Sambungan dari SINI
Semenjak termeterainya Perjanjian Kerjasama Sempadan
1977, dua siri Operasi Bersama – Op Daoyai Musnah dan Op Cahaya Bena – telah
dilancar pada tahun 1977. Persoalannya: adakah operasi-operasi tersebut berjaya
membanteras kegiatan petualang negara? Jawapannya: Tidak! Ini diakui oleh Tentera
Darat Malaysia (TDM) seperti yang tercatat dalam buku terbitannya - ‘Tentera
Darat 1933-2008.’ Petikan: “Operasi-operasi terdahulu telah gagal untuk memusnahkan
secara menyeluruh semua kumpulan PGK yang bertapak di selatan Thailand.”[i]
Soalan seterusnya: Kenapa? Kerana salah satu faktor
kegagalan tersebut ialah tempoh kedua-dua siri Operasi Bersama itu agak pendek.
Dengan kata mudah, operasi tidak berterusan. Situasi begini memberi masa untuk
musuh mengkonsolidasi kedudukan mereka dan membina semula infrastruktur di
lokasi yang lebih selamat.[ii]
Jadi, apa tindakan bagi mengatasi kepincangan ini? Ya,
kedua-dua negara bersetuju untuk melancar Operasi Bersama untuk tempoh yang
panjang. Justeru, pada 24 April 1978 Op Selamat Sawadee telah dilancar
dan berakhir pada 5 Julai 1980. Objektif
operasi ialah “...untuk memusnahkan Kompeni Ke-3 Rejimen ke-12, Kompeni ke-3,
4, 20 dan 25 PKM-ML dan PKM-KR yang berkonsepkan rondaan secara sistematik pada
waktu siang dan serang hendap pada waktu malam dalam lingkungan jarak 1000
meter dari pangkalan PK.”[iii] Kawasan
operasi di sekitar kawasan Betong di selatan Thailand dan Kroh serta Banding,
Perak.
Perlu diingat, petualang negara juga mengambil iktibar
daripada Operasi-operasi Bersama tersebut. Mereka menyaksi peranan Nuri sebagai
‘workhorse’ bagi menjayakan operasi tersebut.
Jadi menghairankan mereka nekad menjadikan Nuri salah satu sasaran utama
mereka. Lagi pun, mereka telah berjaya menembak jatuh sebuah Nuri yang
mengorbankan kesemua 11 anggota keselamatan yang berada dalam pesawat malang
itu di kawasan operasi Gubir pada 26 April 1976. Keazaman itulah yang terpaksa
dihadapi oleh kru Nuri semasa Op Selamat Sawadee!
Pengganas
komunis mempunyai kelebihan. Musuh mereka ‘menceroboh’ padang permainan mereka.
Maka bila-bila masa mereka boleh menyerang penempatan anggota keselamatan. Tetapi
mereka tidak mengambil kesempatan itu. Mengapa? Kerana mereka menunggu ketibaan Nuri. Ini terbukti
dalam beberapa insiden di mana mereka
telah menembak Nuri semasa pesawat dalam fasa ‘approach’ ke tempat mendarat (LP), terapung atau berlepas. Malahan
dalam satu insiden, mereka telah menembak Nuri dari beberapa sudut LP
berkaitan.
Keghairahan petualang negara telah berjaya menembak
dua orang anggota komando yang bertugas sebagai anggota 'Tim Penyelamat Udara (TPU) dalam pesawat dalam 2 insiden berasingan. L/Kpl Mohd Sibki bin Mat Noh terkorban dalam pesawat manakala L/Kpl Ismail bin Ahmad menyahut panggilan Ilahi dalam penerbangan ke
Hospital Pulau Pinang. Bukan itu sahaja, dua orang kuatermaster udara Nuri, PW
U I Mohsain bin Hashim (B) dan PW U II Patrick Lee (B), cedera akibat dicium
peluru panas musuh.
Ancaman terhadap kru Nuri mendapat perhatian serius
oleh pihak atasan TUDM. Selain prosedur Nuri diiringi oleh sebuah helikopter
gempur ke LP, Panglima Operasi Udara telah memberi arahan supaya 2 buah helikopter gempur Alouette III mengiringi Nuri ke LP
tertentu. Sebelum penerbangan dilakukan, meriam 105 mm Howitzer dikehendaki
membedil sasaran yang telah didaftar di kawasan itu. Nuri pula akan memasuki fasa
approach apabila mendapat lampu
hijau dari helikopter gembur setelah pesawat tersebut memuntahkan peluru 20 mm
di laluan si Burung Besi.
Itu adalah arahan. Tetapi dalam keadaan tertentu,
kapten pesawat perlu membuat keputusan berlandas kepada budi bicaranya. Seperti
yang dialami oleh Kapt (U) Musa bin Hassan pada 4 Jun 1978. Beliau dan kru, Lt
M Mohamed Mansor bin Md Zain dan F/Sjn Rahman bin Ros (Allahyarham) yang ketika
itu membuat detasmen di Kroh, telah diberi tugasan casevac pada waktu
malam; bersendirian! Mangsa merupakan seorang anggota komando yang cedera parah
akibat terpijak jerangkap samar. Kapt (U) Musa boleh
menolak tugasan itu kerana ia selari dengan arahan.
Tetapi misi ini melibatkan nyawa seorang wira negara
yang bermatian menentang golongan anti-agama. Kelewatan mangsa mendapat rawatan
sewajarnya dengan segera berkemungkinan keesokan hari misi bukan lagi casevac
sebaliknya bodevac...mengeluarkan mayat! Lantas Kapt
(U) Musa membuat keputusan untuk melaksanakan tugasan tersebut walaupun
bertentangan dengan arahan dan terpaksa meredah kegelapan malam diburukkan lagi
dengan angin kencang. Mangsa dinaikkan melalui kaedah winching. Dalam keadaan begitu, Nuri bak kata
istilah Inggeris...‘sitting duck.’ Sebaik
sahaja mangsa berada dalam pesawat, mereka berlepas ke Alor
Setar. Mangsa diturunkan di kawasan parkir Stadium Darul Aman. Oleh kerana
sudah lewat malam, mereka bermalam di Alor Setar dan terbang balik ke Kroh
keesokan hari.
Kisah secara terperinci beberapa insiden kru Nuri diburu
telah diabadikan dalam buku “Nuri@Burung Besi Dalam Kenangan (2020)”[iv]
dan “Imbauan Buku Log Penerbangan (2021).”[v]
*****
Bagi menghadapi ancaman ini, kapten pesawat
mempelbagai kaedah penerbangan untuk melaksanakan tugasan. Salah satu teknik yang
sering diguna ialah ‘muslihat’ (deception)
disusuli penerbangan taktikal rendah (low level tactical
flying).
Tidak menghairankan sekiranya terdapat penumpang yang baru makan mengalami
makanan keluar semula apabila kapten pesawat secara tiba-tiba menjunamkan
pesawat dari 3000 kaki ke 1000 kaki. Seterusnya terbang lebih kurang 50 kaki dengan
kelajuan lebih kurang 100 knots (185 km/jam) naik-turun
atas kanopi hutan mengikut kontur permukaan bumi.
Saya masih ingat satu penerbangan di mana seorang
pegawai kanan TUDM mengikuti saya ke satu LP. Sebelum beralih sebagai
juruterbang pesawat pejuang, beliau adalah seorang juruterbang Alouette III.
Kira-kira orang lama dalam operasi helikopter. Sebaik sahaja mendarat semula di
Kroh, beliau telah mengajukan soalan kepada saya: “Nor, siapa ajar kamu terbang
macam itu?”
“Nak hidup, Tuan.” Isu mati di situ!
Bersambung...In syaa Allah.
[i] Mohamed Affandi
bin Raja Mohamed Noor (edit.). (2008). Tentera Darat 1933-2008. Kuala
Lumpur: Army Headquarters.
[ii] Col Sharom
bin Hashim (Editor-in-Chief). (2001). The Malaysian Army’s Battle Against Communist Insurgency in Peninsular Malaysia
1968-1989.
Kuala Lumpur: Army Headquarters.
[iii] Ibid.
[iv] Mejar Dr. Nor
Ibrahim bin Sulaiman TUDM (B) PTU.
(2020). Nuri@Burung Besi Dalam Kenangan. Alor Setar: Mejar
Dr. Nor Ibrahim bin Sulaiman TUDM (B) PTU.
[v] Mej Dr Nor Ibrahim bin Sulaiman PTU
TUDM (B). (2021). Imbauan Buku Log Penerbangan. Alor Setar: Mej Dr Nor
Ibrahim bin Sulaiman PTU TUDM (B).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan