Ancaman insurgensi komunis tidak terbatas di Semenanjung Malaysia sahaja.
Sarawak juga berhadapan dengan insurgensi komunis dari Parti Komunis Kalimantan
Utara (PKKU). Sama seperti PKM, PKKU berhasrat untuk mewujudkan “North
Kalimantan Peoples’s Republic” merangkumi Sarawak, Sabah dan Brunei. Pada mulanya, PKKU mengguna kaedah politik
untuk menyebarkan ideologi komunisme di kalangan rakyat. Kegiatan mereka ini
dijelaskan dalam Kertas Putih 1966 yang menegaskan bahawa Organisasi Komunis
Sarawak telah berjaya menembusi kesemua strata masyarakat di Sarawak dari
bidang politik, buruh, peladang sehingga ke peringkat pelajar. Walau
bagaimanapun, mereka beralih kepada penggunaan senjata dan mengganas pada
Disember 1962 akibat kegagalan pemberontakan Brunei untuk menjatuhkan
pemerintahan Sultan Omar Ali Saifuddin pada Disember 1962. Kegiatan mereka
mendapat sokongan dari pihak Indonesia selari dengan negara tersebut melancar
konfrontasi terhadap Malaysia. Namun sokongan ini tidak berterusan selepas
rejim Presiden Soekarno digulingkan. Selepas era itu, mereka berhadapan dengan
Tentera Nasional Indonesia (TNI) yang begitu alah dengan istilah komunis! Antara
tindakan TNI mengekang kegiatan komunis ialah mengimplementasi program
pemindahan penduduk ala Rancangan Briggs. Brig Jen Somadi, Panglima KODAM XII
telah memindahkan penduduk Cina di sempadan ke sebuah kawasan baharu di selatan
Sungai Kepuas. Di samping itu, beliau telah memberi amaran bahawa sesiapa yang
berada di utara Sungai Kepuas adalah dianggap sebagai komunis!
Kesan tindakan TNI menghapuskan anggota komunis pada 1965 memaksa elemen
bersenjata PKKU, iaitu Pasukan Rakyat Kalimantan Utara (PARAKU) yang diketuai
oleh Bong Kee Chok selaku Pengarah dan Komisar Politik menyeberang sempadan ke
Sabah dan Sarawak. Kegiatan ini diperakui oleh Central Intelligence Agency
(CIA). Dalam laporannya, objektif utama PKKU adalah mewujudkan keadaan
huru-hara di Malaysia dan menjadikan Sarawak sebuah negara merdeka di bawah
kawalan komunis. Berbeza dengan PKM yang menjadikan selatan Thailand sebagai
kawasan dimana mereka bebas bergerak, PARAKU menjadi buruan pasukan keselamatan
Malaysia dan Indonesia. Namun, komunis
tetap komunis! Walaupun keadaan tidak menyebelahi mereka, perjuangan tetap
mereka teruskan di Sarawak.
Ancaman PARAKU disertai
dengan masalah yang dihadapi Malaysia terhadap tuntutan Filipina terhadap
Sabah, menjadikan Nuri satu aset sangat diperlukan di Sabah dan Sarawak sebagai
platform untuk perkhidmatan mobiliti udara. Anggota pasukan keselamatan diatur
gerak berhampiran dengan sempadan dengan Filipina dan juga di sempadan negara
dengan Indonesia. Keadaan ini melibatkan banyak pergerakan pasukan keselamatan
dan ulang bekal selain penerbangan komunikasi dan apa jua perkhidmatan mobiliti
udara yang diperlukan. Tugasan ini dipertanggungjawabkan kepada No 7 Skuadron,
TUDM Kuching. Skuadron ini yang ditubuhkan di TUDM Kuantan pada Januari 1968,
hanya berpindah ke TUDM Kuching pada Jun 1969 dengan Sqn Ldr Ahmad Merican
sebagai Ketua Skuadron apabila beliau dinaikkan pangkat Squadron Leader. Sejumlah empat buah Nuri, iaitu FM1141,
FM1147, FM1148 dan FM1149 berada dalam inventori skuadron tersebut.
Walau
bagaimanapun, tugasan dilaksanakan oleh Burung Besi hanya bermula pada April
1968 apabila lima buah pesawat telah diterima pada Mac 1968. Sebelum itu, tiga
buah pesawat yang ada bukan sahaja diperlukan membuat tugasan perkhidmatan mobiliti
udara di Semenanjung Malaysia tetapi juga untuk melatih juruterbang. Dengan
penambahan pesawat yang hanya dilengkap dengan alatan navigasi
paling asas, iaitu Automatic Direction Finder (ADF) yang juga dikenali sebagai kompas radio (radio
compass), kompas tunggu sedia (stand-by compass) dan ‘Mark II
Eyeballs’ iaitu mata ciptaan Maha Kuasa, dua buah pesawat berlepas dari
Kuantan ke Kuching pada 16 April 1968 jam 10:00 pagi sebelum meneruskan
penerbangan ke Labuan. Penerbangan bersejarah menyeberangi Laut China Selatan
buat pertama kali oleh helikopter TUDM diketuai oleh Ketua No 7 Skuadron, Sqn
Ldr Mohamed Ngah bersama Plt Off Mustaffa bin Zakaria (pembantu juruterbang)
dan Sjn Abdullah Basiron (KU) yang telah menerbangkan FM1142. Nuri kedua,
FM1144 pula diterbangkan oleh Flt Lt Peter Yuen bersama Plt Off Stephen Ngiau
(pembantu juruterbang) dan Sjn Lai Kam Tak (KU). Kedua-dua
pesawat tiba di Kuching pada jam 2:00 tengah hari. Selepas bermalam di sana,
keesokan harinya, 17 April 1968 jam 9:45 pagi mereka meneruskan penerbangan ke
TUDM Labuan dan tiba pada jam 1:00 tengah hari; tempoh penerbangan ialah tiga
jam 15 minit. Mereka di tempatkan di No 5 Skuadron sebagai elemen detasmen No 7
Skuadron.
Penerbangan
bersejarah ini tidak kurang cabarannya. Sepertimana yang dijelaskan di atas,
peralatan navigasi yang terdapat di panel instrumen Nuri adalah begitu primitif
walaupun di era itu. Malahan ia tidak dilengkap dengan radar cuaca bagi
meringankan pengurusan di kokpit terutama melakukan penerbangan malam. Dalam
cuaca elok, penerbangan selama empat jam ke Kuching yang dihampari kebiruan lautan
saujana memandang sudah pasti membosankan. Tiada sebarang tanda tempat untuk
dijadikan sebagai rujukan selain sekali-sekala melihat kapal-kapal belayar
menuju destinasi masing-masing. Navigasi dipermudahkan dengan juruterbang hanya
perlu menala kompas radio ke frekuensi Radio Kuching yang akan membuatkan jarum
kompas menunjukkan bearing ke stesen radio tersebut. Juruterbang hanya perlu
mengemudikan pesawat selari dengan jarum kompas. Masalah yang dihadapi oleh
juruterbang dalam apa jua keadaan ialah menentukan kedudukan pesawat. Ketika era
itu, pesawat TUDM dikehendaki membuat panggilan ‘Ops Normal’ kepada
Bilik Operasi Pangkalan melalui radio HF setiap 30 minit jam sekiranya membuat
penerbangan melebihi setengah jam. Maklumat ini diperlukan bagi memudahkan
operasi SAR sekiranya berlaku sebarang kemungkinan ke atas pesawat. Bagi
menentukan anggaran lokasi, juruterbang bergantung kepada kompas radio dengan
menggunakan kaedah ‘fixation.’ Dalam penerbangan ke Kuching tersebut, kaedah
ini membabitkan kompas radio ditala kepada frekuensi stesen radio Singapura dan
Kuching. Tindakan ini akan membuatkan jarum kompas radio menunjukkan bering
kedua-dua stesen tersebut. Selepas itu, ‘back-bearing’ kedua-duanya
diplotkan di atas peta. Anggaran lokasi pesawat ialah titik di mana kedua-dua
garisan bertemu. Dalam cuaca buruk, selain menaruh kepercayaan sepenuhnya kepada
kompas radio, kebimbangan kru dikurangkan apabila menyedari bahawa mereka
menuju ke daratan, iaitu Pulau Borneo.
Situasi agak
berbeza apabila destinasi ialah sebuah pulau kecil yang merupakan batasan
terhadapan negara, iaitu Pulau Layang-Layang di Kepulauan Spratly, Laut China
Selatan. Semasa transformasi Terumbu Layang-Layang kepada Pulau Layang-Layang
di awal 1980an, tiada sebarang peralatan navigasi yang terdapat di lokasi
tersebut untuk membantu juruterbang Nuri
menuju ke destinasi. Dalam keadaan cuaca baik dan tanpa tiupan angin kencang,
pesawat yang berlepas dari Labuan ke Pulau Layang-Layang akan tiba di destinasi
pada masa yang dianggarkan. Sebaliknya, jika berhadapan dengan angin lintang yang
kencang kemungkinan pesawat akan terbabas dari laluan asal. Namun, keadaan masih boleh dikawal kerana
pulau tersebut dapat dikesan dari jarak jauh dalam cuaca baik oleh Mark II
Eyeballs apabila ternampak tompok kecil kehijauan dalam kebiruan. Sebaliknya,
dalam cuaca buruk dan jarak penglihatan terbatas kemungkinan besar pesawat akan
tersasar dari destinasi dan memasuki ruang angkasa negara asing, seperti
Amboyna Cay (Pulau An Bang) kepunyaan Vietnam yang jaraknya lebih kurang 50
batu nautika (93 km) dari Pulau Layang-Layang. Jika ini berlaku, tidak mungkin
tentera Vietnam yang berada di sana akan mengalu-alukan kehadiran Burung Besi
tanpa diundang!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan