Sambungan dari SINI
Tiada ruang buat kesilapan
Seterusnya Kapt Mohamad Izhar bersama Sjn Salleh mengisi semula bahan api. Masa faktor kritikal! Flt Lt Richard Mowbray menyarankan supaya lima anggota yang terperangkap diambil melalui kaedah winching. Namun, Kapt Mohamad Izhar menjelaskan dengan tegas - tindakan itu berisiko tinggi. Pada altitud 6,000 kaki, pesawat memerlu pitch (kuasa enjin) yang tinggi untuk kekal dalam keadaan terapung (hovering). Sedikit sahaja kesilapan, bencana pasti berlaku.
Sebaliknya kapten pesawat menyaran supaya menghantar bekalan makanan. Saranan beliau diterima. Ekoran itu dua beg berwarna kuning segera diisi dengan dua radio, ubat-ubatan, tablet bahan api ‘hexamine,’ biskut, coklat, kaserol ayam, ‘lambs stew’ dan ‘corned-beef’ - tipikal rangsum tentera Inggeris.
*****
Sebaik
pesawat berlepas, Flt Lt Richard Mowbray yang teruja segera menghubungi Lt Kol
Tony Schumacher di Bilik Operasi 5 BIM, Kem Lok Kawi.
Isyarat
radio tidak jelas, ekoran itu beliau terpaks menjerit, “Kami sudah menjumpai
mereka!” Tidak pasti sama ada mesej itu sampai, beliau segera meminta supaya
pesawat Nuri dihantar dengan segera.[1]
Kebetulan dua orang wartawan berada di kampung tersebut. Kehadiran mereka di situ adalah untuk mengetahui apa yang sedang berlaku di kampung tersebut. Mereka tertanya-tanya apabila melihat penduduk berkerumun di luar dewan itu. Di dalam dewan anggota SAS sedang menyiap peralatan mereka. Mereka tidak sama sekali menyangka sedang dihidang dengan ‘scoop’ yang menjadi idaman setiap wartawan – penemuan lima anggota British yang hilang, berita sensasi dunia. Namun kegembiraan mereka terbantut. Mereka tidak mempunyai alat komunikasi untuk menghantar berita panas itu ke akhbar masing-masing!
Bagaimanapun, kelibat dua wartawan itu tidak disenangi oleh Flt Lt Richard Mowbray. Beliau bimbang mereka menghidu kehadiran SAS. Justeru, beliau segera menghalang mereka menghampiri dewan dan mengarah supaya menunggu di seberang jalan.[2] Beliau melarang mereka daripada bercakap dengan mana-mana anggota SAS kecualinya. Beliau akan memaklum apa yang berlaku. Tidak cukup dengan itu, beliau memberi amaran: “If there’s one mention of Special Forces in any article...I won’t come looking for. They’ll do it.”[3] Beliau sebenarnya tidak mengetahui penglibatan anggota SAS dalam operasi SAR sudah pun terpampang di dada akhbar UK.
*****
Ketika
Platun No 8 berehat di tebing Sg Penataran, pada jam 10.15 pagi, operator radio
bergegas ke Lt Zainal Abidin membawa satu mesej. Setelah menelitinya, beliau
segera mengarah anak buahnya berkumpul. Sebaik mereka berdiri di hadapannya, dengan
nada tegas bercampur lega, beliau mengumum:
“...kesemua
ke lima-lima anggota Tentera British
yang hilang telah dijumpai lokasinya. Mereka semua akan dikeluarkan dengan
mengguna helikopter Nuri.”[4]
Kesunyian hutan yang hanya diisi dengan desiran sungai dan kicauan unggas tiba-tiba pecah dengan sorakan kegembiraan. Walaupun bukan mereka yang menemuinya, Platun No. 8 tetap bersyukur - misi Op Belantara mencapai matlamatnya.
*****
Kapt
Mohamad Izhar bersama crewman serta seorang anggota SAS berlepas pada jam 10.30
pagi menyusur jurang yang curam dan sempit. Pesawat terbang rendah, meniti di
antara dinding batu yang semakin menutup, melawan deruan angin yang kuat. Dalam
kekalutan itu, beliau menenangkan dirinya – “Izhar…fokus…fokus.” Dia sedar,
kehadirannya kini menjadi harapan kepada lima nyawa yang menunggu
Akhirnya pesawat tiba di lokasi berkenaan dan pesawat dibawa dalam keadaan terapung (hovering). Kapt Izhar kemudiannya mula menurun collective perlahan-lahan hingga pesawat berada pada ketinggian yang sangat rendah. Jarak kipas utama dengan kedua-dua belah dinding granit ketika itu hanya lebih kurang 10 kaki sahaja. Kemudian, kapten pesawat mengarah Sjn Salleh untuk menurun kedua-dua beg yang telah diikat dengan tali nilon. Tugasan ini dilaku oleh anggota SAS. Mej Foster yang berada di bawah, menangkap tali tersebut. Disebab beg-beg tersebut agak berat, satu beg terjatuh dalam air manakala satu lagi di atas batu di mana L/Kpl Cheung Y.K. dan Pbt Lam W.K. berada. Sebelum pesawat berlepas, Mej Foster memberi isyarat ‘lima’ dengan jarinya dan ‘dua’ ke arah kayu balak, iaitu dua orang di situ.
Lantaran itu, dengan penuh berhati-hati, beliau menarik collective untuk menaikkan pesawat. Setelah melepasi kanopi pokok di hadapan, beliau menarik cyclic bagi mengundurkan pesawatnya sehingga mencapai ketinggian di mana dinding jurang makin melebar. Setelah yakin kedudukan pesawat selamat untuk tindakan selanjutnya, kapten pesawat melakukan spot turn dan berlepas ke pangkalan hadapan. Walaupun udara pergunungan sejuk menggigit, peluhnya menitik deras. Satu-satunya penerbangan yang tiada ruang langsung untuk kesilapan. Pesawat mendarat dengan selamat. Syukur alhamdulillah.
*****
Apabila
beg kuning dibuka, Lt Kol Robert Neill terkejut melihat kandungan di dalamnya -
rangsum Tentera British. Seketika beliau terpinga; tidak menyangka ATM turut
menggunakan bekalan yang sama. Namun persoalan itu terjawab apabila beliau
membaca nota Flt Lt Mowbray yang sudah basah kuyup: “HELP IS ON ITS WAY.
ENCLOSED ARE RATIONS, RADIOS. HANG ON IN THERE LAD!” bersama arahan
penggunaan radio. Mereka juga dikehendaki menghubungi juruterbang.[6]
Tulisan pada nota itu jelas bukan tulisan orang Melayu. Hatinya sebak - barulah mereka sedar bahawa Tentera British turut terlibat dalam operasi SAR ini. Sudah tentu, keluarga mereka kini tahu mereka masih hidup. Air mata mereka mengalir. Bukan kerana sedih, tetapi kerana syukur dan kegembiraan yang tidak mampu diungkap.[7]
*****
Masa
terus berlalu dalam kegelisahan. Kelibat pesawat Nuri masih tidak kelihatan.
Isyarat tangan Mej Foster memberikan pelbagai tafsiran - adakah dua anggota
telah meninggal dunia, atau masih cukup kuat untuk dinaikkan melalui winching? Dalam
ketidaktentuan itu, Kapt Mohamad Izhar menyaran menghantar seorang paramedik
bagi menilai keadaan mereka. Beliau menjelas pesawatnya tiada kemudahan strecer
jika diperlukan.
Tawaran itu diterima. Apabila melihat bergen rucksack paramedik yang berat, Kapt Mohamad mengarah agar ditinggalkan. Paramedik itu terpaku, tidak percaya dengan arahan tersebut - seolah-olah disuruh beroperasi tanpa kelengkapan peribadi. Namun, beliau terpaksa akur demi menyelamat subjek yang membawa mereka keluar dari keselesaan UK ke realiti getir operasi di kampung terpencil itu. Di medan operasi sebenar, perintah datang dahulu, alasan kemudian.
Kesediaan kapten pesawat dipersetujui oleh Flt Lt Richard Mowbray dan SAS. Apabila melihat ‘bergen rucksack’ paramedik yang berat, Kapt Mohamad memberitahu beliau untuk meninggalkan bergen tersebut. Paramedik itu terpaku seketika, tidak percaya arahan yang didengarnya. Terkejut paramedik tersebut mendengar arahan itu: mungkin anggota SAS beroperasi tanpa bergen.
Pesawat dengan tiga POB (Person On Board) berlepas pada jam 11.15 pagi.[8] Seperti sorti sebelumnya, Kapt Mohamad membawa pesawat dalam keadaan terapung di dalam jurang. Dengan cermat, beliau menurun collective sedikit demi sedikit, sedar setiap inci pergerakan boleh membezakan antara kawalan dan bencana. Tanpa disedarinya, satu tayar di belakang mencecah bongkah batu. Beliau segera mengarah paramedik turun. Sebaik sahaja penumpangnya berada di bumi dengan selamat, beliau melaksana prosedur keluar dari situ seperti sorti sebelum ini dan kembali ke pangkalan hadapan dengan selamat. Syukur alhamdulillah.
Tiga sorti ke Low’s Gully menguji tenaga dan ketahanan mental Kapt Mohamad Izhar serta Sjn Salleh. Kedua-duanya keletihan, namun puas - setiap penerbangan bermakna, setiap tindakan membawa harapan. Kini, semua menunggu ketibaan Nuri - ‘talian hayat.’
Bersambung...in
sya...Allah...
[1] Lt Col Robert Neill & Major Ron
Foster. (1995). SOS sebelum ini, hlm. 233.
[2] Ibid.
[3] Ibid., hlm. 234.
[4] Lt Kol Zainal Abidin (Bersara). Operasi Menyelamat
Low’s Gully sebelum ini, hlm. 64.
[5] Penjelasan oleh Laksma (M) Dato’ Mohamad Ishar bin
Hassan (B) melalui telefon pada 16 Oktober 2025.
[6] Lt Col Robert Neill & Major Ron
Foster. (1995). SOS sebelum ini, hlm. 232; Keratan akhbar tanpa nama
akhbar, tarikh, dan halaman sebelum ini.
[7] Lt Col Robert Neill & Major Ron Foster. (1995). SOS
sebelum ini, hlm. 233.
[8] Laporan oleh Phillip Sherwell bertajuk
“Helicopter blades almost
touched the tree trunks” dalam keratan akhbar
tanpa nama, tarikh, dan halaman sebelum ini.



Tiada ulasan:
Catat Ulasan