Pengikut

Jumaat, 2 Jun 2023

PRA SERANG HENDAP KE ATAS 8 RAMD JALAN TITIAKAR-SEMATAN PADA 19 MAC 1971


            Bila bercakap mengenai ancaman komunis  di Malaysia di suatu ketika dahulu, tidak menghairankan terdapat kefahaman sebilangan  rakyat mengait Parti Komunis Malaya (PKM)   dan pasukan tenteranya, Tentera Pembebasan Nasional Malaya (TPNM) punya angkara. Pada anggota pasukan keselamatan (ATM dan PDRM) di era itu, mereka sudah terbiasa dengan istilah ‘PGK/CT (Pasukan Gerila Komunis/communist terrorists)’ yang merujuk kepada TPNM. 

        Sebenarnya, ancaman PKM hanya di Semenanjung sahaja; parti itu tidak wujud di Sabah/Sarawak. Organisasi komunis yang menghuru-harakan Sarawak pada mula dikenali sebagai ‘Sarawak Communist Organisation (SCO)’ yang diterajui oleh Wen Min Chuan. Secara tidak rasmi, istilah SCO ini lenyap apabila Wen M.C. telah mengumumkan penubuhan ‘Parti Komunis                  Kalimantan Utara (PKKU)’ antara 19-21 September 1965.[1] Tidak lama kemudian, sama seperti Chin Peng, Setiausaha Agong PKM, telah melarikan diri ke China. Tindakan ini terpaksa diambil bagi mengelak daripada diburu oleh Tentera Nasional Indonesia berikutan insiden ‘Lobang Buaya’ di Jakarta pada 30 September 1965.[2]

Selari dengan penubuhan parti, dua unit penggempur/gerila ditubuhkan, iaitu Pasukan Rakyat Kalimantan Utara (PARAKU) dan Pasukan Gerila Rakyat Sarawak (PGRS).


Pada 30 Mac 1970, setelah dipersetujui oleh Jawatankuasa Pusat (Central Committee), Lim Ho Kui telah mengumumkan secara rasmi kelahiran PKKU. Wen M.C. masih Pengerusi PKKU walaupun dia berada di Beijing. Lim H.K. dilantik sebagai ‘ketua’ dan Setiausaha kepada kegiatan parti di Divisyen Pertama manakala Bong Kee Chok sebagai Komander Biro Kedua.[3] Seterusnya, PKKU bergerak menyeberang sempadan ke Sarawak. Kawasan operasi PGRS di Divisyen Pertama dan Kedua sementara PARAKU di Divisyen Ketiga.

Kedudukan pasukan bersenjata PKKU. Sumber: James Ritchie

 *****

Walaupun PKM dan PKKU adalah dua entiti berlainan, namun persamaan mereka sangat ketara. PKM berjuang untuk ‘memerdekakan’ Semenanjung dan rakyat marhaen daripada kerajaan yang dipilih oleh rakyat sendiri melalui proses demokrasi - PRU. Ini selari dengan objektif PKM menjadikan negara tercinta ini menganuti ideologi komunisme yang berkiblat kepada negara      Republik China.


Manakala objektif PKKU pula ialah menjadikan Sarawak sebuah negara komunis.      Dalam manifestonya, PKKU mengumumkan “...tujuannya dan hubungannya yang rapat dengan PKM, iaitu sebagai parti-parti komunis yang bersaudara dan yang bekerja ke arah satu matlamat bersama, iaitu hendak menegakkan pemerintahan komunis di dalam wilayah masing- masing dengan cara bersenjata.”[4]


Apakah kaedah diambil untuk mencapai objektif tersebut? Seperti yang dilakukan oleh PKM, PKKU berpegang kepada falsafah Niccolo Machiavelli dalam

Machiavelli dalam bukunya, ‘The Prince,’ iaitu ‘Matlamat Menghalalkan Cara’.


Dan istilah ‘zalim’ sudah semestinya sinonim dengan komunis terhadap rakyat marhaen yang tidak berdosa yang enggan menyokong  perjuangan mereka! Individu yang ingkar “...dibunuh dengan kejam dan sesetengah daripada individu-individu tersebut dibunuh dengan cara dicincang.”[5] Selain itu, jika gagal membunuh anggota polis, gerila komunis akan beralih kepada sanak-saudara anggota tersebut.

*****

Sebelum penubuhan PKKU lagi, pasukan keselamatan telah dapat menghidu kegiatan petualang negara. Lantaran itu, pasukan keselamatan telah melancar ‘Op Jala Raja’ di kawasan Nonok pada 24 Februari 1970. Tujuan Op Jala Raja ialah “...untuk memerangi Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) yang berpangkalan di Kuching dan Simunjang, Sarawak.”[6]


Op Jala Raja menyaksikan pengganas komunis telah kehilangan 17 WIA, 10 orang ditawan manakala 5 orang menyerah diri.[7] Kejayaan yang membanggakan.

*****

    Susulan Op Jala Raja, satu lagi operasi besar-besaran, Op Hentam, telah dilancar di kawasan Muara Tebas, bersebelahan Nonok pada 8 Mac 1971.[8] Operasi ini membabitkan infantri batalion dan dua batalion PPH. Antara pasukan tentera terlibat ialah 8 RAMD dan Tiger Platoon/UCIS, 1 Renjer.

    8 RAMD yang berpangkalan di Kem Semenggo, Kuching memainkan peranan sebagai batalion mengepung dan memusnah dan Markas Taktikal Batalion di Bako. Tugasan mencari ini dipikul oleh Tiger Platoon 8 RAMD.[9]  Keutamaan operasi ini memaksa Kompeni ‘Charlie’ yang bertanggungjawab di Sematan dan Biawak diatur gerak ke kawasan operasi (AO) di Bako.

    Tugas Tiger Platoon 8 RAMD seterusnya diambil alih oleh Lt M Baharin bin Abd Jalil yang mengetuai Tiger Platoon, 1 Renjer. Beliau serta dibantu oleh Rjr Lan a/k Gima telah berjaya membunuh 13 pengkhianat negara pada 17 Mac 1971.[10] Manakala PPH pula telah berjaya membunuh dua pengganas komunis.[11] Dengan itu, Op Hentam telah menyusutkan lagi anggota PGRS seramai 15 anggota.

Bersambung....In syaa Allah



[1]              James Ritchie. (2011). Crimson Tide Over Borneo. Kuching: Persatuan Bekas Polis Malaysia, Bahagian Negeri Sarawak, hlm. 168.

[2]              Ibid., hlm. 170.

[3]              Ibid., hlm. 188.

[4]             Mohd.    Reduan  Haji Asli. (2008). Pemberontakan Bersenjata Komunis Di Malaysia. Ampang: DBP, hlm. 218.

[5]              Ibid, hlm. 205

[6]             Mej Jen Dato’ Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor (Ketua Pengarang). (2008). Tentera Darat 1933-2008. Kuala Lumpur: Markas TDM, hlm. 148-149.

[7]            Ibid.

[8]           James Ritchie. (2011). Crimson Tide Over Borneo, hlm. 196.

[9]             Penjelasan oleh Mej Jen Dato’ Abdullah bin Babu PGB (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 1 Jun 2023.

[10]              Syed Othman Syed Omar. (1993). Pahlawan Angkatan Tentera Malaysia: Penerima S.P. dan P.G.B. – Jilid 1. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 129-134.

[11]             James Ritchie. (2011). Crimson Tide Over Borneo, hlm. 197-198. 

Tiada ulasan: