Pengikut

Jumaat, 16 Ogos 2024

SERANGAN BULAN PURNAMA (Bhg 14)

 Sambungan dari SINI

Kpg Pulai bebas daripada komunis?

 

Mej Jen C.H. Boucher (GOC, Malaya) mengotakan janjinya yang dibuat di Majlis Persidangan Persekutuan pada 27 Julai 1948. Pada Disember 1948, penduduk Port Dickson menyaksi konvoi trak tentera yang diketuai oleh Lt Kol W.O. Walton, CO Bn 3 RAM bersama anggotanya meninggalkan bandar itu menuju ke penempatan baharu mereka, iaitu Pengkalan Chepa, Kelantan. Pasukan itu kini diisytihar operasional sepenuhnya.[1] Kawasan operasi mereka ialah Negeri Kelantan.

Seperti mana dijangka, subunit 3 RAM diatur gerak ke Hulu Kelantan. Mereka membuat detasmen di Gua Musang dan Kpg Pulai.[2] Penempatan detasmen di Kpg Pulai terletak berhampiran dengan Tokong Swee Nyet Keung.[3]

Penduduk Kpg Pulai terpaksa menerima hakikat mereka kini berjiran dengan anggota 3 RAM dan polis yang menganggotai Rumah Pasung Kpg Pulai. Selain itu, anggota SC pula, antara tugasannya mengawal ketiga-tiga pintu penempatan penghuni Kpg Pulai. Kehidupan mereka dikawal oleh pasukan keselamatan.

*****

Bagaimana pula dengan PKM? Apakah tindakan Chin Peng setelah satu-satunya ‘kawasan bebas’ mereka – Gua Musang – ‘ditawan’ oleh kerajaan? Adakah dia dan PKM akan berdiam diri sahaja? Sudah tentu tidak. Dia dan konco-konconya merancang untuk menawan semula Gua Musang dan Kpg Pulai pada 1949. Rancangan ini melibatkan pasukan dari Johor dan Kelantan. Dalam perkiraan keadaannya, sekiranya pasukan di Kelantan berhadapan dengan pasukan keselamatan, pasukan dari Johor akan menyerang beberapa pekan di Pahang bagi mengalih perhatian British. Jika boleh, mereka akan membebas pekan-pekan kecil seperti Triang berhampiran sempadan Pahang dan Negeri Sembilan.[4]

Konsentrasi seramai lebih kurang 500 pengganas komunis di Hulu Kelantan berjaya dikesan oleh pihak berkuasa. Belum sempat pengganas komunis mengambil inisiatif untuk melancar serangan terhadap pasukan keselamatan, mereka sebaliknya menjadi bahan buruan pasukan keselamatan. Sekali lagi mereka berhadapan dengan pasukan RAM dan Gurkha Rifles. Di samping itu, komunis juga berhadapan dengan masalah logistik. Mereka sukar mendapat bekalan daripada penduduk kampung terutama Kpg Pulai kerana aktiviti penghuni kampung tersebut sentiasa dikawal oleh pasukan keselamatan. Pilihan yang ada ialah  ‘menuai’ semua ubi kayu yang ditanam oleh Orang Asli. Berhadapan dengan kesengsaraan untuk meneruskan kehidupan, Chin Peng membuat keputusan untuk pasukannya pergi ke Perak.[5]

Persoalannya: dengan keputusan itu, adakah Kpg Pulai terus terpadam dalam peta komunis?

*****

Hasil kajian, penulis menyangkal 'mitos' oleh penulis Barat yang menyatakan pembebas Gua Musang adalah pasukan Gurkha. Pembebas Gua Musang pada 22 Julai 1948 ialah pasukan gabungan yang berkekuatan 45 orang. Mereka  terdiri daripada satu platun, 1 RAM; Jungle Squad yang diketuai oleh Sjn Johnny; dua  pegawai polis termasuk David W. Yates (Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Kelantan). Mereka juga berjaya membunuh empat  pengganas komunis. Sebaliknya, pasukan gabungan yang terdiri daripada 2/6 Gurkha Rifles dan Kompeni D, 2 RAM hanya tiba di Gua Musang pada 30 Julai 1948.[6]

*****

Dedikasi kepada pembebas Ulu Kelantan daripada cengkaman pengganas komunis pada Julai-Ogos 1948

*****

Inilah sumbangan yang termampu saya curahkan sempena ketibaan musim buah patriotisme dengan harapan agar rakyat menghayati sejarah tanah air tercinta, Syukur Alhamdulillah.

Dengan ini, tamatlah kisah Gua Musang yang sudah lama tenggelam daripada ingatan. Terima kasih.


[1]   The Straits Times, Boucher Promises 'More Toughness', 28 July 1948, hlm. 1. Lihat https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers /digitised/article/straitstimes19480728-1.2.2 (diakses pada 10 Julai 2024).

[2]         Zakaria Salleh. (2007). Limpahan Darah di Sungai Semur. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 52.

[3]      Mej Yaakop bin Jaafar. (2004). Pertempuran Sungai Semur: Sejarah & Penghargaan. Kota Bharu: Markas 8 Briged, hlm. 16.

[4]        C. C. Chin & Karl Hack (Editor). (2004). Dialogues With Chin Peng. Singapore: Singapore University Press, hlm. 147.

[5]            Ibid.

[6]           Arkib Negara Malaysia. The Annual Report sebelum ini, hlm. 2.

 

Sabtu, 10 Ogos 2024

SERANGAN BULAN PURNAMA (Bhg 13)


Sambungan dari SINI

Hidup dalam kurungan

 

Isnin, 16 Ogos 1948/11 Syawal 1367...

Rumah Tong K.N. sesak dengan penduduk Kpg Pulai. Lebih kurang 100 orang diarah oleh anggota Gurkha ke rumah Penghulu tersebut. Kemudian kelihatan barisan manusia keluar dari hutan dan menuruni bukit. Kaum wanita, termasuk yang sedang menyusukan bayi, mengangkat kedua-dua tangan mereka. Tidak ketinggalan budak-budak lelaki dan perempuan melaku tindakan yang sama. Jumlah mereka yang ‘menyerah diri’ lebih kurang 300 orang. Mereka seterusnya disaring. Kaum lelaki yang terlibat dalam serang di Gua Musang diasing dan digari. Apabila kehabisan gari, bakinya diikat dengan tali.

Tawanan-tawanan tersebut seterusnya dibawa ke Gua Musang hari itu juga. Mereka tiba di pekan itu agak lewat. Namun demikian, proses ‘kawad cam (identification parade)’ dan soal siasat tetap dilakukan walaupun hari sudah malam. Pihak berkuasa terpaksa mengguna lampu picit semasa kawad cam. Hasil soal siasat, antara alasan yang diberi oleh mereka ialah:

“Saya diberitahu oleh Komunis ‘ini senapang. Ikut kami atau kami tembak kamu.”

“Setelah saya lontar satu grenad tangan pada rumah pasung, saya pergi ke sebuah kedai dan beli satu tin ikan sardin, dan balik ke Pulai.”

“Selepas saya tembak tiga das pada rumah pasung, saya tidur semula. Keesokan hari saya balik ke Pulai.”[1]

*****

Hasil siasatan, pihak berkuasa telah mengenal pasti 20 pengganas yang terlibat dalam serangan tersebut. Kejayaan 2 RAM tidak kurang hebatnya. Mereka telah berjaya menangkap perancang serangan ke atas Gua Musang, iaitu Kim Siong@Soon Chin Sip. Dia ditangkap bersama selaras Sten gan dan 117 butir peluru senjata tersebut.[2]

Di samping itu, pasukan gabungan juga telah berjaya merampas 72 laras raifal, 28 senapang patah, dua laras mesingun Vickers, tujuh Sten gun, dua Tommy gun, dan selaras mortar 2-inci. Selain itu, beratus-ratus butir peluru telah dirampas.[3]

*****

Isnin, 28 Ogos 1948/11 Syawal 1367...

Dengan kejayaan ini, Mej Jen C.H. Boucer membuat pengumuman bahawa operasi memburu dan memusnah yang melibatkan 2 RAM, 2/6 Gurkha Rifles dan Jungle Squad telah berjaya. Beliau menyatakan: “I think the bandits in that area have had enough. We have pretty well purged the area.”[4]

Pengumuman seterusnya sesuatu yang tidak dinanti-nantikan oleh pengganas komunis. Mej Jen C.H. Boucer menegaskan garison tentera akan ditempatkan di kawasan Gua bagi membanteras ancaman komunis. Dengan itu, beliau memaklum menamatkan operasi memburu dan memusnah pengganas komunis di kawasan Gua Musang dan trup akan balik ke pangkalan masing-masing.[5]

Peranan RAF dalam operasi ini tidak boleh dipertikai. Malahan Chin Peng akui buat pertama kali komunis melihat keberkesanan koordinasi antara pasukan keselamatan dan RAF. Dia mengakui: “Immediately they called in their planes, because we opened fire, our positions already exposed, so on the next round, they bring in two or three Spitfires, and bombed and strafed our position.”[6] Sesuatu yang mereka tidak mengalami semasa era Jepun. Di era itu, pesawat pejuang membedil kawasan komunis tanpa panggilan oleh daripada trup.

*****

Setiap yang berlaku, pasti ada hikmahnya. Apakah hikmah serangan komunis ke atas Gua Musang? Serangan komunis itu membuatkan pihak berkuasa tersentak. Mereka sama sekali tidak menduga komunis begitu berani menyerang Rumah Pasung Gua Musang dan menawan Gua Musang, Bertam, dan Merapoh. Manakala Kpg Pulai sah sebagai sarang komunis. L.D.E. Cullen (CPO Negeri Kelantan) mengambil tindakan untuk memperkukuh rumah-rumah pasung yang terpencil seperti Gua Musang dan Bertam dengan menambah kekuatan keanggotaan. Malahan, menyedari Kpg Pulai sebagai sarang komunis, sebuah pasung akan dibina di situ. Dengan pembinaan rumah pasung itu nanti, Penghulu Kpg Pulai tidak perli mengayuh basikal sejauh lapan batu ke Gua Musang untuk melapor sebarang kejadian. Paling utama sekali, rumah-rumah pasung diperuntuk set radio bagi memudahkan perhubungan.[7]

*****

3 Februari 1949...

Apa yang berlaku kepada Kim Siong@Soon Chin Sip dan 19 komradnya yang ditawan?

Pulau Pinang...

Perancang serangan ke atas Gua Musang, Kim Siong@Soon Chin Sip digantung hingga mati di Penjara Pulau Pinang. Rayuan terakhirnya untuk mendapat keampunan Sultan Kelantan telah ditolak pada awal Januari 1949.[8]

Kota Bharu...

Pada hari itu, 19 orang pengganas komunis didakwa di mahkamah di Kota Bharu. Mereka didapati bersalah dan dihukum penjara untuk waktu yang panjang.[9]

*****

Kerana ketaasuban terhadap perjuangan dan ideologi komunis, penduduk Kpg Pulai terpaksa menanggung kesannya. Seperti yang dijanjikan oleh Mej Jen C.H. Boucer mereka kini terpaksa ‘berjiran’ dengan satu detasmen tentera berhampiran Tokong Kuang Yin pada Ogos 1948. Sementara menunggu Rumah Pasung Kpg Pulai dibina, pada 18 Mei 1949 British melancar operasi membersih ‘setinggan.’ Pada British, penduduk Kpg Pulai adalah setinggan walaupun mereka telah bertapak lebih daripada 200 tahun. Objektif operasi ialah “...to rid this fertile area of undesirable squatter elements and allow the law-abiding members of the community to resume their normal occupation.”[10]

Operasi pembersihan memindah penduduk yang disyaki penyokong komunis. Pemindahan membabitkan seramai 131 orang, iaitu 31 lelaki, 34 wanita, dan 61 kanak-kanak. Mereka dipindah ke Kluang, Johor.[11] Sementara itu, penduduk seramai lebih kurang 350 yang dianggap ‘bersih’ dipindah ke kawasan berhampiran Tokong Kuang Yin. Tong King Nyen pula kekal menyandang jawatannya sebagai Penghulu Kpg Pulai. Namun, kini pergerakan terbatas. Pada akhir 1949, penempatan mereka dikurung dengan dawai berduri.

Bagi memudah pengawalan pergerakan penduduk dan barang-barang, pihak berkuasa membuka tiga pintu; satu untuk ke Kuala Tuang, satu lagi ke Gua Musang, dan yang ketiga ke Sungai Galas. Waktu mereka bekerja di sawah padi dihad antara pukul 7:00 pagi hingga 5:00 petang. Ketiga-tiga pintu itu dikawal oleh anggota SC yang memeriksa keluar dan masuk penghuni di ‘penjara’ terbuka itu.

Penempatan penduduk Kpg Pulai pada tahun 1950. Sumber: Tan Teng Phee
*****

Jumlah mangsa yang KIA dan WIA dalam peristiwa Gua Musang

 


*****
Keratan akhbar The Straits Times, Kelantan Bandits Have Had Enough, 29 August 1948. Sumber: National Library Board, Singapura
Keratan akhbar The Straits Times, Gua Musang Terrorists Sentenced, 3 February 1949. Sumber: National Library Board, Singapura

 Berakhir Peristiwa Gua Musang



[1]              Harry Miller, The Straits Times, Holy Men Fought With Pulai Bandits sebelum ini.

[2]       The Straits Times, Gua Musang Terrorists Sentenced, 3 February 1949, hlm. 7. Lihat https://eresources.nlb.gov.sg/news papers/digitised/article/straitstimes19490203-1.2.78 (diakses pada 22 Julai 2024).

[3]              Ibid.

[4]       The Straits Times, Kelantan Bandits Have Had Enough, 29 August 1948, hlm. 1. Lihat https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers /digitised/article/straitstimes19480829-1.2.9 (diakses pada 22 Julai 2024).

[5]              Ibid.

[6]              C. C. Chin & Karl Hack (Editor). (2004). Dialogues With Chin Peng. Singapore: Singapore University Press, hlm. 146.

[7]              The Straits Times, Gua Musang Terrorists Sentenced sebelum ini. 

[8]              The Straits Times, Forces Advancing On Kelantan Bandits sebelum ini.

[9]              Ibid.

[10]    The Straits Times, Fores Clear "Terrorist Stronghold" 19 May 1949, hlm. 1. Lihat https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/ digitised/article/straitstimes19490519-1.2.18 (diakses pada 22 Julai 2024).

[11]   The Straits Times, 389 Detained In 2 Sweeps, 4 June 1949, hlm. 1. Lihat https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/digitised /article/straitstimes19490604-1.2.4 (diakses pada 22 Julai 2024); Tan Teng Phee, Oral History and People’s Memory of the Malayan Emergency (1948-60): The Case of Pulai sebelum ini.

  

Rabu, 7 Ogos 2024

SERANGAN BULAN PURNAMA (Bhg 12)

Sambungan dari SINI

Potong lidah demi komunis

 

Rabu, 4 Ogos 1948/29 Ramadan 1367...

Pagi itu, trup menunggu ketibaan pesawat Dakota. Tepat pada waktu seperti yang dijadual, trup melihat paracut mengembang setelah digugur dari sebuah pesawat Dakota.[1] Mereka menarik nafas lega. Semangat dengan perut kosong, apa tah lagi dalam bulan Ramadan, akan memberi kesan terhadap morel anggota termasuk yang beragama Islam. Bukan sekadar makanan  sahaja, mereka hampir kehabisan peluru untuk menentang musuh yang bermatian mempertahan sarang mereka - Kpg Pulai. Selepas menggugur bekalan, pesawat Dakota seterusnya membuat rondaan di kawasan Kpg Pulai. Sama seperti sebelum ini, pesawat tersebut berperanan sebagai ‘airborne relay,’ iaitu penghubung trup kepada pesawat Spitfires.

Setelah semua urusan penerimaan bekalan beres, Lt Kol N.F.B. Shaw dan trup bergerak ke Kpg Pulai. Sebelum itu, beliau telah mengarah laluan mereka dibedil dengan mortar. Penggunaan mortar ini merupakan  buat pertama kali mortar diguna semenjak operasi menentang komunis dilancar semenjak darurat diisytihar.[2] Suasana sepi dikejutkan dengan bunyi dentuman “Boom...boom...boom.” Yakin dengan tembakan mortar pasti ‘menakutkan’ pengganas komunis, trup terus bergerak ke Kpg Pulai. Tiba-tiba, “bang...bang...bang.” Sama sekali di luar jangkaan Lt Kol N.F.B. Shaw, mereka diserang hendap buat kali ketiga berturut-turut. Dalam serang hendap itu, seorang anggota Gurkha telah terkorban.[3]

Lantas, Lt Kol N.F.B. Shaw menghubungi pesawat Dakota meminta bantuan pesawat Spitfires untuk membedil kawasan laluan mereka ke Kpg Pulai. Sekali lagi Spitfires yang sentiasa berada dalam keadaan siap siaga di pangkalannya di Kuala Lumpur, berlepas ke Kpg Pulai. Sebaik sahaja melihat ketibaan pesawat tersebut, Lt Kol N.F.B. Shaw memberi sasaran untuk pesawat tersebut memuntahkan muatan yang menggerunkan komunis. Tindakan Spitfires sangat berkesan sekali. Komunis lintang pukang meninggal kubu mereka bagi menyelamatkan diri di hutan berhampiran.

Setelah yakin mereka tidak lagi berhadapan dengan halangan oleh komunis serta Spitfires turut memberi pengawalan udara, trup meneruskan pergerakan ke Kpg Pulai.  Berhampiran dengan kawasan serang hendap, mereka melihat beberapa notis ditampal pada batang-batang pokok. Notis itu menyatakan British tidak dapat sama sekali akan menawan Pulai. Selain itu, trup hairan terdapat beberapa bilah pisau dengan kesan darah digantung di dahan-dahan. Menurut seorang bekas anggota Force 136 yang turut menyertai pasukan Lt Kol N.F.B. Shaw, pisau-pisau itu kepunyaan Tokong Swee Nyet Keung. Pisau-pisau tersebut hanya diguna untuk sesuatu majlis membabitkan “Guanyin, Goddess of Mercy” rasmi di tokong itu.[4] Persoalannya: mengapa pisau-pisau itu digantung pada dahan-dahan dan ada kesan darah?

Persoalan itu terjawab apabila trup ditemuikan tiga mayat pengganas yang terbunuh akibat bedilan Spitfires. Pemeriksaan ke atas salah seorang komunis yang mati, trup menemui selaras raifal kepunyaan Polis Negeri Perak.[5]  Apabila memeriksa mulut mayat-mayat tersebut, trup mendapati lidah mereka dipotong sebelum berhadapan dengan kemaraan pasukan keselamatan. Di samping itu, mereka menemui seorang komunis yang cedera parah di leher. Anggota Force 136 yang pernah beroperasi di Kpg Pulai mengenali dia sebagai ahli keluarga Tong King Nyen (Penghulu Kpg Pulai). Walaupun dalam keadaan kritikal, dia cuba bersiul lagu “Internationale,” iaitu lagu kebangsaan untuk pergerakan antarabangsa komunis. Dalam keadaan  lidah dipotong dan cedera di leher, dia gagal dan tidak lama kemudian pun mati. Kematian itu bermakna empat komunis terbunuh.[6]

Tentangan begitu hebat yang dihadapi oleh pasukan keselamatan diakui oleh Mej Jen C.H. Boucher (GOC, Malaya). Beliau menegaskan: “The advancing force had met with strong opposition on the track to Pulai...”[7] Trup berhadapan dengan bukan calang-calang komunis; mereka berhadapan dengan komunis yang sangat tegar/hardcore.

Lt Kol N.F.B. Shaw dan trup memasuki Kpg Pulai yang kini seperti ‘Kampung Hantu’; tanpa penduduk.[8] Penduduk telah melarikan diri di hutan. Beberapa rumah yang disyaki penempatan musuh musnah akibat bedilan Spitfires. Orang pertama dicari oleh pasukan keselamatan ialah Tong K.N. Namun, dia gagal dikesan.[9]

Selain tentangan dan penglibatan beberapa penduduk,  penggeledahan ke atas sarang komunis itu menemukan stok beras yang disorok. Selain itu, trup juga menjumpa barang/peralatan, seperti kain selimut, yang dirampas daripada Rumah Pasung Gua Musang. Penemuan ini tidak syak lagi komunis berhasrat menjadikan Kpg Pulai sebagai pangkalan mereka dan seterusnya mengembang sayap ke lain-lain kawasan.[10] Tiada keraguan lagi. Keraguan Mej Jen C.H. Boucher terhadap pengaruh komunis ke atas penduduk Kpg Pulai juga terjawab!

Misi pasukan RAM dan Gurkha Rifles masih belum berakhir. Mereka terus memburu komunis yang dipercayai melarikan diri ke selatan dan juga ke barat.

*****

Khamis, 5 Ogos 1948/30 Ramadan 1367...

Semasa membuat rondaan keselamatan di Gua Musang, platun 1 RAM telah berjaya menahan lima tawanan termasuk Sellappan, iaitu dresser dispensari. Dia dipercayai membantu komunis semasa serangan ke atas Gua Musang.[11] Dengan penangkapan itu, platun tersebut diarah mengiringi lima tawanan tersebut balik ke Kota Bharu untuk siasatan selanjut.

Dengan arahan tersebut, pada pagi itu platun tersebut bersama lima orang tawanan bergerak ke Bertam dengan menaiki bas. Dari situ, mereka menerus perjalanan ke Kuala Krai dengan menaik bot. Sebaik tiba di Kuala Krai, trak tentera membawa mereka ke Kota Bharu. Perhentian pertama ialah di Kontinjen Polis Negeri Kelantan untuk menyerah orang tawanan kepada pihak polis untuk tindakan selanjut. Setelah itu, platun bergerak ke Pengkalan Chepa.

