Pengikut

Sabtu, 4 Mac 2023

Op Iblis: Bergerak malam ini juga

Sambungan dari SINI...

Susulan kematian Kapt Chandran pada 13 Jun 1971, 2 BIM nekad untuk memburu dan memusnah petualang negara. Bagi tujuan itu, trup tambahan diperlukan. Antara pasukan infantri yang turut diatur gerak untuk Op Iblis ialah  12 RAMD[1] dan 13 RAMD serta dua Skuadron 3 Peninjau (Alpha dan Bravo Skuadron),[2] satu bateri pasukan Meriam dan Trup No 3, Skuadron X-ray, 1 RGKM. Dalam operasi ini, kedua-dua Skuadron Peninjau tersebut memainkan peranan infantri.

Pada malam 13 Jun 1971, Pegawai Memerintah (Commanding Officer [CO]) 12 RAMD, Lt Kol Abd Rahman bin Hamid terima arahan daripada 2 BIM. 12 RAMD yang berpangkalan di Kem Batu Uban, Pulau Pinang diarah untuk bergerak ke Ipoh malam itu juga.[3] 

Misi: memburu dan memusnah petualang negara. Noktah.

Sudah tentu keadaan dalam kem pada malam itu begitu sibuk. Namun demikian, sebagai pasukan ATM, mereka sentiasa berada dalam keadaan siap siaga untuk diatur gerak bila-bila masa sahaja. Seperti yang diarah, konvoi yang diketuai oleh  Lt Kol Abd Rahman bertolak ke Ipoh pada lewat malam. Deretan kenderaan tentera menyusur Jalan Persekutuan yang berliku-liku dalam kegelapan yang hanya diterangi oleh lampu jalan di pekan-pekan di laluan ke Ipoh. Tat kala penghuni nyenyak diulit mimpi sambil menarik selimut dek kedinginan malam, lain pula yang bermain dalam fikiran para wira negara. Mungkin ada yang terfikir sama ada mereka akan kembali ke pangkuan yang tersayang dalam keadaan seadanya atau cacat anggota badan atau diusung dalam keranda! Mereka hanya mampu berdoa agar Allah mengatur yang paling baik bagi mereka, wallahualam.

*****

Konvoi tiba di Kem Suvla Line, Ipoh awal keesokan hari, 14 Jun 1971.[4] Senario di kem itu sibuk dengan aktiviti seolah-olah dalam keadaan perang. Trak-trak dengan trup dan ‘armoured scout cars’  keluar masuk. Beberapa buah helikopter Nuri dan Alouette III pula parkir di padang kem.

Semasa taklimat di Markas 2 BIM pagi itu, CO 12 RAMD diberi kawasan operasi (area of operations [AO]) pasukannya. Tetapi tidak diberitahu bila beliau dan Markas Taktikal Batalion dikehendaki bergerak ke AO. Jadi, sementara menunggu arahan, CO menjadikan padang kem sebagai markas sementara. Beberapa khemah didirikan bagi tujuan itu. Manakala kompeni-kompeni repal 12 RAMD pula bergerak ke AO masing-masing dengan menaiki kenderaan.[5]

*****

Selepas diberi taklimat oleh CO, elemen pertama 12 RAMD yang diatur gerak ke AO ialah Kompeni Alpha yang diketuai oleh Kapt Shahrir bin Hashim. Antara arahan CO ialah Kapt Shahrir dikehendaki mengenal pasti lokasi untuk Markas Taktikal Batalion. Seterusnya, Kapt Shahrir dan anak-buahnya berkonvoi hingga ke Kem PPH di Ulu Kinta. Ketua-ketua Platun beliau ialah: Lt M Ashroff bin Mohamed, Ketua No 1 Platun; Lt M Osman bin Awang, Ketua No 2 Platun; Lt M Abdul Rashid bin Mahmud, Ketua No 3 Platun.[6] Dari situ, berbekal dengan rangsum untuk lebih kurang 10 hari, mereka meredah hutan ke AO yang telah diperuntukkan. 

Dua-tiga hari kemudian, Kapt Shahrir menemui lombong bijih haram, ‘Larik Mine’ di kaki Gunung Chondong. Lombong itu telah ditinggalkan berhampiran pertemuan Sungai Larik.  Masih terdapat enjin lori yang telah diubah suai sebagai ‘gravel pump.’ Satu ciri yang penting ialah kawasan itu boleh memuatkan tiga buah Nuri. Di samping itu, pemandangan lokasi itu sangat cantik. Dihiasi padang rumput tropika dan anak sungai yang jernih.

Lokasi Markas Taktikal Batalion 12 RAMD di kaki Gunung Chondong, timur Chemor. 
Sumber: Google



 Cuaca pada waktu siang begitu nyaman sekali tetapi malam sangat sejuk sehingga menusuk ke tulang hitam. Kesejukan malam tidak memadai sekadar memakai ‘jersey pullovers’ dan berselimut. Mereka terpaksa improvisasi khemah (basha) dengan daun-daun yang lebar yang banyak terdapat persekitaran kawasan dan kepingan kotak rangsum.[7]  Pada Kapt Shahrir, ciri-ciri Larik Mine memang sesuai untuk dijadikan Markas Taktikal Batalion. Justeru, beliau menghubungi CO menyarankan Larik Mine sebagai Markas Taktikal.

Bersambung....In syaa Allah...


[1]         Mohd Yusoff Nor & Azman Mohd Yasin. (2011). Sejarah Askar Melayu Diraja 1933-2010. Kementah: Urusetia RAMD, hlm. 197; 12 RAMD. Tentuan; penjelasan oleh Brig Jen Dato’ Zamri bin Ismail (B) melalui aplikasi Whatsapp pada 24 Februari 2023. Sejarah menyaksi Batalion 13 Rejimen Askar Wataniah (RAW) bertukar status kepada 12 RAMD di Kem Wilkinson, Ipoh pada 14 Mei 1969. Oleh kerana keanggotaan pada mula penubuhannya terdiri daripada anggota RAW, mereka tidak terdedah kepada latihan di tahap batalion. Sebaliknya latihan mereka terbatas mengikut kompeni masing-masing. 12 RAMD berpindah ke Kem Batu Gajah pada 21 Mei 1969 dan Kem Batu Uban, Pulau Pinang pada 20 Mac 1971.

[2]        Penjelasan oleh Mej Dato’ Salehuddin bin Mutallib PGB (B) melalui telefon pada 27 November 2022. Beliau ketika menjawat jawatan sebagai Pegawai Risik, 3 Peninjau, Ipoh.

[3]       Penjelasan oleh Brig Jen Dato’ Zamri bin Ismail (B) melalui aplikasi Whatsapp pada 24 Februari 2023. Beliau ketika itu berpangkat Kapten dan menjawat jawatan Pegawai Risik/Operasi, 12 RAMD.

[4]         Ibid.

[5]         Ibid.

[6]       Penjelasan oleh Mej Ashroff bin bin Mohamed (B) melalui aplikasi Whatsapp pada 25 Februari 2023. Beliau menjelaskan bahawa Lt M Osman bin Awang adalah anggota Askar Wataniah yang dimobilisasi.

[7]         Penjelasan oleh Brig Jen Dato’ Zamri bin Ismail (B) sebelum ini. 

Tiada ulasan: