementara  itu, di Kem Batu Uban, Ajutan 12 RAMD mengatur pergerakan isteri, Roziah binti Itam Rhazali, dan empat orang anak Allahyarham Pbt Abdul Rahim ke Sauk.[22] Mereka diiringi oleh seorang pegawai. Wira negara itu selamat disemadikan di Sauk hari itu juga.

Dari kiri: Mej Ashrof bin Mohamed (B)Mej Abdul Rashid bin Mahmud (B)

*****

Kedurjanaan petualang negara telah memusnahkan pautan keluarga Allahyarham Pbt Abdul Rahim bin Itam Ismail. Isterinya terpaksa membesar empat orang anak mereka bersendirian. Ini diluahkan oleh anaknya, Puan  Puziah binti Abdul Rahim:

“Selepas kematian ayah saya (L/Kpl Abdul Rahim bin Itam Ismail), kami terus kekal menetap di kampung Sauk. Ibu saya (Allahyarhamah Roziah binti Itam Rhazali) masih dalam berpantang adik saya yang bongsu yang baru berusia sebulan. Selepas itu, ibu saya mengambil keputusan untuk bekerja sebagai pekerja kampung bagi menampung hidup kami lima sekeluarga.

Syukur alhamdulillah, kehidupan kami tidak begitu susah kerana pihak tentera telah memberikan wang pencen kepada ibu saya. Dengan wang tersebut, ibu saya dapat memberikan pendidikan kepada kami empat beradik. Ibu saya juga turut mendapat sumbangan daripada pihak orang ramai dan sumbangan Hari Pahlawan daripada pihak tentera. Kawan-kawan arwah juga ada menziarah dan memberi buah tangan seperti wang mahupun barang makanan. Saya, sebagai anak, sangat berterima kasih kepada pihak tentera yang telah menyumbang begitu banyak. Moga Allah membalas jasa mereka. Amiiin.”[23]

Mengimbau kembali peristiwa yang telah 52 tahun berlalu,  Mej Abdul Rashid bin Mahmud (B) pula menyatakan: “Kepada wira-wira negara, jangan sesekali berasa takut dan gentar dalam mempertahankan kedaulatan tanah air. Ajal maut di tangan Allah SWT. Pengalaman saya berkhidmat sebagai pegawai RAMD, menyaksikan banyak  insiden yang saya alami. Dalam Ops Iblis, walaupun saya sebagai 'target' tembakan pengganas komunis, Allah masih memelihara saya sehinggalah ke hari ini... Alhamdulillah.”[24]

*****

BIODATA: 25291 Allahyarham Pbt Abdul Rahim bin Itam Ismail dilahir di Sauk, Perak pada tahun 1940. Anak kedua daripada empat adik-beradik; masing-masing dua lelaki dan perempuan. Sama seperti ibu dan bapa, hasil perkahwinannya beliau dengan Roziah binti Itam Rhazali, mereka dianugerah empat cahaya mata: dua lelaki dan dua perempuan.

      Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Sauk. Beliau telah menceburi bidang ketenteraan melalui Pasukan Wataniah yang kemudian diserap sebagai pasukan 12 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada tahun 1969.

      Satu-satunya adik lelakinya, Mohd Khalid bin Itam Ismail mengikut jejak langkahnya. Secara kebetulan kedua-dua adik-beradik ini ditempatkan di unit yang sama, Platun No 3, Kompeni Alpha, 12 RAMD.

      Allahyarham Pbt Abdul Rahim bin Itam Ismail telah terkorban apabila sebutir peluru musuh menembusi dadanya semasa Op Iblis di kawasan Operasi Chemor-Sungai Siput, Perak pada 23 Jun 1971.

Nota:

Sejujurnya saya tidak tahu menahu mengenai penglibatan 12 RAMD sehingga Mej Jayandran Koren (B), 4 RRD memberitahu saya. Bermula dari ‘ground zero'/sifar/kosong. Mujur skot saya, Mej Dato’ Salehuddin PGB (B) beri nombor Brig Jen Dato’ Zamri Ismail (B) untuk saya hubungi. Beliau ‘senior’ kami di MTD. Ketika itu beliau ialah IO/Pegawai Operasi 12 RAMD. Senior pula beri 2 nombor Ketua Platun yang terlibat dalam Op Iblis, iaitu Mej Abdul Rashid (B) (Ketua Platun No 3) dan Mej Ashrof (B) (Ketua Platun No 1).

Sementara itu, saudara Zaprannizam, rakan FB pula beri beberapa nama dan nombor telefon untuk saya hubungi.

Selepas itu, mereka diserang bertalu-talu oleh saya tanpa mengira masa. Kesian mereka. Tapi, mereka tetap melayan kerenah veteran ini, syukur alhamdulillah.

Lt Kdr Shafie dari Unit Sejarah ATM pula telah memberi petikan dari buku 'Sejarah Rejimen Askar Melayu Diraja'. Masalahnya, anggota 12 RAMD yang terkorban dalam Op Iblis dan tarikh tidak selari dengan dengan maklumat yang saya diberitahu. Untuk mendapat pengesahan, saya telah menghubungi Lt Kol Yusri, Pengarah Muzium TDM, Port Dickson. Beliau mengesahkan yang KIA ialah Pbt Abdul Rahim bin Itam Ismail pada 23 Jun 1971. Daripada JHEV pula saya mendapat pengesahan pangkat terakhir Allahyarham Romli bin Said dan NOK. 

Kecuali butiran dan gambar Pbt Harun (WIA), pencarian sumber untuk coretan ini sememangnya Allah permudahkan pencoretan saya, syukur alhamdulillah. 

Saya akan muatkan dalam posting nanti sekira dapat butiran Pbt Harun. Jika tahu nombor perkhidmatannya, saya akan hubungi JHEV bagi mendapatkan status dan pihak untuk dihubungi, wallahualam. 

Jadi, saya ambil kesempatan ini untuk merakam ribuan TERIMA KASIH kepada mereka yang sedia memberi input bagi memudahkan saya mencoret kisah yang tidak banyak diceritakan.  Terutama Brig Jen Dato’ Zamri Ismail (B), Mej Dato’ Salehuddin bin Abdul Mutallib PGB (B), Abdul Rashid bin Mahmud (B), Mej Ashrof bin Mohamed (B), PW II Ahmad bin Sulaiman (B), Kpl Wahab bin Omar (B), LK PAP Mohamad Firdaus bin Romli, saudara Zaprunnizam, Puan Puziah binti Abdul Rahim dan Puan Asmah binti Mohd Khalid.

Tanpa input daripada mereka semua, kisah penglibatan 12 RAMD dalam Op Iblis mungkin terpendam dengan jasad mereka apabila tiba giliran mereka menyahut panggilan Ilahi, wallahualam.

KIA


WIA


Lt Jen Dato’ Ungku Nazaruddin bin Ungku Muda Muhammad, Ketua Turus Tentera Darat, 
melawat 20005 L/Kpl Romli bin Said di Hospital Besar Ipoh. 
Sumber: koleksi LK PAP Mohamad Firdaus bin Romli

Sijil Kematian Allahyarham 25291 Pbt Abdul Rahim bin Itam Ismail. 
Sumber: koleksi Puan Puziah binti Abdul Rahim

TAMAT




[1]           Pencerahan oleh Mej Abdul Rashid bin Mahmud (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 25 Februari 2023.

[2]              Maklumat daripada 19886 Kpl Wahab bin Omar (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 4 Mac 2023. Beliau ketika itu berpangkat Prebet dan merupakan anggota Platun Mortar.

[3]           Ibid.

[4]              Pencerahan oleh Brig Jen Dato’ Zamri bin Ismail (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 11 Mac 2023.

[5]              Pencerahan oleh Mej Abdul Rashid bin Mahmud (B) sebelum ini.

[6]              Kertas kerja oleh R.O.D. Noone. Communist Subversion Of The Hill Tribes Of Malaya, (Secret),  HQ Senoi Pra’ak, 15th July 1961, hlm. 5. Noone adalah Pesuruhjaya Jabatan Orang Asli kedua (1953-1961), hlm. 5.

[7]              Ibid.

[8]              Davis, Roy Linville Jumper. (2007). Ruslan of Malaysia–The Man Behind The Domino That Didn’t Fall. Texas: CDR Press, hlm. 167-198.

[9]              Hanrahan, Gene A. (1979). The Communist Struggle In Malaya. Kuala Lumpur: University Of Malaya Press, hlm. 124.

[10]          Sijil Perakuan Kematian, Abd. Rahim bin Itam Ismail, 23th June 1971. S/D. 6101/71, No. A 345524.

[11]          Denel Land Systems, General Purpose Machine Gun 7.62 mm. Lihat admin.za/uploads/SS77.pdf.

[13]          Pencerahan oleh Mej Abdul Rashid bin Mahmud (B) sebelum ini.

[14]          Ibid.

[15]          Pencerahan oleh Brig Jen Dato’ Zamri bin Ismail (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 24 Februari 2023. Beliau  menjelaskan di era itu Platun Tambur masih belum dilengkap dengan peralatan sewajarnya. Platun itu hanya mempunyai alat muzik jenis tiupan dan gendang (pipes and drums). 

[16]            Ibid.

[17]            Ibid.

[18]          Military Analysis Network. 81mm Illuminating Cartridge. Lihat https://man.fas.org/dod-101/sys/land/m816 .htm, diakses pada 12 Mac 2023.

[19]          Pencerahan oleh Mej Ashrof bin Mohamed (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 10 Mac 2023.

[20]            Pencerahan oleh LK PAP Mohamad Firdaus bin Romli melalui aplikasi WhatsApp pada 2 Mac 2023.

[21]            Pencerahan oleh Puan Asmah binti Mohd Khalid Rahim melalui aplikasi WhatsApp pada 11 Mac 2023.

[22]            Pencerahan oleh Puan Puziah binti Abdul Rahim melalui aplikasi WhatsApp pada 12 Mac 2023.

[23]          Ibid.

[24]          Pencerahan oleh Mej Abdul Rashid bin Mahmud (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 12 Mac 2023.