Sambungan dari SINI (klik)
Al-Fatihah
28 Mac
1950...
Dari pagi lagi, Markas Taktikal Kompeni D begitu sibuk sekali bak sesibuk lebah; tak menang tangan. Dengan keanggotaan yang terbatas, banyak aktiviti yang perlu dilaksana. Keutamaan ialah menentukan Pbt Wahab dan Pbt Rashid mendapat rawatan dengan segera. Ekoran itu, sebaik sarapan pagi, satu kumpulan anggota mengusung mereka ke Sg Galas yang tersedia sebuah bot untuk membawa mereka ke Gua Musang. Dari situ, mereka diterbangkan ke Pengkalan Chepa.[1] Sebaik sahaja pesawat mendarat, mereka dibawa ke Hospital Kota Bharu oleh dua buah ambulans yang sedia menunggu. Mereka berkongsi wad dengan rakan seperjuangan, iaitu L/Kpl Othman dan Pbt Mohd Sabri.
Satu kumpulan pula membuat tinjauan di kawasan berhampiran pangkalan untuk mengenal pasti lokasi yang sesuai sebagai tapak pusara 14 rakan seperjuangan mereka. Kawasan yang dipilih ialah satu tanah lapang di seberang sungai di mana terletaknya Tokong Swee Nyet Keung (Tokong Mek).[2] Setelah dikenal pasti, satu kumpulan diarah menggali 14 liang lahad. Sementara itu, Tuan Hj Ibrahim Yusoff bersama beberapa anggota sibuk mengurus jenazah-jenazah untuk dimandi, dikafan dan disolat. Seterusnya, 14 jenazah, iaitu: (1) 1134 Lt M Hassan bin Yassin; (2) 4087 L/Kpl Othman bin Abu Samad; (3) 4100 L/Kpl Mohd Rasul bin Othman; (4) 4045 Pbt Mustaffa bin Sulaiman; (5) 4018 Pbt Ismail bin Rasul; (6) 4016 Pbt Mohd Yassin bin Hj Ali; (7) 4057 Pbt Hussain bin Hj Yusof; (8) 4067 Pbt Kassim bin Amin; (9) 4123 Pbt Wahab bin Sidek; (10) 4132 Pbt Md Isa bin Ahmad; (11) 4359 Pbt Ibrahim bin Awang; (12) 4403 Pbt Daud bin Ismail; (13) 4411 Pbt Omar bin Deris; (14) 4015 Pbt Mohd Yunus bin Hj Taha, dibawa ke pusara untuk disemadikan.
*****
Selepas upacara pengebumian selesai, rombongan Lt Kol W.O. Walton (CO), termasuk Pbt Salleh meninggalkan Kpg Pulai dengan menaiki bot ke Gua Musang untuk balik ke Pengkalan Chepa. Dari Gua Musang mereka menaiki kenderaan dengan diiringi oleh kereta perisai ke Bertam. Dari situ, mereka menaiki bot ke Kuala Krai di mana kenderaan membawa mereka ke Pengkalan Chepa.[3] Sebaik tiba di pangkalan, Pbt Salleh dibawa ke Hospital Kota Bharu untuk mendapat rawatan. Kini kelima-lima WIA, iaitu L/Kpl Othman, Pbt Mohd Sabri, Pbt Wahab, Pbt Rashid dan Pbt Salleh akhirnya mendapat rawatan sewajarnya.
*****
Bersambung...in syaa Allah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan