Pengikut

Khamis, 10 April 2025

Serang hendap di Sg Semur - bhg 17

 Sambungan dari  SINI (klik)

Pengiktirafan

Operasi memburu dan memusnah pengganas komunis tidak membawa hasil. Mereka telah lama menyelinap dalam hutan...padang permainan mereka. Pasukan memburu melihat kesan darah tetapi tidak menemui mayat. Mereka juga tidak mengorek beberapa ‘kubur’ kerana objektif utama mereka ialah memusnah musuh durjana.[1] Sementara itu, laporan perisikan pula menyatakan tiada bukti mengaitkan pemungut daun-daun nipah dan payung mengetahui atau berkomunikasi dengan musuh sebelum serangan tersebut.[2]

Ya...komunis telah berjaya membunuh 18 anggota pasukan keselamatan dan mencedera 5 anggota. Namun demikian, mereka sebenarnya ‘kalah dalam kemenangan;’ bukan kemenangan mutlak. Mereka gagal mematah semangat waja wira-wira yang mereka serang. Mereka lupa wira-wira tersebut menyertai pasukan keselamatan bukannya dipaksa sebaliknya secara sukarela. Ini jauh berbeza dengan kader-kader yang kebanyakan dipaksa untuk menyertai pergerakan komunis. 

*****

Kerajaan mengiktiraf semangat keperwiraan anggota Platun No 12, Kompeni D, 3 RAM, dan SC. 1319 Kpl Jamaluddin bin Mohamad telah dicalonkan untuk anugerah ‘Distinguished Conduct Medal (DCM).’ Asas pencalonan ialah “...for great bravery, leadership and devotion to duty in the “battle” of Ulu Semur, near Gua Musang, Kelantan, in March this year.”[3]  Sementara itu, 4089 L/Kpl Mohamad bin Othman dan 4056 Pbt Wahab bin Hamid dicalonkan untuk anugerah ‘Military Medal (MM)[4] kerana peranan mereka dalam pertempuran tersebut.[5]

Pencalonan ketiga-tiga wira 3 RAM tersebut telah dilulus dan diwarta pada 4 Julai 1950 melalui ‘The London Gazette, No 38962.’ Dengan penganugerahan itu,  Kpl 1319 Jamaluddin adalah anggota pertama menerima DCM daripada pasukan RAM/RAMD.[6]


The London Gazette. Sumber: The Gazette

*****

Distinguished Conduct Medal (DCM)


Sumber: Wikipedia

1319 Kpl Jamaluddin bin Mohamad DCM. Sumber: Zakaria Salleh
*****
 Military Medal (MM)

Sumber: Google

Dari kiri: 4089 L/Kpl Mohamad bin Othman dan 4056 Pbt Wahab bin Hamid.
 Sumber: Lt Kol Dr Syed Othman Syed Omar & Mej Yaakop bin Jaafar

*****
Polis Persekutuan turut menghargai peranan yang ditonjolkan oleh anggota SC dalam pertempuran Sg Semur. Sjn 132 Wan Yaacob bin Wan Ahmad telah dianugerah  ‘Colonial Police Medal for Gallantry.” Asas penganugerahan ialah “...Sergeant Wan Ya’acob led his men with gallantry and displayed outstanding qualities of leadership.’[7]
Colonial Police Medal for Gallantry

Sumber: SAC (B) Norizan Murad 
Sjn 132 Wan Yaacob bin Wan Ahmad
*****

Profesor Anthony Short, sejarawan British mengenai darurat di Malaya dalam bukunya – ‘In Pursuit of Mountain Rats’ – memberi tekanan dua insiden di mana pasukan keselamatan mengalami anggota yang KIA tertinggi pada Februari dan Mac 1950. Dua insiden tersebut ialah Peristiwa Bukit Kepong (Februari) dan Sg Semur (Mac) masing-masing melibat pasukan Polis Persekutuan dan Bn 3 RAM. Namun demikian, dalam kedua-dua insiden tersebut, beliau mencatat: “On both occasions Malay police and soldiers, although hopelessly outnumbered, fought with conspicuous gallantry and determination.”[8]

*****

Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui 8 BIM tidak lupa peristiwa Sg Semur. Semasa menjawat sebagai Panglima 8 BIM, Pengkalan Chepa, pada awal 2001, Brig Jen Dato’ Ramli bin Harun telah mengambil inisiatif untuk menamakan pos di Gua Musang sebagai ‘Kem Semur.’[9] Penjenamaan ini sebagai satu penghargaan terhadap keperwiraan anggota Platun No 12, Kompeni D, 3 RAM, bertempur dengan pengganas komunis. Kem ini memainkan peranan sebagai Markas Taktikal unit/sub-unit pasukan yang beroperasi di kawasan Gua Musang. Kem Semur adalah satu-satunya kem TDM yang dinamakan sempena satu peristiwa penting dalam sejarah TDM.

Kem Semur, Gua Musang. Sumber: Batalion ke-4 Rejimen 506 Askar Wataniah

*****

Pada tahun 2005, dengan kerjasama KESEDAR dan RAMD  satu monumen bagi mengingati Pertempuran Sg Semur telah dibina di lokasi pertempuran pada tahun 2005.[10]

Monumen bagi mengingati Pertempuran Sg  Semur  pada 25 Mac 1950. Sumber: BH Online

*****

Sijil Penghargaan kepada 4056 L/Kpl  Wahab bin Hamid MM daripada KEMENTAH.  Sumber: Puan Noor Aishah binti Wahab

*****

Keratan akhbar

D.C.M. FOR MALAY REGT. CORPORAL, The Straits Times, 
8 July 1950, hlm. 4.  Sumber: NLB, Singapore

The Straits Times, Medal For A Hero, 30 June 1950, hlm. 5. Sumber: NLB, Singapore

 Bersambung...in syaa Allah



[1]              Harry Miller, A Malay Platoon at Ulu Semur sebelum ini.

[2]              Ibid.

[3]              The Straits Times, D.C.M. FOR MALAY REGT. CORPORAL, 8 July 1950, hlm. 4.

[4]              Penerima Military Medal (MM) menerima RM1,500.00 Elaun Kenangan sebulan mulai Julai 2009.

[5]              Ibid.

[6]              Ibid.

[7]              The Straits Times, Medal For A Hero, 30 June 1950, hlm. 5.

[8]              Anthony Short. (2000). In Pursuit of Mountain Rats. Singapore: Cultured Lotus, nota kaki (1), hlm. 231. Sebelum ini The Communist Insurrection in Malaya 1948-1960.’ (1975). Great Britain: Frederick Muller.

[9]              Penjelasan oleh Lt Kol Yaakop bin Jaafar (B) kepada penulis melalui telefon pada 7 April 2025.

[10]            Ramli Ibrahim, BH Online, Monumen Sungai Semur perlu diwartakan, 4  September 2018.

Selasa, 8 April 2025

Serang hendap di Sg Semur - bhg 16

 Sambungan dari  SINI (klik)

Al-Fatihah

28 Mac 1950...

Dari pagi lagi, Markas Taktikal Kompeni D begitu sibuk sekali bak sesibuk lebah; tak menang tangan. Dengan keanggotaan yang terbatas, banyak aktiviti yang perlu dilaksana. Keutamaan ialah menentukan Pbt Wahab dan Pbt Rashid mendapat rawatan dengan segera. Ekoran itu, sebaik sarapan pagi, satu kumpulan anggota mengusung mereka ke Sg Galas yang tersedia sebuah bot untuk membawa mereka ke Gua Musang. Dari situ, mereka diterbangkan ke Pengkalan Chepa.[1] Sebaik sahaja pesawat mendarat, mereka dibawa ke Hospital Kota Bharu oleh dua buah ambulans yang sedia menunggu. Mereka berkongsi wad dengan rakan seperjuangan, iaitu  L/Kpl  Othman dan Pbt Mohd Sabri.

Satu kumpulan pula membuat tinjauan di kawasan berhampiran pangkalan untuk mengenal pasti lokasi yang sesuai sebagai tapak pusara 14 rakan seperjuangan mereka. Kawasan yang dipilih ialah satu tanah lapang di seberang sungai di mana terletaknya Tokong Swee Nyet Keung (Tokong Mek).[2] Setelah dikenal pasti, satu kumpulan diarah menggali 14 liang lahad. Sementara itu, Tuan Hj Ibrahim Yusoff bersama beberapa anggota sibuk mengurus jenazah-jenazah untuk dimandi, dikafan dan disolat. Seterusnya, 14 jenazah, iaitu:  (1)  1134 Lt M Hassan bin Yassin; (2)  4087 L/Kpl Othman bin Abu Samad; (3)  4100 L/Kpl Mohd Rasul bin Othman; (4)  4045 Pbt Mustaffa bin Sulaiman; (5) 4018 Pbt Ismail bin Rasul; (6)  4016 Pbt Mohd Yassin bin Hj Ali; (7)  4057 Pbt Hussain bin Hj Yusof; (8)  4067 Pbt Kassim bin Amin; (9)  4123 Pbt Wahab bin Sidek; (10) 4132 Pbt Md Isa bin Ahmad; (11) 4359 Pbt Ibrahim bin Awang; (12) 4403 Pbt Daud bin Ismail; (13) 4411 Pbt Omar bin Deris; (14) 4015 Pbt Mohd Yunus bin Hj Taha, dibawa ke pusara untuk disemadikan.

 

Tapak bekas pusara 14 wira Platun No 12, 3 RAM, yang kini ditenggelami oleh tasik buatan. Sumber:Mej  Yaakop bin Jaafar

 *****

Selepas upacara pengebumian selesai, rombongan Lt Kol W.O. Walton (CO), termasuk Pbt Salleh meninggalkan Kpg Pulai dengan menaiki bot ke Gua Musang untuk balik ke Pengkalan Chepa. Dari Gua Musang mereka menaiki kenderaan dengan diiringi oleh kereta perisai ke Bertam. Dari situ, mereka menaiki bot ke Kuala Krai di mana kenderaan membawa mereka ke Pengkalan Chepa.[3] Sebaik tiba di pangkalan, Pbt Salleh dibawa ke Hospital Kota Bharu untuk mendapat rawatan. Kini kelima-lima WIA, iaitu L/Kpl  Othman, Pbt Mohd Sabri, Pbt Wahab, Pbt Rashid dan Pbt Salleh akhirnya mendapat rawatan sewajarnya.

 *****

 Bersambung...in syaa Allah



[1]              Syed Othman Syed Omar. (2004). Pahlawan Tanahair, hlm. 156.

[2]              Mej Yaakop bin Jaafar. (2004). Pertempuran Sungai Semur sebelum ini, hlm. 39.

[3]              M. Daim,  Serang Hendap Sungai Semur: Askar Melayu menyerahlah! sebelum ini.

Sabtu, 5 April 2025

Serang hendap di Sg Semur - bhg 15

 Sambungan dari ...SINI (klik)

Selepas upacara pengebumian, konvoi beberapa buah Land Rover dan trak Bn 3 RAM dan Polis Persekutuan bergerak ke Kuala Krai. Kumpulan CO termasuk seorang doktor bersama beberapa anggota Medic dan Tuan Hj Ibrahim Yusoff. Kumpulan polis termasuk anggota Jungle Squad yang diketuai oleh Sjn Johnny[1] yang pernah turut terlibat bersama satu platun Bn 1 RAM menawan semula Gua Musang pada pukul 4:00 pagi, 22 Julai 1948. Dari  Kuala Krai, rombongan menaiki bot ke Bertam. Seterusnya pasukan bantuan dibawa dengan beberapa buah kenderaan ke Gua Musang. Oleh kerana mereka tiba di sana waktu malam, mereka bermalam di Gua Musang.

*****

27 Mac 1950...

Pagi-pagi lagi rombongan dari Kota Bharu dengan diiringi oleh Platun No 11, Kompeni D, 3 RAM, dan Jungle Squad bergerak ke Kpg Pulai. Sebaik tiba di sana, mereka disambut oleh Mej Garnett serta Kpl Jamaluddin dan Sjn Wan Yaacob. (Sjn Wan Yaacob dan lapan anak buahnya selamat tiba di Kpg Pulai pada awal 26 Mac 1950). Setelah mendengar taklimat daripada Kpl Jamaluddin dan Sjn Wan Yaacob, mereka berdua diarah oleh ketua masing-masing untuk menjadi jurupandu ke lokasi pertempuran.

Tanpa berlengah, pasukan bantuan bergerak secepat mungkin. Keutamaan sekarang ialah menyelamat dua wira yang WIA, iaitu 4056 Pbt Wahab bin Hamid 4358 Pbt Rashid bin Hassan. Itu pun jika mereka masih bernyawa!

*****

Lokasi pertempuran...

Pbt Wahab dan Pbt Rashid masih hidup. Ajal dan maut ditentukan Maha Pencipta, bukan pengganas komunis. Mereka dalam kesakitan dan kelaparan. Mana tidaknya, makanan terakhir mereka ialah sarapan pagi pada 25 Mac 1950. Seperti yang dijelaskan sebelum ini, kecederaan yang dialami pula menyukarkan pergerakan untuk bertemu sesama mereka. Bukan itu sahaja, luka mereka telah menjadi tarikan untuk langau-langau bertelur sehingga menetaskan ratusan berenga (maggots).[2]

Pada lebih kurang pukul 10:00 pagi, kumpulan bantuan mengetahui mereka kini hampir dengan destinasi yang tuju. Mereka mula menghidu udara yang agak memualkan berpunca daripada 15 mayat yang terdedah selama tiga hari. Setiba di lokasi, senario sangat menyedihkan apabila melihat keadaan15 mayat dipenuhi dengan beribu-ribu berenga. Sama seperti Pbt Wahab dan Pbt Rashid, luka-luka yang terdedah pada mayat-mayat menjadi lubuk langau bertelur. Namun demikian, di sebalik kesedihan itu, mereka bersyukur apabila mendapati Pbt Wahab dan Pbt Rashid masih hidup. Dengan itu, tugasan utama Pegawai Perubatan ialah untuk memberi rawatan sewajarnya kepada mereka berdua. Kecederaan mereka dibersihkan dan diberi suntikan morfin bagi menahan sakit.

Setelah berbincang antara CO, OC dan KP Kelantan, keputusan dibuat supaya kesemua 15 mayat dibawa balik ke Kpg Pulai dengan menaiki rakit manakala Pbt Wahab dan Pbt Rashid diusung dengan strecer. Justeru itu, anggota Platun No 11 diarah untuk membuat rakit bagi memuatkan mayat-mayat tersebut dan dua strecer. Jungle Squad pula membuat rondaan keselamatan. Pegawai-pegawai kanan pasukan keselamatan seterusnya meninjau kawasan pertempuran tentera. Hasil peninjauan itu, mereka mendapati terdapat sejumlah 29 lubang di kedua-dua tebing sungai yang baru ditimbus.

 Mengesyaki sesuatu, 15 lubang digali dan mereka ditemukan beberapa mayat gerila komunis. Sebenarnya lubang-lubang tersebut merupakan kubu-kubu gerila komunis semasa serangan tersebut. Sebelum beredar, kubu-kubu tersebut telah dijadikan kubur untuk komrad mereka yang terbunuh.  Ada kubur yang hanya terdapat satu mayat; ada juga yang memuatkan tiga mayat.[3]   Proses penggalian kubur dihentikan disebabkan kesuntukan masa. Bersandar kepada penemuan ini, pihak pasukan keselamatan membuat rumusan sekurang-kurangnya sejumlah 29 komunis telah terbunuh. Malahan laporan rasmi menyatakan: “Opinion is that even ‘29 bandits killed’ may be an understatement.”[4]

Selain itu, pegawai-pegawai 3 RAM dan Polis kagum dengan semangat waja anggota Platun No 12 yang menentang habis-habisan sehingga peluru terakhir. Kedudukan strategik dan jumlah gerila komunis dengan mudah boleh “...inflict serious casualties on a “a patrol of company strength.” Even if it had been moving slowly with flanking patrols out.”[5] Pegawai-pegawai kanan tersebut akui tindakan wira-wira Platun No 12 sebagai “brave action.[6] Ya...tindakan yang sungguh berani dan hebat.

 Peranan anggota SC tidak terkecuali. Laporan rasmi Bn 3 RAM memberi penghargaan terhadap tindakan pasukan SC. Laporan mencatat: “Walaupun pengawal-pengawal estet yang tidak terlatih, mereka telah pergi ke lokasi pertempuran, memberi tentangan dengan beraninya dan tidak dinafikan telah berjaya mengalih tumpuan komunis terhadap Rejimen Askar Melayu (Untrained estate guards as they were, they went to the scene of the action, fought extremely well and undoubtedly drew bandits from the scene of the Malay Regiment action.)”[7]

Pada lewat petang, rombongan Bn 3 RAM dan polis beredar untuk balik ke Kpg Pulai. Pergerakan agak perlahan dan meletihkan disebabkan terpaksa mengusung dua strecer; empat anggota untuk satu strecer. Namun demikian, keletihan diketepikan demi semangat setia kawan yang sudah sebati dalam jiwa mereka selari dengan moto kebanggaan pasukan RAM -  Taat Setia.

Rombongan tiba di Kpg Pulai pada lebih kurang pukul 9:00 malam. Mayat SC 545 Latif bin Ariffin diserah kepada pihak polis untuk pengurusan pengebumian. CO pula menghubungi Bilik Operasi GOC memohon penerbangan ‘casevac (casualty evacuation)’ untuk membawa Pbt Wahab dan Pbt Rashid dari Gua Musang ke Pengkalan Chepa keesokan hari, 28 Mac 1950. Permohonan tersebut dipanjangkan kepada AOC. Respons AOC: lulus.

Seterusnya, CO bermesyuarat dengan OC serta beberapa PTT dan juga Tuan Hj Ibrahim Yusoff. Agenda utama ialah mengenai 14 mayat tersebut. Persoalannya adakah mayat-mayat tersebut dibawa balik ke Pengkalan Chepa untuk disemadikan? Keputusan dipermudahkan setelah bersandar kepada hadith Rasulullah SAW menyuruh supaya “...Bersegeralah kalian dalam mengurus jenazah.”[8] Dengan ini, mayat-mayat akan disemadi pada keesokan pagi, 28 Mac 1950. Masalahnya, di mana? Tidak terdapat tapak tanah perkuburan Islam berhampiran Kpg Pulai. Ekoran itu, keputusan dibuat untuk mengenal pasti lokasi yang difikir sesuai sebagai pusara 14 wira tersebut.[9]

*****

Bersambung, in syaa Allah...



[1]              Zakaria Salleh. (2007). Limpahan Darah di Sungai Semur sebelum ini, hlm. 134.

[2]              Syed Othman Syed Omar. (2004). Pahlawan Tanahair, hlm. 156.          

[3]              Harry Miller, A Malay Platoon at Ulu Semur sebelum ini.

[4]              Ibid.

[5]              Ibid.

[6]              Ibid.

[7]              Ibid.

[8]              Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, IRSYAD HUKUM SIRI KE-346 : HUKUM MENGEBUMIKAN JENAZAH BUKAN DI TEMPAT DIA MENINGGAL DUNIA,  13 Disember 2019. Lihat https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/umum/ 3890-irsyad-al-fatwa-siri-ke-346-hukum-mengebumikan-jenazah-bukan-di-tempat-dia-meninggal-dunia?highlight=WyJzb2xhdCIsIn NvbGF0JyIsIidzb2xhdCIsInNvbGF0Jy4iLCJqZW5hemFoIiwiamVuYXphaCciLCJqZW5hemFoJy4iLCJzb2xhdCBqZW5hemFoIl0= (diakses pada1 April 2025).

[9]             Penjelasan oleh Brig Jen Dato’ Abdul Hamid bin Md Zain (B) kepada penulis melalui telefon pada 3 April 2025. Pada tahun 1972 beliau selaku Ketua Platun, Kompeni B, Bn 7 RAMD, Pengkalan Chepa, telah ditugas untuk memindahkan 14 jenazah wira Sg Semur dari Kpg Pulai ke Pusara RAMD di Port Dickson, Negeri Sembilan. Beliau mengesahkan hanya terdapat 14 pusara tersebut di lokasi tersebut.