Pengikut

Khamis, 1 Januari 2026

SAR Low's Gully: "Jangan masuk...jangan masuk"

 “Exercise Gulley Height”












Jurang Low's Gully menggamit mereka yang berhati kental berhati kental. 
Sumber: RAF MRS Society

Gamitan Low’s Gully terus menghantui Neill - jurang itu mesti ditawan. Seperti yang dinyata sebelum ini, semasa mengetuai Ex Jungle Heights 1, beliau telah meneliti topografi Low’s Gully dari puncak Low’s Peak. Tipikal seorang pegawai tentera, beliau membuat perkiraan keadaan (appreciation). Hasilnya  beliau telah menemui laluan yang diyakini mampu menjadikannya orang pertama menawan jurang tersebut. Dalam deduksinya, laluan itu ialah menyusuri Sg Panataran hingga ke hulu, kemudian menuju ke Low’s Gully. Dari situ, pendakian ke puncak Low’s Peak dapat dilakukan dengan selamat.[1] Namun, realitinya?

 Bagi membukti hipotesis itu, Neill sekali lagi mengatur latihan lasak ke Gunung Kinabalu pada 17 November hingga 1 Disember 1982. Ekspedisi kali ini diberi nama ‘Ex Jungle Heights 3’ (‘Ex Jungle Heights 2’ mendaki Gunung Tahan pada tahun 1983). Berlandas deduksinya sebelum ini, ekspedisi kali ini ialah mendaki Gunung Kinabalu dari arah utara, iaitu dari kawasan Kpg Melangkap. Beliau selaku ketua, PW I Ronald Foster sebagai timbalan dan empat Pegawai Tidak Bertauliah (PTT) warga British serta tiga daripada kaum Cina.

 Dalam perkiraan keadaan, beliau terlepas pandang faktor utama. Cuaca. November-Disember adalah musim tengkujuh! Mereka mendapati Sg Panataran sedang melimpah dan berarus deras serta mengalir dengan kekuatan yang amat dahsyat. Lebih buruk lagi, tebing-tebing curam menjunam terus ke dalam sungai di kedua-dua belah sejauh mata memandang.[2]

 Meneruskan ekspedisi hanya menempah kecelakaan, malahan maut! Lantaran itu, Neill membuat keputusan untuk membatal ekspedisi itu. Dalam laporannya, beliau menyata kegagalan Exercise Jungle Heights 3 disebabkan “...the flooded Panataran River, the difficult nature of the river bed and the jungle alongside it...”[3] Kita hanya boleh merancang, Allah menentukan.

*****

Kegagalan menawan Low’s Gully semasa Ex Jungle Heights 3 sama sekali tidak mematah azam Neill. Azamnya tetap berkobar-kobar walaupun selepas dinaikkan pangkat ke Leftenan Kolonel (Lt Kol) dan ditukar ke HQ Eastern District, York, pada 1992.[4] Beliau bukan keseorangan berazam untuk menawan jurang tersebut.

 Sama seperti Neill, jurang itu turut menghantui Foster. Neill hanya dua kali ‘berjinak’ dengan gunung tersebut sebaliknya Foster tiga kali. Selepas kegagalan Exercise Jungle Heights 3, beliau telah menyertai dua ekspedisi lagi dalam cubaan menawan jurang di utara gunung itu. Ekspedisi tersebut ialah ‘Exercise Jungle Heights 4’ pada Ogos 1983 dan ‘Kinabalu Triangle’ pada Mei-Jun 1988. Tetapi tetap gagal!

‘Kegagalan’ tiada dalam istilah kedua-dua mereka. Setelah bersara pada 1985, Foster telah memasuki Askar Wataniah. Ekoran itu, mereka masih berhubung dan antara topik sudah pasti Low’s Gully. Dengan pengalaman dan pengajaran sebelum ini, terutama faktor cuaca selain peralatan dan bekalan makanan, mereka merancang ekspedisi ke Low’s Gully sekali lagi.

*****

Keanggotaan ekspedisi itu tidak terbatas kepada anggota yang berkhidmat di England. Neill menawar tiga tempat kepada anggota unit lamanya di Hong Kong. Dengan itu, komposisi Exercise Gulley Height terdiri daripada 10 anggota. Mereka ialah:

        1.     Lt Kol Robert Neill, 46 tahun. Ketua ekspedisi.    Kelayakan: TR&A,[5] MLC.[6]

        2.     Mej Ron Foster (AW), 54 tahun. Mempunyai firma sendiri dalam bidang perkhidmatan                        kewangan. Timbalan ketua ekspedisi. Kelayakan: TR&A.

3.     Sjn Bob Mann (AW), 37 tahun. Bekerja sebagai pengecat di limbungan kapal.

4.     Kpl Hugh Brittan, 24 tahun, RLC Display Team. Kelayakan: TR&A Mantan anggota Briged Paracut.

5.     L/Kpl Richard Mayfield, 25, Ordnance Squadron, Commando Logistic Regiment. Kelayakan: JSRCI,[7] Penasihat teknikal.

6.     L/Kpl Peter Shearer, 26 tahun, Royal Engineers Regiment. Kelayakan: TR&A, JSMEL.[8]

7.     L/Kpl Steve Page, 26 tahun, RLC Display Team. Kelayakan: TR&A.

8.     L/Kpl Cheung Yiu Keung, 32 tahun, Hong Kong Military Service Corps (HKMSC).[9]

9.     Pbt Lam Wai Ki, 27 tahun, HKMSC.

10. Pbt Chow Wai Keung, 24 tahun, HKMSC.

9 peserta Ex Gulluy (sic) Height di Eastern District Hq, Imphal Barracks, York, pada April-Mei 1994. Depan dari kiri: L/Kpl Shearer, L/Kpl Page, Sjn Mann, L/Kpl Cheung Y.K. Belakang: Pbt Lam W.K., L/Kpl Mayfield, Lt Kol Neill, Mej Foster, Kpl Brittan. ((Sisipan: Pbt Chow W.K.). 
Sumber: ITN-Channel 4 TV 

Neill seterusnya mengemukakan permohonan kepada pihak atasan untuk mengetuai latihan lasak - Exercise Gulley (sic) Height - ke Gunung Kinabalu pada 27 September 1993. Dalam permohonan tersebut, beliau menyata objektif latihan ialah:

“Untuk melengkapkan penurunan pertama dari arah utara Gunung Kinabalu, Sabah, melalui Low’s Gully. Seterusnya mengikuti Sungai Panataran hingga ke Kampung Melangkap Kappa (jalan raya terdekat).”[10]

 Menurut pengiraan Neill, keseluruhan ekspedisi itu akan mengambil masa kira-kira sebulan, termasuk perjalanan pergi dan balik ke United Kingdom. Namun, untuk mendaki dan menuruni Low’s Gully sahaja, beliau menganggar tempohnya sekitar 10 hari. Atas asas itu, mereka membawa rangsum standard yang dibekalkan oleh TDB untuk tempoh sepuluh hari. Rangsum yang sama juga diperuntuk untuk tiga anggota yang akan menyertai mereka dari Hong Kong. Permohonan dilulus.

Dengan kelulusan itu, sebagai persediaan sebelum pemergian ke Sabah, anggota-anggota pasukan di England menjalani latihan ‘abseiling’ pada hujung minggu bagi memastikan mereka bersedia menghadapi cabaran yang menanti mereka nanti. Antara lokasi latihan ialah di Dewerstone.[11] Latihan diselia oleh  Mayfield. Pada 19 November 1993, Neill telah menghantar ‘sitrep (situation report)’ pertamanya kepada para peserta. Dalam aspek perubatan, termasuk pergigian, Neill menulis dalam:

 Dentist: get sorted out now, as Sabah dentists only use pliers![12]

Kenyataan ini boleh ditafsir sebagai memapar keangkuhannya, malah kejahilan terhadap realiti profesionalisme negara tuan rumah.

*****

Para peserta di England sudah bersedia tetapi bagaimana pula tiga peserta di Hong Kong? Bagi menentukan mereka juga bersedia dengan peralatan, Neill mengarah Foster untuk berlepas ke Hong Kong pada 14 Februari 1994 dan tiba pada keesokan petang, 15 Februari.  Neill dan lima lagi pula berlepas pada 15 Februari dengan British Airways dan tiba di Hong Kong pada petang 16 Februari. Mereka berkenalan dengan tiga kaum Cina tersebut di Lapangan Terbang Kai Tak sebelum menaiki pesawat Royal Brunei Airlines ke Brunei dan tiba di Bandar Seri Begawan pada malam itu (16 Februari). Keesokan pagi, rangsum dan alat-alat berkenaan diberi kepada anggota kaum Cina untuk dimuat dalam ‘haversack.’ Bagi mereka bertiga, haversack yang beratnya lebih kurang 35 kg sungguh membebankan!

Pada 18 Februari, mereka menaiki feri ke Labuan dan seterusnya ke Kota Kinabalu. Neill begitu yakin mereka akan berjaya melaksana misi, mengarah Brittan menempah tiket penerbangan ke Hong Kong pada 9 Mac 1994 untuk mereka semua.[13] Malahan, beliau memberitahu Timbalan Ketua Warden Taman Kinabalu, mereka akan berada di Markas Taman Kinabalu pada 4 Mac. Secara berseloroh, beliau memberitahunya jika mereka gagal hadir di situ pada tarikh tersebut (4 Mac), Ketua Warden boleh mencari mereka. Bagi tujuan itu, beliau memberi alamat Mej Nigel Ramsden di Hong Kong untuk dihubungi jika perlu.[14] Sementara itu, ketiga-tiga anggota Cina pula membeli beberapa paket mi segera sebagai bekalan. Rangsum yang dibekal, seperti biskut, coklat, kaserol ayam, ‘lambs stew’ dan ‘corned-beef,[15]  memenuhi selera orang Inggeris - bukan makanan ruji kaum Cina.

 Mereka menerus perjalanan ke Taman Gunung Kinabalu pada 20 Februari 1994 dan menginap di hostel di situ. Neill kemudian meninjau kawasan sekitar untuk menilai tahap kecekapan anggota Cina tersebut dalam teknik abseiling. Beliau memasang tali pada sebatang pokok yang sesuai dan memilih balkoni besar yang terjulur ke luar di hadapan bilik penginapan mereka sebagai platform latihan. Tugas mengajar teknik abseiling dipertanggungjawab kepada Mayfield. Inilah kali pertama mereka diperkenal kepada abseiling. Dengan terlaksana latihan pengenalan abseiling kepada tiga anggota itu, para peserta bersedia untuk memecah rekod sebagai penawan Low’s Gully! 

Bersambung...in...sya...Allah...

__________________

[1]              Richard Connaughton. (1996). Descent Into Chaos. London: Brassey’s (UK) Ltd., hlm. 19-20.

[2]              Ibid., hlm. 21.

[3]             Ibid.

[5]              TR&A - Top Roping and Abseiling.

[6]             MLC – Mountain Leadership Certificate.

[7]            JSRCI – Joint Services Rock Climbing Instructor.

[8]           JSMEL – Joint Services Mountain Expedition Leader.

[10]              Richard Connaughton. (1996). Descent Into Chaos sebelum ini, hlm. 32.

[11]             Lt Col Robert Neill & Major Ron Foster. (1995). SOS sebelum ini, hlm. 41.

[12]            Ibid., hlm. 38.

[13]           Ibid., hlm. 59.

[14]           Ibid., hlm. 65.

[17]            Ibid., hlm. 232