Diterbitkan pada 2014
Buat masa ini mood untuk menulis agak menurun, jadi tak le boleh buat ulasan terhadap buku tersebut. Namun, rumusan interimnya boleh le saya katakan Dr. Syed mempraktikkan apa yang diistilahkan mat saleh sebagai 'no holds barred'...dicurahkan perasaannya tanpa berselindung liki-liku kehidupannya dari kecil sehingga bersara dari TDM. Pada saya, menarik...sungguh menarik, wallahualam.
Untuk coretan kali ini dan berikutnya nanti, saya akan menurunkan esei beliau. Esei tersebut adalah sebagai mematuhi arahan Jabatanarah Infantri supaya semua pegawai Jabatanarah tersebut menulis esei untuk pertandingan menulis esei yang dianjurkan oleh Markas TD (hlm. 256).
Bagi memenuhi arahan tersebut, Syed telah menyerahkan esei berikut pada 30 Ogos 1999 (hlm. 257-265)...
PEMIMPIN DAN PEMERINTAH YANG BERKESAN
Oleh:
Mejar Syed Othman Syed Omar
Menurut Kamus
Dewan, pemimpin bermaksud orang yang memimpin manakala pemerintah dalam konteks
tentera pula bermaksud pegawai yang mengetuai pasukan dan memberikan perintah. Umumnya
di negara kita pemimpin lahir melalui tiga proses: pemilihan di peringkat
kerajaan, pelantikan bagi peringkat pentadbiran dan secara semula jadi dalam
konteks keluarga. Pemimpin dalam kerajaan yang memerintah dipilih oleh rakyat
melalui pilihanraya. Para pentadbir dan ketua di pelbagai peringkat dalam birokrasi
dilantik ke jawatan masing-masing oleh pihak yang diberi kuasa untuk melakukannya.
Bapa dan suami secara semula jadi menjadi pemimpin dalam sesebuah keluarga.
Dalam organisasi Tentera Darat Malaysia
(TDM) secara umumnya terdapat tidak kurang dari sembilan peringkat pemimpin dan
kesemuanya lahir melalui proses perlantikan. Ketua seksyen pemimpin di peringkat
seksyen dilantik oleh ketua platun. Ketua platun/terup pemimpin di peringkat
platun/terup dilantik oleh ketua kompeni/skuadron. Ketua kompeni/skuadron pemimpin
di peringkat kompeni/skuadron dilantik oleh pegawai memerintah batalion/rejimen.
Pegawai memerintah pemimpin di peringkat batalion/rejimen dilantik oleh pengarah
kor. Panglima briged pemimpin di peringkat briged, panglima divisyen pemimpin
di peringkat divisyen, Panglima Kor Tentera Darat, pemimpin di peringkat Markas
Medan Tentera Darat dan mereka dilantik oleh Panglima Tentera Darat (PTD). PTD,
Panglima Tentera Laut (PTL) dan Panglima Tentera Udara (PTU) pula merupakan
pemimpin bagi perkhidmatan tentera darat, laut dan tentera udara manakala
Panglima Angkatan Tentera (PAT) merupakan pemimpin bagi keseluruhan organisasi
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.
Pemimpin yang dilantik di pelbagai
peringkat mempunyai bidang kuasa tertentu selaras dengan senarai tugas yang dipertanggungjawabkan
ke atasnya. Dengan sebab itu pemimpin perlulah bersedia membawa perkara-perkara
di luar bidang kuasanya ke peringkat lebih tinggi untuk diselesaikan. Permasalahan
dan rancangan kebiasaannya lebih mudah diselesaikan dan dilaksanakan dari atas
berbanding dari bawah. Berdasarkan keadaan tersebut setiap individu perlu
berani dan sedia bertanggungjawab dalam mengemukakan permasalahan dan rancangan
kepada tidak hanya kepada atasan mereka sahaja malah sekiranya perlu bersedia
membawa hingga kepengetahuan pemimpin tertinggi.
Pemimpin atasan perlu mengelakkan
diri diari mencampuri urusan pentadbiran dan pemerintahan para pemimpin
bawahannya kecuali mereka didapati gagal atau menyeleweng dalam tugasnya. Kuasa
dan hak pemimpin di setiap peringkat perlu dihormati. Ini bagi menentukan para
pemimpin di semua peringkat dihormati oleh anggota bawahan mereka. Selain itu pemimpin
juga perlu meneruskan dasar dan rancangan
yang telah dibuat oleh pemimpin
terdahulu yang mana tentunya telah dibuat
secara kolektif sehingga selesai sebelum mengemukakan dasar serta
rancangan baru. Ini bagi menentukan wujudnya kesinambungan dalam dasar dan perancangan
sekaligus menjadikan kakitangan benar-benar komited terhadap tugas dan pemimpin
semasa.
Pemimpin yang baik ialah pemimpin
yang disegani, dihormati dan disukai. Disukai sahaja belum cukup baik kerana manusia
kebiasaannya akan menyukai seseorang selagi ia tidak menentang amalannya
sekalugus memenuhi citarasanya. Para pengedar atau penagih dadah misalnya tidak
akan menyukai pemimpin yang mahu menguatkuasakan undang-undang dadah. Para
pengamal rasuah sudah tentu tidak sukakan pemimpin yang anti rasuah. Begitu
juga halnya dengan anggota bawahan yang kaki ponteng atau mereka yang suka
berlakon pastinya tidak senang dengan pemimpin yang kuat bekerja dan sering
pula menegur amalan negatif mereka. Jadi apakah seorang pemimpin dapat diterima
sebagai pemimpin yang baik hanya kerana beliau disenangi oleh semua orang?
Rasanya tentulah tidak. Namun begitu memang ada pemimpin yang disukai oleh semua
pihak kerana pendirian mereka yang serba longgar walaupun mereka sebenarnya
bukan dalam golongan pemimpin yang baik.
Bersambung....In syaa Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan