Pra-kata
Syukur alhamdulilah, berjaya juga saya menerbitkan
buku kedua ini. Sepertimana buku pertama, ‘Coretan Xnuripilot’ yang bergenre
patriotisme, buku ini juga adalah pembukuan koleksi coretan-coretan hasil
sumbangan para wira yang tidak didendang yang disiarkan dalam blog saya –
xnuripilot.blogspot.com.
Saya terdorong untuk mendokumentasikan pengalaman para veteran apabila membaca “A Doctor In The House. The Memoirs
Of Tun Dr Mahathir Mohamad”. Ini kerana Tun Dr Mahathir telah menyatakan dalam
bukunya itu bahawa salah satu tindakan terpenting dibuatnya apabila menjawat
Perdana Menteri, ialah menuntut Terumbu Layang-Layang (Swallow Reef) di Laut
China Selatan dan menempatkan ‘orang kita’ di sana. Ini bagi mengukuhkan
tuntutan negara terhadap terumbu tersebut.
Saya teruja kerana saya turut terlibat dalam proses
awal mentransformasikan sebuah terumbu kepada sebuah pulau – Pulau
Layang-Layang. Kini, pulau tersebut
menjadi syurga kepada penyelam skuba
menikmati keindahan ciptaanNya.
Bukan objektif saya untuk membincangkan dari aspek
keselamatan. Umum mengetahui sehingga kini, tuntutan bertindih terhadap gugusan
Kepulauan Spratly di antara negara-negara berkepentingan, termasuk Malaysia,
masih tiada seberang penyelesaian. Saya hanya cuba memaparkan secebis kisah
pengorbanan warga anggota ATM yang terlibat dari mula kelahiran dan seterusnya
mempertahankan kedaulatan sebahagian tanah air tercinta ini daripada sebarang
ancaman oleh mana-mana pihak.
Saya juga turut mendokumentasi kisah-kisah mereka
yang sedia kongsi bersama pengalaman. Saya berpandangan, kisah-kisah para
veteran yang mempunyai nilai sejarah ini,
seharusnya diabadikan supaya dijadikan bahan rujukan bagi generasi akan datang.
Saya sungguh gembira apabila kerajaan mengumumkan
mata pelajaran ‘Sejarah’ akan dijadikan subjek wajib. Memang bertepatan sekali
bagi menangkis kehakisan semangat patriotisme di kalangan rakyat. Untuk
melengkapkan subjek itu nanti, pengkisahan oleh para veteran boleh memainkan peranan sebagai perencah.
Bayangkan kesan kepada para pendengar jika seorang
pengkisah datang dengan bertongkat putih kerana kedua-dua mata tidak boleh
melihat, bertompang ketiak dek ketiadaan kaki, dan lain-lain kecacatan anggota
angkara kedurjanaan pengganas komunis di suatu ketika dulu. Saya pasti ramai
yang akan lebih menghargai pengorbanan anggota Pasukan Keselamatan dalam mempertahankan
kedaulatan negara dan sekaligus menaikkan semangat patriotisme.
Saya percaya laungan bagi memupuk kecintaan terhadap negara, yang sekarang ini lebih bersifat bermusim, dapat dipertingkatkan
sekiranya ia dilaksanakan secara berterusan, tidak hanya pada bulan Ogos dan September setiap tahun sempena
menyambut Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia. Saya pasti terdapat ramai para
veteran yang sedia menyumbang khidmat
bakti dengan meyampaikan ceramah-ceramah tentang pengalaman mereka di
organisasi-organisasi tertentu sekiranya mereka diberi kesempatan.
Saya sendiri telah berusaha menyarankan
agensi-agensi mengundang para veteran sebagai pengkisah tetapi responsnya agak
mengecewakan. Alangkah malangnya jika pengalaman yang tidak boleh diukur dengan
wang ringgit berkubur dengan jasad tiba masanya nanti.
Harapan saya agar buku yang tidak sepertinya ini,
sedikit-sebanyak dapat memberi kesedaran tentang kepentingan sejarah tanah air
tercinta yang satu ini.
Penghargaan saya kepada isteri tercinta, Siti
Roffini Binti Mohd Yusof, yang sentiasa memberi galakan dan terpaksa bersabar
dengan kerenah saya ketika menyunting buku ini. Saya turut mengucapkan
penghargaan kepada Panglima Tentera Laut, Markas Tentera Laut, No 5 Skuadron,
Brig Jen Datuk Ibrahim Hashim TUDM, Kept Johari Ahmad TLDM (B), Lt Kol Basri
Omar PGB (B), Mej Datuk Salehuddin PGB (B), Mej Zainal Abidin Husin KPK (B), Mej D. Swami
(B), Mej Ishak Mohd Isa KPK (B), Kapt Ismail Bakar, PW2 Saifuddin Choo Abdullah (B), PW2 Jaafar (B), PW2 Muhamad Razali Din (B) dan Lk1 Kmr Ismail Abd Aziz (Pak Mail). Tidak dilupai kaum keluarga, rakan-rakan seperjuangan,
para pembaca blog saya dan ramai lagi yang menyumbang idea serta galakan sehingga buku ini berjaya diterbitkan.
Mejar Nor Ibrahim Bin Sulaiman TUDM (B)
Pagi tadi, saya telah menghantar permohonan untuk mendapatkan ISBN. Sekarang ni kelang-kabut untuk menyediakan draf untuk dihantar kepada seorang individu dengan harapan beliau sudi menukil sepatah-dua kata sebagai 'Sekapur Sireh'. Masih banyak lagi proses yang perlu dilalui.
5 ulasan:
Tak sabar ...kali ini tak mahu jadi seperti buku pertama...di mana sy gagal dapat walau $$ ada... ini lah akibat gara2 acuh tak acuh dalam buat kerja...
harap dapat menatapnya pada 2013 ini.Semoga
Saudara2,
Terima kasih. Saya akan cuba menerbitnya awal 2013, insyaAllah.
Salam Tuan Mejar Nor Ibrahim,
BRAVO Tuan! At last, its your 2nd upcoming book. Look forward to having and reading it. Had actually missed the 1st one. (in fact i only came to know about this blog from my cousin).
CONGRATULATIONS TUAN! EXCELLENTE!
P/S...more and more recollection of military stories and again more published books from u Tuan, insyaAllah...
Selamat Petang Tuan Nor,
Memang saya hendak booking senaskah buku. Pasti lebih menarik ceritanya kali ini.
Luke Jetie Benjamin
Catat Ulasan