Pengikut

Isnin, 24 Disember 2018

Pemergian Seorang Wira Negara

Malam semalam, jam 2103 Mej Basri PGB forward WhatsApp yang menyatakan Lt Kol Hj Basri Omar PGB sedang sakit tenat dan akan dibedah malam itu juga.

Pagi tadi, bila buka WhatsApp, terima berita yang menyedihkan:

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera Dato Seri, Dato, Tuan-Tuan dan Puan-Puan

LAPORAN PESARA PEGAWAI TENTERA  MENINGGAL DUNIA

(a) Nama: Lt Kol Hj Basri bin Omar (B) PGB

(b) Nama Waris: Hjh Zawyiah binti Hj Abd Aziz

(c) Kor : RAJD

(d) Umur: 66 Thn

(e) Tarikh Dan Masa Masuk Hospital: *222100H DIS 18*

(f) Hospital: *HAT TUNKU MIZAN*

(g) Wad : ICU

(h) Tingkat/Katil: Tingkat 5

(i) Jenis Penyakit: Diagnosis awal batu karang dalam buah pinggang. Diagnosis lanjut pada 23 Dis 18 pendarahan dalam perut.

(j). Pada 231700H Dis 18 beliau telah dimasukkan ke wad ICU.

(k). Disahkan Meninggal dunia pada 240020H Dis 18.

(l)  Maklumat urusan pengkebumian akan dimaklumkan kemudian.

Sekian saya memaklumkan.

Kol Zakaria Abdul Rahman
Jabatan Arah Jurutera

Allahyarham Lt. Kol. Basri bin Omar (B) PGB

Jenazah di Masjid Khalid Al-Walid, KEMENTAH untuk disolatkan

Jenazah dibawa keluar dari masjid

Memang saya terkejut. Arwah banyak membantu saya semenjak saya menjadi seorang blogger pada 2009. Beliau sedia menyalur maklumat yang ada kaitan dengan pasukan kesayangannya, RAJD dan satu-satunya warga RAJD yang dianugerah PGB. Malah beliau berjaya meyakinkan Mej. Jen. Mior Safuan (B) supaya menukil pengalamannya semasa Op Gubir II. Nukilan itu menjadi bahan blog, buku dan tesis PhD saya. Arwah turut menghadiahkan dua naskah buku bagi memudahkan kajian saya - Pahlawan Angkatan Tentera Malaysia: Penerima S.P. dan P.G.B. Jilid 1 dan 2. Untuk buku kedua saya mengenai Terumbu Layang-Layang, beliau telah menghantar gambar-gambar penglibatan RAJD.

Pertama kali bertemu muka dengan Allahyarham Lt Kol Basri bin Omar PGB (B) di Jitra pada 5 Ogos 2010 

Pada  28 Ogos 2012, Allahyarham Lt Kol Basri, Mej Ishak dan saya diundang ke Majlis Pengkisahan di Perpustakaan Awam, Kangar, di SINI. Acara ini merupakan ulung kali diadakan oleh agensi tersebut yang membabitkan kisah keperwiraan. Beliau datang dengan menaiki keretapi. Masa itu masih tiada ETS. 

Kali terakhir saya bertemu dengannya ialah pada 22 Ogos 2017 di Perpustakaan Kangar semasa Majlis Pengkisahan, di SINI. Sama seperti pertemuan pada 2012, beliau menaiki keretapi, tapi dengan ETS dari Kuala Lumpur. Beliau sanggup hadir semata-mata untuk meraikan majlis tersebut walaupun bukannya sebagai ahli panel. Saya masih ingat beliau bertanya sama ada boleh tumpang di bilik saya di Hotel Putra Palace malam itu. Masalahnya saya sudah berjanji dengan Mej Rajasaikaran yang datang dari Melaka semata-mata untuk hadir majlis tersebut. 

Saya sungguh menghargai semangat patriotisme mereka berdua.

Saya sungguh menghargai semangat patriotisme Allahyarham Lt Kol Basri yang sentiasa sedia memenuhi undangan untuk menceritakan pengalaman, jika tiada aral melintang. 

Saya juga terharu apabila beliau begitu gembira dengan kejayaan saya menerima PhD sehingga memaklumkan kepada kumpulan WhatsApp intake mereka. 

Saya mengambil kesempatan ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Leftenan Kolonel Basri bin Omar PGB (B). Semoga rohnya dicucuri rahmat dan di tempatkan bersama orang-orang yang soleh dan beriman. Amiin Ya Rabbal Alamiin.



Tiada ulasan: