Pengikut

Rabu, 28 Mac 2012

Tragedi 26 April 1976...Kisah XAlouette Pilot

Saya telah menghubungi Lt Kol Harun Bin Ayob TUDM (B), Ketua Flait No 3 Skuadron, TUDM Butterworth, agar menceritakan penglaman beliau ketika Ops Gubir. Saya memaklumkan pada beliau bahawa sekiranya diberi peluang dan ada rezeki bagi menerbit edisi ke2 'Coretan Xnuripilot', saya bercadang untuk memuatkan pengkisahan beliau, insya-Allah. Malah, saranan ini telah diajukan kepada beliau ketika kami bersua semasa menerima PJM di sini.

Pada 26 Mac 2012, saya terima emel berikut...

From: Harun Ayob
To: "nibsny@yahoo.com"
Sent: Monday, 26 March 2012 7:26 PM
Subject: Operasi Gubir 1976.

Pada 15 April 1976, Kapt (U) Harun b Ayob memandu pesawat helikopter Alouette III Gunship bernombor FM 1314 bersama Sjn Lee untuk gerakan Operasi Gubir. Tugasnya ialah 'escort' helikopter Nuri terbang memasuki kawasan hutan sempadan Malaysia-Thailand yang diduduki oleh pengganas komunis. Pada 16 April 1976 pra-operasi bermula diwaktu pagi dengan penerbangan tinjauan untuk cari lokasi kem pengganas oleh Lt (U) Mohamad Darby Owen dengan helikopter Alouette III sebanyak 2 missi tetapi tidak berjaya. Kapt (U) Harun b Ayob telah mengambil alih missi ke-3 penerbangan tinjauan tersebut bersama Lt (U) Mohamad Darby Owen disebelah petang. Setelah menjalani penerbangan rendah taktikal (tactical low flying) lebih kurang jam 1600 beliau berjaya jumpa kem pengganas tersebut terletak di atas satu banjaran bukit selang banjaran sempadan dan memberi koordinat yang tepat kepada Markas Operasi Gubir. Sekembalinya ke Markas Operasi Gubir, Kapt (U) Harun telah memberi taklimat terperinci kepada Pemerintah Operasi Bersama ATM. 

Pada 17 April 1976 (D-Day), Kapt (U) Harun telah bertugas memandu helikopter Alouette III Gunship bersama rakan sejawat yang lain (Lt (U) Khalid b Ali) untuk 'escort' helikopter Nuri S61A-4 mengangkut trup Tentera Darat (Rejimen Gerak Khas) ke lokasi memintas laluan bolos (enemy escape route) pengganas komunis beberapa meter di seberang sempadan Malaysia-Thailand, di utara Betong, Thailand. Setelah 'cut off troops' mengambil tempat masing masing, barulah operasi bermula (H-hour) dengan pengeboman 'target' kem komunis oleh pesawat 'ground attack' Jet Tebuan CL 41-G diikuti oleh pesawat Jet Pejuang F 5-E. Operasi berlanjutan hingga ke senja dan beberapa hari selepas itu. Ekoran dari gerakan tersebut, Penduduk Betong dibawah pengaruh dakyah komunis telah melancarkan tunjuk perasaan besar besaran anti-Malaysia. Peristiwa ini memberi kesan terus berupa tekanan pengunduran kepada kehadiran Pasukan Polis Hutan Malaysia di Betong, Thailand.

Kem komunis tersebut berjaya ditawan dengan kemasukan trup Tentera Darat melalui gerakan 'abseiling' dari atas helikopter Nuri S61A-4 ke atas kem pengganas, tetapi bukan tanpa pengorbanan. Helikopter Nuri pertama sampai kedudukan 'hovering' telah ditembak oleh sepasukan pengganas sehingga bersarang perut pesawat menyebabkan bahan bakar Avtur bertaburan seperti hujan. Kapten pesawat tersebut telah bertindak pantas mengelak pesawatnya dari terhempas dan terbang balik ke Kem Gubir dengan pertolongan Allah Subhanahu Wataala dengan selamat.

Tidak semua Wira Wira ATM dalam Operasi Gubir 1976 ini dapat mengelak dari trajedi dan pengorbanan. Pada pagi 26 April 1976 Bilik Operasi TUDM Butterworth telah dikejutkan dengan berita sebuah pesawat helikopter Nuri telah ditembak jatuh di kawasan Operasi Gubir. Pegawai Memerintah Pangkalan TUDM Butterworth, Lt Kol (U) Fauzi b Husin telah mengarahkan Kapt (U) Harun membawa beliau meninjau kawasan kemalangan dengan helikopter Aloutte III bernombor FM 1306. Selepas 25 minit penerbangan, pesawat tiba di kawasan kemalangan, lebih kurang 5 minit 'flight time' dari Kem Gubir. Ketika itu masih kelihatan api sedang marak membakar pesawat Nuri tersebut. Pasukan penyelamat Nuri masih belum dapat diturunkan kerana 'crash site' berkedudukan sulit dikelilingi hutan tebal dan lurah dalam. Diantara yang terkorban ialah Kapt (U) Choo Yok Boo dan Lt (U) Wan Munsif. 

Catatan oleh:  Lt Kol Hj Harun b Ayob (B) TUDM
                     Kenanga Villa,
                     Lorong Sri Kenanga
                     Jejawi Dalam,
                     02600 Arau, Perlis.

Kini Lt Kol Harun mengusaha inapdesa "KENANGA VILLA", di Arau, Perlis. Beliau boleh dihubungi di...
Bantu le rakan mempromosikan homestay beliau

Lt Kol Harun bin Ayob...Terima kasih.

2 ulasan:

SENAPANG PATAH berkata...

Salam tuan...Terbaik... Terima kasih tuan menjelang HUT 26 april entry kali ini memang sesuai sangat

paphiopedilum berkata...

salam,
saya sentiasa tertunggu-tunggu kisah zaman insurgensi dulu 70's-80's dari Tuan ....saya bangga dengan tentera kita semasa membanteras komunis dulu...