Pengikut

Selasa, 25 Jun 2024

Ulu Semur 25 Mac 1950: Kami bukan pengecut...kami askar (bhg 5)

  

Sambungan dari SINI

Gempar

Masih 17 Julai 1948/11 Ramadan 1367...

Gua Musang...

Sang suria mula melimpah cahayanya. Seorang pengganas komunis menaikkan bendera merah dengan tiga bintang di Rumah Pasung Gua Musang.[1] Dengan berkibarnya bendera tersebut, mereka berbangga secebis PTM telah berjaya dibebaskan daripada British.



Sepertimana yang sudah dijangka, mereka merampas senjata yang ada di rumah pasung tersebut tetapi tanpa peluru. Semua peluru sudah habis diguna dalam pertempuran tersebut.

Insp Ibrahim minta kebenaran Kim Siong untuk mengebumikan jenazah mata-mata yang terkorban semasa pertempuran. “Salah kamu juga. Kamu kata nak serah diri tetapi kamu tipu. Kalau kamu tak tipu kami, orang kamu tak mati.” Kim Siong mengingatkan Insp Ibrahim. Sudah tentu dia tidak tahu ajal dan maut ditentukan Allah, bukan sesiapa pun. Apa pun, dia membenarkan anggota polis mengurus pengebumian wira tersebut tetapi diiringi oleh beberapa komunis.

Dengan kebenaran itu, 14 orang anggota polis mengusung jenazah rakan seperjuangan mereka ke masjid berhampiran untuk urusan selanjutnya sebelum dikebumi di tanah perkuburan. Kemungkinan mereka terpaksa memikul tugasan pengebumian ini kerana orang Melayu di Gua Musang telah melarikan diri apabila mendengar pertempuran tersebut. Selepas pengebumian selesai, mereka seterusnya kembali ke rumah pasung.

*****

Komunis dan penyokong mereka beraya sakan meraikan kemenangan mereka. Kecuali orang Melayu, lain-lain penduduk Gua Musang yang agak jahil apa yang berlaku menyangka bahawa “...they were on the forefront of a grant [grand] movement.”[2] Penyokong komunis termasuk kumpulan suri-suri rumah dan kanak-kanak dari Kpg Pulai. Kumpulan ini menyusuli Kim Siong dan konco-konconya selepas Kim Siong dari Kpg Pulai pada awal pagi. Mereka begitu yakin akan berjaya mencapai objektif mereka. Justeru, kumpulan suri-suri rumah dan kanak-kanak berpakaian seolah-olah menyambut satu pesta; meraikan kemenangan tersebut.[3] Kim Siong dengan angkuhnya mengumumkan penubuhan ‘Republik Komunis’ dan memberi ucapan kepada orang ramai. 

Setelah ucapan berakhir, antara sambutan kemenangan itu ialah merampas ‘harta perang’ yang terdapat di rumah pasung tersebut. Habis kain selimut dan lain yang mudah dibawa dirampas untuk dibawa balik ke Kpg Pulai.[4]

*****

Penghulu Tong K.N. mendakwa sebaik sahaja rumah pasung ditawan, dia bergegas balik ke Kpg Pulai untuk membawa keluarganya melarikan diri di bukit antara Kpg Pulai dan Gua Musang.[5] Dia bimbang terhadap keselamatan keluarganya kerana yakin kerajaan akan mengambil tindakan untuk mengambil semula Gua Musang. Sementara seorang penduduk Kpg Pulai pula mendakwa setelah melontar grenad tangan ke rumah pasung dia pergi kedai untuk membeli satu tin sardin sebelum balik ke Kpg Pulai.[6]  

*****

18 Julai 1948/12 Ramadan 1367...

Gua Musang...

Kim Siong yang beroperasi di dispensari, yakin pasukan keselamatan akan pasti diatur gerak ke Gua Musang untuk membebaskan Gua Musang dan kawasan berhampiran daripada mereka. Ekoran itu, dia membuat perkiraan keadaan. Sepertimana yang dinyatakan sebelum ini, dia percaya pasukan keselamatan akan datang dari Kota Bharu melalui Kuala Krai. Dari situ mereka akan menaiki bot ke Bertam sebelum berjalan kaki ke Gua Musang. Manakala pasukan keselamatan dari Kuala Lipis pula akan mengguna jalan laluan bas yang mengguna trek landasan keretapi.

Bersandar kepada perkiraan keadaan itu, dia mengenal pasti satu lokasi yang strategik untuk menyerang hendap di setiap satu laluan yang akan dilalui oleh konvoi pasukan keselamatan dari utara dan selatan nanti. Justeru itu, Kim Siong mengatur gerak lebih kurang 50 gerilanya masing-masing ke Bertam dan Merapoh[7] pada hari itu. Bagi memudah perlaksanaan rancangannya di Bertam, Kim Siong mengarah Sjn Yaacob untuk mengiringi kumpulannya ke Bertam. Sebagai orang lama, Sjn Yaacob dikehendaki mempengaruhi anggota Rumah Pasung Bertam untuk menyerah diri serta menyerah senjata mereka. Pemilihan Sjn Yaacob bersandar bahawa beliau adalah orang lama di Gua Musang berbanding dengan Insp Ibrahim yang tiba di Gua Musang sebelum serangan tersebut.

Pergerakan dua kumpulan tersebut dengan menaiki bas yang telah dirampas.

*****

Tidak lama kemudian, sebuah bas yang terkandas di Gua Musang, tiba untuk membawa kumpulan pengganas komunis dan Sjn Yaacob ke Bertam. Perjalanan mengambil masa lebih kurang dua jam. Setelah menurunkan para penumpang di Bertam, bas balik ke Gua Musang untuk membawa kumpulan komunis ke lokasi serang hendap berhampiran Merapoh.

*****

Seterus Kim Siong mengarah Insp Ibrahim dan 12 anggota polis berkumpul di rumah pasung. Tiba sesi ceramah oleh Kim Siong. Seterusnya, Kim Siong memberitahu anggota polis bahawa polis bukan musuh komunis. Musuh komunis ialah British dan mereka hendak memerdekakan PTM daripada penjajah tersebut. Dia menyaran supaya anggota polis berhenti daripada menjadi anggota polis dan balik kampung. Selepas itu, Kim Siong memberi risalah-risalah komunis supaya anggota polis menyokong perjuangan komunis.[8] Pengakhiran ceramah Kim Siong mengejutkan anggota polis. “Kamu semua dibebaskan. Ini $20.00 untuk kegunaan kamu.” Ya, Kim Siong memberi $20.00 kepada setiap anggota polis.[9] Pemberian itu memapar strategi komunis untuk memenangi hati anggota pasukan keselamatan. Mereka mengharapkan supaya anggota pasukan keselamatan akan cuba mengelak daripada bertembung dengan komunis, tidak tembak ke arah mereka jika bertembung, membantu mereka atau meninggalkan pasukan.[10]

Pada lewat petang, sebaik sahaja kumpulan ke Merapoh meninggalkan Gua Musang, Insp Ibrahim dan 12 anggota polis dalam diam-diam menyelinap berjalan kaki ke Bertam. Mereka merancang menaiki rakit ke Kuala Krai.

*****

 Bertam...

Selepas bersahur dan solat subuh bersama anggota polis di Rumah Pasung Bertam, Mata-mata Daud mula menyusur sungai ke Kuala Krai. Beliau tiba di Kuala Krai agak lewat petang.  Tidak lama selepas Mata-mata Daud meninggalkan Bertam, kini tiba giliran Ketua Polis Balai Bertam bersama empat orang anggotanya meninggalkan Bertam. Mereka menaiki bot. Pemergian anggota polis membuatkan penduduk Melayu di Bertam dalam ketakutan. Mereka percaya komunis pasti akan datang ke Bertam. Dalam keadaan begini, mereka bersiap sedia di rakit masing-masing untuk melarikan diri apabila keadaan memaksa.[11]

*****

Apabila rombongan komunis bersama Sjn Yaacob tiba di Bertam, Sjn Yaacob tidak perlu memikir bagaimana hendak meyakinkan rakan seperjuangannya di Rumah Pasung Bertam untuk menyerah diri dan senjata kerana rumah pasung tersebut tanpa penghuni. Keadaan ini membuatkan ketua pengganas komunis marah kerana harapan mereka untuk merampas senjata dan peluru tidak tercapai. Ini membuatkan Sjn Yaacob dalam keadaan ketakutan terhadap keselamatannya. Beliau memikirkan helah untuk melarikan diri dan pergi ke Kuala Krai untuk melapor apa yang berlaku di Gua Musang. Beliau tidak tahu yang Mata-mata Daud ketika itu dalam perjalanan ke Kuala Krai.

Apa helah-Nya kepada Sjn Yaacob? Beliau memberitahu ketua komunis supaya membenarkannya pergi berjumpa Tok Penghulu Bertam bersendirian untuk memujuk Tok Penghulu menyerah senjatanya.  Dengan kuasa-Nya, ketua komunis setuju dengan cadangan Sjn Yaacob.

Komunis seterusnya mengumumkan kepada  penduduk Bertam bahawa pekan mereka kini telah dimerdekakan daripada penjajah British. Berita ini disambut dengan penuh kegembiraan oleh seorang lelaki Cina yang merupakan tukang jahit di Bertam.[12] Dia adalah seorang ahli MPAJA dan penyokong tegar komunis.

*****

Tanpa berlengah, Sjn Yaacob melarikan diri dengan menaiki sebuah perahu menuju ke Kuala Krai. Pada jam lebih kurang 10:00 malam, beliau tiba di Kpg Pasir Putih. Dalam kegelapan beliau pergi berjumpa Tok Penghulu untuk memberitahu apa yang berlaku. Setelah makan malam di rumah Tok Penghulu, Sjn Yaacob meneruskan perjalanan ke Kuala Krai. Semasa dalam perjalanan, beliau ternampak sebuah bot membawa Sjn Johnny, bekas Sarjan Polis Palestin, bersama beberapa anggota Jungle Squad. Sjn Yaacob percaya mereka dalam perjalanan ke Gua Musang.[13]

*****

Kuala Krai...

Sebaik sahaja selamat sampai di jeti Kuala Krai, tanpa berlengah Mata-mata Daud memanjat 81 anak tangga ‘Tangga Bradley (Tangga Krai)’ menuju ke Rumah Pasung Kuala Krai. Beliau melapor kepada Insp Razak, Ketua Polis Daerah Kuala Krai, apa yang berlaku di Gua Musang. Walaupun maklumat beliau agak terbatas kerana beliau hanya mendengar tembak-menembak sahaja, namun berita itu mengejutkan Insp Razak dan lain-lain anggota di rumah pasung tersebut apabila mendengarnya. 

Lantas, Insp Razak menelefon L.D.E. Cullen, Ketua Polis Negeri Kelantan di Kota Bharu. “What? Gua Musang taken over by the communist? Damned the bloody communist.” Teriak L.D.E. Cullen sebaik sahaja menerima berita itu. Persoalannya: apa yang berlaku kepada anggota polis di Gua Musang? Berapa anggota terbunuh dan cedera? Berapa ramai musuh? Bagaimana keadaan penduduk Gua Musang? Insp Razak memberitahu ketuanya yang beliau akan mengatur gerak Jungle Squad yang diketuai oleh Sjn Johnny ke Gua Musang malam itu juga. L.D.E. Cullen setuju dengan tindakan Insp Razak, namun sebagai peringatan, beliau mengarah Insp Razak supaya Jungle Squad tunggu di Pergau. Di situ, Jungle Squad akan RV ((rondevu) dengan detasmen tentera sebelum kedua-dua pasukan menerus perjalanan ke Bertam sebelum ke Gua Musang.

Razak, call me immediately of any development. Understand?" L.D.E. Cullen mengarah Insp Razak untuk menghubunginya sekira terdapat perkembangan terbaharu mengenai Gua Musang dan menyediakan sebuah bot untuk Jungle Squad malam itu juga.

“Yes Sir. Roger Sir.” Respons Insp Razak.

 *****

Pukul 9:00 malam...

Pada L.D.E. Cullen menghadiri Mesyuarat Majlis Persidangan Negeri yang dipengerusi oleh Dato’ Nik Ahmad Kamil bin Nik Mahmud, Menteri Besar Kelantan. Antara ahli majlis tersebut W.F.N. Churchill, Penasihat British kepada Sultan Kelantan dan Ketua Polis Negeri. Mesyuarat diadakan pada pukul 9:00 malam, iaitu selepas berbuka puasa; mesyuarat di waktu malam hanya pada bulan Ramadan sahaja.[14] Semasa mesyuarat ini, L.D.E. Cullen memaklum ahli-ahli bahawa Gua Musang telah ditawan oleh komunis pada pagi 17 Julai 1948. Bagaimanapun, tiada butiran terperinci. Beliau turut memberitahu satu pasukan Jungle Squad dalam perjalanan ke Pergau. Mereka akan RV dengan anggota tentera nanti sebelum menerus  perjalanan ke Gua Musang.

Berita ini menggemparkan mereka yang berada dalam bilik mesyuarat. Keadaan begitu tegang sekali; sesuatu yang diluar pemikiran mereka! Isu serangan menjadi agenda penting mesyuarat tersebut.

Pada W.F.N. Churchill, berita serangan tersebut memang sudah dijangka. Beliau mencatat dalam diarinya:


Cawangan Khas Pasukan Polis mempunyai maklumat apa yang akan berlaku tetapi Gent (Pesuruhjaya Tinggi) tidak mengendah amaran tersebut; beliau kekal berdegil tidak wujud sebarang kemudaratan akan berlaku. Langworthy (Pesuruhjaya Polis) juga enggan mendengar Cawangan Khasnya (The Special Branch of the Police Force had a good idea of what was brewing but Gent (High Commissioner) did not heed the warnings; he remained obstinately of the opinion that no danger really existed. Langworthy (Commissioner of Police) also preferred not to listen to his Special Branch.”)[15]

Memang ada kebenaran catatan tersebut tentang Sir Edward Gent. Sebelum mengisytihar darurat pada 18 Jun 1948, beliau menganggap ancaman komunis hanya sebagai “...a war of nerves by the forces of disorder.”[16]

Lebih kurang tengah malam...

Sjn Yaacob selamat tiba di Kuala Krai. Beliau terus pergi ke Rumah Pasung untuk membuat laporan. Anggota yang bertugas malam itu, bergegas ke kediaman Insp Razak untuk memberitahu ketibaan Sjn Yaacob. Sebaik sahaja mendengar cerita daripada Sjn Yaacob, Insp Razak menelefon Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan bercakap dengan Pegawai Bertugas. Beliau memberitahu maklumat yang diterimanya daripada Sjn Yaacob untuk disampaikan kepada L.D.E. Cullen. Sebaik sahaja percakapan berakhir, Pegawai Bertugas bergegas ke Pejabat Menteri Besar.

Pegawai Bertugas tiba di bangunan tersebut ketika mesyuarat hampir berakhir. Seterusnya beliau memberitahu L.D.E. Cullen berita yang diterima daripada Insp Razak. Sebelum Pegawai Bertugas beredar, L.D.E. Cullen mengarah beliau untuk memberitahu Insp Razak supaya menghantar Sjn Yaacob berjumpa beliau (L.D.E. Cullen) pagi itu. L.D.E. Cullen seterusnya memberitahu para hadirin mesyuarat butiran serangan tersebut. Sekarang mereka tahu kekuatan musuh yang bersenjata ialah lebih kurang 150 orang, seorang Mata-mata KIA (killed in action), dan Bertam dalam tangan musuh. Tetapi apakah nasib 13 anggota polis dan Sellapan (dresser) serta keluarganya? Tiada jawapan.

Sebelum mesyuarat bersurai, L.D.E. Cullen dipertanggungjawab untuk mengambil tindakan selanjutnya. Beliau terus pergi ke pejabatnya dan  menghubungi Kol W.N. Gray, Pesuruhjaya Polis yang mengganti H.B. Langworthy. Beliau juga menghubungi D. W. Yates dan Insp Razak. D. W. Yates dikehendaki mengikuti trup bantuan yang akan diatur gerak ke Gua Musang nanti. Manakala Insp Razak pula diarah untuk menghantar seorang pegawainya untuk tujuan yang sama.

Di Rumah Pasung Kuala Krai, Sjn Yaacob sempat tidur beberapa jam sebelum digerak untuk bersahur dengan petugas di rumah pasung. Setelah solat subuh dan dengan pakaian seragam yang diberi oleh Insp Razak, sebuah kenderaan menghantarnya ke Kota Bharu seperti yang diarah oleh L.D.E. Cullen. Setelah mendengar apa yang dialami oleh Sjn Yaacob,  L.D.E. Cullen mengarah Sjn Yaacob untuk bercuti di kampung selama tiga bulan dan 10 hari. Cuti bukan dengan gaji penuh sebalik separuh gaji! Beliau dikehendaki melapor diri di Rumah Pasung Gua Musang setelah cuti tamat.[17] 

Kuala Lumpur...

Kol W.N. Gray pula menelefon Mej Jen C.H. Boucher, GOC (General Officer Commanding). Awal pagi itu menyaksikan staf yang bertugas di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Persekutuan, Bluff Road (Bukit Aman), dan Bilik Gerakan Markas GOCM (General Officer Commanding Malaya) sangat sibuk. Telefon berdering-dering. Col W.N. Gray mengarah Ketua Polis Pahang di Kuala Lipis[18] untuk mengatur gerak Jungle Squad yang berpangkalan di Kuala Lipis. Ketua Polis Pahang mengarah Ketua Polis Daerah Kuala Lipis untuk menghubungi pegawai 2 RAM untuk mengkoordinasi pergerakan ke Gua Musang pagi itu.

Mej Jen C.H. Boucher menelefon AVM A.C. Sanderson yang menjawat jawatan sebagai Air Officer Commanding, Malaya.[19] Beliau sedia maklum kekuatan anggota tentera darat sangat terbatas. Justeru, beliau memerlukan bantuan serangan oleh pesawat RAF (Royal Air Force) dalam operasi membebaskan Gua Musang. Selepas itu, beliau menghubungi Pegawai Bertugas Bilik Operasi di Markas GOC untuk mengatur  mesyuarat tergempar di markasnya pagi itu. Antara mereka yang dikehendaki hadir ialah wakil daripada Pusat Operasi Udara (Air Operation Centre); wakil Bn 2 RAM; dan polis. Ketika itu, 2 RAM yang diketuai oleh Lt Kol W.Y.K. Bliar Oliphant selaku CO[20] (Commanding Officer/Pegawai Memerintah) sedang beroperasi di kawasan operasi Negeri Pahang.

Operasi ini merupakan ‘operasi bersama’ yang membabitkan tiga pasukan, iaitu Tentera Darat, RAF, dan polis. Justeru, perlaksanaannya memerlukan koordinasi antara ketiga-tiga organisasi tersebut. Sementelah pasukan infantri yang berada di Kelantan dan Pahang ialah Bn 2 RAM, unit tersebut dipertanggungjawab melaksana misi tersebut. Bn 2 RAM dibantu oleh Jungle Squad. Selepas mesyuarat berakhir, Mej Jen C.H. Boucher mengarah stafnya untuk menghantar mesej kepada CO 2 RAM untuk mengatur gerak anggotanya ke Gua Musang.

*****

Bersambung...in sya Allah..

 


[1]              The Straits Times, Forces Advancing sebelum ini.  

[2]              Arkib Negara Malaysia. The Annual Report, hlm. 2 sebelum ini.

[3]              The Straits Times, Insurgent Village Destroyed, 11 August 1948, hlm. 7 sebelum ini

[4]              Ibid.

[5]              Harry Miller, Holy men fought sebelum ini.

[6]              The Straits Times, Ghosts take over sebelum ini.

[7]              Tan Sri Datuk Samad Idris. (19830. Askar Melayu 50 Tahun. Kuala Lumpur: Pustaka Budiman Sdn. Bhd, hlm. 248; The Straits Times, R.A.F.-Army Go Into Attack, 23 July 1948, hlm. 1. Lihat https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/digitised/article/straitstimes19480723-1.2.2 (diakses pada 25 Mei 2024).

[8]              Karl Hack. (2022). The Malayan Emergency: Revolution and Counterinsurgency at the End of Empire. Cambridge: Cambridge University Press, hlm. 96.

[9]              Ibid., hlm. 96; Anthony Short. (2000). In Pursuit sebelum ini, hlm. 103.  

[10]            Ibid., hlm. 96.  

[11]            Anthony Short. (2000). In Pursuit sebelum ini, hlm. 102.

[12]            The Straits Times, Forces Advancing sebelum ini.  

[13]            Dokumen Muzium PDRM. Temu bual dengan  Sjn (B) 1650 Yaacob bin Awang sebelum ini.

[14]            Arkib Negara Malaysia. The Annual Report, hlm. 2 sebelum ini.

[15]            Noel Barber. (1971). The War of the Running Dog. London: Cassell, hlm. 45

[16]            Harry Miller. (1972). Jungle War in Malaya. London: Arthur Barker Limited, hlm 37.

[17]            Dokumen Muzium PDRM. Temu bual dengan  Sjn (B) 1650 Yaacob bin Awang sebelum ini.

[18]            Portal Rasmi Majlis Daerah Lipis. Kuala Lipis terletak di pertemuan Sungai Jelai dengan Sungai Lipis dan merupakan ibu negeri Pahang yang pertama mulai tahun 1898 sebelum dipindahkan ke Kuantan pada tahun 1955. Lihat https://www.mdlipis.gov.my/ms/pelawat/info-lipis#:~: text=Kuala%20Lipis%20terletak%20di%20pertemuan,ke%20Kuantan%20pada%20tahun%201955 (diakses pada 10 Jun 2024).

[19]            Royal Air Force, (June 1970). The Malayan Emergency. London: Ministry of Defence, hlm. 162. ‘AVM’ singkatan Air Vice- Marshal.

[20]            Istilah CO terbiasa diguna dalam tentera. Penggunaan CO dikekal.

Rabu, 12 Jun 2024

Ulu Semur 25 Mac 1950: Kami bukan pengecut...kami askar (bhg 4)

 Sambungan dari SINI

Hujan peluru

Sabar.” Hanya lima abjad yang membawa erti “tahan menempuh sesuatu yang sukar.” Terdapat sejumlah 90 kali perkataan ini dalam kitab suci Al-Quran.[1] Itu bagi umat Islam. Adakah Kim Siong seorang penyabar? Sudah tentu tidak. Sebagai seorang komunis, agama hanya sebagai candu yang mengkhayalkan supaya penagih (mereka yang tertindas)  akan terlupa tekanan yang dihadapi.[2]

Ketiadaan sifat murni ini pada Kim Siong terpancar apabila dia tidak sabar menunggu arahan daripada pihak tertinggi PKM mengenai bila Rumah Pasung Gua Musang diserang. Dia bersama lebih kurang 100[3] anggotanya begitu teruja dan sudah siap sedia untuk melaksana tugasan tersebut. Kejayaannya itu nanti sudah pasti terpahat dalam sejarah  pengganas komunis sebagai ‘wira’ yang ‘memerdekakan’ pekan terpencil itu dan kawasan berhampiran sebagai kawasan bebas daripada penjajah British.

Tetapi arahan daripada Chin Peng masih tidak diterima. Keadaan begini membuat Kim Siong hilang sabar. Tanpa mempedulikan ketiadaan arahan daripada Jawatankuasa Tertinggi PKM, dia membuat keputusan untuk menyerang Rumah Pasung[4] Gua Musang.[5] Dia memilih hari Sabtu, 17 Julai 1948 sebagai pembebasan Gua Musang. Bagi memastikan kejayaan, dia akan ‘mengundang’ penduduk Kpg Pulai untuk menyertai misinya itu.

*****

16 Julai 1948

Rumah Penghulu Kpg Pulai...

Dengan keputusan itu, Kim Siong mengetuai gerilanya bergerak ke Kpg Pulai. Sudah tentu destinasinya ialah rumah penghulu kampung tersebut, iaitu Tong K.N. Terkejut Tong K.N.  melihat para tetamu yang tidak diundang datang ke rumahnya. Secara ringkasnya, Kim Siong memberitahu Tong K.N. mereka akan menyerang Rumah Pasung  Gua Musang pada awal pagi keesokan hari, iaitu 17 Julai 1948. Dia mengarah Tong K.N. dan penduduk Kpg Pulai untuk turut bersama melaksana misi tersebut. Secara khususnya, peranan Tong K.N. ialah untuk memberitahu anggota polis supaya tidak menentang pengganas komunis. Jika Tong K.N.  enggan memenuhi arahan itu, dia dan keluarganya akan dibunuh.[6] Dengan ugutan itu, Tong K.N. ‘terpaksa’ bersetuju.

Dengan taklimat ringkas itu, Kim Siong mengarah Tong K.N. mengumpul anak buahnya di Tokong Swee Nyet Keung untuk dia memberi taklimat kepada mereka. Sebaik sahaja penduduk Kpg Pulai berkumpul di tokong tersebut, Kim Siong memberitahu mereka dia dan gerilanya adalah ‘Pasukan Pembebasan Pahang Barat (West Pahang Liberation Army). Dia mengumumkan peperangan telah meletus dengan Russia di Eropah dan gerila komunis telah menawan Singapura dan Kuala Lumpur. Malahan, pasukan British telah meninggalkan PTM. Misi dia ialah untuk menyerang dan menawan Rumah Pasung Gua Musang. Bagi tujuan itu, dia mahu mereka turut serta dengan gerilanya menjayakan misi tersebut. Bagi menguatkan lagi hujahnya, dia memberitahu penghulu mereka akan menyertai komunis keesokan ke Gua Musang.

Seterusnya, Kim Siong mengatur pergerakan ke Gua Musang kepada kumpulan-kumpulan. Tong K.N. termasuk dalam kumpulan dengan tugasan yang telah diberitahu sebelum ini. Mereka akan bergerak pada lebih kurang pukul 3:00 pagi supaya boleh tiba di Gua Musang lebih kurang  pukul 5:00-6:00 pagi. Di waktu itu, kebanyakan penduduk sedang dilamun mimpi.

Tokong Swee Nyet Keung...

Pada malam itu, lebih kurang  80 gerila komunis yang siap bersenjata serta penduduk Kpg Pulai bermalam di Tokong Swee Nyed Keung. Mereka menyembah Goddess of Mercy supaya mereka berjaya menawan Rumah Pasung Gua Musang keesokan hari.[7]

*****

17 Julai 1948...

Kpg Pulai: lebih kurang pukul 3:00 pagi...

Kim Siong mengetuai lebih kurang 250 gerila komunis dan penduduk Kpg Pulai[8] mula bergerak secara berkumpulan seperti yang dirancang. Dia dan kumpulannya akan mengambil alih dispensari sementara kumpulan lain akan mengepung Rumah Pasung  Gua Musang. Satu kumpulan akan ditempatkan di lereng Bukit Gua Musang. Misi utama kumpulan ini ialah untuk melontar grenad tangan ke arah balai tersebut semasa pertempuran nanti.

Gua Musang: lebih kurang pukul 5:00 pagi...

Seperti di mana-mana rumah pasung, di Rumah Pasung  Gua Musang terdapat empat anggota yang bertugas. Mereka terdiri daripada dua orang di kaunter untuk menerima sebarang aduan daripada orang awam. Sementara seorang mata-mata bertugas sebagai sentri manakala seorang lagi meronda (prowler) di kawasan balai. Lain-lain anggota yang tidak bertugas berada di berek. Disebabkan terdapat ancaman komunis akan menyerang Gua Musang, semua anggota dibenar membawa senjata masing-masing ke kediaman mereka selepas waktu bertugas; kebiasaannya, senjata diserah kepada stor senjata selepas bertugas. 

*****

Kumpulan Kim Siong tiba di Gua Musang. Mereka terus pergi ke dispensari. Sementara orang-orangnya mengawal dispensari, Kim Siong pergi ke rumah  Sellapan. Dia mengetuk pintu rumah.

“Siapalah pula datang pagi-pagi ini.” Rungut Sellapan.  Terkejut bila melihat komunis berdiri apabila pintu dibukanya.

“Kamu buka dispensari sekarang. Kami sudah bebaskan Gua Musang.” Arah Kim Siong kepada  Sellapan. Sudah pasti dresser itu akur akan perintah tersebut. Seterusnya, Kim Siong mengarah Tong K.N. untuk mencari dan membawanya berjumpa dia (Kim Siong) di dispensari. Itu tidak menjadi masalah kerana dia mengenali Insp Ibrahim. Nasibnya baik kerana dia terjumpa Insp Ibrahim berhampiran deretan kedai.[9]

“Tuan, saya maklumat penting. Ikut saya ke dispensari. Saya akan beritahu di sana.” Kata Tong K.N. “Baiklah.” Jawab Insp Ibrahim tanpa mengesyaki apa-apa. Beliau yakin maklumat mengenai kegiatan komunis. Maklum sajalah, Tong K.N. adalah Penghulu Kpg Pulai dan dia telah diberitahu untuk memaklum polis jika terdapat sebarang kegiatan komunis di kampungnya.

Sebaik sahaja memasuki dispensari, Insp Ibrahim terkejut melihat beberapa orang komunis berada di situ. Beliau terus ditahan oleh komunis.[10] Senjatanya dirampas. Dengan nada marah, Insp Ibrahim menoleh ke arah Penghulu Kpg Pulai. “Tong. Kamu pengkhianat...pembelot. Harapkan pagar, pagar makan padi.”[11] Tengking Insp Ibrahim walaupun beliau yakin Tong K.N. tidak faham peribahasa tersebut. Tong K.N. hanya membisu seribu bahasa.

“Diam.” Jerkah Kim Siong kepada Insp Ibrahim. “Kami sudah mengepung rumah pasung kamu. Baik kamu menyerah diri. Kami ramai. Kami tidak akan apa-apakan kamu jika kamu menyerah diri.” Sambung Kim Siong.

“Pantang Melayu menyerah diri tanpa tentangan” bermain dalam fikiran Insp Ibrahim. Beliau perlu mencari helah. Lantas, beliau berpura-pura setuju dengan kehendak Kim Siong;  “Baiklah, kami akan menyerah diri.”  Meleret senyuman Kim Siong dan anggotanya mendengar jawapan Insp Ibrahim. Bagi tujuan itu, Insp Ibrahim minta supaya beliau  pergi ke rumah pasung untuk memberitahu anggotanya untuk menyerah diri. Permintaan dipersetujui tetapi beliau akan diiringi oleh anggota komunis.

*****

Lebih kurang pukul 5:30 pagi...

Waktu subuh menjelang tiba. Dalam kegelapan pagi, seperti biasa Mata-mata Daud dengan senjatanya keluar dari balai menuju ke Sungai Galas berhampiran untuk membersihkan diri dan mandi sebagai persediaan sebelum menghadap Maha Pencipta nanti.[12] Beliau tidak menyedari pergerakan musuh mengepung rumah pasungnya. Keadaan yang sama berlaku kepada musuh; mereka tidak sedar Mata-mata Daud keluar dari balai. Selain Mata-mata Daud, lain-lain penduduk Islam di Gua Musang dan kawasan berhampiran bersiap sedia untuk menunai solat subuh dan seterusnya mencari rezeki-Nya, seperti menoreh getah.

*****

 Lebih kurang pukul 6:00 pagi...

Dengan diiringi oleh beberapa orang anggota komunis, Insp Ibrahim meninggalkan dispensari yang ketika itu masih gelap.  Apabila hampir dengan rumah pasung, tanpa memikir keselamatan dirinya, Insp Ibrahim memecut ke rumah pasung sambil menjerit: “Komunis...komunis.”

Tindakan Insp Ibrahim membuatkan komunis terkejut buat seketika. Sebaik sahaja sedar semula, mereka menembak pegawai polis tersebut: “bang...bang...” Sebutir peluru pun tidak menyinggah tubuh Insp Ibrahim walaupun musuh bertubi-tubi menembaknya. Betul frasa “ajal maut di tangan Allah,” bukan di tangan komunis atau peluru mereka. Kegelapan membuatkannya seolah-olah orang halimunan; tidak dapat dilihat.

Terkejut penghuni rumah pasung mendengar jeritan ketua mereka dan tembakan musuh. Mereka yang berada di berek terus mencapai senjata masing-masing dan bergegas keluar dari berek. Mereka menembak ke arah komunis yang berada di belakang dan rusuk kawasan rumah pasung. Sementara itu, salah seorang anggota dalam rumah pasung mematikan lampu. Seorang lagi mengetuk loceng sebagai tanda bahawa rumah diserang sebelum keempat-empat mereka mendapatkan perlindungan bersama dengan tiga anggota lagi. Sebaik sahaja ketua mereka selamat berada dalam rumah pasung, kelima-lima mereka membalas tembakan musuh dari arah hadapan rumah pasung.

“Boom...boom...boom...” Letupan beberapa butir grenad tangan. Anggota komunis yang berada di lereng Bukit Gua Musang melontar grenad tangan ke arah rumah pasung. Walaupun kedudukan rumah pasung berhampiran dengan Bukit Gua Musang, namun lontaran tersebut jauh tersasar daripada sasaran. Letupan terdekat ialah 50 ela (46 meter) dari rumah pasung.[13]

Penghuni rumah pasung dihujani peluru yang tidak mengenal mangsa. Tiba-tiba kedengaran jeritan: “Allah...” Salah seorang mata-mata tersungkur disinggah peluru musuh. Sudah tersurat beliau menyahut panggilan Ilahi! Keadaan ini membuatkan anggota polis nekad untuk terus menentang musuh durjana. Mereka terdengar jeritan komunis: “Mata-mata. Baik kamu menyerah diri.”

“Kami tidak akan menyerah diri.” Jerit Insp Ibrahim. Ekoran itu, pertempuran berterusan lebih kurang 90 minit. Mereka kini kehabisan semua peluru. Keadaan ini membuatkan Insp Ibrahim berbincang dengan Sjn Yaacob tindakan mereka selanjutnya. Demi menyelamatkan nyawa lain-lain anggota, mereka bersetuju untuk menyerah diri dan berdoa kepada Allah agar Kim Siong mengota janjinya, iaitu mereka tidak akan diapa-apakan.

“Baiklah...kami serah diri.” Jerit Insp Ibrahim. Pada pukul lebih kurang 7:30 pagi, mereka keluar dari rumah pasung. Pertempuran berakhir. Komunis seterusnya masuk ke dalam Rumah Pasung Gua Musang. Dengan tertawannya rumah pasung tersebut, bermakna komunis berjaya ‘membebaskan’ Gua Musang daripada British. Matlamat PKM tercapai.

*****

Berbalik kepada Mata-mata Daud yang sedang mandi di Sungai Galas. Sudah tentu beliau terkejut mendengar tembak-menembak dan letupan grenad tangan. Beliau percaya pengganas komunis sedang menyerang rumah pasungnya diperkukuh dengan pekikan mereka. Kini beliau berbelah bagi apa tindakan yang seharusnya diambil. Sama ada balik ke rumah pasung untuk membantu rakan-rakannya atau melapur kejadian ini kepada Insp Razak, Ketua Polis Daerah di Kuala Krai. Apa yang mampu beliau lakukan bagi membantu rakan seperjuangan? Beliau hanya ada selaras senjata dengan beberapa butir peluru sahaja. Mana mungkin beliau boleh berhadapan dengan musuh yang begitu ramai.

Sebaliknya, Mata-mata Daud sedia maklum kejadian ini tidak diketahui orang di luar kawasan Gua Musang; apa tah lagi di Kuala Krai, malahan Bertam. Insp Razak perlu diberitahu apa yang berlaku di kawasan penjagaannya supaya tindakan sewajarnya diambil bagi membebaskan Gua Musang daripada pengganas komunis. Bersandar dengan alasan ini, Mata-mata Daud membuat keputusan untuk pergi ke Kuala Krai.

Utusan Melayu, 20 Julai 1948. '100 penjahat China menyerang rumah pasung. Polis melawan sehingga kehabisan peluru.’ Sumber: SAC (B) Norizan bin Murad


****

Sama seperti Mata-mata Daud, orang Melayu di Gua Musang percaya komunis sedang menyerang Rumah Pasung Gua Musang. Mereka juga ada mendengar khabar angin tentang berita pengganas komunis akan menyerang pekan mereka. Lantaran itu, sebaik mendengar pertempuran itu mereka bergegas melarikan diri ke hutan mencari perlindungan bagi menyelamatkan diri dan keluarga. Peristiwa kekejaman komunis lima tahun lalu masih segar dalam ingatan mereka, iaitu semasa pemerintahan Jepun.

Mengimbau kembali peristiwa pada 1 Januari 1943, sekumpulan pengganas komunis telah menyerang Gua Musang. Tanpa belas kasihan mereka telah bunuh seramai 26 orang Melayu manakala 12 orang mendapat kecederaan. Salah seorang yang dibunuh ialah Nik Mah binti Nik Soh yang baru berusia 20an yang ketika itu sedang sarat mengandung anak sulungnya. Beliau adalah

adik kepada Nik Jaafar bin Nik Soh, Penggawa Gua Musang. Semasa kejadian tersebut, Nik Mah  berselindung dalam pembetung jalan masuk ke Kampung Melayu berhampiran masjid Gua Musang. Apabila pengganas komunis menemuinya, tanpa belas kasihan mereka telah membunuhnya.[14] Sebaik sahaja pengganas komunis beredar dari situ, jenazah Nik Mah terpaksa disemadi secara bersembunyi berhampiran kolah di belakang masjid tersebut.[15] Harry Miller, dalam rencananya di ‘The Straits Times’ pada 25 Julai 1948, mencatat peristiwa itu sebagai “...massacring many Malays.”[16]

Sebaik sahaja pihak atasan diberitahu tentang peristiwa berdarah itu, mereka perlu mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelak orang Melayu Gua Musang terus menjadi mangsa kepada keganasan pengganas komunis. Tidak mustahil mereka akan terus menyerang Gua Musang jika keadaan memihak kepada mereka. Ekoran itu, Penggawa Nik Jaafar telah diarah membawa anak buahnya berpindah ke Kuala Krai. Menurut Penggawa Nik Jaafar, “...saya telah di prentah  bawa hilir kesemua ra’ayat2 saya (orang2 Melayu) ke Kuala Krai.”[17]

Peristiwa kekejaman komunis tidak mungkin boleh dilupa oleh penduduk Melayu di Gua Musang dan sesiapa yang singgah di Masjid Razaleigh di Bandar Lama, Gua Musang. Ini kerana pusara Nik Mah binti Nik Soh terdapat di tengah-tengah masjid tersebut. Pusara arwah tidak dipindah dari tapak asalnya apabila masjid tersebut dibina.

    

Maka tidak menghairankan orang Melayu Gua Musang meninggalkan Gua Musang apabila mendengar tembak-menembak antara anggota polis dengan pengganas komunis kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali!

*****

Antara penduduk Gua Musang yang turut mendengar dengan jelas pertempuran itu ialah Manah bin Samah yang tinggal lebih kurang 1½ batu (2.4 km) daripada rumah pasung tersebut. Beliau ketika itu dalam perjalanan pergi kerja. Tanpa berlengah, beliau bergegas ke hutan berhampiran untuk mendapatkan perlindungan. Dalam keadaan kelam kabut, beliau terserempak dengan Mata-mata Daud. Mata-mata Daud memberitahunya bahawa rumah pasung diserang pengganas komunis yang pada anggarannya berjumlah beratus-ratus. Beliau seterusnya menyatakan  yang beliau hendak pergi ke Kuala Krai untuk melapor kepada Ketua Polis Daerah.

Sebaik sahaja mendengar hasrat Mata-mata Daud mahu ke Kuala Krai, beliau bersama orang-orang kampung yang juga ketika itu cuba mendapat perlindungan di hutan, membantu Mata-mata Daud melarikan diri ke Kuala Krai.[18] Dalam keadaan begitu getir, mereka mendapatkan sebuah rakit di tebing Sungai Galas.

Ekoran itu, Mata-mata Daud berakit bersendirian ke Bertam, perhentian pertamanya. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, berakit ke Bertam banyak risiko. Beliau perlu berhati-hati kerana perjalanan akan mengharungi lebih daripada 7 jeram yang berbahaya. Ini bukan masanya rekreasi berakit arus deras (white water rafting) seperti dewasa kini sebaliknya membabit hidup atau mati!

Allah memelihara Mata-mata Daud. Setelah berakit lebih kurang 5-6 jam, beliau tiba di Bertam. Setelah menambat rakit di tebing Sg Galas, beliau pergi ke Rumah Pasung Bertam. Terkejut Ketua Polis Balai Bertam melihat Mata-mata Daud yang basah kuyup dan sehelai sepinggang. Dan kelaparan! Ya, Mata-mata Daud tidak sempat bersarapan pagi apabila melarikan diri dari Gua Musang.

Mata-mata Daud seterusnya membuat laporan mengenai serangan ke atas Rumah Pasung Gua Musang. Beliau memberitahu beliau akan melapor kejadian tersebut kepada Ketua Polis Daerah Kuala Krai. Sebaik sahaja mendengar apa yang berlaku di Gua Musang, Ketua Balai membuat keputusan semua anggotanya beredar Kuala Krai pada keesokan hari (18 Julai 1948).[19] Mereka memerlukan masa untuk membuat persediaan sebelum mengosongkan Rumah Pasung Bertam.

*****

Bersambung...in sya Allah..

 


[1]     Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Irsyad Al-Fatwa Ke-48: Erti Sabar,  21 Julai 2015. Lihat https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/umum/1950-irsyad-fatwa-ke-48-erti-sabar?Template Style=17 (diakses pada 30 Mei 2024).

[2] Marquette University, Karl Marx on Religion, January 20, 2015. Lihat https://law.marquette.edu/facultyblog/2015/01/karl-marx -on-religion/comment-page-1/ (diakses pada 30 Mei 2024).

[3]       Ian Ward & Norma Miraflor. (2003). Chin Peng: My Side of History. Singapore: Media Master, hlm. 232; J. W. Goodwin, The Straits Times, Ghosts take over in historic Pulai, 24 June 1951, hlm. 10.  Lihat https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/digitised/article/ straitstimes19510624-1.2.119 (diakses pada 25 Mei 2024). Menurut J. W. Goodwin, Tong King Nyen (Penghulu Kpg Pulai) mendakwa kekuatan komunis ialah lebih kurang 200 orang.

[4]         Patrick Morrah, The History of the Malayan Police, Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society, Vol. 36, Pt. 2, 1968, hlm. 8.  

[5]          Ian Ward & Norma Miraflor. (2003). Chin Peng, hlm. 232 sebelum ini.

[6]    The Straits Times, Ghosts take over in historic Pulai, 24 June 1951, hlm. 10. Lihat https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/ digitised/article/straitstimes19510624-1.2.119 (diakses pada 12 Mei 2024).

[7]           Tan Teng Phee, Oral History and People’s Memory of the Malayan Emergency (1948-60): The Case of Pulai, Sojourn: Journal of Social Issues in Southeast Asia ISEAS–Yusof Ishak Institute Volume 27, Number 1, April 2012, hlm. 95. Lihat https://muse. jhu.edu/article/470695/pdf (diakses pada 15 Mei 2024). Pengkaji menemubual Wong, seorang suri rumah, merupakan satu-satunya wanita yang turut menyertai serangan ke atas Gua Musang pada 26 Mac 1948.

[8]         Ian Ward & Norma Miraflor. (2003). Chin Peng sebelum ini, hlm. 232; Abdullah Zakaria Ghazali, Menangani Pemberontakan Komunis, Abdullah Zakaria Ghazali, Ho Hui Ling, & Mahmud Embong, Darurat Di Kelantan 1948-1960, Kota Bharu: Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, hlm. 141. Chin Peng menyatakan kekuatan gerila komunis lebih kurang 100 orang sementara Abdullah Zakaria Ghazali pula mencatat seramai 131 orang penduduk Kpg Pulai terlibat dalam serangan ke atas Rumah Pasung Gua Musang pada 17 Julai 1948. Beliau merujuk kepada ‘Chronology of Important Event During The Emergency  in Malaya For the Period June 1948 to June 1949, hlm. 5, Fail Setiausaha Kerajaan Selangor 2114/1949, Chronology of Important Event During The Emergency.’  

[9]          Tan Teng Phee, Oral History sebelum ini, hlm. 95 sebelum ini. Semasa temu bual dengan seorang suri rumah, Wong, Tan Teng Phee mencatat Insp Ibrahim ditemu di kedai gunting rambut; Tan Sri Hj. Mubin Sheppard, Abdul Ghani: 'Hero' Gua Musang sebelum ini. Tan Sri Hj. Mubin Sheppard tidak menyata dari mana Insp Ibrahim ditemu sebelum pergi ke dispensari.

[11]            Ghaz Idris, Harapkan PAGAR atau PEGAR makan padi? Ini jawapannya, Iluminasi, 26 Jun 2022. Lihat https://iluminasi.com /bm/harapkan-pagar-atau-pegar-makan-padi-ini-jawapannya. html (diakses pada 4 Jun 2024). 

[12]        Dokumen Muzium PDRM. Temu bual dengan  Sjn 1650 Yaacob bin Awang, Ketua Polis Balai.              

[13]          Anthony Short. (2000). In Pursuit of Mountain Rats. Singapore: Cultured Lotus, hlm. 357. (Pertama kali diterbit bertajuk The Communist Insurrection in Malaya 1948-1960 oleh Frederick Muller Ltd, Great Britain pada 1975). Pada tahun 1952, A. E. Young  yang mengganti Kol W. N. Gray sebagai Pesuruhjaya Polis. Beliau telah menjenama semula ‘rumah pasung’ kepada ‘balai polis.’ Istilah rumah pasung dikekal dalam tulisan ini.

[14]          Diari Nik Jaafar bin Nik Soh yang dihantar kepada penulis oleh Nik Hasan bin Nik Jaafar melalui aplikasi WhatsApp pada 9 Jun 2024; Harry Miller, The Straits Times, Ulu Kelantan’s Ill-Fated.

[15]    Ramli Ibrahim, myMetro, Kisah pilu pusara 72 tahun, 29 Ogos 2020. Lihat https://www.hmetro.com.my/utama/2020/08/615 091/kisah-pilu-pusara-72-tahun (diakses pada 25 April 2024).

[16]           Harry Miller, The Straits Times, Holy men fought sebelum ini.

[17]            Diari Nik Jaafar bin Nik Soh sebelum ini.

[18]        Dokumen daripada Muzium PDRM. Temu bual dengan En Manah bin Samah pada tahun 1990. 

[19]           Tan Sri Hj. Mubin Sheppard, Abdul Ghani: 'Hero' Gua Musang sebelum ini.