Keratan akhbar Malaya Tribune,  5 Held in Gua Musang Sweep, 7 August 1948, hlm. 2. Sumber: National Library Board, Singapura

Jumaat, 6 Ogos 1948/1 Syawal 1367...

“Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Laa ilaaha illallahu Wallahu Akbar”...bergema tadbir sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri di masjid dan surau di Kuala Krai, Kota Bharu, Kuala Lipis dan di lain-lain. Namun tiada kedengaran tadbir di masjid/surau di Gua Musang, Bertam, Merapoh! Tempat-tempat ibadah itu kekosongan tanpa anak kariah yang telah meninggalkan kampung halaman kerana komunis.

Anggota 2 RAM dan Jungle Squad yang beragama Islam pula meredah hutan belantara memburu komunis. Tiada berita daripada kaum keluarga tersayang. Tiada kaum keluarga menziarahi pusara tiga wira di Kuala Lipis kerana keadaan tidak mengizinkan. Hanya doa dari jauh agar roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh, beriman dan  Jannah Firdaus. Tiada bermaaf-maafan sesama keluarga. Tiada juadah istimewa, lemang, ketupat, rendang dan sebagainya. Memadai dengan menikmati ‘kompo-ration’ yang digugurkan oleh Dakota. Namun, kesedihan diketepi demi ibu pertiwi. Bagi anggota RAM, mereka berpegang teguh kepada cogan kata pasukan mereka: TAAT SETIA.

*****

Setelah dua hari berada di Kpg Pulai yang beliau percaya telah bersih daripada komunis, Lt Kol N.F.B. Shaw membuat keputusan untuk balik ke Markas Taktikal di Gua Musang. Rombongan beliau terdiri daripada D.W.Yates dan anggota Jungle Squad yang akan mengganti subunit 1 RAM yang telah balik ke Kota Bharu bersama lima tawanan kelmarin (5 Ogos 1948). Jungle Squad diberi tanggungjawab untuk mengambil alih Rumah Pasung Gua Musang sementara menunggu ketibaan anggota polis. Manakala anggota Kompeni D, 2 RAM dan  2/6 Gurkha Rifles meneruskan operasi menjejak musuh.

Semasa melalui trek, mereka melihat seorang berlari ke arah mereka sambil melaung: “tuan...tuan.” Sebaik berhadapan dengan ‘pembebas’ Kpg Pulai, individu tersebut terus bersujud di kaki Lt Kol N.F.B. Shaw dan D.W.Yates.[12] Tindakan yang tidak disangka sudah tentu mengejutkan kedua-dua mereka. Apa tah lagi individu tersebut ialah orang yang dicari-cari, iaitu Tong K.N., Penghulu Kpg Pulai! Ekoran itu, dia dibawa ke Gua Musang untuk siasatan selanjutnya.

Tong K.N. mendakwa komunis bahawa perang dengan Rusia di Eropah manakala Singapura dan Kuala Lumpur telah jatuh ke tangan komunis. Sekarang tiada lagi trup British seluruh PKM. Selepas serangan ke atas Gua Musang, penduduk Kpg Pulai melarikan diri daripada komunis. Lantaran itu, dia memohon Lt Kol N.F.B. Shaw menghantar notis pengumuman memberitahu penduduk Kpg Pulau supaya balik ke penempatan mereka serta menjamin keselamatan mereka. Notis itu pula perlu dengan mengguna kertas rasmi berlambang pasukan 2/6 Gurkha Rifles.

Lt Kol N.F.B. Shaw setuju dengan permohonan Tong K.N. Setelah diterjemah dalam Bahasa Cina, notis tersebut telah ditampal di dinding tokong berlubang-lubang akibat dibedil oleh pesawat Spitfires.[13]

Bersambung...in syaa Allah...



[2]       The Straits Times, Dyaks May Help Fight Rebels sebelum ini.

[3]     Ibid.; The Singapore Free Press, Rebel guns hold up troop advance, 4 August 1948, hlm. 1. Sumber: https://eresources.nlb.gov. sg/newspapers/digitised/article/freepress19480804-1.2.2 (diakses pada 10 Julai 2024).

[4]        The Straits Times, Holy Men Fought With Pulai Bandits sebelum ini.

[6]         Ibid.

[7]         The Straits Times, Dyaks May Help Fight Rebels sebelum ini.

[8]         The Straits Times, Insurgent Village Destroyed sebelum ini.

[9]  The Straits Times, Missing Headman Arrested, 13 August 1948, hlm. 5. Lihat https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/ digitised/article/straitstimes19480813-1.2.61 (diakses pada 10 Julai 2024).

[10]        The Straits Times, Insurgent Village Destroyed sebelum ini.

[11]  Malaya Tribune, 5 Held in Gua Musang Sweep, 7 August 1948, hlm. 2.  Lihat https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/ digitised/article/maltribune19480807-1.2.29 (diakses pada 10 Julai 2024).

[12]         Harry Miller, The Straits Times, Holy Men Fought With Pulai Bandits sebelum ini.

[13]          Ibid. 

Khamis, 1 Ogos 2024

SERANGAN BULAN PURNAMA (Bhg 11)

 Sambungan dari SINI

Kemaraan di tentang hebat

Isnin, 2 Ogos 1948/27 Ramadan 1367...

Pagi itu, Lt Kol N.F.B. Shaw mengetuai pasukan gabungan masing-masing satu kompeni daripada 2 RAM dan 2/6 Gurkha Rifles serta Jungle Squad bergerak ke Kpg Pulai, lebih kurang lapan batu dari Gua Musang. Pergerakan mereka diawasi oleh sebuah pesawat Douglas C-47 Dakota yang membuat rondaan di ruang udara Gua Musang dan kawasan berhampiran. Seperti yang dirancang,  kompeni Gurkha Rifles mengguna satu-satunya laluan ke Kpg Pulai. Satu kesilapan.

Jika Lt Kol N.F.B. Shaw mengandai kemasukan mereka ke Kpg Pulai tidak akan berhadapan sebarang masalah, beliau jauh tersasar. Beliau terlepas pandang siapa musuh yang dihadapinya semasa membuat perkiraan keadaan. Mungkin kekurangan pengetahuan beliau ini kerana pasukannya yang terdiri daripada 180 rekrut hanya tiba di Malaya pada Mac 1948 dari Hong Kong.[1]

Musuh yang dihadapi oleh CO Gurkha Rifles ialah Kim Siong@Soon Chip Sip, seorang komunis tegar. Kebiasaannya, komunis mengamal taktik ‘tembak dan cabut,’ iaitu beredar ke dalam hutan selepas menyerang pasukan keselamatan. Tetapi taktik ini tidak untuk Kim Siong. Dalam perkiraan keadaannya, Kim Siong yakin pasukan keselamatan akan bergerak ke Kpg Pulai untuk memburu mereka. Daripada melarikan diri ke dalam hutan, dia bersama konco-konconya merancang untuk ‘menyambut’ ketibaan rombongan Lt Kol N.F.B. Shaw.

Dia yakin pasukan keselamatan akan melalui satu-satu trek dari Gua Musang ke Kpg Pulai. Justeru, dia merancang untuk menyerang hendap kemaraan pasukan keselamatan di laluan tersebut. Bagi tujuan itu, serang hendap tersebut terdiri daripada lebih kurang 60 komunis lengkap dengan dua mesingan ‘Vicker’, Sten gun, Bren gun, 2-inci mortar selain raifal dan senapang patah.[2] Mereka sedia menunggu ketibaan pasukan keselamatan.

Apabila kumpulan hadapan Gurkha berada berhampiran semak-samun di kaki bukit berhampiran dengan laluan tersebut, tiba-tiba: “bang...bang...bang.” Komunis melepas tembakan bertubi-tubi terhadap pasukan keselamatan. Pasukan pimpinan Lt Kol N.F.B. Shaw diserang hendap! Tindakan spontan sudah tentu anggota bergegas mencari perlindungan. Anggota yang di luar zon membunuh memberi tembakan perlindungan (covering fire) bagi membolehkan anggota yang terperangkap berundur. Dalam serangan ini, dua orang anggota Gurkha Rifles telah tercedera (WIA).[3]

Lantas, Lt Kol N.F.B. Shaw menghubungi juruterbang pesawat Dakota meminta bantuan udara untuk membedil kawasan serang hendap. Sebaik menerima permohonan tersebut, juruterbang pesawat Dakota seterusnya memanjangkan permohonan itu kepada AOC. AOC pula menghubungi Bilik Operasi Skuadron Spitfire supaya berlepas ke Kpg Pulai dengan segera. Misi: membedil kawasan yang akan diberitahu oleh Komander di medan, iaitu Lt Kol N.F.B. Shaw. Pesawat Spitfire yang sentiasa dalam keadaan siap siaga untuk diatur gerak, berlepas dari Kuala Lumpur ke Kpg Pulai. Dalam masa lebih kurang 30 minit daripada permohonan dibuat, pesawat Sprifire berada di ruang angkasa Kpg Pulai.

Sebaik sahaja melihat pesawat tersebut, Lt Kol N.F.B. Shaw mengarah juruterbang Spitfire untuk membedil kawasan berhampiran bukit dan juga beberapa pondok berhampiran yang dipercayai menempatkan komunis. Peluang yang ditunggu-tunggu oleh juruterbang pejuang. Lantas,  juruterbang melancar roket dan memuntahkan beratus-ratus peluru mesin-gun ke atas sasaran tersebut. Kesan bedilan menyaksikan beberapa buah pondok terbakar. Misi pesawat Spitfire berjaya. Dengan itu, juruterbang menerbangkan pesawat untuk balik ke Kuala Lumpur. Tetapi bukan untuk Lt Kol N.F.B. Shaw.

Lt Kol N.F.B. Shaw menghubungi juruterbang supaya membedil beberapa pondok lagi dan sebatang pokok. Pokok ini merupakan pos pemerhatian komunis. Namun permohonan tersebut tidak dapat dilaksana kerana ‘endurance’ pesawat hanya cukup untuk terbang balik ke Kuala Lumpur.  Lt Kol N.F.B. Shaw tidak perlu gusar. Juruterbang memanjangkan permohonan tersebut kepada AOC.

Sebaik sahaja menerima berita itu, sekali lagi pesawat Spitfire ‘scrambled’ dan berlepas ke Kpg Pulai. Apabila tiba di destinasi, sasaran yang mereka dikehendaki memusnahkan ialah beberapa pondok lagi dan sebatang pokok. Seperti yang dijangka, juruterbang memuntahkan roket dan peluru terhadap sasaran terbabit. ‘Bedilan tepat mengena sasaran.’[4] Lapor juruterbang sebelum terbang balik ke Kuala Lumpur. Misi berjaya. Berikutan dengan bedilan oleh pesawat Spitfire, Lt Kol N.F.B. Shaw tidak lagi diganggu oleh musuh hari itu. Beliau mengarah pasukan bantuan  untuk bermalam di kawasan berhampiran.

*****

The Straits Times, 3 August 1948, hlm. 1. Sumber: National Library Board, Singapura

*****

Selasa, 3 Ogos 1948/28 Ramadan 1367...

Trup meneruskan pergerakan ke Kpg Pulai pagi itu. Bagaimanapun, pergerakan pasukan keselamatan tidak sebegitu mudah. Apabila mereka berada lebih kurang tiga batu di utara Kpg Pulai, sekali lagi Kim Siong menyambut ketibaan Lt Kol N.F.B. Shaw dan pasukannya dengan menyerang hendap mereka.[5] Lt Kol N.F.B. Shaw membuat keputusan untuk menunda  pergerakan keesokan hari. Beliau menyedari trup telah kehabisan bekalan – makanan dan peluru. Lt Kol N.F.B. Shaw membuat keputusan untuk menunda  pergerakan keesokan hari. Beliau menyedari trup telah kehabisan bekalan – makanan dan peluru. Bekalan dijadual akan digugurkan keesokan hari.[6] Semangat dengan perut kosong, apa tak lagi dalam bulan Ramadan, akan memberi kesan terhadap morel anggota termasuk yang beragama Islam.

Bersambung....in syaa Allah...



[1]     6th Queen Elizabeth’s Own Gurkha Rifles, History of the Regiment 1948 – 1960: The Malayan Emergency. Lihat https://www. 6thgurkhas.org/the-regiment/history-1948-1960/ (diakses pada 10 Julai 2024).

[2]  The Straits Times, Gua Musang Terrorists Sentenced, 3 February 1949, hlm. 7. Lihat https://eresources.nlb.gov.sg/news papers/digitised/article/straitstimes19490203-1.2.78 (diakses pada 10 Julai 2024).

[3] The Straits Times, "Spits" Strafe Bandits, 3 August 1948, hlm. 1. https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/digitised/article/ straitstimes19480803-1.2.8 (diakses pada 10 Julai 2024).

[4]       Ibid.

[5]   The Straits Times, New Advance By Big Kelantan Force, 5 August 1948, hlm. 1. Lihat  https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers /digitised/article/straitstimes19480805-1.2.14 (diakses pada 10 Julai 2024).