Pengikut

Jumaat, 21 November 2025

SAR Low's Gully: "Jangan masuk...jangan masuk"

 Sambungan dari di SINI

Jangan masuk...jangan masuk

Jam 4.07 petang.[1] Dari Kpg Nahandang Melangkap, Kapten Gabriel melihat awan mula bertompok-tompok di Low’s Gully. Beliau sedar, matahari akan terbenam kira-kira pukul 6.00 petang, menanda masuknya waktu maghrib. Masa yang berbaki sekitar dua jam - suatu tempoh yang amat kritikal - untuk membawa keluar enam anggota (masing-masing tiga dari kumpulan ekspedisi dan paramedik) yang masih tersadai di Kevin's Cave. Berdepan dengan batasan masa ini, beliau tanpa lengah membuat keputusan untuk melaku sorti ketiga ke lokasi tersebut. Selain Mej Dr Shamsuddin dan anggotanya, Flt Lt Mowbray turut menyertai sorti ini.

Cuaca memang tidak dapat diramal. Apabila menghampiri jurang itu, awan mulai menyelimuti Kevin’s Cave. Namun awan tebal itu tidak sekali-kali mematah tekad Lt Gabriel. Beliau nekad untuk cuba masuk ke lokasi tersebut. Ekoran ini, beliau menaikkan pesawat melepasi tompokan awan yang menutup Kevin’s Cave sambil mencari ‘lubang’ - satu celahan kecil di antara awan tebal - yang membolehkan beliau mengolah gerak pesawat ke lokasi tersebut. Pencariannya tidak sia-sia. Beliau ternampak satu lubang di atas lokasi itu – peluang yang tidak akan dilepas begitu sahaja. Namun tidak begitu mudah. Jarak penglihatan menghalang beliau membawa pesawat ke keadaan terapung melalui kaedah seperti sebelum ini. Daripada pemerhatiannya terhadap kedudukan pesawat ketika itu, jarak antara dinding-dinding granit tampak agak lebar. Keadaan ini memberinya satu-satunya pilihan yang ada - ‘spiral descending’ - iaitu menurun secara berpusar. Tanpa berlengah, beliau mula menurun collective manakala cyclic pula ditolak ke kanan bagi memboleh pesawat berpusing ke kanan. Seperti biasa, Lt Nazhar memantau panel instrumen sementara kedua-dua AQM memantau keadaan di sebelah kanan dan kiri.

 Apabila pesawat berada lebih kurang 300 kaki di atas lokasi yang dituju, tiba-tiba satu suara pecah di radio: “Jangan masuk...jangan masuk.”[2] Teriak salah seorang anggota CAR/paramedik yang berada di bawah melalui radio 2-hala ‘Motorola.’ Penghuni Kevin’s Cave sememang mendengar bunyi dua enjin ‘General Electric 1500 shaft horsepower’ makin hampir setiap saat tetapi tidak nampak kelibat pesawat – hanya bunyi enjin sahaja. Zero visibility!

Keadaan pada ketika itu amat mencemaskan. Lt Gabriel memilih untuk menaikkan pesawat mengguna kaedah ‘spiral climbing.’ Dengan tangan kirinya menaikkan collective, sementara tangan kanannya menolak cyclic ke kanan, pesawat mula mendaki sambil berpusar. Dalam keadaan ‘Instrument Meteorological Conditions (IMC),’ iaitu tanpa rujukan visual luar, kapten menumpu sepenuhnya pada instrumen ‘artificial horizon’ yang menunjuk profil pesawat sehingga ia menembusi puncak awan pada ketinggian 11,000 kaki.

 Pendakian berpusar tersebut jauh daripada lancar kerana pesawat terdedah kepada badai bawah dan atas (updraft and downdraft).[3] Pesawat terasa ‘ditarik’ dan ‘ditolak.’ Menyedari risiko meningkat, kapten membuat keputusan untuk kembali ke pangkalan hadapan. Pesawat mendarat pada jam 5.05 petang.[4] Setelah itu enjin dimatikan dan mereka menunggu peluang untuk membuat percubaan seterusnya.

Lakaran memapar pesawat membuat ‘spiral climbing’ daripada 6,000 kaki hingga 11,000 kaki. Sumber: Mej Nazhar bin Abdullah PTU TUDM (B)

 Sebaik melihat Nuri mendarat, Lt Kol Robert Neill berjalan ke pesawat dengan membawa kameranya untuk menyambut tiga lagi anggotanya. Beliau melambai-lambai tangannya kepada para penyelamat. Sebaliknya, kegembiraan bertukar ke pada kekecewaan – tiada kelihatan Mej Ron Foster dan dua lagi anggotanya turun dari pesawat.[5]

*****

Demi masa. Hanya sejam sahaja sebelum sinaran sang suria beredar. Lt Gabriel tidak mudah mengalah. Beliau tekad untuk cuba sekali lagi sebelum kegelapan menyelubungi bumi. Ekoran itu, beliau membuat keputusan untuk mencuba buat kali terakhir ke Kevin’s Cave. Dengan baki bahan api yang sedia dan para penumpang yang sama, Nuri berlepas untuk sorti keempat ke lokasi berkenaan pada jam 5.32 petang.

 Cuaca sememangnya tidak dapat diramal. Sebaik menghampiri permukaan jurang, baik jurang mahupun  kemuncak Gunung Kinabalu hilang daripada penglihatan dek diselubungi awan. Keadaan ini membuat kapten pesawat tiada pilihan selain membatal sorti menyelamat untuk hari itu. Ia merupakan satu keputusan yang amat berat baginya. Tambahan pula, dia sedia maklum bahawa ketiga-tiga paramedik – seorang anggota SAS dan dua CAR/paramedik – tidak membawa haversack masing-masing. Mereka terpaksa bermalam di situ di mana suhu mencecah lebih kurang 13-15 darjah celcius dengan hanya pakaian yang dipakai semasa diturunkan. Anggota SAS tersebut dan LUK Aris hanya memakai pakaian celoreng, manakala LUK Mohd Noh memakai ‘overall biru.[6] Makanan bukan satu masalah mereka kerana terdapat bekalan yang dihantar oleh Kapt Mohamad Izhar pagi itu. Bagi LUK Aris dan LUK Mohd Noh yang mengambil kira tahap halal bekalan itu, mereka boleh makan, seperti coklat dan biskut, untuk menggalas perut. 

 Lt Gabriel masih mengejar masa. Sebaik mendarat dan tanpa  mematikan enjin pesawat, beliau mengarah AQM membuat ‘running refuelling,’ iaitu mengisi semula beberapa dram bahan api cukup penerbangan ke Lok Kawi. Seterusnya, pesawat berlepas ke Kota Kinabalu bersama para penumpang sebelum ini termasuk Mej Dr Tony Williams[7] serta Lt Kol Robert Neill dan Pbt Lam W.K. Pesawat mendarat di parkir kereta, Sabah Medical Centre, Kota Kinabalu, pada jam 6.35 petang.[8]

 Sepertimana yang sudah dijangka, selain doktor dan anggota hospital swasta siap sedia dengan dua troli, para wartawan sedia menunggu ketibaan Nuri. Lt Kol Robert Neill yang pada awalnya mahu berjalan masuk ke hospital terpaksa mengalah apabila diarah baring atas troli seperti Pbt Lam W.K. Mereka seterusnya ditolak ke hospital untuk pemeriksaan. Memetik laporan akhbar Berita Harian pada 26 Mac 1994, dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan 5 BIM, Brig Jen Hussin memberitahu bahawa “...mereka tidak dapat menyelamatkan tiga lagi anggota itu kerana cuaca buruk dan mereka berharap dapat melakukannya pada pagi esok (26 Mac 1994).”[9]

Mej Jen John Folley memaklum bahawa satu Lembaga Penyiasatan akan dilaksana di Britain bagi meneliti punca lima anggota berkenaan boleh hilang semasa latihan selama 10 hari di Gunung Kinabalu. Beliau turut mengiktiraf komitmen anggota pasukan keselamatan yang terlibat dalam operasi SAR tersebut. Di samping itu, beliau juga merakam penghargaan kepada PDRM, Border Scouts, Renjer Taman Kinabalu serta penduduk kampung yang menyedia bekalan makanan di laluan yang dijangka menjadi pergerakan lima anggota tersebut.[10]

           *****

Setelah bersendirian di biliknya, Lt Kol Robert Neill menelefon isterinya Fiona di Yorkshire. Namun, hanya kedengaran ‘ring...ring...ring’ – tidak diangkat. Ekoran itu, beliau menelefon pasukannya di York dan dijawab oleh rakannya, Mike Lentz. Alangkah terkejutnya bila diberitahu bahawa Fiona ada di situ. Fiona memberitahu suaminya bahawa beliau dan kedua-dua anak mereka akan pergi sama ada ke Hong Kong atau Kota Kinabalu  keesokan hari (26 Mac 1994) – tertakluk bila beliau akan discaj dari hospital.[11]

*****

London. Sebaik sahaja menerima berita penemuan lima anggota tentera itu, pada hari itu juga (25 Mac 1994) Perdana Menteri UK, John Major, segera menghantar mesej kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Mahathir bin Mohamad. Dalam mesej itu, beliau merakam penghargaan atas kesediaan Malaysia menggerak tenaga dan aset - tanpa sebarang sekatan - bagi usaha menyelamat lima anggota tentera  Britain berkenaan, meskipun hubungan kedua-dua negara ketika itu berada dalam keadaan yang agak tegang.[12]

Ketegangan berpunca apa yang digelar sebagai ‘Pergau Dam Affair’ di UK. Akhbar Britain (The Sunday Times)[13] telah “...membuat serangan kononnya Dr Mahathir dan pemimpin negara menerima rasuah dalam meluluskan projek yang diswastakan.”[14] Kerajaan Britain sebaliknya mendiam diri terhadap dakwaan itu. Ekoran itu, sebagai protes, Kerajaan Malaysia telah membatal semua kontrak bernilai berjuta pounds (£).[15]

 Bagaimanapun, hubungan dingin antara Malaysia dengan UK sama sekali tidak menghindar operasi SAR tersebut. Brig Jen Hussin menjelaskan “Politik tidak masuk campur dalam hal ini. Ini tentang askar membantu sesama askar.”[16]

*****

Hong Kong. Sama seperti Perdana Menteri UK, pada itu juga Gabenor Hong Kong, Chris Patten, pula mengalu-alu usaha Malaysia apabila dimaklum penemuan lima anggota tersebut. Dalam kenyataan rasminya, beliau menyata:

 “Saya mengucap tahniah kepada semua yang terlibat dalam operasi menyelamat yang amat sukar ini - khususnya anggota Angkatan Tentera Malaysia yang telah bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk menyelamat para anggota yang hilang.”[17]

*****

Pbt Lam W.K. dibantu turun melalui pintu kargo  Nuri di Sabah Medical Centre. 
Sumber: Arkib Negara Malaysia - Utusan Malaysia, 26 Mac 1994.

 

Lt Kol Robert Neill atas troli di Sabah Medical Centre.  Sumber: Arkib Negara Malaysia – New Straits Times, 26 Mac 1994.

Setelah dua anggota tersebut beredar, Lt Gabriel menerbangkan pesawatnya ke Kem Lok Kawi untuk bermalam di situ. Hari itu kru mencatat lima jam penerbangan.[18] Walaupun dalam keletihan, selepas makan malam, beliau mengumpul anggotanya untuk berbincang tugasan keesokan hari. Mereka sedia maklum cabaran yang dihadapi. Beliau memberitahu mereka sekiranya berlaku kemungkinan terhempas, beliau akan mematikan kedua enjin bagi mengelak pesawat meletup dan bakar apabila terhempap di atas bongkah-bongkah batu. Tindakan ini dapat mengurang risiko musibah yang akan berlaku kepada mereka.[19] Mereka seterusnya beredar ke penginapan masing-masing. Sebaik meletak kepala ke bantar, terus lena dek keletihan fizikal dan mental.

Daily Telegraph, 26 Mac 1994. Sumber: Koleksi PW U II Sandiran a/l Gopal (B)

Bersambung...in sya Allah...
_________________

[1]              Laporan oleh 372076 Lt Gabriel Buja Joel TUDM, The Rescue Mission sebelum ini, hlm. 3.

[2]              Penjelasan oleh PW U I Gobiraja a/l Ayayoo (B) melalui telefon pada 30 Ogos 2025.

[3]              Penjelasan oleh PW U I Gobiraja a/l Ayayoo (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 18 November 2025.

[4]              Laporan oleh Phillip Sherwell bertajuk “Helicopter blades almost touched the tree trunks” sebelum ini.

[5]              Ibid.

[6]              Penjelasan oleh Kpl U Wan Mustafa bin Wan Yusoff (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 15 November 2025.

[7]              Lt Col Robert Neill & Major Ron Foster. (1995). SOS sebelum ini, hlm. 237.

[8]              Laporan oleh 372076 Lt Gabriel Buja Joel TUDM, The Rescue Mission sebelum ini, hlm. 3.

[9]              Berita Harian, Tentera Britain yang hilang ditemui hidup, 26 Mac 1994, hlm. 1.

[10]            Arkib Negara Malaysia, The Star, Major thanks Dr M for help, 26 Mac, 1994, hlm. 1.

[11]            Lt Col Robert Neill & Major Ron Foster. (1995). SOS sebelum ini, hlm. 239.

[12]            Arkib Negara Malaysia, The Star, Major thanks Dr M for help, 26 Mac, 1994, hlm. 1.

[13]            Tim McGirk & Will Bennet, Independent, Pilot spotted ‘pebble SOS’ left by lost soldiers, 26 March 1994.

[14]            Berita Harian, Malaysia kecewa Britain diam diri, 2 Mac 1994, hlm. 1.

[15]            Philip Johnston, Hopes raised for an end to tension. Koleksi keratan akhbar tanpa nama akhbar dan tarikh PW U II Sandiran a/l Gopal (B).

[16]            Tim McGirk & Will Bennet, Independent, Pilot spotted ‘pebble SOS’ sebelum ini.

[17]            Arkib Negara Malaysia, The Star, Major thanks Dr M for help, 26 Mac, 1994, hlm. 1.

[18]            Kapt Gabriel Buja Joel PTU TUDM, Buku Harian Penerbangan Pemandu.

[19]            Penjelasan oleh Kpl U Wan Mustafa bin Wan Yusoff (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 29 Oktober 2025.

 


Khamis, 13 November 2025

SAR Low's Gully: "Jangan masuk...jangan masuk"

 

Sambungan dari di SINI

Telur di hujung tanduk

 Punca kecemasan (TRANS OIL HOT) ialah aplikasi ‘torque (kuasa)’ yang tinggi - hampir ke tahap maksimum - bagi mengekal keadaan terapung pada altitud 6,000 kaki. Untuk menurun suhu komponen tersebut, pesawat mesti segera berlepas. Namun bagaimana mungkin berlepas jika strecer masih dalam proses dinaikkan?

Belum reda tekanan itu, muncul pula amaran baharu. Lampu amaran bahan api - FWD FUEL LOW dan AFT FUEL LOW - menyala serentak, menanda baki bahan api dalam tangki hadapan dan belakang telah mencecah paras minimum. Dalam profil terapung, ini bererti baki bahan api hanya antara 340 hingga 400 paun; kira-kira 170 hingga 200 paun setiap tangki. Dalam profil penerbangan ke hadapan (forward flying), jumlahnya sedikit lebih tinggi - antara 420 hingga 560 paun, bersamaan 210 hingga 280 paun setiap tangki. Dengan baki sedemikian, ketahanan (endurance) pesawat hanyalah sekitar 30 minit, dengan syarat pesawat mengekal ciri ‘nose-down attitude’ 3 darjah.[1]

Sut penerbangan kedua-dua juruterbang mula basah dek peluh walaupun kokpit dingin. “Gobi… cepat… cepat!” tegas kapten pesawat kepada F/Sjn Gobiraja.

Sebaik sahaja dimaklum bahawa Pbt Lam W.K. selamat berada dalam kabin, Lt Gabriel mengambil tindakan untuk berlepas. Hanya satu laluan yang wujud - laluan yang sama ketika masuk tadi. Seperti Kapt Mohamad Izhar sebelum ini, beliau menarik collective untuk menaikkan pesawat sambil menarik cyclic bagi mengundur. Kedua-dua AQM memantau di sebelah kiri dan kanan dengan penuh tumpuan. Setelah pesawat berada ruang jurang yang lebih lebar, kapten pesawat melaku spot turn dan seterusnya terbang menuju pangkalan hadapan.

Tindakan kapten pesawat itu membuat Lt Kol Robert Neill terkejut. Beliau tertanya-tanya dalam hatinya, mengapa Lt Gabriel tidak menaikkan semua anggota yang lain. Mustahil jika ketiadaan tempat duduk kerana melihat masih banyak yang kosong.[2] Tidak disedarinya bahawa kedua-dua juruterbang di kokpit sedang bersabung nyawa dalam usaha menyelamat mereka yang berada dalam pesawat.

Semasa penerbangan singkat balik ke Kpg Nahandang Melangkap, Mej Dr Shamsuddin merawat Lt Kol Robert Neill dan Pbt Lam W.K. Mej Dr Shamsuddin menilai ketua ekspedisi itu masih dalam keadaan sihat walaupun mengalami dehidrasi manakala Pbt Lam W.K. hampir kebuluran.

Pesawat mendarat tepat jam 3.55 petang.[3] Sebaik F/Sjn Sandiran membuka pintu kabin, kapten mematikan enjin. Pbt Lam W.K. menjadi orang pertama yang turun, namun tubuhnya terlalu lemah dan terpaksa dipapah ke dewan sukan. Keadaannya kerana bekalan makanan adalah rangsum tentera standard yang merupakan makanan ruji untuk orang Barat sebaliknya orang Asia Timur ialah nasi.

Rescue 08 mendarat di Kpg Nahandang Melangkap membawa Lt Kol Robert Neilldan Pbt Lam W.K. Sumber: Koleksi PW U II Sandiran a/l Gopal (B)

Mej Dr Shamsuddin memapah Pbt Lam W.K. keluar daripada pesawat melalui 
pintu kabin. Sumber: Koleksi PW U II Sandiran a/l Gopal (B)

Sebelum turun pada jam 4.00 petang, Lt Kol Robert Neill sempat menjenguk ke kokpit. “Terima kasih,” katanya kepada kedua-dua juruterbang, lalu mengulangi ucapan itu kepada F/Sjn Sandiran di tangga kabin - dua perkataan yang melenyap segala risiko tinggi yang mereka hadapi untuk menyelamatkan pasukannya.

 Lt Kol Robert Neill yang kelihatan cengkung dan tidak bercukur tetapi masih berada dalam semangat yang baik enggan dipapah ke dewan sukan. Perlahan-lahan beliau berjalan merentasi padang ke dewan tersebut di mana terdapat anggota pencari dan penduduk tempatan berkumpul. Malahan, dua wartawan - Phillip Sherwell bersama rakannya – turut berada di situ tanpa disedari oleh Flt Lt Mowbray.

Sebaik melihat ketua ekspedisi, Mej Dr Tony Williams, Flt Lt Mowbray, Lt Kdr Mike Elesmore dan anggota SAS serta RAF MRS berjalan ke arahnya. Melihat kehadiran mereka, mungkin beliau sendiri tidak menyangka bahawa kehilangan mereka telah mencetus operasi SAR berskala besar. Sambil berjabat tangan dengan mereka, beliau mengucapkan:

 “Helo semua. Terima kasih banyak kepada anda semua. Saya bersyukur kepada Tuhan kerana semua orang selamat. Saya gembira berada di sini.”[4]

Sebagai seorang Inggeris, minuman pertamanya tentulah secawan teh panas sambil menjamu selera dengan rangsum yang disediakan oleh anggota SAS. Apabila ditanya apa yang mahu dimakan, beliau minta ‘rolled oats.[5] Dalam suasana tenang, beliau mula mencerita dengan panjang lebar pengalaman getir yang dilalui.

Semasa Lt Kol Robert Neill bercerita, barulah kehadiran dua wartawan tersebut disedari. Ekoran itu, Mej Dr Tony Williams mengarah mereka untuk beredar dari situ. Mereka akur atas arahan tersebut.  Namun tetap teruja kerana berjaya membina satu laporan mengenai operasi SAR yang mendapat liputan luas hingga menjadi tajuk utama di muka hadapan semua akhbar nasional Britain pada keesokan harinya (26 Mac 1994).[6]

*****

Tugasan kru Nuri masih belum berakhir. Setelah mengisi semula bahan api, penerbangan kembali ke Low’s Gully terpaksa ditangguh kerana awan tebal menyelubungi jurang destinasi mereka. Sementara menunggu cuaca elok, kru masuk ke dewan. Ketika ditanya mengenai penerbangan penyelamat tadi, Lt Gabriel menjelaskan:

 “Bilah rotor utama hampir menyentuh batang-batang pokok. Ini operasi menyelamat paling sukar yang pernah saya lakukan.”[7]

*****

Rescue 08 parkir di Kpg Nahandang Melangkap sementara menunggu cuaca elok 
untuk sorti ke Kevin’s Cave seterusnya manakala empat anggota penyelamat British 
 berbincang sesama mereka. Sumber: Koleksi PW U II Sandiran a/l Gopal (B)
Bersambung...in sya Allah...


































 

 

[1]              Sikorsky. (1 July 1977). Flight Manual for Royal Malaysian Air Force: Model S-61A-4 Helicopter. United Technologies Company, hlm. 1-22.

[2]              Lt Col Robert Neill & Major Ron Foster. (1995). SOS sebelum ini, hlm. 236.

[3]              Laporan oleh Phillip Sherwell bertajuk “Helicopter blades almost touched the tree trunks” sebelum ini.

[4]              Laporan oleh Phillip Sherwell bertajuk “We were down to our last two Polo” dalam keratan akhbar tanpa nama akhbar, tarikh, dan halaman daripada koleksi PW U II Sandiran a/l Gopal.

[5]              Lt Col Robert Neill & Major Ron Foster. (1995). SOS sebelum ini, hlm. 236.

[6]              Ibid., hlm. 237.

[7]              Laporan oleh Phillip Sherwell bertajuk “Helicopter blades almost touched the tree trunks” sebelum ini.