Pengikut

Khamis, 13 Disember 2018

Liku-Liku Ke Arah Pertemuan Baling

Dah mula nak edit coretan mengenai 'Rundingan Baling: Di Belakang Tabir.' Saya sebenonya termenong juga mengapa 'Rundingan' digunakan oleh kebanyakan penulis. Setelah banyak membaca, sebenonya mana ada sebarang rundingan. Dari awal lagi, Tunku dengan jelasnya menegaskan bahawa beliau TIDAK akan membenarkan kewujudan PKM. Selain itu beliau hanya nak jelaskan terma amnesti dan hanya sekadar mendengar apa yang akan dikatakan oleh Chin Peng. Nohtah.

Sama juga dengan Chin Peng. Dia bertegas PKM diiktiraf selain dari beberapa terma. Dari sebelum pertemuan tersebut sehingga hari terakhir kedua-dua pihak bergenjak dari tujuannya pertemuan mereka. Mana ada rundingan/negotiation!

Justeru, saya setuju bebeno bila Prof. Dato' Ramlah Adam menggunakan istilah 'Pertemuan Baling'. Kan nak sebut 'Percakapan Baling' yang diterjemahkan dari 'Baling Talks'....He...He...He. Jadi saya pun gunalah 'Liku-Liku Ke Arah Pertemuan Baling'.

Sekali lagi saya ulang, sesiapa yang berminat dengan topik ini, saya cadangkan baca 'Tunku Abdul Rahman And His Role In The Baling Talks' oleh Pof. Madya Dr. Nik Anuar Nik Mahmud.  Allahyarham turut kepilkan transkrip pertemuan tersebut;  dalam bahasa gomen le. Dan juga buku oleh Wahba bertajuk 'Baling Membuka Jalan Damai'. Beliau memasukkan transkrip temubualnya dengan Tunku dan Musa Ahmad, xPengerusi PKM yang kembali ke Malaysia pada November 1980. Yang bestnya beliau menterjemah transkrip pertemuan tersebut dalam BM.

OK...Mengadaplah komputer nak mula tapi entah apa kena, berat sangat nak berfikir. Tapi paksa juga memikiokannya. Saya dah janji pada diri sendiri untuk menyumbang apa yang tahu kepada peminat sejarah. Jika tak diterbitkan dalam bentuk buku, saya nak print dan bind dan beri 1 salinan pada Perpustakaan A. Setar dan 1 salinan kepada Arkib Negara A. Setar.

Jadi, akhirnya dapatlah memulakan secebis latar belakang kepada penulisan itu nanti.

Para pembaca yang dihormati, apa yang saya cuba lakukan hanyalah untuk menokoktambah tulisan penulis2 di atas berlandaskan kepada sumber2 yang ada pada saya. Sekiranya anda ada sebarang input yang difikirkan boleh mencerahkan lagi tulisan ini, harap sudilah berkongsi dengan saya. Malah saya mengalu-ngalukan sebarang komen atau kemushkilan. Boleh le saya cuba mencari jawapannya, wallahualam. Terima kasih.

Latar Belakang

Pembentukan Persekutuan Tanah Melayu (PTM) yang berkuat kuasa pada 1 Februari 1948[1]  menggantikan Malayan Union menyaksikan permulaan fasa negara menuju ke arah berkerajaan sendiri (self-govenment) dan seterusnya kemerdekaan. Persetujuan ini termaktub dalam mukadimah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu, 1948 yang ditandatangani pada 21 Januari 1948 seperti berikut:
AND WHEREAS it is the desire of His Majesty and Their Highnesses that progress should be made towards eventual self- government and, as a first step to that end, His Majesty and Their Highnesses have agreed that, as soon as circumstances and local conditions will permit, legislation should be introduced for the election of members to the several legislatures to be established pursuant to this Agreement.[2]

Klausa pemberian pemerintahan sendiri ini diulangi dalam watikah lantikan Jen. Sir Gerald Walter Templer (Templer) sebagai Pesuruhjaya Tinggi PTM merangkap Pengarah Operasi.[3] Lantikan ini dibuat oleh Sir Winston Churchill, Perdana Menteri UK ekoran pembunuhan Sir Henry Gurney, Pesuruhjaya Tinggi  dalam serang hendap di Batu 56½, Jalan Kuala Kubu-Bukit Fraser semasa dalam perjalanan ke Bukit Fraser pada 6 Oktober 1951 untuk menghadiri mesyuarat. Kejadian ini sungguh mengejutkan rakyat PTM dan juga kerajaan Inggeris. Insiden ini memberi gambaran tiada sesiapa pun yang selamat daripada keganasan pasukan gerakan komunis (PGK).[4] Watikah lantikan Templer dengan jelasnya menyatakan “...His Majesty’s Government will not lay aside their responsiblites in Malaya until they are satisfied that Communist terrorism has been defeated and that partnership of all communities which alone can lead to true and stable self-government has been established.[5] Perlantikan ini memberi kuasa penuh kepada beliau untuk mentadbir dan memusnah PGK.[6]

Dasar ini diperkukuhkan lagi oleh Robert Anthony Eden (Eden), Setiausaha Luar Negara semasa melawat PTM pada 2 Mac 1955. Beliau mengulangi lagi bahawa kerajaan Inggeris hanya akan menentukan halatuju PTM ke arah berkerajaan sendiri apabila keganasan oleh PGK berjaya ditumpaskan.[7] Selain itu, beliau menggariskan lima langkah menuju ke arah itu:
·                   Hapuskan keganasan;
·                 Menentukan rakyat berada dalam keadan bersedia menghadapi penyerapan dan subversi komunis;
·                   Membantu Persekutuan Tanah Melayu daripada ancaman ini;
·             Membangunkan pentadbiran ekonomi yang stabil dan mewujudkan keharmonian di antara semua kaum;
·                  Menentu sistem pertahanan yang utuh.[8] 
  
Bersandarkan kepada arahan tersebut dan keadaan keselamatan begitu meruncing, Templer berpandangan PTM masih tidak bersedia untuk menghadapi pilihan raya persekutuan sebelum 1958 dan berkerajaan sendiri sehingga 1960.[9] Dalam laporannya kepada  Lennox-Boyd, Setiausaha Negara untuk Koloni, Sir Donald Charles MacGillivray (MacGillvray) yang mengganti Templer,[10] mengakui keadaan menunjukkan pasukan gerila komunis (PGK) tidak mudah dimusnahkan. Dalam rumusannya, beliau menegaskan bahawa darurat tidak akan berakhir dalam masa terdekat selagi majoriti kaum Cina terus menyokong Parti Komunis Malaya (PKM).  Kesedian mereka ini membolehkan gerila komunis mengekalkan pasukan bersenjata mereka untuk meneruskan perjuangan.[11]

Rakyat menganggap keadaan keselamatan yang dipertengahkan hanyalah alasan untuk melengahkan proses menuju ke arah berkerajaan sendiri. Tanggapan ini diperkukuhkan apabila George Crombie dari Pejabat Hubungan Komanwel (Commonwealth Relations Office) dalam notanya pada 18 November 1954 menjelaskan bahawa “...dasar Koloni kita adalah untuk menggalakkan berkerajaan sendiri secara berperingkat melalui kaedah demokrasi.”[12] Motifnya menjadi lebih jelas apabila beliau menentang Mesyuarat Bandung (Asian-African Conference) yang akan diadakan di Bandung, Indonesia pada 18 hingga 24 April 1955. Beliau percaya antara topik perbincangan nanti akan membabitkan dasar anti-koloni. Perbicangan itu sudah pasti akan membuat Inggeris dalam keadaan kurang selesa. Keadaan akan menjadi buruk lagi dengan kehadiran wakil dari bekas koloni mereka, iaitu Ceylon (Sri Lanka), India dan Pakistan yang anti-koloni.[13]

Sebaliknya dasar ini menimbulkan prasangka di kalangan rakyat terhadap kejujuran Inggeris bahawa mereka agak keberatan untuk melepas PTM sebagai sebuah negara merdeka demi menjaga kepentingan ekonomi mereka.[14] Prasangka ini berasaskan kepada kepentingan mereka dalam industri getah asli, kelapa sawit dan bijih timah. Menurut laporan audit, PTM merupakan penyumbang terbesar di antara koloni kepada  ekonomi UK pasca Perang Dunia II.  Sumbangan koloni ini berjumlah  $268,660,548.98 kepada ekonomi kerajaan Inggeris pada 1947.[15]



[1]              The Straits Times, Federation Comes Into Being, 2 Februari 1948, hlm. 1; juga ANM. Formation on the Federation Of Malaya.  Hari Ini Dalam Sejarah, 1 Februari 1948. 
[2]                 ANM. The Federation Of Malaya Agreement, 1948.
[3]           Comber, Leon. (2015). Templer and the Road to Malayan  Independence. Singapore: ISEAS, hlm. 5. Sebelum ini, Pesuruhjaya Tinggi dan Pengarah Operasi adalah dua jawatan berasingan; Pengarah Operasi bertanggungjawab kepada Pesuruhjaya Tinggi. Kerajaan Inggeris bersetuju untuk melantik Sir Donald Charles MacGillvray sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tinggi dan Lt. Jen. Sir Robert Lockhart sebagai Timbalan Pengarah Operasi untuk membantu Templer.
[4]             Ongkili, James P. (1985). Nation-building in Malaysia 1946-1974. Singapore: Oxford University Press, hlm. 79.
[5]              CO 1022/103, Directive to General Sir Gerald Walter Robert  Templer, KCB, KBE, CMG, DSO, ADC, High Commissioner in and for the Federation of Malaya, by the Secretary of State for the Colonies on behalf of His Majesty’s Government in the U.K., 15 February 1952. Dalam Comber, Leon. (2015). Templer and the Road, end note, hlm. 17.  
[6]           Comber, Leon. (2015). Templer and the Road to Malayan  Independence. Singapore: ISEAS, hlm. 5. Sebelum ini, Pesuruhjaya Tinggi dan Pengarah Operasi adalah dua jawatan berasingan; Pengarah Operasi bertanggungjawab kepada Pesuruhjaya Tinggi. Kerajaan Inggeris bersetuju untuk melantik Sir Donald Charles MacGillvray sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tinggi dan Lt. Jen. Sir Robert Lockhart sebagai Timbalan Pengarah Operasi untuk membantu Templer.
[7]               FO 371/116941 no 72, Telegram no 659 from Sir D MacGillivray to Mr Lennox-Boyd, 25 Oct 1955.
[8]               The Straits Times, This Is The Way-Eden: He lists five steps to self-Govt., 3 March 1955, hlm. 1. Robert Anthony Eden menjawat jawatan Perdana Menteri pada April 1955-Januari 1957 mengganti Winston Churchill.
[9]               Comber, Leon. (2015). Templer and the Road, hlm. 22 dan end note, hlm. 39. Penulis merujuk kepada CO 1022/86 (3), Minutes of Political Talk with General Templer at Colonial Office, 3 December 1952 dan CO 1022/86, Minutes by J.J. Paskin to Sir T. Lloyd re. Discussions with General Templer and the Chiefs of Staff, 10 December 1952.
[10]             Sir Donald Charles MacGillivray menggantikan Jen. Sir Gerald Templer pada 31 Mei 1952 sehingga 31 Ogos 1957 apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.
[11]             CO 1030/174, no 9, despatch no 104/55 from Sir D. MacGillivray to Mr Lennox-Boyd on Chinese support for MCP and MCP Strategy, 28 Jan 1955. Dalam Stockwell, A. J. (1995). Malaya: The Alliance Route to Independence 1953-1957. (Editor). Series B Volume 3. London: HMSO, hlm. 89.
[12]             Note from George Crombie from Commonwealth Relations Office on the holding of an Afro-Asian Conference, 18 November 1954. 
[13]             Ibid. Bekas koloni tersebut mencapai kemerdekaan pada: Ceylon-4 Februari 1948; India-15 Ogos 1947; Pakistan-14 Ogos 1947.
[14]             FO 371/116941 no 72, Telegram no 659 from Sir D MacGillivray to Mr Lennox-Boyd, 25 Oct 1955.
[15]             Report on the Audit of the Accounts of the Malayan Union for the Year Ended 31 December 1947 (1950). Dalam  Ishak Saat. (2011). Radikalisme Melayu Perak 1945-1970. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia, hlm. 61.


Tiada ulasan: