Pengikut

Ahad, 15 September 2024

Serang hendap di Sg Semur - bhg 2

  

Sambungan dari SINI

 “Hassan...berhati-hati”

 Pada Mac 1950, tiba giliran Kompeni D, 3 RAM, yang diketuai oleh 249329 Mej Garnett MC diatur gerak ke Kpg Pulai. Sebagai OC, Mej Garnett menjadikan Kpg Pulai sebagai Markas Kompeni. Kebiasaannya Kompeni berada di sesuatu kawasan operasi selama 3 bulan.[1] Menurut laporan risikan, terdapat seramai lebih kurang 200 pengganas komunis berada di kawasan operasi Kompeni D. Lantaran itu, Mej Garnett dikehendaki membuat tinjauan bagi mengesah laporan tersebut.

 22 Mac 1950...

Mej Garnett mengarah 1134 Lt M Hassan bin Yassin (29 tahun), Ketua Platun No 12 menemuinya.

 “Masuk.” Arah Mej Garnett sebaik sahaja melihat Lt M Hassan tercegat berdiri di luar markasnya. Merujuk kepada peta kawasan Ulu Kelantan, beliau seterusnya memberi arahan kepada Ketua Platunnya. 

 “Hassan, esok kamu bawa Platun kamu untuk meronda di kawasan Kampung Sungkai, Sg Nenggiri selama 3 hari. Kamu akan diiringi oleh seorang SC. Untuk makluman kamu, esok juga SC akan mengiringi sekumpulan orang Cina ke Sg Semur untuk mengambil daun nipah dan daun payung. Ada soalan?”

 “Tak ada, Tuan. Baik Tuan.” Tipikal jawapan daripada seorang pegawai muda.

 “Hassan...berhati-hati.” Pesan Mej Garnett.

“Baik Tuan. Terima kasih Tuan.”

 Mej Garnett sedia maklum platun tidak biasa beroperasi di kawasan rondaan tersebut. Mengambil kira masalah ini, beliau telah  meminta kerjasama pasukan polis untuk menyediakan seorang SC sebagai ‘jurupandu’  untuk mengiringi Platun No 12 membuat rondaan tersebut.  Permintaannya dilulus oleh pihak polis. Mana tidaknya, walaupun lain perkhidmatan, namun objektif mereka adalah sama; menghapus pengganas komunis.

*****

Sebaik sahaja keluar dari Markas kompeni,  Lt M Hassan mengarah 1319 Kpl Jamaluddin bin Mohamad (28 tahun), selaku pemangku  Sarjan Platun, untuk mengumpul semua anggota Platun No 12 untuk diberi taklimat tentang tugasan mereka keesokan hari. Sementara menunggu anggotanya berkumpul, Lt M Hassan meneliti peta kawasan rondaannya nanti. Jarak dari Kpg Pulai ke Kpg Sungkai yang berhampiran dengan Sg Nenggiri hanya lebih kurang 12 batu (19 km) sahaja.[2] Kpg Sungkai sebenarnya hanya nama sahaja sebuah kampung tetapi tanpa penghuni.[3]

Itu dalam peta; garisan lurus dari satu titik ke satu titik bak kata “as the crow flies.” Namun, secara realitinya tidak begitu mudah. Mereka terpaksa melalui keadaan topografi muka bumi yang berbukit-bukau dengan hutan tebal serta sungai-sungai yang akan dilalui. Sudahlah terpaksa berhadapan dengan keadaan topografi, trup dibebankan dengan senjata dan memikul ‘haversack’ yang diperbuat daripada kanvas dan dimuatkan dengan 3-hari rangsum serta lain-lain keperluan. Masa itu pula bekalan seperti gulai daging dalam tin. Keperitan ini diketepikan. Inilah asam garam yang dilalui oleh seorang perajurit dalam pasukan infantri.

*****

23 Mac 1950, jam 0700...

Kpl Jamaluddin melapor kepada Lt M Hassan bahawa anggota platun telah siap sedia menunggu arahan daripada bos mereka. Selain Lt M Hassan dan Kpl Jamaluddin, anggota platun terdiri daripada empat (4) Lans Koperal (L/Kpl) dan 19 Prebet (Pbt). Sama seperti Kpl Jamaluddin yang memangku jawatan Sarjan Platun, Lans Koperal pula mengetuai setiap seksyen; Ketua Seksyen sepatutnya disandang oleh Koperal.

Mereka ialah: (1) 4087 L/Kpl Othman bin Abu Samat; (2) 4045 L/Kpl Mustaffa bin Sulaiman (21 tahun); (3) 4089 L/Kpl Mohamad bin Osman (22 tahun); (4) 4100 L/Kpl Mohd Rasul bin Othman (20 tahun); (5) 4067 Pbt Kassim bin Amin; (6) 3358 Pbt Zamzuri bin Itan Sudin (22 tahun); (7) 4016 Pbt Mohd Yassin bin Hj Ali (24 tahun); (8) 4018 Pbt Ismail bin Tasol (22 tahun); (9) 4057 Pbt Hussain bin Hj Yusof (24 tahun); (10) 4059 Pbt Ahmad bin Mohd Jan (20 tahun); (11) 4091 Pbt Nordin bin Md Isa (25 tahun); (12) 4103 Pbt Md Shariff bin Abd Manaf (22 tahun); (13) 4106 Pbt Mohd Yusof bin Hj Tahir (22 tahun); (14) 4123 Pbt Wahab bin Siding (21 tahun); (15) 4132 Pbt Md Isa bin Ahmad (23 tahun); (16) 4358 Pbt Abdul Rashid bin Wahab (21 tahun); (17) 4359 Pbt Ibrahim bin Awang (19 tahun); (18) 4354 Pbt Hussin bin Mamat (21 tahun); (19) 4397 Pbt Osman bin Hj Yaacob (20 tahun); (20) 4403 Pbt Daud bin Ismail (21 tahun); (21) 4411 Pbt Mohd bin Ideris (19 tahun); (22) 3999 Pbt Salleh bin Nahu (21 tahun); (23) 4056 Pbt Wahab bin Hamid (24 tahun).[4]

Semua anggota platun berusia di bawah 30 tahun; Lt M Hassan yang paling tua – 29 tahun manakala yang paling muda ialah 19 tahun (Pbt Ibrahim dan Pbt Mohd). Kebanyakan mereka masih ‘hijau’ dalam dunia ketenteraan bak klise di kalangan anggota tentera: ‘sepuluh cap jari pun belum kering.’ Namun, usia bukan faktor mempertahankan tanah air tercinta. Jurupandu pula ialah SC 545 Latif bin Ariffin.[5]

Lt M Hassan seterusnya memeriksa senjata dan kelengkapan anggotanya. Senjata yang digunakan ialah ‘rifle Mk V’ untuk kebanyakan anggota repal (rifleman),  Sten gun, tiga (3) Bren machine gun (Bren gun) dan mortar 2-inci sebagai senjata bantuan. Setiap seksyen mempunyai selaras Bren gun. Manakala SC Latif pula membawa senapang patah (shot gun).

 Jam 0730...

Setelah berpuas hati terhadap persiapan platunnya, Lt M Hassan yang bersenjata dengan pistol Browning 9 mm dan Sten gun, mengatur aturan pergerakan. Seperti kebiasaannya, pergerakan didahului oleh satu seksyen yang diketuai oleh seorang L/Kpl serta SC Latif. Sebagai jurupandu, SC Latif perlu berada di seksyen hadapan untuk menunjukkan arah. Seksyen kedua pula turut menempatkan markas platun yang terdiri daripada Lt M Hassan, Kpl Jamaluddin, ‘batman’ merangkap ‘runner’ (pembantu Ketua Platun) dan kumpulan senjata bantuan – mortar 2-inci. Anggota mortar 2-inci terdiri daripada Pbt Hussain[6] serta seorang lagi. Satu seksyen lagi di belakang.

*****

Antara anggota Platun No 12, Kompeni D, Bn 3 RAM

Dari kiri: 1134 Lt M Hassan bin Yassin (Ketua Platun), 1319 Kpl Jamaluddin bin Mohamad (Pemangku Sarjan Platun. Sumber: Mohd Salleh bin Hassan & Zakaria Salleh

Dari kiri: 4089 L/Kpl Mohamad bin Othman, 3999 Pbt Salleh bin Nahu, 4056 Wahab bin Hamid. Sumber: Syed Othman, Air Times & Mej Yaakop bin Jaafar

*****

Penempatan SC...

Pagi itu, Sjn 132 Wan Yaacob bin Wan Ahmad (34 tahun) memeriksa 15 anggotanya sebelum melaksana tugasan mereka hari itu.[7] Tugasan mereka ialah untuk mengiringi sekumpulan 18 orang kaum Cina ke kawasan Sg Semur.[8] SC dipertanggungjawab menjaga keselamatan kaum tersebut.[9] Oleh kerana tugasan dianggar mengambil masa selama tiga hari, SC membawa bekalan untuk tempuh tersebut. Kecuali Sjn Wan Yaacob yang membawa sten gun, lain-lain anggota bersenjata senapang patah. Selain itu, salah seorang membawa selaras bren gun sebagai senjata bantuan.

Tujuan kaum Cina ke Sg Semur ialah untuk  mengambil daun atap dan daun payung yang banyak terdapat di tebing Sg tersebut. Daun-daun tersebut diperlukan bagi membaiki Tokong Swee Nyet Keung.[10] Setelah semua sudah siap sedia, SC dan kaum Cina bergerak menuju ke destinasi mereka. Namun demikian, pergerakan selepas 1-2 jam Platun No 12 meninggalkan Kpg Pulai.

*****

Daun nipah (kiri) dan daun payung digunakan sebagai atap dan dinding rumah di waktu itu. 
Sumber: Google (gambar hiasan)


*****

Senjata peribadi dan bantuan Platun No 12

 

Senjata yang diguna oleh anggota Platun No 12, Kompeni D. Dari kiri: rifle Mk V, Sten gun, 
Bren machine gun. Sumber: Google (gambar hiasan)

Senjata bantuan - mortar 2-inci. Sumber: Alamy (gambar hiasan)

*****

Bersambung, in syaa Allah...



[1]              Zakaria Zalleh. (2007). Limpahan Darah di Sungai Semur. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 52.

[2]              Harry Miller, A Malay Platoon at Ulu Semur, The Straits Times, 18 April 1950, hlm. 6. Lihat https://eresources.nlb.gov.sg /newspapers/digitised/article/straitstimes19500418-1.2.89  (diakses pada 12 April 2024).

[3]              Ibid.

[4]              Mej Yaakop bin Jaafar. (2004). Pertempuran Sungai Semur: Sejarah & Penghargaan. Kem Pengkalan Chepa: Markas 8 Briged, hlm. 9-15; Harry Miller, A Malay Platoon at Ulu Semur, The Straits Times. Dalam artikel Harry Miller, beliau juga mencatat jumlah anggota Platun No 12, Kompeni D, selari dengan yang dicatat oleh Mej Yaakop. Artikel Harry Miller berlandas kepada laporan rasmi oleh Bn 3 RAMD, Criminal Investigation Department (polis) dan Kerajaan Negeri Kelantan yang dihantar kepada Kerajaan Persekutuan.

[5]              Syed Othman Syed Omar. (2004). Pahlawan Tanahair. Kuala Lumpur: JHEV ATM, hlm. 151; Zakaria Salleh. (2000). Limpahan Darah di Sungai Semur. Batu Caves: Zakaria Salleh, hlm. 63. Syed Othman mencatat nama jurupandu sebagai ‘Encik Abdul Latif’ manakala Zakaria Salleh hanya mencatat seorang ‘Polis Khas’ sebagai petunjuk arah.

[6]              Ibid., hlm. 11.

[7]              Muzium PDRM. Borang PDRM: Percakapan dalam Pemeriksaan, rujuk file: F/P: 1983922 bth 20 Sep 1976, Ibu Pejabat Polis Daerah, Kuala Krai, Kelantan. Sjn 132 Wan Yaacob bin Wan Ahmad membuat rayuan kepada Ketua Polis Negara. Antara kenyataannya, beliau turut menyentuh penglibatannya serta 15 anggota SC semasa Platun No 12, Kompeni D, 3 RAMD, diserang hendap di Sg Semur pada 25 Mac 1950. Beliau telah dianugerah ‘Colonial Police Medal for Gallantry’ bersandar kepada kepimpinannya ketika episod tersebut..

[8]              Harry Miller, A Malay Platoon at Ulu Semur sebelum ini.

[9]              Tan Sri Datuk A. Samad Idris. (1983). Askar Melayu 50 Tahun. Kuala Lumpur: Pustaka Budiman Sdn. Bhd., hlm. 283.

[10]            Harry Miller, A Malay Platoon at Ulu Semur sebelum ini.

 

 

Tiada ulasan: