Pengikut

Isnin, 16 Mei 2022

Dari Baling ke Hat Yai - Bhg 5

 Sambungan dari SINI...

Tidak sempat pengganas komunis menarik nafas panjang, 3 bulan kemudian kedua-dua negara telah melancar satu lagi operasi bersama. Kali ini siri Op Cahaya Bena. Objektif utama operasi ialah memusnah infrastruktur dan bekalan musuh, menyekat hubungan musuh dengan penduduk tempatan, menurunkan tahap morel musuh sehingga mereka menyerah diri dan memutuskan hubungan antara unit musuh.[i] 

Op Cahaya Bena I dilancar pada 4 Julai 1977 hingga 16 Ogos 1977 di kawasan Betong. Sasaran ialah Rejimen ke-12 PKM yang bersarang di sana. Abdullah CD, ‘CO (Commanding Officer)’ Rejimen ke-10 PKM tidak terlepas daripada skrin radar pasukan keselamatan. Tiga hari kemudian, 7 Julai 1977,  Op Cahaya Bena II telah dilancar di kawasan Waeng, penempatan unit musuh itu. Operasi tersebut berakhir pada 16 Julai 1977.

Kiri: Kawasan operasi Op Cahaya Bena I. Kanan:  Kawasan operasi Op Cahaya Bena II. Sumber: Tentera Darat 1933-2008

Bagaimana pun, musuh juga sudah membuat persediaan awal. Kali ini, taktik yang diguna dijelaskan oleh Suriani binti Abdullah: “...Pasukan Gempur Ke-15 mengambil taktik berundur secara berputar sambil mengembangkan perang periukapi.”[ii] (‘Periukapi’ istilah untuk ‘jerangkap samar’). Mengambil kira faktor ini, pasukan keselamatan akui mereka akan berhadapan dengan kecederaan akibat jerangkap samar.[iii]

Anggota pasukan keselamatan mendengar pesanan Mej Jen Datuk Mahmood Sulaiman (Allahyarham), Panglima 2 Div/GOC sempena  pelancaran Op Cahaya Bena I di hutan Gerik, Perak pada Julai 1977. 
Sumber: Utusan Malaysia, 27 September 2011

   Ya. Itu yang dialami oleh seorang anggota Kompeni Charlie, 3 Renjer yang berpangkalan di Taiping, Perak. Mej Robert Rizal Abdullah PGB, Ketua Kompeni Charlie (OC), begitu gembira bila diberitahu oleh CO bahawa 3 Renjer akan diatur gerak ke Betong, Thailand. Rejimen tersebut merupakan salah satu unit yang dipilih untuk menyertai Op Cahaya Bena I. Bagai bulan jatuh ke riba. Berita yang sudah lama dinanti-nantinya.

Misi Mej Robert Rizal  ialah memburu musuh yang dipercayai mengusaha kebun sayur sejak setahun sebelum itu. Bagi membantu pencarian lokasi kebun itu, seorang ‘Agen Khas Kerajaan’ (Special Government Agent [SGA]) ditumpang kepada kompeninya. SGA tersebut adalah seorang remaja lelaki berumur 15 tahun berketurunan Melayu Pattani. Dek kemiskinan, beliau berjaya diumpan oleh petualang negara untuk bekerja di kebun sayur itu. Menurut SGA itu, kekuatan anggota lebih kurang 30 orang sementara jadual kerja mereka ialah dari jam 6:00 pagi hingga 6:00 petang. Masalahnya, remaja itu tidak tahu lokasi tersebut kerana matanya ditutup semasa berulang-alik ke kebun.

Mej Robert Rizal  dan anggotanya bersama 3 orang TBPP serta SGA meredah hutan dara dan sekunder menuju ke kawasan yang diperuntukkan kepada beliau. Pada awalnya, pergerakan mereka agak perlahan. Keadaan ini disebabkan anggota TBPP sukar menyesuaikan dengan rentak anggota keselamatan ATM melakukan operasi. Kesemua anggota bersama Mej Robert Rizal, termasuk TBPP memikul 6-hari bekalan yang boleh bertahan sehingga 8 hari. Kebiasaannya anggota 3 Renjer  hanya mengambil teh/kopi bersama biskut untuk sarapan pagi manakala makan tengah hari dan malam memadai dengan nasi sama ada berlaukkan daging, ikan atau sayur dalam tin. Sebaliknya, anggota TBPP ambil 3 ‘heavy meals’ setiap hari. Jadi, TBPP kehabisan bekalan pada hari ketiga. Mej Robert Rizal  sedia maklum memohon mendapatkan bekalan di luar jadual ulang bekal yang telah ditetapkan mungkin tidak dilayan.  Permohonan mendapatkan perkhidmatan Nuri diluar jadual ialah penerbangan seperti casevac/medevac/bodevac. Bagi mengatasi masalah ini, Mej Robert Rizal  dan anggotanya terpaksa berkongsi bekalan dengan anggota TBPP. Kesannya melengahkan pergerakan. Mujurlah akhirnya TBPP dapat menyesuaikan dengan  rentak operasi Kompeni Charlie.

Selain itu, Mej Robert Rizal  berhadapan dengan masalah komunikasi dengan TBPP. Mereka tidak tahu berbahasa Melayu atau Inggeris. Keadaan bak kata bidalan ‘seperti ayam dengan itik.’ Kedua-dua pihak mempunyai masalah berkomunikasi. Memang satu cabaran!

Mej Robert Rizal  memilih satu lokasi yang difikirkannya sesuai dijadikan pangkalan kompeni. Keesokan pagi, beliau bersama 3 anggotanya dan SGA tetapi tanpa diiringi oleh TBPP membuat rondaan untuk mengesan lokasi kebun tersebut. Bukan beliau tidak ajak TBPP ikut bersama tetapi mereka agak ‘berat’ mengikuti rondaan tersebut. Bagi Mej Robert Rizal  tanpa mereka lebih mudah beliau melaksana rondaan. Pada lebih kurang jam 11:00 pagi beliau melihat seorang berpakaian hijau di bawah sebatang pokok betik, lebih kurang 600 meter ke bawah sebuah lembah. Bukan itu sahaja, 2 orang yang masing-masing memikul guni besar sedang mendaki bukit. Sah beliau telah menemui kebun sayur yang dicarinya itu.  

Tetapi terfikir Mej Robert Rizal. Empat menyerang 30 musuh? Itu menempah maut! Tanggapannya jumlah musuh itu bersandarkan kepada maklumat SGA. Beliau memerlukan trup tambahan dan beberapa senjata sokongan kompeni, iaitu mesingan kegunaan am (GPMG) 7.62 mm, selaras pelancar grenad M79 dan mortar 60 mm untuk menyerang musuh. Justeru beliau telah mengarah 2 anggotanya balik ke pangkalan.

Trup tambahan tiba di lokasinya. Namun demikian, sebelum melancar serangan Mej Robert Rizal  menghubungi Markas Taktikal 3 Renjer memohon bantuan meriam untuk membedil kebun sayur itu. Beliau diberitahu bantuan Bateri Meriam agak lewat kerana pasukan berkenaan telah beredar dari penempatan meriam di Betong balik ke Kroh. Ia akan mengambil beberapa jam untuk meriam diatur gerak semula ke penempatan asal.  Mereka kini hanya menunggu panggilan pasukan meriam. Satu penyeksaan.

Pada jam lebih kurang 6:00 petang, penungguan berakhir. Bateri Meriam menghubungi Mej Robert Rizal  memberitahunya mereka sudah siap sedia. Lantas beliau memberi ‘grid reference’ kebun sayur tersebut. Tetapi tidak terdengar ‘boom’; letupan peluru 105 mm Howitzer. Hari hampir gelap. Beliau kesuntukan masa. Tidak boleh tunggu bedilan meriam. Lantas beliau mengambil tindakan untuk membedil kebun itu dengan mortar, pelancar grenad dan GPMG: ‘boom...boom...boom...bang...bang...bang.’ Seterusnya beliau mengarah platun penggempur menyerang sasaran.[iv]

Tetapi, tidak kedengaran tembak-menembak. Sasaran mereka tanpa penghuni. Musuh telah meninggalkan semenjak pagi lagi. Pergerakan 3 musuh yang dilihatnya pada jam 11:00 pagi sebenarnya sedang meninggalkan kebun sayur. Sungguh menghampakan! Keesokan pagi, mereka telah menggeledah lokasi itu. Mej Robert Rizal  mendapati banyak kelongsong peluru bertaburan. SGA memberitahunya pengganas komunis tidak melepaskan peluang untuk menembak Nuri yang terbang rendah ketika melakukan penerbangan ke beberapa lokasi di sebelah sempadan Malaysia. Ini kerana kedudukan kebun sayur itu berhampiran dengan sempadan di kawasan operasi Gubir.

Semasa proses penggeledahan, mereka telah menemui 10 jerangkap samar.  Malang tidak berbau. Seorang anggota Mej Robert Rizal telah terpijak jerangkap samar. Seperti biasa, sebuah Nuri telah ditugas untuk membuat penerbangan casevac. Hasrat Mej Robert Rizal untuk menjejaki musuh terhenti apabila beliau diarah balik ke Kroh sebelum bertolak balik ke Taiping. Selain itu, beliau telah diarah untuk membawa bersama SGA balik ke Taiping. Semasa di Taiping, 

SGA tinggal di rumah kelaminnya selama lebih kurang 2 minggu. Seorang pegawai SB datang mengambil remaja itu untuk dihantar balik ke kampungnya dengan keretapi. Menurut  Mej Robert Rizal, beliau difahamkan SGA tersebut akhirnya telah dibunuh kerana mengkhianati pengganas komunis.[v]

Kekecewaan terlepas peluang membunuh 3 petualang negara diburukkan lagi seorang anggota cedera akibat periukapi musuh sungguh mengecewakan Mej Robert Rizal! Namun demikian, kekecewaan beliau terubat apabila Kompeni Delta telah berjaya membunuh dua orang petualang negara dalam satu serang hendap.

Mej Robert Rizal bersama anggotanya dan TBPP semasa Op Cahaya Bena I.
 Sumber:  Lt Kol Robert Rizal Abdullah PGB (B)

Anggota Kompeni Charlie, 3 Renjer menikmati juadah tengah hari sebelum meneruskan 
memburu musuh durjana semasa Op Cahaya Bena I. Sumber:  Lt Kol Robert Rizal Abdullah PGB (B)

Anggota Kompeni Charlie, 3 Renjer berehat sebentar sebelum meneruskan memburu 
musuh durjana semasa Op Cahaya Bena I. Sumber:  Lt Kol Robert Rizal Abdullah PGB (B)

*****

Nasib yang sama turut menimpa Bn 11 PPH yang berpangkalan di Pengkalan Chepa, Kelantan: satu-satunya pasukan PPH yang terlibat dalam Op Cahaya Bena II. Markas Taktikal Batalion 11 ialah di Ban Tapao, Weang. Pasukan itu telah mengalami 2 anggotanya tercedera akibat jerangkap samar. 

Pada pagi 10 Julai 1977, Ketua Kompeni ‘B’ Kompeni telah mengarah Platun 7 pergi ke lokasi Platun 8 yang jaraknya lebih kurang 100 meter. Tujuan arahan tersebut ialah untuk kedua-dua platun membuat perancangan rondaan bersama. Ketua Kompeni mengingatkan supaya tidak mengguna trek ke lokasi Platun 8.

Apabila tiba di lokasi Platun 8, Konst Jamaluddin bin Pawan dan Konst Khalid bin Hashim telah diarah balik ke lokasi Platun 7 untuk mengiring Platun Sarjan Platun 7 pergi ke lokasi Platun 8. Beliau dikehendaki menyertai rondaan bersama itu nanti. Pada jam 8:00 pagi ketika Konst Jamaluddin dan Konst Khalid melalui denai, tiba-tiba: ‘boom.’ Konst Jamaluddin telah terpijak jerangkap samar. Kaki kanan Konst Jamaluddin bin Pawan cedera parah dari buku lali ke bawah dan luka seluruh bawah kaki kanan hingga ke paha serta di sebelah kelopak mata kiri. Manakala Konst Khalid hanya mengalami cedera ringan di tangan kiri akibat terkena serpihan senjata halimunan tersebut.[vi]

Misi casevac membawa mereka keluar dipertanggungjawabkan kepada saya yang membuat detasmen di Pengkalan Chepa. Untuk Op Cahaya Bena II, 4 buah Nuri dari No 10 Skuadron, TUDM Kuantan telah diatur gerak ke Pengkalan Chepa pada 6 Julai 1977. Kedua-dua mangsa telah diterbangkan ke Kota Bharu untuk mendapat rawatan sewajarnya.

Catatan Buku Log Penerbangan. Jul 10. Self/Lt  Yeow/FSjn Mano.
 Gading 13 KB-BM-S. Padi-KB. Sumber: Mej Dr Nor Ibrahim bin Sulaiman PTU TUDM (B)

Ringkasan kejadian anggota Bn 11 PPH yang cedera akibat jerangkap samar
 semasa Op Cahaya Bena II. Sumber: SAC (B) Dato’ AM Ahmad Tejuddin 

Senarai anggota pasukan keselamatan yang mendapat rawatan di Hospital Kota Bharu akibat jerangkap samar semasa Op Cahaya Bena II Sumber: SAC (B) Dato’ AM Ahmad Tejuddin 

Bersambung, in syaa Allah...

[i]           Dokumen daripada SAC (B) Dato’ AM Ahmad Tejuddin.

[ii]          Suriani Abdullah. (1999). Rejimen Ke-10 Dan Kemerdekaan. Hong Kong: Nan Dao Publisher. Suriani binti Abdullah@Eng Ming Chin adalah anggota Jawatankuasa Pusat PKM dan isteri Abdullah CD, Pengerusi PKM dan juga pemimpin Rejimen Ke-10.

[iii]          Dokumen daripada SAC (B) Dato’ AM Ahmad Tejuddin.

[iv]          Robert Rizal Abdullah PGB. (2008). My Adventure. Taiping: Robert Rizal Abdullah PGB.

[v]           Perbualan dengan Lt Kol Robert Rizal Abdullah PGB melalui telefon pada 13 Mei 2022.

[vi]          Dokumen daripada SAC (B) Dato’ AM Ahmad Tejuddin.

Tiada ulasan: