Pada 03 Dec 87, keempat-empat kapal TLDM mula belayar ke destinasi bersama 4 buah helikopter. Helikopter Nuri saya di tempatkan di atas kapal KD Mahawangsa. Flotilla ini telah singgah di Pangkalan TLDM Labuan untuk menambah bekalan makanan dan lojistik lain. Selain dari pesawat helikopter yang akan terlibat dalam Operasi ini, Pasukan Khas ATM yang terdiri dari Komando Tentera Darat, Komando Tentera Laut dan juga Komando Tentera Udara juga terlibat secara langsung dan mereka dilengkapi dengan peralatan khusus untuk menyelamat orang kenamaan. Pelayaran diteruskan ke destinasi yang mengambil masa beberapa hari dan semua anggota yang terlibat meneruskan latihan di atas kapal bagi menghadapi tugas yang mencabar ini. Pihak TLDM juga mengadakan sesi sembahyang hajat di atas kapal memohon agar Operasi ini menempah kejayaan tanpa sebarang rintangan dan dijauhi dari pertumpahan darah atau kemalangan.
Nuri atas KD MAHAWANGSA (gambar hiasan)
Pada 10 Dec 87, flotilla telah tiba ke destinasi, Teluk Manila, dan kapal TLDM hanya berada lebih kurang 3 batu dari Pelabuhan Manila. Pada 11 Dec 87, saya telah terbang dari KD Mahawangsa ke Pangkalan Udara Filipina di Manila untuk membuat perbincangan dengan pihak Tentera Udara Filipina tentang operasi yang akan dijalankan dan membuat taklimat keseluruhannya. Satu latihan terbang malam telah dimohon dan pihak Tentera Udara Filipina memberi kelulusan. Pada malam 12 Dec 87, saya telah mulakan penerbangan tersebut menuju ke Clarke Air Base seperti yang dirancang tetapi terpaksa berpatah balik sejurus tiba di Clarke Air Base kerana dua buah pesawat pejuang Tentera Udara Amerika Syarikat telah scramble kerana mereka tidak mendapat makluman pesawat saya dan menganggapkan saya sebagai penceroboh. Ini merupakan kegagalan pihak Tentera Udara Filipina tidak memaklumkan Flight Plan yang telah saya majukan.
Setibanya saya ke Teluk Manila, saya mendapati banyak kapal-kapal yang berlabuh dan amat sukar untuk mengenali KD Mahawangsa kerana Nuri tidak dilengkapi dengan peralatan navigasi yang canggih seperti yang ada sekarang ini. Dengan kecekapan pegawai Navigasi TLDM, mereka telah berjaya membuat 'talk down' saya terus ke KD Mahawangsa. Penerbangan ini merupakan satu pengalaman ngeri bagi saya kerana helikopter saya telah diancam dan jika saya lambat membuat keputusan, kemungkinan pesawat pejuang tersebut melepaskan tembakan terhadap saya. Perasaan ketakutan ini tidak saya kongsi bersama anggota lain kerana ditakuti akan melemahkan semangat mereka.
Tiba hari sebenar, 16 Dec 87, pesawat VVIP membawa orang kenamaan telah memasuki ruang udara Manila dan pada ketika itu, dua buah Nuri dan dua buah Alouette terbang dari kapal masing masing untuk mengiringi pesawat VVIP mendarat di Lapangan Terbang Manila. Kami turut membuat pengawasan di udara dan seterusnya mengiringi konvoi kenderaan dari lapangan terbang ke pusat bandar Manila. Keadaan kawalan keselamatan amat ketat dimana sepanjang perjalanan kenderaan, laluan telah ditutup dan dikawal oleh Tentera Filipina. Alhamdulilah, semua berjalan dengan lancar walaupun pihak perisikan Filipina meramalkan kekecohan mungkin akan berlaku kerana situasi politk yang amat genting pada ketika itu.
Dalam pelayaran balik ke Labuan, flotilla kami telah diancam oleh taufan dan keadaan laut amat bergelora. Kapal KD Lekir yang membawa helikopter Alouette telah menghadapi kecemasan dengan ombak besar dan pihak Operasi Tentera Laut di Kuala Lumpur telah memberi kelulusan untuk menolak keluar helikopter Alouette jika melibatkan keselamatan KD Lekir. Walau bagaimanapun, keadaan beransur pulih dan anak kapal KD Lekir cekap mengendalikan kapal dan dapat menyelamatkan helikopter tersebut. Pada 19 Dec 87, semua kapal kapal telah selamat tiba di Pangkalan TLDM Labuan.
Sebagai rumusan, Operasi Selamat telah dilaksanakan dengan jayanya tanpa kekecohan walau pun pada awalnya kerajaan Filipina meramalkan ada pihak yang ingin membuat pemberontakan besar-besaran. Kemungkinan dengan kehadiran ramai tentera asing dan perancangan yang rapi, tidak memberi ruang untuk mereka melakukan keganasan. Kerjasama yang erat dikalangan ATM di semua peringkat memudahkan lagi perlaksanaan walaupun tugas yang diberikan ini amat berat. Keberanian pihak pengurusan TUDM membenarkan anak kapal melaksanakan tugas penerbangan diluar SOP menampilkan kepercayaan terhadap kebolehan krew helikopter.Dato' Ibrahim....Terima kasih.
3 ulasan:
Pembaca Semua,
Tak tahu mana silapnya, tulisan jadi kecil. Pomen sana...pomen sini, masih tak dapat saiz 'normal'.
Salam Tuan Mejar Nor Ibrahim,
Interesting read entry. Life risking mission esp when VVIP are involved. Moreover, in a risk-prone country; due to terrorism, we should exercise extreme caution. Bravo - Excellente! to all the servicemen who had displayed such commendable job!
p/s been there once, tourist@a traveler and we are told to remain vigilant and to avoid congregating in public areas. Had to actually choose the right hotels and beaches to be and to stay. Perhaps during those era of Tuan Mejar Nor, it could have been more risky and life-threatening situation.
Tuan Nor Ibrahim, the font size, it's ok.Be contented...we could use magnifying glass by all means; if we have to...LOL ;-D. The entry content is much worth reading. I had worst, accidently deleted my Gaza poem entry in my blog.;-( and i can't retrieve, and dont have a copy to be republished. So Tuan, no worries, we'll work our way to read them...Cheers.
wahhhhhhhhhhhhhhhhhhhh...sgt teruja!!!!!!! brave operation!!! msti byk lg kan Mejar kisah2 mcm nie...meh la kongsi =)
Catat Ulasan