Pengikut

Khamis, 25 Julai 2024

SERANGAN BULAN PURNAMA (Bhg 10)

 Sambungan dari SINI

Ulat-ulat sebesar pangkal lidi

Jumaat, 23 Julai 1948/17 Ramadan 1367...

Pasukan bantuan yang diketuai oleh Lt Kol N.F.B. Shaw akhirnya tiba di lokasi serang hendap.[1] Lebih kurang 500 ela dari Land Rover, mereka menemui 2426 Pbt Mohammad Radzi bin Ahmad Damanhuri, pemandu kenderaan tersebut. Beliau dalam keadaan tidak sedarkan diri. Luka di pahanya menjadi tempat pembiakan langau dan lalat sehingga terdapat ulat-ulat sebesar pangkal lidi.[2i] Ekoran itu, tindakan awal dilakukan ialah membersih dan membalut luka tersebut.

Sementara itu, satu kumpulan mara ke Land Rover. Sebelum tiba lagi, mereka menghidu bau yang meloyakan dari arah kenderaan tersebut. Apabila tiba di situ, mereka mendapati hanya dua mayat, iaitu Mej Raymond Henderson dan 2881 Pbt Ahmad Nazri bin Lob. Setelah lima hari dalam keadaan terdedah, selain berbau, mayat-mayat tersebut penuh dengan ulat-ulat;  sangat menyedihkan. Dengan penemuan ini bererti 1203 Kpl Ismail bin Zainal   dan Pbt Mohammad Radzi terselamat. Sementelah mereka hanya menemui Pbt Mohammad Radzi berhampiran dengan landasan keretapi, Mej Hall (OC Kompeni D) percaya Kpl Ismail menyusur Sg Yu ke arah selatan. Lantaran itu, beliau mengarah sekumpulan anggota untuk menyusuri sungai.

Mej Hall seterusnya menghubungi Markas Taktikal Bn di Kuala Lipis melapor penemuan mangsa-mangsa serang hendap itu. Beliau meminta masing-masing dua keranda dan strecer. Selain itu, beliau juga meminta dihantar rangsum kerana kehabisan bekalan. Tidak lama kemudian, kumpulan menjejaki Kpl Ismail menjumpai beliau di Kpg Bukit Bentong.[i3] Penduduk telah menemuinya dalam keadaan lemah dan memberi rawatan apa yang termampu dilakukan.[4]

Di waktu yang sama, satu kumpulan pula menggeledah tebing di kiri dan kanan landasan. Hasil dari penggeledahan menunjukkan pengganas komunis sudah lama beredar dari kawasan tersebut.

*****

Sebaik menerima laporan Mej Hall, CO (Lt Kol M.Y.K. Blair Oliphant) menghantar kenderaan bersama anggota ke lokasi terbabit. Empat mangsa seterusnya dibawa balik ke Kuala Lipis. Kpl Ismail dan Pbt Mohammad Radzi terus dihantar ke Rumah Sakit Kuala Lipis di mana staf hospital siap sedia menerima ketibaan mereka. Apabila Pbt Mohammad Radzi akhirnya membuka mata, beliau mendapati dikelilingi oleh jururawat-jururawat yang sibuk membersih lukanya.

*****

Misi mencari dan menyelamat Mej Raymond Henderson berjaya dilaksana. Sebaik sahaja trak beredar, pasukan bantuan meneruskan misi ke Gua Musang.

*****

Sabtu, 24 Julai 1948/18 Ramadan 1367...

Kuala Lipis. Sekali lagi Lt Kol M.Y.K. Blair Oliphant dan anggota di Markas Taktikal Bn sibuk mengurus pengebumian tiga orang anak buahnya. Seperti sebelum ini, jenazah 2881 Pbt Ahmad Nazri bin Lob dibawa ke masjid Kuala Lipis dan seterusnya disemadi di pusara yang sama dengan dua rakan seperjuangan sebelum ini. Sementara itu, pihak gereja Kuala Lipis turut membantu mengurus jenazah Mej Raymond Henderson. Sama seperti tiga anak buahnya, Mej Raymond Henderson disemadi di tanah perkuburan Kristian di Kuala Lipis.[5]

*****

 

Tuan Guru 2 RAM, Lebai Said, membaca doa di pusara tiga anggota yang terkorban di Kuala Lipis semasa Mej J.C.K Harrington (2 dari kiri), OC Kompeni A, bersama anak buahnya menziarah anggota terbabit pada 23 Julai 1949Sumber: National Library Board, Singapura

*****

Ahad, 25 Julai 1948/19 Ramadan 1367...

Trup di Gua Musang dan pimpinan Lt Kol N.F.B. Shaw telah lama kehabisan bekalan makanan. Mereka minta bekalan dihantar seberapa segera melalui saluran tertentu. Kaedah paling cepat dan selamat ialah melalui udara. Ekoran itu, pada pagi itu, sebuah  pesawat RAF -Douglas C-47 Dakota- ditugas untuk menggugur bekalan di Gua Musang dan kawasan selatan Merapoh.[6] Malahan penghantaran bekalan seterusnya sepanjang Ogos-September dibuat melalui guguran udara.[7] 

*****

Isnin, 26 Julai 1948/20 Ramadan 1367...

Lt Kol N.F.B. Shaw dan pasukan bantuan tiba di Merapoh.[8] Mereka mendapati pekan tersebut lengang serta semak dengan bendera-bendera komunis di merata tempat. Malahan bendera musuh berkibar di tiang bendera Rumah Pasung Merapoh tanpa penghuni.[9] Namun tidak kelihatan kelibat komunis kerana dipercayai telah pun beredar ke Gua Musang sebelum itu.

Rumah Pasung Merapoh, Kuala Lipis, di sekitar tahun 1940an. Sumber: FB Polis Pahang

Setelah yakin Merapoh bebas daripada musuh, pasukan bantuan meneruskan pergerakan ke Gua Musang. Mereka sudah dimaklum bahawa pekan itu telah ditawan semula oleh pasukan keselamatan. Misi mereka seterusnya ialah untuk memusnah dan memburu musuh di Kpg Pulai.

*****

Selasa, 27 Julai 1948/21 Ramadan 1367...

Mej Jen C.H. Boucher (GOC, Malaya) memberi ulasan keadaan keselamatan PTM kepada ahli Majlis Persidangan Persekutuan. Antara lain, beliau menegaskan: “Saya menjamin anda bahawa tiada kemungkinan mana-mana kawasan dibebaskan dalam negeri dapat bertahan lebih dari beberapa hari.[10] 

*****

Jumaat, 30 Julai 1948/24 Ramadan 1367...

Akhirnya pasukan gabungan yang dipimpin oleh Lt

Kol N.F.B. Shaw bergabung dengan pasukan yang membebaskan Gua Musang dan Bertam apabila mereka tiba di Gua Musang.[11] Ketibaan mereka disambut oleh D.W.Yates dan ketua platun 2 RAM. Dengan kehadiran Kompeni Gurkha dan Kompeni D, bebanan yang dipertanggungjawab kepada kumpulan D.W.Yates  dapat dikurangkan.

Anggota pasukan keselamatan membuat rondaan di Gua Musang. Sumber: Lt Col Mohd Azzam bin Hanif Ghows (Rtd)

Seterusnya beliau bersama Mej Hall,  D.W.Yates, Lt Mohd Nasir, Ketua Platun dari Pengkalan Chepa, dan Sjn Johnny merancang misi  memburu dan memusnah komunis yang bersarang di Kpg Pulai.  Bagi menjaya misi, Gua Musang dijadikan sebagai Markas Taktikal untuk mengkonsolidasi pasukan gabungan yang terdiri daripada Kompeni D serta satu platun dari Pengkalan Chepa, 2 RAM; satu kompeni 2/6 Gurkha Rifles; dan Jungle Squad.

Pesawat RAF Douglas C-47 Dakota. Sumber: Google (gambar hiasan)

Anggota Hantaran Udara menyedia bekalan untuk digugur dengan peracut dari pesawat Douglas C-47  Dakota. Sumber: Air Force Museum of New Zealand (gambar hiasan)


Bersambung...in syaa Allah...  



[1]              Tan Sri Dato’ A. Samad Idris. (1983). Askar Melayu 50 Tahun sebelum ini, hlm. 255.

[2]              Ibid., hlm. 254.

[3]             Syed Othman Syed Omar. (2005). Pahlawan Tanah Air, sebelum ini, hlm. 117.

[4]             Tan Sri Hj. Mubin Sheppard, Abdul Ghani: 'Hero' Gua Musang sebelum ini

[5]    The Straits Times, Jungle wreath on his grave, 24 July 1949, hlm. 9. Lihat https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/digitised/ article/straitstimes19490724-1.2.76 (diakses pada 10 Julai 2024).

[6]   The Straits Times, R.A.F. Drop Supplies, 26 July 1948, hlm. 1. Lihat https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/digitised/article/ straitstimes19480726-1.2.5 (diakses pada 10 Julai 2024).

[7]          Ibid.; Royal Air Force (AP 3410). (June 1970). The Malayan Emergency: 1948-1960. (Dinyah klasifikasi). London: Ministry of Defence, hlm. 80.

[8]           Syed Othman Syed Omar. (2005). Pahlawan Tanah Air sebelum ini, hlm. 118.

[9]             Ibid., hlm. 118.

[10]    The Straits Times, Boucher Promises 'More Toughness', 28 July 1948, hlm. 1. Lihat https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers /digitised/article/straitstimes19480728-1.2.2 (diakses pada 10 Julai 2024).

[11]         Arkib Negara Malaysia. The Annual Report sebelum ini, hlm. 2; The Straits Times, Forces Advancing On Kelantan Bandits sebelum ini. 


Tiada ulasan: