Sambungan dari SINI...
Tidak sempat
pengganas komunis menarik nafas panjang, 3 bulan kemudian kedua-dua negara
telah melancar satu lagi operasi bersama. Kali ini siri Op Cahaya Bena. Objektif
utama operasi ialah memusnah infrastruktur dan bekalan musuh, menyekat hubungan
musuh dengan penduduk tempatan, menurunkan tahap morel musuh sehingga mereka
menyerah diri dan memutuskan hubungan antara unit musuh.[i]
Op Cahaya Bena I dilancar pada 4 Julai 1977 hingga 16 Ogos
1977 di kawasan Betong. Sasaran ialah Rejimen ke-12 PKM yang bersarang di sana.
Abdullah CD, ‘CO (Commanding Officer)’ Rejimen
ke-10 PKM tidak terlepas daripada skrin radar pasukan keselamatan. Tiga hari
kemudian, 7 Julai 1977, Op Cahaya Bena
II telah dilancar di kawasan Waeng, penempatan unit musuh itu. Operasi tersebut
berakhir pada 16 Julai 1977.
Kiri: Kawasan operasi Op
Cahaya Bena I. Kanan: Kawasan operasi Op
Cahaya Bena II. Sumber: Tentera Darat 1933-2008
Bagaimana
pun, musuh juga sudah membuat persediaan awal. Kali ini, taktik yang diguna
dijelaskan oleh Suriani binti Abdullah: “...Pasukan Gempur Ke-15 mengambil
taktik berundur secara berputar sambil mengembangkan perang periukapi.”[ii] (‘Periukapi’ istilah untuk ‘jerangkap
samar’). Mengambil kira faktor ini, pasukan keselamatan akui mereka akan
berhadapan dengan kecederaan akibat jerangkap samar.[iii]
Anggota pasukan keselamatan mendengar pesanan Mej Jen Datuk Mahmood Sulaiman (Allahyarham), Panglima 2 Div/GOC sempena pelancaran Op Cahaya Bena I di hutan Gerik, Perak pada Julai 1977.
Sumber: Utusan Malaysia, 27 September 2011
Ya. Itu
yang dialami oleh seorang anggota Kompeni Charlie, 3 Renjer yang berpangkalan
di Taiping, Perak. Mej Robert Rizal Abdullah PGB, Ketua Kompeni Charlie (OC),
begitu gembira bila diberitahu oleh CO bahawa 3 Renjer
akan diatur gerak ke Betong, Thailand. Rejimen tersebut merupakan salah satu
unit yang dipilih untuk menyertai Op Cahaya Bena I. Bagai bulan jatuh ke riba.
Berita yang sudah lama dinanti-nantinya.
Misi Mej
Robert Rizal ialah memburu musuh yang
dipercayai mengusaha kebun sayur sejak setahun sebelum itu. Bagi membantu
pencarian lokasi kebun itu, seorang ‘Agen Khas Kerajaan’ (Special Government Agent [SGA]) ditumpang kepada kompeninya. SGA tersebut adalah seorang remaja lelaki berumur 15
tahun berketurunan Melayu Pattani. Dek kemiskinan, beliau berjaya diumpan oleh petualang
negara untuk bekerja di kebun sayur itu. Menurut SGA itu, kekuatan anggota
lebih kurang 30 orang sementara jadual kerja mereka ialah dari jam 6:00 pagi
hingga 6:00 petang. Masalahnya, remaja itu tidak tahu lokasi tersebut kerana
matanya ditutup semasa berulang-alik ke kebun.
Mej Robert
Rizal dan anggotanya bersama 3 orang
TBPP serta SGA meredah hutan dara dan sekunder menuju ke kawasan yang
diperuntukkan kepada beliau. Pada awalnya, pergerakan mereka agak perlahan.
Keadaan ini disebabkan anggota TBPP sukar menyesuaikan dengan rentak anggota
keselamatan ATM melakukan operasi. Kesemua anggota bersama Mej Robert Rizal,
termasuk TBPP memikul 6-hari bekalan yang boleh bertahan sehingga 8 hari. Kebiasaannya
anggota 3 Renjer hanya mengambil
teh/kopi bersama biskut untuk sarapan pagi manakala makan tengah hari dan malam
memadai dengan nasi sama ada berlaukkan daging, ikan atau sayur dalam tin.
Sebaliknya, anggota TBPP ambil 3 ‘heavy meals’ setiap
hari. Jadi, TBPP kehabisan bekalan pada hari
ketiga. Mej Robert Rizal sedia maklum
memohon mendapatkan bekalan di luar jadual ulang bekal yang telah ditetapkan mungkin
tidak dilayan. Permohonan mendapatkan
perkhidmatan Nuri diluar jadual ialah penerbangan seperti casevac/medevac/bodevac.
Bagi mengatasi masalah ini, Mej Robert Rizal dan anggotanya terpaksa berkongsi bekalan
dengan anggota TBPP. Kesannya melengahkan pergerakan. Mujurlah akhirnya TBPP dapat
menyesuaikan dengan rentak operasi Kompeni
Charlie.
Selain
itu, Mej Robert Rizal
berhadapan dengan masalah komunikasi dengan TBPP. Mereka tidak tahu
berbahasa Melayu atau Inggeris. Keadaan bak kata bidalan ‘seperti ayam dengan
itik.’ Kedua-dua pihak mempunyai masalah berkomunikasi. Memang satu cabaran!
Mej
Robert Rizal memilih satu lokasi yang difikirkannya
sesuai dijadikan pangkalan kompeni. Keesokan pagi, beliau bersama 3 anggotanya
dan SGA tetapi tanpa diiringi oleh TBPP membuat
rondaan untuk mengesan lokasi kebun tersebut. Bukan beliau tidak ajak TBPP ikut
bersama tetapi mereka agak ‘berat’ mengikuti rondaan tersebut. Bagi Mej Robert
Rizal tanpa mereka lebih mudah beliau
melaksana rondaan. Pada lebih kurang jam 11:00 pagi beliau melihat seorang
berpakaian hijau di bawah sebatang pokok betik, lebih kurang 600 meter ke bawah
sebuah lembah. Bukan itu sahaja, 2 orang yang masing-masing memikul guni besar sedang
mendaki bukit. Sah beliau telah menemui kebun sayur yang dicarinya itu.
Tetapi terfikir
Mej Robert Rizal. Empat menyerang 30 musuh? Itu
menempah maut! Tanggapannya jumlah musuh itu bersandarkan kepada maklumat SGA. Beliau
memerlukan trup tambahan dan beberapa senjata sokongan kompeni, iaitu mesingan
kegunaan am (GPMG) 7.62 mm, selaras pelancar grenad M79 dan mortar 60 mm untuk
menyerang musuh. Justeru beliau telah mengarah 2 anggotanya balik ke pangkalan.
Trup
tambahan tiba di lokasinya. Namun demikian, sebelum melancar serangan Mej
Robert Rizal menghubungi Markas Taktikal
3 Renjer memohon bantuan meriam untuk membedil kebun sayur itu. Beliau
diberitahu bantuan Bateri Meriam agak lewat kerana pasukan berkenaan telah
beredar dari penempatan meriam di Betong balik ke Kroh. Ia akan mengambil
beberapa jam untuk meriam diatur gerak semula ke penempatan asal. Mereka kini hanya menunggu panggilan pasukan
meriam. Satu penyeksaan.
Pada jam
lebih kurang 6:00 petang, penungguan berakhir. Bateri Meriam menghubungi Mej
Robert Rizal memberitahunya mereka sudah
siap sedia. Lantas beliau memberi ‘grid reference’ kebun sayur tersebut. Tetapi tidak
terdengar ‘boom’; letupan
peluru 105 mm Howitzer. Hari hampir gelap. Beliau kesuntukan masa. Tidak boleh
tunggu bedilan meriam. Lantas beliau mengambil tindakan untuk membedil kebun
itu dengan mortar, pelancar grenad dan GPMG: ‘boom...boom...boom...bang...bang...bang.’ Seterusnya beliau mengarah platun
penggempur menyerang sasaran.[iv]
Tetapi,
tidak kedengaran tembak-menembak. Sasaran mereka tanpa penghuni. Musuh telah
meninggalkan semenjak pagi lagi. Pergerakan 3 musuh yang dilihatnya pada jam
11:00 pagi sebenarnya sedang meninggalkan kebun sayur. Sungguh menghampakan! Keesokan
pagi, mereka telah menggeledah lokasi itu. Mej Robert
Rizal mendapati banyak kelongsong
peluru bertaburan. SGA memberitahunya pengganas komunis tidak melepaskan
peluang untuk menembak Nuri yang terbang rendah ketika melakukan penerbangan ke
beberapa lokasi di sebelah sempadan Malaysia. Ini kerana kedudukan kebun sayur
itu berhampiran dengan sempadan di kawasan operasi Gubir.
Semasa
proses penggeledahan, mereka telah menemui 10 jerangkap samar. Malang tidak berbau. Seorang anggota Mej
Robert Rizal telah terpijak jerangkap samar. Seperti biasa, sebuah Nuri telah
ditugas untuk membuat penerbangan casevac. Hasrat
Mej Robert Rizal untuk menjejaki musuh terhenti apabila beliau diarah balik
ke Kroh sebelum bertolak balik ke Taiping. Selain itu, beliau telah diarah untuk membawa bersama SGA balik ke Taiping. Semasa di Taiping,
SGA tinggal di rumah kelaminnya selama lebih kurang 2 minggu. Seorang pegawai SB datang mengambil remaja itu untuk dihantar balik ke kampungnya dengan keretapi. Menurut Mej Robert Rizal, beliau difahamkan SGA tersebut akhirnya telah dibunuh kerana mengkhianati pengganas komunis.[v]
Kekecewaan terlepas peluang membunuh 3 petualang negara diburukkan
lagi seorang anggota cedera akibat periukapi musuh sungguh mengecewakan Mej Robert Rizal! Namun demikian, kekecewaan beliau
terubat apabila Kompeni Delta telah berjaya membunuh dua orang petualang negara
dalam satu serang hendap.
Mej Robert Rizal bersama anggotanya dan TBPP semasa Op Cahaya Bena I.
Sumber: Lt Kol Robert Rizal Abdullah PGB (B)
Anggota Kompeni Charlie, 3
Renjer menikmati juadah tengah hari sebelum meneruskan
memburu musuh durjana semasa Op Cahaya
Bena I. Sumber: Lt Kol Robert Rizal Abdullah PGB (B)
Anggota Kompeni Charlie, 3
Renjer berehat sebentar sebelum meneruskan memburu
musuh durjana semasa Op Cahaya
Bena I. Sumber: Lt Kol Robert Rizal
Abdullah PGB (B)
*****
Nasib yang sama turut menimpa Bn 11 PPH yang
berpangkalan di Pengkalan Chepa, Kelantan: satu-satunya pasukan PPH yang
terlibat dalam Op Cahaya Bena II. Markas Taktikal Batalion 11 ialah di Ban Tapao, Weang. Pasukan itu telah mengalami 2 anggotanya
tercedera akibat jerangkap samar.
Pada pagi 10 Julai 1977, Ketua Kompeni ‘B’ Kompeni telah mengarah Platun 7 pergi
ke lokasi Platun 8 yang jaraknya lebih kurang 100 meter. Tujuan arahan tersebut
ialah untuk kedua-dua platun membuat perancangan rondaan bersama. Ketua Kompeni
mengingatkan supaya tidak mengguna trek ke lokasi Platun 8.
Apabila tiba di lokasi Platun 8, Konst Jamaluddin bin Pawan dan Konst Khalid bin Hashim
telah diarah balik ke lokasi Platun 7 untuk mengiring Platun Sarjan
Platun 7 pergi ke lokasi Platun 8. Beliau dikehendaki menyertai rondaan bersama
itu nanti. Pada jam 8:00 pagi
ketika Konst Jamaluddin dan Konst Khalid melalui denai, tiba-tiba: ‘boom.’
Konst Jamaluddin telah terpijak jerangkap samar. Kaki kanan Konst
Jamaluddin bin Pawan cedera parah dari buku lali ke bawah dan luka seluruh
bawah kaki kanan hingga ke paha serta di sebelah kelopak mata kiri. Manakala Konst
Khalid hanya mengalami cedera ringan di tangan kiri akibat terkena serpihan
senjata halimunan tersebut.[vi]
Misi casevac membawa mereka keluar dipertanggungjawabkan
kepada saya yang membuat detasmen di Pengkalan Chepa. Untuk Op Cahaya Bena II,
4 buah Nuri dari No 10 Skuadron, TUDM Kuantan telah diatur gerak ke Pengkalan Chepa pada 6 Julai 1977. Kedua-dua mangsa telah diterbangkan ke Kota
Bharu untuk mendapat rawatan sewajarnya.
Catatan Buku Log
Penerbangan. Jul 10. Self/Lt Yeow/FSjn
Mano.
Gading 13 KB-BM-S. Padi-KB. Sumber: Mej Dr Nor Ibrahim bin Sulaiman PTU
TUDM (B)
Ringkasan kejadian anggota Bn
11 PPH yang cedera akibat jerangkap samar
Senarai anggota pasukan
keselamatan yang mendapat rawatan di Hospital Kota Bharu akibat jerangkap samar semasa Op Cahaya Bena II . Sumber: SAC (B) Dato’ AM Ahmad Tejuddin Bersambung, in syaa Allah...
[i] Dokumen
daripada SAC (B) Dato’ AM Ahmad Tejuddin.
[ii] Suriani
Abdullah. (1999). Rejimen Ke-10 Dan Kemerdekaan. Hong Kong: Nan Dao Publisher. Suriani binti Abdullah@Eng
Ming Chin adalah
anggota Jawatankuasa Pusat PKM dan isteri Abdullah CD, Pengerusi PKM dan juga
pemimpin Rejimen Ke-10.
[iii] Dokumen daripada SAC (B) Dato’ AM Ahmad
Tejuddin.
[vi] Dokumen daripada
SAC (B) Dato’ AM Ahmad Tejuddin.