Pengikut

Selasa, 13 Januari 2026

SAR Low's Gully: "Jangan masuk...jangan masuk"

Sambungan dari   SINI

 Melenting

22 Mac 1994...

 Pada jam 10.00 pagi, 10 anggota kumpulan bakal penawan Low’s Gully selesai berurusan dengan Ibu Pejabat Taman Kinabalu. Mereka dikehendaki menandatangani borang ‘indemnity’ dan menyerah salinan pasport mereka. Dengan menandatangani borang itu, pihak Taman tidak bertanggungjawab jika berlaku sebarang kecelakaan ke atas mereka. Dari situ, mereka menumpang kenderaan ke Timpohan Gate, titik permulaan pendakian,  berhampiran yang berketinggian sekitar 6,122 kaki (1,866 meter). Kebiasaannya, jarak trek 6 km ke Panalaban (sekitar 10,500 kaki), perhentian pertama untuk para pendaki, mengambil masa lebih kurang 4-6 jam.

Dengan berat beg hampir 35 kg di belakang, kumpulan Neill memula pendakian. Tidak seperti lain-lain pendaki, mereka tidak mengguna  perkhidmatan ‘porter’ walaupun ketua ekspedisi telah ditawar perkhidmatan itu dan dana bukannya faktor utama. Keputusan itu menjadi barometer tahap kecergasan fizikal dan mental mereka yang berakhir dengan perpecahan.

Sementelah beliau dan Foster bukan asing mengguna trek yang sedia ada, Neill memberi kebebasan untuk anggota mengambil masa sendiri mendaki gunung itu selari dengan kemampuan mereka. Beliau mengandai mereka akan bergerak berpasangan atau dalam kumpulan kecil - agar tiada siapa berjalan sendirian, ada teman untuk berbicara, dan membantu jika berhadapan dengan masalah.[1] Andaian itu kelihatan munasabah tetapi gunung segera membuktikan sebaliknya!

*****

Trek pendakian Gunung Kinabalu. Sumber: amazingborneo
*****
Dengan semangat berkobar-kobar, Brittan, Shearer, Page, Cheung, Chow, dan Lam mendahului pendakian disusuli Mann dan Mayfield. Manakala pendaki paling tua - Neill dan Foster - di belakang sekali. Tidak lama kemudian, Mann dan Mayfield berhenti kerana Mann mula menunjukkan keletihan.  Beliau memberitahu Mayfield yang beliau akan menyertai kedua-dua pegawai tersebut. ‘Mangsa’ pertama Gunung Kinabalu! Tidak lama kemudian, kumpulan terakhir tiba. Sama seperti Mann, Foster juga menghadapi keletihan sehingga beliau meminta Mayfield membawa kamera videonya yang dibimbitnya. Mangsa kedua!

Mayfield menerus pendakian berseorangan. Beliau memintas Lam dan Chow dan berhenti apabila melihat Page berehat di satu perhentian untuk meneguk air sebelum menerus pendakian. Tidak lama kemudian, beliau menyusul Shearer. Mereka berdua menerus pendakian dan berhenti apabila melihat Brittan sedang berehat di satu perhentian. Kali ini, Mayfield dan Brittan menerus pendakian dan berhenti di tempat perhentian di ketinggian lebih kurang 9,000 kaki.[2] Di sini, mereka menunggu rakan-rakan di belakang. Setelah hampir sejam menunggu namun rakan-rakan masih belum kelihatan, mereka membuat keputusan untuk menerus pendakian dan tiba di Panalaban pada jam 4.30 petang.[3] Mereka disusuli oleh Shearer, Page, Cheung, dan Lam. Pada jam 7.00 malam, akhirnya Neill yang membantu Chow tanpa beg galas tiba disusuli oleh Mann yang membawa beg Chow dan Foster.

Mayfield meneruskan pendakian berseorangan, memintas Lam dan Chow sebelum berhenti seketika apabila melihat Page berehat untuk meneguk air. Tidak lama kemudian beliau menyusul Shearer. Mereka berdua meneruskan pendakian sehingga menemui Brittan yang sedang berehat di satu perhentian. Kali ini, Mayfield dan Brittan bergerak bersama dan berhenti di satu perhentian di ketinggian kira-kira 9,000 kaki untuk menunggu rakan-rakan di belakang.

Setelah hampir sejam menunggu tanpa kelibat mereka, kedua-duanya membuat keputusan untuk meneruskan pendakian dan tiba di Panalaban pada jam 4.30 petang. Mereka kemudian disusuli oleh Shearer, Page, Cheung dan Lam. Pada jam 7.00 malam, Neill akhirnya tiba sambil membantu Chow yang tanpa beg galas, diikuti oleh Mann yang membawa beg Chow dan Foster.

Jika Mayfield dan Brittan mengharapkan sebarang kepujian daripada Neill, mereka ternyata silap besar. Neill melenting. Beliau memarahi mereka kerana tidak menunggu rakan-rakan di belakang. Kemarahannya memuncak apabila beliau dan kumpulannya - Foster dan Mann - terkejut menemui Chow terduduk berseorangan di atas trek dalam keadaan terlalu letih untuk meneruskan pendakian. Mangsa keempat. Seperti yang telah diarahkan sebelum ini, Neill membantu mengeluarkan sebahagian barangan daripada beg galas Chow bagi meringankan bebannya. [4]

 Dua pegawai PTT itu terpinga-pinga menjadi sasaran kemarahan ketua ekspedisi. Apakah sebenarnya kesalahan mereka? Bukankah sebelum pendakian Neill sendiri telah mengarahkan setiap orang mengambil masa masing-masing tanpa perlu menunggu yang lain? [5]

Apa yang dilihatnya membuatkan Mayfield mula meragui kewajaran meneruskan misi ekspedisi. Sebagai seorang jurulatih, beliau menilai bahawa tahap kecergasan fizikal beberapa peserta tidak mencukupi untuk meneruskannya. Jika pendakian melalui laluan pelancong pun sudah menimbulkan masalah, bagaimana pula cabaran yang bakal dihadapi di laluan yang belum pernah diterokai?

Mayfield seterusnya, pergi ke pondok yang menempatkan ketiga-tiga kaum Cina. Cheung selaku jurucakap, memberitahunya bahawa tidak berhasrat untuk meneruskan ekspedisi tersebut dan meminta supaya beliau memberitahu Neill. Sebaliknya, beliau menyaran Cheung sahaja memberitahu ketua ekspedisi. Beliau yang berkongsi penginapan dengan Mann, berkongsi kemusykilannya dan hasrat kaum peserta Cina. Mann sendiri mengakui beliau tidak mampu untuk menerus misi ekspedisi.

Tindakan Mayfield mendapatkan pandangan daripada para peserta tidak disenangi Neill. Ekoran itu, beliau mengarah mereka semua menghadiri ‘O-group’ pada jam 9.00 malam di mana beliau akan memberi arahan kepada mereka. Beliau memulakan perjumpaan dengan nada tegas: beliau ketua ekspedisi, dan keselamatan mereka berada di bawah tanggungjawabnya. Juga, beliau menekankan Mayfield sebagai seorang pakar ‘rock-climbing,’ pandangannya diperlukan sekiranya mereka berhadapan dengan situasi mengancam nyawa semasa abseiling di permukaan batu. Selain itu, juga mengingatkan bahawa laporan akan dihantar kepada CO masing-masing nanti terhadap kelakuan mereka semasa ekspedisi sementelah ia adalah latihan rasmi.[6] Satu amaran. Beliau seterusnya membuka kepada mereka untuk memberi pandangan masing-masing.

Dengan amaran sebegitu, sudah pasti pandangan yang diluahkan secara berhati-hati mengambil kira kerjaya mereka. Secara berhemah, Mayfield menyuarakan keraguannya ke atas tahap fizikal beberapa peserta untuk meneruskan ekspedisi, terutama Chow. Hujahan ini diperakui oleh Chow di mana beliau memberitahu ketua ekspedisi yang beliau ingin menarik diri supaya lain-lain peserta boleh meneruskan misi tanpa beliau sebagai halangan. Sebaliknya, sebagai anggota Wataniah, Mann berfikir secara operasi. Beliau mencadangkan ekspedisi dipecahkan kepada dua kumpulan. Beliau menyaran ekspedisi dipecahkan kepada dua kumpulan. Satu kumpulan yang terdiri daripada mereka yang berhadapan dengan masalah fizikal, mendaki dari kaki gunung menyusuri Sg Panataran dan membawa bekalan tambahan. Selain beliau sendiri, mereka yang difikirnya dalam kumpulan itu ialah  Neill, Foster, Cheung, Lam, dan Chow. Kumpulan kedua pula, iaitu Brittan, Mayfield, Shearer, dan Page, meneruskan misi ekspedisi. Bekalan tambahan tersebut boleh menampung keperluan kumpulan kedua jika perlu.[7]  

Sudah tentu saranan Mann tidak diterima oleh Neill. Alasannya beliau pernah mencuba menawan jurang itu dari bawah sebelum ini tetapi tidak berjaya. Beliau menegaskan ekspedisi diteruskan seperti yang dirancang. Noktah. Keputusan ini membuat Brittan memberanikan diri menyindir Neill: “Saya tahu apa yang tuan takutkan -kami akan turun ke Gully itu lebih dahulu daripada tuan!”[8]  Menutup perjumpaan itu, Neill mengarah keesokan hari digunakan untuk berehat. Bagaimanapun, beliau mengarah mereka yang telah meninggalkan bekalan di trek semasa pendakian sebelum ini - termasuk beliau sendiri - mengambil bekalan tersebut.

Petang itu, Neill mengarah Mann, Mayfield dan Brittan memeriksa beg galas tiga anggota Cina bagi memastikan bekalan yang dibawa mencukupi. Pemeriksaan itu mengejutkan mereka - bekalan yang ada hanya cukup untuk tiga hingga empat hari sahaja. Kebetulan Neill muncul di situ. Beliau melenting. Kini giliran tiga anggota Cina pula terpinga-pinga menjadi sasaran kemarahannya. Apakah kesalahan mereka? Pada fahaman mereka, sememangnya mereka membawa bekalan untuk 10 hari, seperti yang dimaklumkan oleh PTT semasa di Brunei. Bagi mereka, ‘10 hari’ itu bermula dari hari ekspedisi berangkat dari Kota Kinabalu, bukannya hanya dikira setelah berada di Panalaban.

Mereka tidak makan di kafeteria bersama peserta British, sebaliknya memasak bekalan yang dibeli di Kota Kinabalu. Keadaan ini berpunca daripada kegagalan komunikasi - mereka kurang fasih berbahasa Inggeris, selain mempunyai kekangan kewangan. Bekalan yang dibawa dari UK pula tidak menepati selera mereka; makanan ruji mereka ialah nasi dan mi. Ekoran itu, mereka membuang bekalan seperti kaserol ayam, lamb stew dan corned beef. Perbezaan budaya yang asas ini tidak diambil kira oleh Neill dan Foster dalam perancangan mereka, walhal kedua-duanya pernah berkhidmat di Hong Kong.[9]

 Sebagai langkah segera, Neill memberikan RM50 kepada setiap seorang daripada dana kumpulan untuk membeli bekalan tambahan di kedai rumah rehat. Seterusnya, beliau memaklumkan bahawa keesokan paginya mereka akan mendaki ke Low’s Peak untuk menyaksikan fajar menyingsing.

Bersambung...in...sya...Allah...



[1]              Lt Col Robert Neill & Major Ron Foster. (1995). SOS sebelum ini, hlm. 67.

[2]              Rich Mayfield with Bob Mann. (1997). Kinabalu Escape: The Soldiers’ Story. London: Constable, hlm. 68.

[3]             Richard Connaughton. (1996). Descent Into Chaos sebelum ini, hlm. 46.

[4]             Lt Col Robert Neill & Major Ron Foster. (1995). SOS sebelum ini, hlm. 75.

[5]             

[6]             Ibid., hlm. 73; Rich Mayfield with Bob Mann. (1997). Kinabalu Escape sebelum ini, hlm.

[7]            Rich Mayfield with Bob Mann. (1997). Kinabalu Escape sebelum ini, hlm. 83.

[8]           Lt Col Robert Neill & Major Ron Foster. (1995). SOS sebelum ini, hlm. 74.

[9]             Richard Connaughton. (1996). Descent Into Chaos sebelum ini, hlm. 58. Lt Kol Robert Neill dan Mej Ron Foster terkedu apabila perbezaan budaya dibangkit semasa Lembaga Penyiasatan di Eastern District Hq, Imphal Barracks, Fulford Road, York pada 25 April 1994 hingga pada 24 Mei 1994.

 


Tiada ulasan: