Pengikut

Rabu, 12 Februari 2020

Serang Hendap Ke Atas 7 Renjer Di Lundu


Petikan dari draf "Nuri@Burung Besi Dalam Kenangan"...
PGRS pula tidak melepas peluang untuk melakukan serang hendap terhadap pasukan keselamatan seperti yang berlaku pada 26 Mac 1972 di Lundu dalam Divisyen Pertama. Pada pagi hari tersebut, konvoi yang terdiri dari sebuah Land Rover dan dua buah trak Bedford 3-ton berlepas dari Markas Taktikal 7 Renjer, Lundu menuju ke Kem Biawak yang merupakan Pos Gabungan ATM/TNI. Land Rover dinaiki Kpl Salleh (pengimpal) sementara Spr Md Desa sebagai pemandu. Mereka adalah anggota Pasukan Kejuruteraan dari No 3 Skuadron Jurutera yang berpangkalan di Kem Penrissen, Kuching. Kehadiran anggota Jurutera ini adalah untuk melakukan pemeriksaan dan membaiki masalah membabitkan sistem perairan yang memerlukan perkhidmatan pengimpal di kem tersebut. Pergerakan anggota jurutera diiringi oleh dua buah trak Bedford 3-ton yang diketuai oleh  15567 Sjn Basha bin Sulaiman, Sarjan Platun Mortar; setiap satu Bedford 3-ton membawa sembilan orang anggota dari Markas Kompeni. Setelah pembaikan dilaksanakan dan selepas makan tengah hari, mereka bertolak semula ke Lundu pada lebih kurang jam 3:30 petang. Aturan pergerakan masih mengekal aturan gerakan yang sama seperti pergerakan ke Biawak pagi itu, iaitu konvoi didahului oleh Land Rover. Mengikut perancangan, anggota kejuruteraan akan bermalam di Lundu sebelum pulang ke Kuching keesokan hari.
Cuaca ketika itu panas terik. Keadaan diburukkan terutama kepada mereka dalam trak Bedford tanpa bumbung  kerana terpaksa menghidu debu yang berterbangan sementelah jalan dari Biawak ke Lundu masih belum diturap dengan tar. Walaupun berhadapan dengan debu, jalan ke persimpangan Kampung Jangkar, iaitu lebih kurang 5 km dari Kem Biawak dan 10 km dari Kem Titi Akar, agak lurus dan selesa. Keadaan topografi hanya terdapat tebing di kiri dan kanan jalan namun ketinggiannya hanya lebih kurang ketinggian Land Rover sahaja di sebelah kiri. Kawasan beberapa meter dari tebing-tebing hingga ke pinggir hutan agak bersih tanpa  semak-samun. Selain itu terdapat beberapa batang balak di pinggir hutan di sebelah kiri dan kanan tebing yang kedudukan kebanyakannya mendatar dengan jalan. Pada lebih kurang jam 3:45 petang, konvoi melalui jalan lurus ini dan tiba-tiba ‘bang...bang...bang.’ Mereka sudah berada dalam zon membunuh serang hendap segerombolan musuh terdiri daripada lebih kurang 30-40 anggota yang terdiri dari kaum lelaki dan perempuan daripada Kompeni Kedua PGRS. Kumpulan gerila komunis ini yang merupakan paling ganas dan aktif di kedua-dua Divisyen tersebut telah  memuntahkan peluru ke arah ketiga-tiga kenderaan. Tembakan musuh telah terkena cermin hadapan sebelah kiri Land Rover membuatkannya pecah. Alangkah terkejutnya Kpl Salleh! Lantas beliau mengarahkan pemandunya memecut ke Kem Titi Akar yang menempatkan Ferret Scout Car No 1 Trup, Skuadron A, 3 Peninjau
 
untuk meminta bantuan.
Kesan tembakan bertubi-tubi ke arah trak Bedford di belakang Land Rover membuatkannya gagal dikawal lalu tersadai di tebing sebelah kiri jalan yang juga merupakan kedudukan musuh. Tembakan musuh telah mencederakan 928353 Rjr Zainuddin bin Ahmad yang diciumi oleh tiga butir peluru di lutut kiri, jari telunjuk kanan dan dada di bawah ketiak sehingga darah membuak keluar dari mulutnya. Sejurus kemudian beliau jatuh tertiarap ke atas lantau.  Sementara itu, tembakan musuh telah mengorbankan serta merta pemandu trak Bedford kedua sehingga mengakibatkan kenderaan tersebut terbalik di tebing sebelah kanan jalan. 930474 Rjr Shahar bin Yayaha yang diciumi oleh peluru musuh terus pengsan. Dalam keadaan begitu kelam-kabut, Kpl Yahaya telah terjun dari kenderaan dan menyembunyi diri. Serangan ini telah mengorbankan beberapa anggota serta merta dan ada yang cedera parah. Setelah memastikan wira-wira negara sudah lumpuh, satu kumpulan pengkhianat negara turun dari lokasi serang hendap dan naik ke atas kenderaan untuk merampas senjata-senjata dan set radio.
Menurut 928353 L/Kpl Zainuddin bin Ahmad, kedudukan kenderaan berada dalam zon membunuh menghalang mereka bertindak balas. Beliau selanjutnya memberitahu beliau yang tertiarap di lantai kenderaan dan menyamar mati, dicampak oleh musuh ke jalan raya bersama mangsa-mangsa lain bak membuang sampah. Sungguh zalim! Mengimbau kembali insiden ini, beliau menceritakan tanpa diduga bak cerita filem, tiba-tiba hujan panas turun dengan lebatnya selama lebih kurang lima minit seolah-olah mahu membersihkan jalan laterit yang dibanjiri dengan darah pejuang-pejuang negara!
Apabila tiba di Kem Titi Akar yang terletak di persimpangan Lundu-Biawak-Semantan, Kpl Salleh memaklumkan kepada trup mengenai serang hendap tersebut. Sebaik sahaja mendengar berita tersebut, tanpa arahan dari ketuanya, Kpl Jamaluddin bersama pemandu kenderaan Ferret Scout telah memecut ke lokasi kejadian. Apabila tiba di lokasi, beliau telah memuntahkan peluru mesingan Browning 303 yang dipasang pada kenderaan tersebut.  Menyedari kehadiran kenderaan Ferret Scout membuat petualang negara segera berundur tetapi mereka berjaya merampas beberapa senjata Self Loading Rifle (SLR), sub-machine gun (SMG) dan set radio. Tidak lama kemudian, trup dari 1 Peninjau tiba di lokasi. Dengan kehadiran trup ini, musuh terus beredar. Menurut L/Kpl Zainuddin lagi, beliau dan 452752 Rjr Alimin bin Ibrahim dimuatkan dalam Ferret Scout dan dibawa ke Lundu. Mereka terpaksa berdiri sepanjang perjalanan ke Titi Akar kerana kenderaan tersebut tiada tempat untuk penumpang. Dari Titi Akar mereka dipindahkan ke Hospital Lundu untuk mendapat rawatan. Walau bagaimanapun, kecederaan mereka begitu serius dan Hospital Lundu tiada kemampuan untuk merawat mereka sebaliknya mereka perlu dihantar ke Hospital Umum Kuching untuk mendapatkan rawatan sewajarnya untuk menyelamatkan mereka. Persoalan yang dihadapi oleh 7 Renjer ialah bagaimana mangsa-mangsa dihantar ke Kuching. Malam sudah menjelang dan penghantaran melalui jalan raya tidak dapat dilakukan kerana feri untuk menyeberang Sungai Lundu tidak beroperasi dari jam 6:00 petang hingga 6:00 pagi keesokan hari selain mengambil masa lama dan juga berbahaya. Pilihan terbaik ialah meminta perkhidmatan Nuri. Justeru, 7 Renjer telah menghubungi 3 BIM memohon supaya Nuri membuat penerbangan casevac malam itu. 

Keadaan Land Rover yang dinaiki oleh anggota Pasukan Jurutera. Sumber: Kol Suhirtharatnam a/l Kulatratnam (B)  


Keadaan trak Bedford 3-ton yang berada di belakang Land Rover tersadai di tebing sebelah kanan jalan. Sumber: Kol Suhirtharatnam a/l Kulatratnam (B) 

Keadaan trak Bedford 3-ton di belakang sekali tersadai terbalik di tebing sebelah kiri jalan yang menjadi lokasi petualang negara. Sumber: Kol Suhirtharatnam a/l Kulatratnam (B) 

Apakah instrumen yang bawa 2 orang mangsa tersebut? Dah tentu le Nuri. Tapi masalahnya Nuri tidak dibenar melakukan penerbangan di waktu malam? Siapa yang nak benarkan penerbangan tesebut? Siapa pula kru?

Pokoknya, mana lebih penting...Nyawa atau SOP?

Nak tahu cerita selanjutnya, beli le buku yang dah 60% siap. Itu pun jika diizinkanNya, wallahualam.
 

Tiada ulasan: