Pengikut

Jumaat, 19 Disember 2025

SAR Low's Gully: "Jangan masuk...jangan masuk"

 Sambungan dari  di SINI

Epilog

Dalam episod Low's Gully, tidak semua yang terlibat dalam ekspedisi itu menemui pengakhiran yang menggembirakan. Kesemua sepuluh anggota ekspedisi Gully Heights menerima surat dari Eastern District Hq, Imphal Barracks, Fulford Road, York. Mereka diarah menghadiri Lembaga Penyiasatan pada 25 April 1994;  berakhir pada 24 Mei 1994.[1] Arahan tersebut dikeluarkan oleh Mej Jen Patrick Cordingley, General Officer Commanding Eastern District, bagi menyiasat punca kehilangan lima anggota ekspedisi yang British. Ekspedisi yang telah mencemar reputasi Tentera Darat British dan mengakibat Kerajaan Britain terpaksa menanggung perbelanjaan kira-kira £75,000 dalam usaha menyelamatkan mereka. [2]

 Terma rujukan Lembaga tersebut adalah jelas dan menyeluruh: “Untuk membincangkan perancangan dan objektif ekspedisi, serta latar belakang peribadi semua ahli ekspedisi.”[3] Lembaga dipengerusikan oleh seorang Kolonel dengan dibantu oleh ahli-ahli yang terdiri daripada seorang Leftenan Kolonel, seorang Mejar, dan seorang Kapten. Kapten berkenaan merupakan seorang peguam, mencerminkan bahawa siasatan tersebut bukan sahaja bersifat ketenteraan, tetapi juga berlandas pertimbangan undang-undang.

Prosiding Lembaga diadakan di Markas tersebut. Daripada sepuluh peserta ekspedisi, hanya Pbt Chow W.K., yang pada masa itu masih menjalani rawatan di British Military Hospital, Hong Kong, yang tidak hadir.

Dalam naratifnya, Lt Kol Robert Neill selaku ketua ekspedisi, menyatakan peserta telah berpecah kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama terdiri daripada Sjn Bob Mann, Kpl Hugh Brittan, L/Kpl Richard Mayfield, L/Kpl Peter Shearer, dan L/Kpl Steve Page. Walaupun terdapat anggota lain yang berpangkat lebih kanan, namun demikian ketua ekspedisi ‘menganggap’ L/Kpl Richard Mayfield sebagai ketua kumpulan tersebut. Malahan, ketua ekspedisi secara langsung tidak melantik atau menamakan mana-mana anggota sebagai ketua. Anggapan ini kerana L/Kpl Richard Mayfield seorang ‘JSICI’ (Joint Services Mountain Climbing Instructor). Anggapan ini berlandas bahawa adalah seorang yang terlatih dalam bidang ‘abseiling.’

Lantaran itu, kekeliruan mengenai siapa ‘ketua’ kumpulan membuatkan Lt Kol Robert Neill mendakwa L/Kpl Richard Mayfield tidak mematuhi arahannya. Beliau mendakwa ketua kumpulan tersebut bertindak untuk menerus perjalanan tanpa menunggu mereka.

 Naratif ketua ekspedisi disanggah oleh L/Kpl Richard Mayfield. Semasa perbualan antara mereka, pada pemahaman L/Kpl Richard Mayfield, Lt Kol Robert Neill memberi kebenaran kepada beliau dan kumpulannya meneruskan perjalanan mereka ke kaki gunung.

*****

Pada 20 September, Mej Jen Patrick Cordingley telah mengadakan sidang akhbar untuk memaklum dapatan Lembaga Penyiasatan tersebut. Menyentuh kepimpinan Lt Kol Robert Neill, beliau memberitahu bahawa   ketua ekspedisi telah ditemuduga  olehnya dan juga Deputy Commander in Chief of the UK Land Forces. Selain itu, Lembaga berpendapat:

 “...Lembaga Penyiasatan berpendapat bahawa pertimbangan dan kepimpinan Lt Kol Neill semasa beberapa bahagian ekspedisi tersebut adalah tidak tepat, dan bahawa keputusan untuk membawa anggota kumpulan yang kurang berpengalaman masuk ke Low’s Gully merupakan satu tindakan yang melampaui kemampuan (over-ambitious).”[4]

Kepimpinan Mej Ron Foster turut diberi perhatian. Lembaga berpendapat beliau yang mengganti Lt Kol Roberti Neill semasa ketuanya jatuh sakit:

 “...bahawa beberapa keputusan yang diambil oleh Mej Foster dalam tempoh tersebut, walaupun sepenuhnya selaras dengan pelan keseluruhan, kemudiannya telah menyumbang kepada keadaan berbahaya yang tercetus. Saya (Mej Jen Patrick Cordingley) telah menemu bual Mej Foster dan mengemukakan perkara ini kepadanya.”[5]

Manakala dakwaan L/Kpl Richard Mayfield tidak mematuhi arahan disanggah oleh Lembaga, sebaliknya mendapat kepujian. Penilaian rasmi menyimpulkan bahawa:

“Lembaga Penyiasatan mengesyor bahawa tingkah laku dan prestasi Kpl Brittan, L/Kpl Mayfield dan L/Kpl Cheung adalah pada tahap yang wajar menerima pengiktirafan rasmi. Oleh itu, dengan sukacita saya mengumumkan bahawa ketiga-tiga anggota PTT tersebut telah dianugerah pujian atas tindakan mereka semasa ekspedisi itu.”[6]

Mej Jen Patrick Cordingley tidak ketinggalan merakam penghargaan kepada Malaysia:

“...saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memberi penghormatan kepada usaha cemerlang Angkatan Tentera Malaysia serta bantuan daripada Kerajaan Malaysia yang telah membawa operasi menyelamat ini kepada suatu penyelesaian yang memuaskan.”[7]

*****

Dengan dapatan tersebut, memetik akhbar The Herald pada 21 September 1994, daripada sumber Tentera Darat: “Peluang kenaikan pangkat Lt Kol Neill kini dianggap telah tertutup.”[8] Mej Ron Foster tidak begitu terkesan mengenai kerjayanya kerana beliau hanyalah anggota Wataniah.

 Lt Kol Neill akur terhadap dapatan tersebut. Beliau menerima tanggungjawab penuh terhadap sebarang kegagalan yang berlaku dan menyatakan bahawa dapatan Lembaga tersebut adalah sepenuhnya adil. Beliau turut gembira penganugerahan pujian rasmi ke atas tiga anggota terbabit sambil menegas bahawa kesemua mereka merupakan anggota muda yang amat berani. Tidak ketinggalan, Lt Kol Neill  merakam penghargaan kepada para penyelamat yang telah mempertaruh nyawa mereka dalam keadaan operasi yang amat mencabar.[9]

*****

Episod ini turut dibincang dalam Parlimen UK pada 21 June 1994. Seorang ahli Parlimen bertanya tentang  perancangan masa mengenai rancangan masa hadapan ‘adventurous  training.’ Menteri Negara bagi Angkatan Tentera (Minister of State for the Armed Forces) memberitahu kementeriannya sedang merancang satu kajian khusus bagi menilai sejauh mana kecekapan maksimum dan proses rasionalisasi latihan bercorak cabaran dapat dilaksanakan.[10]

Jawapan tersebut selari dengan dapatan Lembaga Penyiasatan. Memetik Mej Jen Patrick Cordingley, beliau menegas:

 “Tiada apa-apa yang terdedah sepanjang Lembaga Penyiasatan ini menimbul sebarang keraguan terhadap nilai berterusan latihan bercorak cabaran (adventurous training) sebagai kaedah pembangunan anggota tentera bagi Tentera Darat dan oleh itu, komitmen kami terhadap latihan tersebut kekal teguh seperti sedia ada.”[11]

*****

Bagi L/Kpl Richard Mayfield pula, ekspedisi Low’s Gully menjadi titik awal kepada pengakhiran perkhidmatannya sebagai seorang anggota tentera. Sebelum Lembaga Penyiasatan, Lt Kol Robert telah membuat kenyataan yang disiar dalam televisyen. Beliau mendakwa “...kumpulan hadapan telah ingkar arahan dan menerus pergerakan menuruni jurang itu tanpa kebenaran beliau.”[12] Dalam tentera, satu dakwaan yang serius! Stigma dakwaan meninggalkan kumpulan ketua ekspedisi membuta beliau terasa dipinggir oleh pasukannya sendiri walaupun kemudiannya Lembaga Penyiasatan telah membebasnya daripada dakwaan tersebut.[13] Di samping itu, kesan ekspedisi menjejas kesihatannya sehingga kerap menjadi ‘tetamu’ di hospital. Ekoran itu, sebelum keputusan Lembaga diumun, beliau membuat keputusan memohon untuk ‘Premature Voluntary Release,’ iaitu, menamat perkhidmatan. Permohonannya dilulus pada 6 Januari 1995 tanpa mengikuti ‘Latihan Peralihan’ sebagai persediaan menghadapi dunia luar.

Beliau seterusnya telah menyaman Kementerian Pertahanan UK kerana “...suffering from dehydration, malnutrition, and mental trauma,”[14] iaitu mengalami penghidratan, malnutrisi, dan trauma mental. Keputusan mahkamah pada 18 Ogos 2000 memihak kepada beliau dan Kementerian Pertahanan membayar £100,000.[15] 

*****

TUDM sudah pasti berbangga dengan kejayaan anggotanya. Kebanggaan ini terbukti apabila lapan anggota dianugerah pingat untuk satu misi. Malahan mencatat sejarah apabila buat pertaman kali tiga juruterbang - Kapt Mohamad Izhar, Kapt Gabriel, dan Lt Nazhar -  telah dianugerah Pingat Tentera Udara (PTU) serentak. Pingat ini dikurniakan kerana keperwiraan, keberanian atau taat setia yang teristimewa yang ditunjukkan oleh anggota-anggota Tentera Udara Diraja Malaysia semasa menjalankan tugas di dalam dan di luar operasi penerbangan.[16] Lebih manis lagi, mereka merupakan penerima terakhir anugerah tersebut. PTU, salah satu daripada lima ‘Anugerah Perkasa Persekutuan,’ telah diwarta pada Ogos 1968 dan dihenti penganugerahan berkuat kuasa pada Julai 2011. Penerima anugerah diberi Elaun Kenangan RM1,000.00 sebulan. Sepanjang tempuh itu, hanya terdapat 32 penerima. Sehingga coretan ini, hanya 17 penerima masih ada.

*****

Episod Low’s Gully mendapat liputan meluas di UK. Akhbar melapor agar hubungan antara Malaysia dengan UK pulih kembali. Dalam laporan The Sunday Times, “...Whitehall is anxious to restore links with Malaysia, one of the world’s fastest -growing economies.”[17] Harapan UK termakbul apabila Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri, mengumun menarik balik sekatan perdagangan ke atas Britain pada awal September 1994.[18]

 Dengan itu, Low’s Gully kekal bukan sekadar kisah kehilangan dan penyelamatan, tetapi satu pengajaran mahal tentang kepimpinan, tanggungjawab, dan harga sebenar sebuah latihan bercorak cabaran.  

TAMAT



[1]              Rich Mayfield with Bob Mann. (1997). Kinabalu Escape: The Soldiers’ Story. London: Constable, hlm. 279. Appendix One: Opening Statement to the Press following the Board of Enquiry by Major General Patrick Cordingley DSO, General Officer Commanding Eastern District.

[2]              Mary Braid, Independent, Leaders of lost expedition criticised, 21 September 1994.

[3]              Rich Mayfield with Bob Mann. (1997). Kinabalu Escape: The Soldiers’ Story. London: Constable, hlm. 273.

[4]              Ibid., hlm. 281.

[5]              Ibid.

[6]              Ibid.

[7]              Lt Col Robert Neill & Major Ron Foster. (1995). SOS. London: Century, hlm. 261.

[8]              The Herald, Jungle expedition leaders rapped by inquiry. Judgement of Army officers was flawed, 21 September 1994.

[9]              Mary Braid, Independent, Leaders of lost expedition sebelum ini.

[10]            UK Parliament. HANSARD 1803–2005. DEFENCE - Training Centres. 21 June 1994 vol 245 cc108-9. Lihat https://api.parliament. uk/historic-hansard/commons/1994/jun/21/training-centres (diakses pada 10 Disember 2025).

[11]            Rich Mayfield with Bob Mann. (1997). Kinabalu Escape sebelum ini, hlm. 280.

[12]            Ibid., hlm. 269.

[13]            Ibid., hlm. 276.

[14]            Linus Gregoriadis, The Telegraph, £100,000 for soldier who was rescued from jungle, 19 Ogos 2000.

[15]            Ibid. Laporan itu menyata Sjn Mann juga turut menyaman Kementerian Pertahanan UK dan menang tetapi tidak disebut jumlah yang diterima.

[16]            Data.gov.my. Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa (BIUPA), Senarai Penerima Kurniaan Pingat Tentera Udara. Dengan penamatan anugerah PTU, anak kapal pesawat yang layak akan dianugerah Jasa Perkasa Persekutuan (PJJ). Penerima anugerah ini turut menerima Elaun Kenangan RM1,000.00. Lihat https://archive. data.gov.my/data/ms_MY/dataset/senarai-penerima-kurniaan-pingat-tentera-udara-tahun-1958-hingga-2011 (diakses pada 13 Disember 2025).

[17]            New Straits Times, Rescue spurs hope ties will improve, 29 Mac 1994, hlm. 23.

[18]            Lt Col Robert Neill & Major Ron Foster. (1995). SOS sebelum ini, hlm. 257.     


Tiada ulasan: