Sambungan dari di SINI
The Grand Master’s
Commendation
Logo
GAPAN/The Honourable Company of Air Pilots. Sumber: SKYbrary
Hari
silih berganti. Seperti mana-mana peristiwa - sehebat mana sekali pun - kisah
operasi mencari dan menyelamat Low’s Gully pada Mac 1994 perlahan-lahan mula
tenggelam daripada ingatan. Itulah resam dunia. Namun, bukan semua. Tanpa
diketahui oleh kru penyelamat, kisah mereka telah mendapat perhatian satu institusi
berprestij di bawah naungan Ratu Elizabeth II, iaitu ‘The Guild of Air Pilots and
Air Navigators (GAPAN),’ yang beribu pejabat di
London. Institusi ini telah ditubuh pada tahun 1929 dan kini dikenali sebagai ‘The Honourable
Company of Air Pilots’ semenjak 2014 dan King Charles pula adalah
Penaungnya.[1] Sebab
itu, Kol Muhammad bin Yunus, Penasihat Pertahanan di Suruhanjaya Tinggi
Malaysia di London terkejut apabila menerima sepucuk warkah daripada GAPAN bertarikh
30 September 1994 pada 3 Oktober 1994.
Surat
itu memaklum bahawa “...His Royal
Highness The Prince Philip, Duke of Edinburgh, has approved the award of the
Grand Master’s Commendation to the crew of the S61A-4 helicopter who completed
the above rescue.”[2]
Ya, Prince Philip selaku ‘Grand Master’ institusi itu bersetuju menganugerah ‘Grand Master’s
Commendation,’ kini dikenali sebagai ‘The Grand Master’s Award,’ kepada kru helikopter
S61A-4. Asas pencalonan mereka ialah “For
their outstanding skill and bravery in rescuing safely five British soldiers
lost in Low’s Gully, Mount Kinabalu, Sabah on 25/26 March 1994.”[3]
iaitu mereka telah memapar tindakan keberanian bagi menyelamat lima warga
British yang hilang di Low’s Gully.
Mereka
ialah: (1) Lt Gabriel Buja Joel TUDM; (2)
Lt Nazhar bin Abdullah TUDM; (3) F/Sjn Gobiraja a/l Ayayoo; (4) F/Sjn Sandiran a/l
Gopal (B); (5) LUK Mohd Noh bin Bidin; (6) LUK Aris
bin Rahaba.
Keenam-enam
mereka diundang ke majlis bankuet untuk menerima sijil ‘Grand Master’s Commendation’
yang akan berlangsung di Mansion House, London, pada 29 November 1994.
Surat daripada GAPAN kepada Penasihat Pertahanan di London.
Sumber: Koleksi: PW U II Sandiran a/l Gopal (B)
Kol Muhammad memanjang undangan tersebut kepada Pejabat Panglima Tentera Udara pada 6 Oktober 1994 untuk tindakan selanjutnya.[4] Surat daripada Penasihat Pertahanan di London ke Markas Tentera Udara.
Sumber: Koleksi: PW U II Sandiran a/l Gopal (B)
Kad jemputan
daripada GAPAN kepada F/Sjn Sandiran a/l Gopal.
Sumber: Koleksi: PW U II
Sandiran a/l Gopal (B)
Jemputan
itu dimaklum kepada para jemputan oleh Markas Tentera Udara (MTU) pada 24
Oktober 1994.[5]
Sememangnya satu penghormatan kepada anggota terbabit dan juga negara. Pihak
TUDM tiada halangan mereka mengambil cuti tahunan untuk menghadiri majlis
tersebut. Namun demikian, di atas sebab tertentu mereka terpaksa menanggung pembiayaan
sendiri.[6] Dengan
ini, perbelanjaan untuk tiket penerbangan, penginapan dan pengangkutan
sepanjang berada di kota raya tersebut. Tiket penerbangan untuk dua hala sahaja
berharga RM2,400.00 seorang![7]
Namun
demikian, kru ‘Rescue 08’ - Lt Gabriel, Lt
Nazhar, F/Sjn Gobiraja, dan F/Sjn Sandiran tidak melepas peluang untuk menerima
undangan tersebut. Sebaliknya, beban kewangan ini merupakan halangan untuk LUK Mohd
Noh dan LUK Aris turut menyertai mereka.[8]
Keempat-empat anak kapal mengambil cuti selama lebih kurang seminggu.[9] Lt Gabriel dan F/Sjn Sandiran membawa pasangan
masing-masing manakala F/Sjn Gobiraja tidak membawa
isterinya sementara Lt Nazhar pula masih bujang.
Mereka
bernasib baik. Seorang hamba-Nya memahami bebanan kewangan ini. Justeru, beliau
berusaha supaya wakil syarikat ‘Sikorsky Aircraft’ di London menaja
penginapan sepanjang mereka berada di kota raya tersebut.[10]
Selain itu, menyedia pengangkutan semasa ketibaan di London dan pada hari
bankuet tersebut. Syarikat berkenaan bersetuju untuk menaja mereka. Mana
tidaknya, platform untuk penyelamatan tersebut tidak lain tidak bukan ialah
produk keluaran syarikat – Sikorsky S61. Secara tidak langsung peristiwa
tersebut telah menonjol imej helikopter Sikorsky. Keprihatinan insan itu banyak meringan kewangan. Satu kelegaan,
syukur alhamdulillah.
Para
tetamu GAPAN berlepas dari Kuching ke Singapura dengan pesawat ‘MAS’ (MH641)
pada jam 11.05 pagi, 25 November 1994. Mereka bermalam di situ untuk
penerbangan ke London pada keesokan hari, 26 November 1994. Malam itu, mereka
menginap di hotel dengan bayaran RM166.00 sebilik.[11]
Keesokan hari, mereka berlepas dengan pesawat ‘SIA’ (SQ320) pada jam 12.30
tengah hari.[12]
Setelah melepasi lapan zon masa dan lebih kurang 13 jam di angkasa, pesawat
mendarat di Lapangan Terbang Heathrow
kira-kira jam 17:30 petang (waktu tempatan), hari yang sama.
Ketibaan
mereka disambut oleh seorang wakil Sikorsky. Mereka dibawa ke hotel 5-bintang berhampiran
lapangan terbang; lebih kurang 15 minit perjalanan. Syarikat tersebut telah
menempah empat bilik termasuk makan sepanjang mereka berada di London. Pada
malam 29 November 1994, wakil Sikorsky menjemput mereka untuk ke majlis
tersebut yang bermula pada jam 7:00 malam di Mansion House. Tetamu kehormat
ialah Raja Hussein bin Talal al-Hashimi, Raja Jordon. Baginda yang akan
menyampaikan anugerah tersebut. Majlis berakhir sebelum jam 10.45 malam.[13]
Seperti yang dijanji, wakil Sikorsky membawa mereka balik ke hotel.
Bergambar bersama
Raja Hussein bin Talal al-Hashimi, Raja Jordon, selepas menerima sijil di
Mansion House pada 29 November 1994.
Dari kiri: F/Sjn Gobiraja, Lt Gabriel,
Raja Hussein, Lt Nazhar, F/Sjn Sandiran.
Sumber: Koleksi PW U I Gobiraja a/l Ayayoo (B)
Sumber: Koleksi PW U I Gobiraja a/l Ayayoo
(B)
Asas pemilihan kru
Rescue 08 sebagai penerima Grand Master’s Commendation.
Sumber: Eloise Cummins,
The Honourable Company of Air Pilots
Dari kiri: Isteri F/Sjn Sandiran, F/Sjn Sandiran, F/Sjn Gobiraja.
*****
Semasa
berada di London, mereka sempat melawat Mej Ron Foster di kediamannya Tewkesbury,
Gloucestershire. Seperti yang dijadual, pada 6 Disember 1994 jam 2.30 pagi,
mereka berlepas dari London ke Singapura dengan pesawat SIA (SQ315) dan tiba di
destinasi pada lebih kurang jam11.30 malam. Seperti sebelum ini, mereka
bermalam di Singapura dan menerus penerbangan ke Kuching pada keesokan hari, 7 Disember 1994, dengan
pesawat SIA (SQ186).
*****
Para pelancong dari Kuching. Dari kiri: F/Sjn
Gobiraja, Lt Gabriel, Lt Nazhar, F/Sjn Sandiran.
Sumber: Koleksi PW U I
Gobiraja a/l Ayayoo (B)
Melawat Mej Ron
Foster dan isterinya, Puan Jeanette Foster di rumah mereka
di Tewkesbury,
Gloucestershire. Sumber: Koleksi PW U II Sandiran a/l Gopal (B)
*****
Kenangan PW U I Gobiraja a/l Ayayoo (B) semasa di
London:
“Saya
pergi seorang sahaja kerana kos ke London mahal. Isteri saya tidak bekerja.
Guna duit simpanan. Sebaik tiba di Lapangan Heathrow, seorang wakil Sikorsky
daripada kaum Sikh, menunggu kami. Kami dibawa ke hotel 4-5 bintang lebih
kurang 10-15 minit perjalanan. Sikorsky menempah empat bilik dan makan
ditanggung oleh syarikat tersebut. Bilik besar. Jadi, saya dan Lt Nazhar
bersetuju untuk kongsi bilik. Bermakna Sikorsky sewa tiga bilik sahaja walaupun
peruntukan untuk empat bilik. Kami beritahu wakil Sikorsky duit bilik satu lagi
diberi kepada kami untuk perbelanjaan kami. Dia setuju. Dengan duit itu, kami
guna untuk menyewa kereta.
Setiap
pagi kami mengambil sarapan sehingga betul-betul kenyang. Sarapan yang dihidang
secara bufet. Dalam diam-diam kami ambil roti, bun dan pastri diisi dalam beg
kecil yang kami bawa. Nak jimat belanja. Dah datang ke London, bukan nak
duduk dalam hotel sahaja. Nak juga
meronda tengok Kota London. Harga makanan amat mahal; kadar tukaran pula
sekitar £1 lebih kurang RM4. Tidak mampu kami makan di luar setiap masa.
Di
hotel itu, ada seorang pekerja lelaki Cina dari Johor. Dia mula perasan yang
kami tidak pernah muncul untuk makan tengah hari atau makan malam. Selepas 2-3
hari, dia bertanya mengapa kami langsung tidak turun makan tengah hari dan
malam.
Saya
berterus terang dengan dia. Kami berada di sini kerana diundang oleh GAPAN
untuk menerima ‘Grand Master’s
Commendation.’ Pada masa sama, kami ambil peluang
melihat-lihat kota raya. Jadi, susahlah kami balik ke hotel hanya untuk makan tengah
hari. Lokasinya pun jauh dari tempat kami melawat.
Bila
dia tahu saja, dia kata: “You
guys famous here.” Dia ambil beberapa keratan akhbar.
Katanya lagi: You all di muka hadapan akhbar selama tujuh hari berturut-turut.”
Lepas itu, dia ajak kami ke ‘bar.’ Di situ, dia memperkenalkan kami kepada mereka yang berada
di situ. Katanya: “Merekalah orang yang menyelamat lima anggota British.” Malam
itu, sesiapa yang minum di situ “on the house.”
Bukan
itu sahaja. Dia mengatur supaya penyambut tetamu di kaunter untuk memberi kupon
untuk mereka. Dengan kupon itu, mereka boleh makan percuma di mana-mana hotel.
Mulai hari itu, setiap pagi mulai hari
itu, kami diberi kupon makan - untuk makan tengah hari, makan malam dan juga ‘tea
break.’
Bagaimana
pun, kami tetap mengambil sarapan yang berat setiap pagi sebelum keluar meronda
sepenuhnya masa yang ada. Bantuan kupon itu sangat bermakna bagi kami ketika
itu.”
Bersambung...in...sya...Allah...
[4] Surat daripada Penasihat Pertahanan di Suruhanjaya
Tinggi Malaysia, London, kepada Pejabat Panglima Tentera Udara bertarikh 6
Oktober 1994, bertajuk “Awards the Grand Master’s Commendation Kepada Anak Kapal Pesawat
Nuri Yang Terlibat Dengan Operasi Menyelamat Di Gunung Kinabalu.” Sumber daripada koleksi PW
U I Gobiraja a/l Ayayoo (B).
[5] Mesej daripada MTU, Awards the Grand Master’s
Commendation Kepada
Anak Kapal Pesawat Nuri Yang Terlibat Dengan Operasi Menyelamat Di Gunung
Kinabalu,
MTU/Sek E/60 bertarikh 24 Oktober 1994. Sumber daripada koleksi PW U I Gobiraja
a/l Ayayoo (B).
[7] Maklumat daripada koleksi PW U II
Sandiran a/l Gopal (B).
[8] Penjelasan oleh PW
U I Gobiraja a/l Ayavoo (B) melalui telefon pada 10 Disember 2025.
[12] Salinan tiket penerbangan daripada koleksi PW U II
Sandiran a/l Gopal (B).
[13] Salinan arahan GAPAN kepada para hadirin daripada koleksi
PW U II Sandiran a/l Gopal (B).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan