Sambungan dari klik di SINI
Susulan Op Jala
Raja, satu lagi operasi besar-besaran, Op Hentam, telah dilancar di kawasan
Muara Tebas, bersebelahan Nonok pada 8 Mac 1971.[1] Operasi ini membabitkan
infantri batalion dan dua batalion PPH. Antara pasukan yang terlibat ialah 8
RAMD dan Tiger Platoon/UCIS, 1
Renjer.
8 RAMD yang
berpangkalan di Kem Semenggo, Kuching memainkan
peranan sebagai batalion mengepung dan memusnah; Markas Taktikal Batalion di
Bako. Tugasan mencari ini dipikul oleh Tiger Platoon 8 RAMD.[2] Keutamaan operasi ini memaksa Kompeni
‘Charlie’ yang bertanggungjawab di Sematan, Lundu dan Biawak diatur gerak ke
kawasan operasi (AO) di Bako.
Tugas Tiger
Platoon 8 RAMD seterusnya diambil alih oleh Lt M
Baharin bin Abd Jalil yang mengetuai Tiger Platoon, 1
Renjer. Beliau serta dibantu oleh Rjr Lan a/k Gima telah berjaya membunuh 13
pengkhianat negara pada 17 Mac 1971.[3] Manakala PPH pula telah
berjaya membunuh dua pengganas komunis.[4] Dengan itu, Op Hentam
telah menyusutkan lagi anggota PGRS seramai 15 anggota.
*****
Sementelah Kompeni Charlie yang diketuai oleh Kapt Aziz Hanafi telah diatur gerak ke Op Hentam,
kawasan operasi di Sematan yang meliputi Lundu dan Biawak telah diambil alih
oleh Kompeni Markas, 8 RAMD. Tetapi keanggotaannya tidak seperti kekuatan
kompeni. Sebelum ketibaan Lt M Ismail bin Malek
yang menjawat Komander Mortar mengambil alih Kompeni Markas di Sematan pada 18
Mac 1971, lokasi itu diketuai oleh seorang Pegawai Waran.
Laluan konvoi
2-kenderaan dari Sematan-Lundu-Biawak pada 19 Mac 1971. Suber: Google
Lt M Ismail diatur
gerak ke Sematan sekembali dari Kota Kinabalu setelah menduduki peperiksaan
naik pangkat Leftenan ke Kapten dengan menaiki Land Rover.[5] Keanggotaan di Sematan
terdiri daripada tukang masak, penjaga stor senjata (armourer), pemandu dan anggota ‘medic’ (Kor Perubatan). Kenderaan
yang ada hanyalah masing-masing sebuah trak 3-ton dan Land Rover. Kedua-dua
trak tanpa kanopi bagi memudahkan trup melompat keluar sekiranya diserang
hendap.
Dalam
taklimatnya kepada Lt M Ismail, Pegawai Waran berkenaan memaklum aktiviti
keesokan hari, 19 Mac 1971. Kedua-dua buah kenderaan, 3-ton dan Land Rover,
akan dihantar ke Pos Lundu dan Biawak untuk menghantar bekalan segar dan rangsum
yang telah dibekalkan oleh Kem Semenggo sebelum itu. Aktiviti tersebut hanya
rutin biasa yang telah dijadualkan oleh Markas Taktikal Bn di Bako. Oleh kerana
aktiviti sudah atur, tugasan Lt M Ismail hanya bagi menentukan semuanya
berjalan seperti yang dirancang.
Jumaat, 19 Mac 1971. Seperti
yang dirancang, pada pagi itu kedua-dua kenderaan bertolak dari Sematan ke
Lundu dan seterusnya ke Biawak. Ketua konvoi ialah Kpl
Osman yang menaiki Land Rover yang dipandu oleh 7019 Pbt Hassan bin Mehat,
lebih dikenali sebagai Hassan Dayak serta seorang anggota dengan senjata
mesingan ringan (LMG).[6] Manakala trak 3-ton pula
dipandu oleh 6821 Pbt Mahat bin Gudek. Duduk di
‘kokpit’ ialah 205772 Kpl Ahmad bin Ibrahim, anggota Kor Perubatan. Lain-lain
anggota ialah 10337 L/Kpl Omaran bin Ahmad, 8050 Pbt Mat Omar bin Tahir, 10282 Pbt Abd
Majid bin Abu, 18805 Pbt Shaari@Nasir
bin Yahaya[7] dan 18373 Pbt Mansor bin Mohd Tapi.
*****
Pada mulanya
cuaca tengah hari itu baik. Tetapi tiba-tiba hujan panas turun. Keadaan ini
agak merunsingkan Kpl Ahmad. Sebagai seorang yang
‘telah lama makan garam,’ beliau teringat kepercayaan orang tua-tua mengenai
hujan panas. Terdetik dalam hatinya “...kalau tiba-tiba ada hujan panas, akan
ada benda yang tidak baik berlaku."[8] Lalu beliau berdoa: “Ya
Allah, lindungilah perjalanan daripada sebarang malapetaka, amiiiin.”
Perhentian
pertama, Lundu, tidak mengalami sebarang masalah. Destinasi seterusnya ialah
Biawak. Sebaik sahaja tiba di persimpangan Jalan Titiakar-Biawak, konvoi
membelok ke kiri.
Sasaran musuh
terkena Pbt Mahat, pemandu kenderaan; beliau terkorban. Truk terus terbabas dek
tanpa pemandu. Manakala sebutir peluru tertanam di paha kanan dan belakang
badan Kpl Ahmad.[9]
Manakala serpihan cermin telah mencederakan tengkuk, kaki dan lutut.[10] Doanya dimakbulkan-Nya.
Beliau tidak sedar diri tetapi masih bernyawa.
Lima penumpang
cuba membalas tembakan musuh. Malahan
Pbt Mat Omar terus melompat dari trak untuk membalas tembakan musuh.[11] Tetapi apakan daya.
Keadaan muka bumi memihak kepada musuh. Kecuali Pbt Mansor yang ditembusi
peluru di kaki, empat anggota telah terkorban.
Sementara itu,
Land Rover yang berada di hadapan, terus berhenti dan menembak musuh. Mereka
cuba menghampiri trak tetapi terhalang akibat tembakan musuh bertubi-tubi ke
arah mereka. Kpl terus menghantar mesej melalui radio ke Sematan memberitahu
situasi yang dihadapi mereka.
*****
Dengan Land
Rover dihalang daripada membantu, sekumpulan pengkhianat negara turun tebing.
Mereka menaiki trak yang sudah tersadai di tebing untuk merampas ‘harta perang’
terutama senjata dan peralatan ‘webbing.’
Mereka mendapati Pbt Mansor masih hidup dan salah seorang musuh hendak
membunuhnya.
Tetapi ajal
maut di tangan Allah, bukan di tangan hamba-Nya. Niat itu terhalang apabila
seorang musuh menghalangnya. “Biar dia hidup...biar dia beritahu rakyat.”[12] Terdapat musuh masuk
kokpit untuk merampas harta perang. Ketika itulah disangka Kpl Ahmad telah
terbunuh.
Dalam
keterujaan merampas harta perang, musuh telah menonjolkan kezaliman yang sudah
menjadi ‘hak cipta’ mereka. Memetik Mej Ismail bin Malek TUDM (B) yang
merupakan kumpulan pertama tiba di lokasi: “Most of the
dead were mutated by the CTs to get our soldiers’ equipment and weapons. Sangat
mengerikan.”[13]
Sebaik sahaja
tugasan selesai, petualang beredar dari situ. Hari itu, negara kehilangan lima
wira negara KIA dan dua WIA!
*****
Markas
Taktikal, Sematan. “Tuan, konvoi kita kena serang hendap.” Jerit
operator radio kepada Lt M Ismail. Tanpa berlengah, Lt
M Ismail (kiri: Mej Ismail bin Malek TUDM (B)) mengumpul beberapa anggota
untuk membantu anak buahnya. Tetapi tidak semudah itu. Tiada lagi kenderaan
untuk membawa mereka ke lokasi tersebut!
Dalam keadaan
begini, Lt M Ismail mengambil inisiatif untuk meminta bantuan daripada seorang
tuan punya kedai, seorang lelaki Cina, berhampiran. Lalu, berjalan keluar kem ke kedai tersebut. Beliau
menjelaskan keadaan yang dihadapi dan memohon untuk meminjam sebuah kereta
beliau kepada mereka. Lelaki tersebut enggan meminjamkan keretanya tetapi sedia
menghantar mereka ke lokasi. Tak apalah...lebih baik daripada tak ada langsung.
Dengan
persetujuan itu, Lt M Ismail bersama lebih kurang
empat lagi anggotanya bergerak ke lokasi dengan sebuah kereta ‘Datsun pick-up.’
Mereka tiba di lokasi lebih kurang sejam kemudian. Selepas menurunkan
penumpang-penumpang, tuan punya kereta balik ke Sematan.[14]
Setiba di sana,
beliau melihat Land Rover dan penghuninya masih berada di situ. Setelah pasti
musuh sudah beredar, kesemua mereka merapati trak 3-ton. Pemandangan sungguh
mengerikan. Trek dibasahi dengan darah rakan seperjuangan. Lt M Ismail “tidak
dapat dibayangkan kekejaman komunis yang tidak berperi kemanusiaan!”[15]
Lt M Ismail dan anggotanya membawa keluar
Kpl Ahmad dan Pbt Mansor dari kenderaan dan membaringkan mereka di tempat
teduh. Seterus beliau mengarah untuk membalut luka mereka. Beliau seterusnya
menghubungi Markas Taktikal Bn bagi melaporkan penemuannya dan meminta
helikopter untuk misi casevac dan bodevac.
*****
Markas Taktikal
Bn, Bako. Mesej operator radio semasa serang hendap turut didengar
oleh CO. Beliau (CO) seterusnya menghubungi Markas Taktikal 3 BIM memohon
bantuan mobiliti udara untuk memasukkan trup serta membawa keluar mangsa-mangsa
untuk mendapat rawatan.
Kini tiba tugas
yang menyayat hati melihat mayat dizalimi oleh pengkhianat negara. Lt M Ismail
dan anggotanya mengutip serpihan anggota rakan seperjuangan.[16]
*****
Permohonan
disalur kepada Markas Wilayah Udara di Kuching. Sudah pasti: Lulus. Kelulusan
itu disalur kepada Bilik Operasi TUDM Kuching yang seterusnya menghubungi Bilik
Operasi No 7 Skuadron dengan butiran tugasan.
Misi:
casevac dan bodevac.
Waktu berlepas: ASAP
(as soon as possible).
Sebaik sahaja mendapat butiran, pesawat Nuri, FM1149, yang dikendali oleh Flt Lt Leong P.S. yang menjawat sebagai Ketua Flait bersama Plt Off Munusamy (kopilot) dan Sjn Patrick Lee berlepas ke lokasi serang hendap. Pesawat mendarat di atas trek dalam hujan lebat berhampiran dengan mayat bergelimpangan.[17] Kesemua beg mayat dan dua casevac dimuatkan dalam pesawat. Tetapi pesawat tunggu buat seberapa ketika kerana hujan membatas penglihatan, hampir 'zero visibility.' Memang benar apa yang dikatakan oleh Lt M Ismail mengenai keadaan mayat. Sjn Patrick begitu sedih melihat terdapat bahagian anggota mayat yang dipotong-potong![18] Tak tahulah petua ilmu apa yang mereka pakai hingga mayat dizalimi, wallahualam.
Setelah hujan kurang sedikit, pesawat berlepas ke TUDM Kuching di mana ambulans dan kenderaan sedang menunggu. Kpl Ahmad dan Pbt Mansor dikejarkan ke Hospital Umum Kuching untuk mendapat rawatan sewajar.
*****
Selepas sebulan
Kpl Ahmad terlantar di hospital, doktor berjaya mengeluarkan sebutir peluru
dari pahanya.[19]
Beliau dan Pbt Mansor dibenarkan keluar dari hospital setelah menghuni di situ
selama tiga bulan.[20]
Oleh kerana hujan lebat dan malam menjelang datang, Lt M Ismail membuat keputusan untuk bermalam di situ. Keputusan ini dimaklum kepada Markas Bn.
*****
Pada pagi keesokan hari, 20 Mac 1971, Lt M Ismail dan anak buahnya balik ke Sematan dengan Land Rover dengan dipandu oleh Pbt Hassan. Sementara itu sebuah Nuri mendarat di Markas Bn di Kpg Bako untuk mengambil satu platun ke lokasi serang hendap. Misi platun tersebut ialah untuk memburu dan memusnah musuh. Platun yang dipertanggungjawab misi tersebut dipikul oleh Platun No 10, Kompeni Delta, 8 RAMD yang diketuai oleh Lt M Tajuddin bin Maulud. Lebih kurang dua minggu beliau dan anak buahnya meronda di kawasan tersebut tetapi gagal mengesan musuh. Selain itu, Oleh kerana itu, CO mengarahnya balik ke pangkalan di Kem Semenggo.[21]
Selain itu, Kapt Aziz Hanafi, Ketua Kompeni C diarah untuk mengambil alih semula kawasan operasi yang dipertanggungjawab kepada Kompeni C sebelum ini, iaitu Sematan, Lundu dan Biawak. Susulan itu, Lt M Ismail Malek pula diarah kembali ke Kem Semenggo, Kuching. Beliau diarah untuk mengiringi jenazah ke Negeri Sembilan.[22]
ATM yang begitu
prihatin terhadap kebajikan anggotanya, telah menerbangkan Puan Tumina, isteri
Kpl Ahmad bin Ibrahim dan juga isteri Pbt Mansur ke Kuching.
*****
Persoalan: Adakah serang hendap terhadap 8 RAMD tersebut sebagai satu helah musuh untuk mengalih perhatian pasukan keselamatan daripada terus memburu dan mengepung petualang negara di kawasan Op Hentam? Pasukan keselamatan telah berjaya membunuh sejumlah 15 musuh. Saki baki musuh perlu meloloskan diri daripada kepungan itu. Wallahualam!
*****
Mengimbau kembali peristiwa hitam yang menimpa dirinya, pada Ogos 2019, S/Sjn Ahmad bin Ibrahim (Allahyarham) meluahkan harapan untuk bertemu dengan Pbt Mansor (bersara Sarjan). Tetapi harapan hanya tinggal harapan kerana beliau (S/Sjn Ahmad) telah menyahut panggilan Ilahi pada 4 September 2021. Manakala Sjn Mansor yang tidak tahu hasrat rakan seperjuangan untuk menemuinya semula, telah menyusuli rakannya itu pada 26 Jun 2022.[23]
Beliau menasihati
generasi muda supaya “...menyertai badan beruniform seperti polis dan tentera,
supaya dapat menyumbang jasa kepada negara.”[24]
Dengan pemergian S/Sjn Ahmad bin Ibrahim dan Sjn Mansor bin Mohd Tapi, tternoktahlah satu episod sejarah tanah air.
KIA
10337 L/Kpl
Omaran bin Ahmad
6821 Pbt Mahat
bin Gudek
8050 Pbt Mat
Omar bin Tahir
10282 Pbt Abd
Majid bin Abu
18805 Pbt
Shaari@Nasir bin Yahaya
WIA
Brig Jen Ghazali Seth, Panglima 3 BIM menyerah sumbangan kepada Pbt Mansor bin Mohd Tapi sambil diperhati oleh Lt Kol Badarudin (kanan), CO 8 RAMD dan Puan Rasmi binti Ali (berdiri kiri), isteri Pbt Mansor, ketika melawat mangsa serang hendap di Hospital Umum Kuching. Ihsan: Puan Dila binti Ahmad
Brig Jen Ghazali Seth, Panglima 3 BIM berjabat tangan dengan Kpl Ahmad bin Ibrahim sambil diperhati oleh Lt Kol Badarudin (kanan), CO 8 RAMD dan Puan Tumina (duduk kiri) ketika melawat mangsa serang hendap di Hospital Umum Kuching. Ihsan: Puan Dila binti Ahmad
Saya tabik spring kepada veteran 7 Renjer yang telah berusaha untuk mengabadikan para wira mereka yang KIA dan WIA dalam insiden tersebut.
*****
Saya
harap coretan ringkas saya ini akan mencetus kesedaran kepada para veteran 8
RAMD untuk mendokumentasi peristiwa-peristiwa yang dilalui di suatu ketika
dahulu. Hargailah mereka yang sedia menggadai nyawa demi menjaga kedaulatan
negara. Dokumentasikan peristiwa yang dilalui seperti ini supaya generasi akan datang sedar kesejahteraan yang mereka kecapi kini tidak datang bergolek begitu
sahaja. Banyak darah mengalir!
Mungkin
buat permulaan, menggerak usaha untuk membina memorial seperti yang dilakukan
oleh 7 Renjer, wallahualam. Fikir-fikirkanlah.
*****
[1] James Ritchie. (2011). Crimson Tide Over Borneo, hlm. 196.
[2] Penjelasan oleh Mej Jen Dato’ Abdullah bin Babu PGB (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 1 Jun 2023.
[3] Syed Othman Syed Omar. (1993). Pahlawan Angkatan Tentera Malaysia: Penerima S.P. dan P.G.B. – Jilid 1. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 129-134.
[4] James Ritchie. (2011). Crimson Tide Over Borneo, hlm. 197-198.
[5] Penjelasan oleh Mej Jen Dato’ Abdullah bin Babu PGB (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 19 Mei 2023.
[6] Penjelasan oleh 10790 S/Sjn Mohamad bin Tuan Chik (B) melalui telefon pada 23 Mei 2023.
[7] Maklumat daripada Mej Salim bin Ibrahim, JHEV, melalui aplikasi WhatsApp pada 19 Mei 2023.
[8] Malaysiakini, Serangan komunis: Ahmad sebak setiap kali terkenang, 29 Ogos 2019. Lihat https://m.malaysiakini.com/news/ 489947 (diakses pada 19 Mei 2023).
[9] Ibid.
[10] Penjelasan oleh Puan Dila binti Ahmad, anak kepada arwah S/Sjn Ahmad bin Ibrahim melalui aplikasi WhatsApp pada 20 Mei 2023.
[11] Penjelasan oleh 10790 S/Sjn Mohamad bin Tuan Chik (B) sebelum ini.
[12] Ibid.
[13] Penjelasan oleh Mej Ismail bin Malek TUDM (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 19 Mei 2023.
[14] Ibid.
[15] Ibid.
[16] Penjelasan oleh 10790 S/Sjn Mohamad bin Tuan Chik (B) sebelum ini.
[17] Penjelasan oleh Lt Kol Munusamy TUDM (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 19 Mei 2023.
[18] Penjelasan oleh PW U II Patrick Lee (B) melalui telefon pada 13 Mei 2023.
[19] Penjelasan oleh Puan Dila binti Ahmad sebelum ini.
[20] Ibid.
[21] Pebualan dengan Mej Tajuddin bin Maulud melalui telefon pada 9 Jun 2023.
[22] Penjelasan oleh Mej Ismail bin Malek sebelum ini.
[23] Menurut Puan Dila binti Ahmad, ayahandanya, S/Sjn Ahmad bin Ibrahim telah meninggal dunia pada 4 September 2021. Menurut rekod JRP, Sjn Mansor bin Mohd Tapi telah meninggal dunia pada 26 Jun 2022.
[24] Malaysiakini, Serangan komunis: Ahmad sebak setiap kali terkenang, sebelum ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan