Pengikut

Khamis, 6 November 2025

SAR Low's Gully: "Jangan masuk...jangan masuk"

Sambungan dari  SINI

Ketibaan Talian Hayat

PU Labuan. Pada jam 10.50 pagi, telefon ‘hot-line’ berwarna merah di Bilik Operasi Detasmen SAR, bangunan Pergerakan Udara, berdering nyaring. Isyarat itu menandakan Bilik Operasi PU Labuan telah mengaktifkan operasi SAR. Nuri diarah berlepas segera ke Kem Lok Kawi untuk taklimat sebelum ke lokasi di mana lima anggota dilapor hilang.

 Dengan nama panggilan “Rescue 08,” pesawat M23-09[1]  yang dikendali oleh Lt Gabriel bersama krunya - Lt Nazhar, F/Sjn Gobiraja dan F/Sjn Sandiran - serta enam anggota CAR: LUK Mohd Noh, LUK Che Baharin, LUK Wan Mustafa, LUK Aris, LU Azmi dan LU Rosman, [2] berlepas pada jam 11.00 pagi.[3]

Seperti yang diarah, pesawat mendarat di Kem Lok Kawi untuk menerima taklimat misi daripada Lt Kol Yahya, CO 16 RAMD. Dalam taklimat singkat itu, CO menjelas bahawa operasi kini berada dalam fasa menyelamat, bukan mencari. Beliau sendiri akan turut serta bersama Mej Dr Shamsudin bin Sulaiman (Pegawai Kanan Perubatan, Markas 5 BIM) dan tiga anggota perubatan serta peralatan seberat kira-kira 250 paun.[4]

Namun, maklumat penting tidak disampai kepada kru pesawat - koordinat Kevin’s Cave, lokasi sebenar lima anggota terbabit. Pesawat berlepas “to unknown reference of the survivors with him (CO)”[5] - tanpa koordinat, mereka gagal mengesan lokasi tersebut, apatah lagi apabila awan mula menutupi jurang. Penerbangan berlarutan sehingga bahan api menghampiri paras minimum. Ekoran itu, Lt Gabriel mendarat di Kpg Bundu Tuhan untuk mengisi semula bahan api.

Di situ mereka bertemu beberapa anggota RAF MRS yang bertanya perkembangan terkini mengenai subjek pencarian. Setelah melihat cuaca agak baik, pesawat berlepas semula sekitar jam 1.15 tengah hari untuk penerbangan kira-kira 10 minit ke Kpg Nahandang Melangkap. Turut menumpang pesawat ialah Mej Dr Tony Williams dan satu set radio.

Kpg Nahandang Melangkap, 11.15–12.45 tengah hari

Keadaan agak tegang. “Burung Besi” - Nuri - masih tidak kelihatan. Masa memain peranan penting dalam usaha menyelamat penghuni Kevin’s Cave. Pemandangan Gunung Kinabalu dari kampung itu tidak memberangsang. Dataran yang cerah di awal pagi kini sudah diselimuti awan.

 Kapt Dr Harcharan Singh, Pegawai Perubatan 16 RAMD yang berada di situ menegaskan:

 “Kita perlu sampai kepada mereka dengan segera. Orang yang separuh mati pun akan bangun jika dia nampak helikopter.”[6]

Jam menunjukkan 12.45 tengah hari. Bayang Nuri masih belum kelihatan. Flt Lt Mowbray menjadi gelisah, lalu menghubungi Lt Kol Tony Schumacher di Bilik Operasi 5 BIM melalui radio. “Kalau helikopter itu tidak sampai segera, kita akan terlepas peluang. Cuaca semakin memburuk.” [7]

 Kegusaran itu akhirnya terjawab pada jam 1.25 tengah hari[8] apabila kelihatan Nuri sedang dalam fasa mendarat. Dalam kokpit, Lt Gabriel hairan melihat sebuah Alouette III parkir di padang. Setelah mematikan enjin, beliau didatangi Kapt Izhar. “Mengapa Izhar ada di sini?” fikirnya. Setelah dijelaskan oleh Kapt Izhar, barulah kru Nuri menyedari bahawa kelima-lima anggota British tersebut telah ditemui.[9] Tugasan menyelamat mereka berlima serta seorang paramedik British.

Alouette III – M20-17 – parkir di Kpg Nahandang Melangkap dengan siluet 
Gunung Kinabalu bertapak dengan megahnya. Sumber: F/Sjn Mohd Salleh bin Shariff (B)

Situasi itu membuat Lt Gabriel tertanya-tanya mengapa maklumat penemuan tidak dimaklum lebih awal. Kru Nuri kemudian diberi taklimat oleh Flt Lt Mowbray, manakala Kapt Izhar menjelaskan kedudukan Kevin’s Cave di altitud 6,000 kaki serta keadaan sekelilingnya - maklumat penting untuk pengiraan berat maksimum pesawat di kawasan tersebut.

 Setelah mengambil kira baki bahan api dan menurun pam bahan api bermotor, selain enam anggota CAR yang tergolong sebagai kru, empat anggota perubatan dan Lt Kol Yahya boleh ikut bersama. Hanya peralatan perubatan kritikal dibawa kerana paramedik British sudah pun berada di lokasi. Kebetulan, hari itu hanya LUK Mohd Noh dan LUK Aris membawa haversack masing-masing. Haversack seberat kira-kira 20 paun berisi keperluan seminggu termasuk makanan terpaksa ditinggal. Lain-lain anggota CAR tidak membawa haversack kerana menjangka tugasan itu akan selesai segera. Dua haversack seberat 40 paun[10] itu pun terpaksa ditinggal demi meringankan pesawat.

Bagi memudah kru Nuri, Kapt Mohamad Izhar menawar diri untuk menunjuk lokasi Kevin’s Cave. Tawaran itu diterima oleh kapten Nuri. Kedua-dua pesawat berlepas pada jam 1.55 tengah hari. Setelah menunjuk lokasi, kapten Alouette III kembali ke pangkalan hadapan dan menunggu di situ.[11]

 Namun, keadaan berbeza bagi Nuri. Tidak seperti Alouette III yang memiliki lengkok penglihatan luas, Nuri terhad. Batasan ini menyebab mereka gagal mengesan lokasi tersebut, apatah lagi dengan tompokan awan tebal. Lt Gabriel terpaksa kembali ke pangkalan hadapan.[12]

Apabila cuaca kelihatan pulih, Nuri sekali lagi berlepas ke Kevin’s Cave. Kali ini, Kapt Mohamad Izhar dan Mej Dr Tony William ikut bersama. Dengan panduan Kapt Izhar, kru Nuri berjaya mengenal pasti lokasi sebenar. Namun, hasrat menurun anggota perubatan terpaksa dibatal akibat cuaca buruk dan angin kencang. Pesawat kembali ke Kpg Nahandang Melangkap dan menunggu sehingga cuaca mengizinkan.[13]

 Jam 3.37 petang. Cuaca yang bertambah baik mendorong Lt Gabriel menuju ke Kevin’s Cave. Kali ini, selain kru dan enam anggota CAR,[14] penumpang terbatas hanya kepada Lt Kol Yahya, Mej Dr Shamsudin dan dua anggotanya sahaja.

Apabila memasuki jurang yang semakin sempit, dinding granit kian mendekat selari dengan permukaan bumi. Barulah beliau menyedari apa yang dilalui oleh Kapt Mohamad Izhar pagi tadi. Dengan penuh tumpuan dan berhati-hati, beliau mengendali pesawatnya merayap di celah dinding granit sambil mengambil kira arah angin serta halangan sekeliling.[15]

Lt Nazhar menggenggam kedua-dua Speed Selector Levers (SSL) di atas cermin depan tengah kokpit sambil memerhati panel instrumen. Di kabin, F/Sjn Gobiraja berdiri di pintu kargo kanan manakala F/Sjn Sandiran di pintu kiri, masing-masing mengimbas kawasan sendiri. LUK Wan Mustafa menggambar keadaan itu seolah-olah pesawat sedang memasuki sebuah terowong.[16]  Sungguh mengerikan.

Akhirnya, kapten pesawat berjaya membawa pesawat dalam keadaan terapung kira-kira 80 kaki di atas Kevin’s Cave pada altitud 5,900 kaki menurut bacaan altimeter. Kedudukannya amat genting - hanya beberapa kaki memisahkan putaran bilah kipas berdiameter 62 kaki[17]  daripada dinding granit di kiri dan kanan.

Bagi Lt Kol Robert Neill dan anggotanya, seakan-akan tidak percaya “Si Burung Besi” menghampiri lokasi mereka - pemandangan paling indah pernah dilihat. Apa lagi apabila melihat hujung bilah kipas utama hampir menciumi pokok-pokok di dinding granit. Kelajuan ‘landa bawah (downwash)’[18] lebih kurang 60 knot (112 km/j) menyebabkan peralatan mereka berterbangan ke dalam jurang. Namun itu tidak dipedulikan - yang penting, mereka selamat.

Pemandandan terindah melihat 'Talian Hayat' menghampiri Kevin's Cave
Sumber: PW U II Sandiran a/l  Gopal (B)

Seterusnya, kapten pesawat mengarah dua anggota CAR diturunkan. Mereka ialah LUK Mohd Noh dan LUK Aris. Tanpa berlengah, mereka menyangkut ‘NATO Strop’ pada ‘hoist’  dan diturunkan oleh F/Sjn Gobiraja yang mengendali tuil hoist. Mej Ron Foster tidak melepas peluang merakam dengan kamera videonya setiap detik proses penurunan.

LUK Mohd Noh dan LUK Aris diturunkan melalui kaedah winching. 
Sumber: PW U II Sandiran a/l Gopal (B)

Sebaik sahaja dua paramedik mencecah bumi, mereka memberi isyarat tangan kepada F/Sjn Gobiraja. Berikutan itu, ‘Strecer Saleh’ pula diturunkan. Memandangkan Lt Kol Robert Neill kelihatan lemah, beliau orang pertama dinaikkan. Namun, beliau meminta supaya ketiga-tiga anggota Cina dinaikkan dahulu. Permintaan itu tidak dapat dipenuhi. Suka atau tidak, beliau dibaring atas strecer dan dinaikkan. Seterusnya giliran Pbt Lam W.K. pula dinaikkan.

Saleh Strecer yang membawa Lt Kol Robert Neill ditarik oleh F/Sjn Gobi dan Mej Dr Shamsudin 
ke dalam kabin helikopter NuriSumber: PW U II Sandiran a/l Gopal (B)

 
Sementara itu, Lt Nazhar yang memantau panel instrumen melapor, “T & P normal (temperature and pressure)” setiap lima-enam minit sepanjang pesawat berada dalam keadaan terapung. Pesawat berada dalam keadaan terapung selama kira-kira 30 minit. Kini suhu kotak gear utama mencecah 135 darjah.[19] Tidak lagi kedengaran T & P normal. 

Bersambung...in sya Allah... 


[1]              Kapt Gabriel Buja Joel PTU TUDM, Buku Harian Penerbangan Pemandu.

[2]              Catatan harian oleh Kpl U Wan Mustafa bin Wan Yusoff (B) sepanjang SAR tersebut.

[3]             Laporan oleh 372076 Lt Gabriel Buja Joel TUDM, The Rescue Mission sebelum ini, hlm. 2.

[4]             Ibid.

[5]              Ibid.

[6]             Laporan oleh Phillip Sherwell bertajuk “Helicopter blades almost touched the tree trunks” dalam keratan akhbar tanpa nama akhbar, tarikh, dan halaman daripada ‘Scrap Book’ No 7 Skuadron, PU Kuching.

[7]            Ibid.

[8]           Ibid.

[9]            Laporan oleh 372076 Lt Gabriel Buja Joel TUDM, The Rescue Mission sebelum ini, hlm. 2.

[10]              Penjelasan oleh PW U I Gobiraja a/l Ayayoo (B) melalui telefon pada 30 Ogos 2025. Beliau memberitahu haversack LUK Mohd Noh dan LUK Aris dihantar pada petang 25 Mac 1994; penjelasan oleh PW U I Azmi bin Shaari (B) dan Kpl U Wan Mustafa bin Wan Yusoff (B) masing-masing melalui aplikasi WhatApp pada 2 November 2025 dan 3 November 2025.

[11]             Penjelasan oleh Laksma (M) Dato’ Mohamad Ishar bin Hassan (B) dan F/Sjn Mohd Salleh bin Shariff (B) melalui telefon masing-masing pada 16 Oktober 2025 dan 2 November 2025.

[12]            Penjelasan oleh Laksma (M) Dato’ Mohamad Ishar bin Hassan (B) sebelum ini.

[13]           Laporan oleh 372076 Lt Gabriel Buja Joel TUDM, The Rescue Mission sebelum ini, hlm. 2.  

[14]          Ibid.

[15]            Ibid.

[16]           Catatan harian oleh Kpl U Wan Mustafa bin Wan Yusoff (B) sebelum ini.

[17]           Sikorsky. (1 July 1977). Flight Manual for Royal Malaysian Air Force: Model S-61A-4 Helicopter. United Technologies Company, hlm. 1-5.

[18]          Dewan Bahasa dan Pustaka. (1996). Glosari Aeronautik. Kuala Lumpur: DBP, hlm. 41.

[19]           Laporan oleh 372076 Lt Gabriel Buja Joel TUDM, The Rescue Mission sebelum ini, hlm. 3.


Tiada ulasan: