Komen 'Abah' terhadap blog bertajuk 'Patriotism 2' membuat saya terfikir untuk menyiarkan surat saya kepada Pengarah PLKN. Saya menghantar surat ini melalui faks disebabkan PLKN ketika itu tiada kemudahan e-mel; mereka baru berpindah ke pejabat baru. Maaf tidak dapat menyiarkan alamat dan # telefon....susah nak jawab panggilan peminat-peminat nanti..he..he (jangan marah ya)
06000 Jitra
Kedah Darulaman
7 Ogos 2009
Dato’ Abdul Hadi Bin Awang Kechil
Ketua Pengarah
PLKN
Kuala Lumpur
Assalamualaikum,
CADANGAN MENJEMPUT PENERIMA ANUGERAH KEPAHLAWANAN DAN MEREKA YANG TERCEDERA UNTUK MENCERITAKAN KISAH PERJUANGAN MEREKA
Untuk makluman, saya telah menceritakan pengalaman-pengalaman saya dalam blog – xnuripilot.blogspot.com. Respons dari lebihkurang 140 siswa-siswi Fakulti Sains Sosial, USM, menggambarkan kebanyakan mereka tidak mengetahui perit maung pasukan keselamatan menentang pengganas komunis (PK). Polimik untuk membawa pulang Chin Peng oleh pihak tertentu adalah punca saya menulis dalam blog.
Dalam coretan terkini, Patriotism 2, saya telah mencadangkan kepada Menteri Pertahanan agar PLKN menjemput penerima-penerima anugerah keberanian, iaitu SP, PGB, PTU dan KPK, dan mereka yang cacat anggota disebabkan operasi menentang PK, untuk menceritakan kisah pengalaman mereka. Cerita dari mulut tuan empunya badan sudah pasti akan memberi impak yang lebih berkesan. Tetapi ianya harus berterusan untuk semua kursus.
Saya percaya ramai dari mereka ini bersedia menerima jemputan tersebut. Saya sendiri sebagai penerima PTU, berbangga sekiranya diberi peluang untuk menceritakan pengalaman saya sebagai mantan pilot helikopter Nuri.
Sekiranya Dato’ berkelapangan, sila layar komen-komen kepada Pengalaman Pertama dan Pengalaman Ke2.
Sekian untuk difikir-fikirkan. Terima kasih.
MEJ (B) NOR IBRAHIM BIN SULAIMAN
Respons dari PLKN......Untuk makluman, faks yang diterima pada 27 Ogos itu sebenarnya ialah 'peringatan' saya kerana kecewa tiada mendapat sebarang respons.
From: Saimi Bin Jusoh
To: nibsny@yahoo.com
Sent: Thursday, August 27, 2009 8:41:21 AM
Subject: MAKLUMBALAS SURAT CADANGAN JEMPUTAN PENSYARAH PLKN
Dengan hormatnya saya ingin menarik perhatian tuan berkaitan perkara tajuk.
2. Pihak Jabatan telah menerima surat cadangan yang dikemukan oleh tuan bertarikh 7 Ogos 2009 melalui faks pada 27 Ogos 2009.
3. Pertimbangan selanjut sedang dibuat oleh cawangan-cawangan yang berkaitan sebelum perkara ini dipersetujui kerana ia melibatkan banyak implikasi-implikasi berikut:
a. Jadual waktu yang sedia ada perlu dirombak semula jika perkara ini perlu dimasukkan.
b. Implikasi kewangan yang akan terlibat.
c. Bentuk syarahan yang bakal dilaksana.
d. Lain-lain perkara yang bersangkutan.
4. Pihak Jabatan amat mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan Tuan dalam perkara ini dengan mengemukakan satu cadangan yang bernas. Pihak Jabatan akan menghubungi Tuan jika maklumat lanjut diperlukan.
5. Sekian terima kasih.
Penghargaan saya kerana PLKN sudi menjawab surat saya.
From: nor ibrahim sulaiman
To: Saimi Bin Jusoh
Sent: Thursday, August 27, 2009 11:12:30 AM
Subject: Re: MAKLUMBALAS SURAT CADANGAN JEMPUTAN PENSYARAH PLKN
Assalamualaikum,
Terima kasih kerana sekurang-kurangnya anda telah memberi jawapan.
Pembaca.....agak-agaknya apakah keputusan kepada cadangan ini nanti? Lihat dan tunggu sajalah!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan