Pengikut

Jumaat, 19 Disember 2025

SAR Low's Gully: "Jangan masuk...jangan masuk"

 Sambungan dari  di SINI

Epilog

Dalam episod Low's Gully, tidak semua yang terlibat dalam ekspedisi itu menemui pengakhiran yang menggembirakan. Kesemua sepuluh anggota ekspedisi Gully Heights menerima surat dari Eastern District Hq, Imphal Barracks, Fulford Road, York. Mereka diarah menghadiri Lembaga Penyiasatan pada 25 April 1994;  berakhir pada 24 Mei 1994.[1] Arahan tersebut dikeluarkan oleh Mej Jen Patrick Cordingley, General Officer Commanding Eastern District, bagi menyiasat punca kehilangan lima anggota ekspedisi yang British. Ekspedisi yang telah mencemar reputasi Tentera Darat British dan mengakibat Kerajaan Britain terpaksa menanggung perbelanjaan kira-kira £75,000 dalam usaha menyelamatkan mereka. [2]

 Terma rujukan Lembaga tersebut adalah jelas dan menyeluruh: “Untuk membincangkan perancangan dan objektif ekspedisi, serta latar belakang peribadi semua ahli ekspedisi.”[3] Lembaga dipengerusikan oleh seorang Kolonel dengan dibantu oleh ahli-ahli yang terdiri daripada seorang Leftenan Kolonel, seorang Mejar, dan seorang Kapten. Kapten berkenaan merupakan seorang peguam, mencerminkan bahawa siasatan tersebut bukan sahaja bersifat ketenteraan, tetapi juga berlandas pertimbangan undang-undang.

Prosiding Lembaga diadakan di Markas tersebut. Daripada sepuluh peserta ekspedisi, hanya Pbt Chow W.K., yang pada masa itu masih menjalani rawatan di British Military Hospital, Hong Kong, yang tidak hadir.

Dalam naratifnya, Lt Kol Robert Neill selaku ketua ekspedisi, menyatakan peserta telah berpecah kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama terdiri daripada Sjn Bob Mann, Kpl Hugh Brittan, L/Kpl Richard Mayfield, L/Kpl Peter Shearer, dan L/Kpl Steve Page. Walaupun terdapat anggota lain yang berpangkat lebih kanan, namun demikian ketua ekspedisi ‘menganggap’ L/Kpl Richard Mayfield sebagai ketua kumpulan tersebut. Malahan, ketua ekspedisi secara langsung tidak melantik atau menamakan mana-mana anggota sebagai ketua. Anggapan ini kerana L/Kpl Richard Mayfield seorang ‘JSICI’ (Joint Services Mountain Climbing Instructor). Anggapan ini berlandas bahawa adalah seorang yang terlatih dalam bidang ‘abseiling.’

Lantaran itu, kekeliruan mengenai siapa ‘ketua’ kumpulan membuatkan Lt Kol Robert Neill mendakwa L/Kpl Richard Mayfield tidak mematuhi arahannya. Beliau mendakwa ketua kumpulan tersebut bertindak untuk menerus perjalanan tanpa menunggu mereka.

 Naratif ketua ekspedisi disanggah oleh L/Kpl Richard Mayfield. Semasa perbualan antara mereka, pada pemahaman L/Kpl Richard Mayfield, Lt Kol Robert Neill memberi kebenaran kepada beliau dan kumpulannya meneruskan perjalanan mereka ke kaki gunung.

*****

Pada 20 September, Mej Jen Patrick Cordingley telah mengadakan sidang akhbar untuk memaklum dapatan Lembaga Penyiasatan tersebut. Menyentuh kepimpinan Lt Kol Robert Neill, beliau memberitahu bahawa   ketua ekspedisi telah ditemuduga  olehnya dan juga Deputy Commander in Chief of the UK Land Forces. Selain itu, Lembaga berpendapat:

 “...Lembaga Penyiasatan berpendapat bahawa pertimbangan dan kepimpinan Lt Kol Neill semasa beberapa bahagian ekspedisi tersebut adalah tidak tepat, dan bahawa keputusan untuk membawa anggota kumpulan yang kurang berpengalaman masuk ke Low’s Gully merupakan satu tindakan yang melampaui kemampuan (over-ambitious).”[4]

Kepimpinan Mej Ron Foster turut diberi perhatian. Lembaga berpendapat beliau yang mengganti Lt Kol Roberti Neill semasa ketuanya jatuh sakit:

 “...bahawa beberapa keputusan yang diambil oleh Mej Foster dalam tempoh tersebut, walaupun sepenuhnya selaras dengan pelan keseluruhan, kemudiannya telah menyumbang kepada keadaan berbahaya yang tercetus. Saya (Mej Jen Patrick Cordingley) telah menemu bual Mej Foster dan mengemukakan perkara ini kepadanya.”[5]

Manakala dakwaan L/Kpl Richard Mayfield tidak mematuhi arahan disanggah oleh Lembaga, sebaliknya mendapat kepujian. Penilaian rasmi menyimpulkan bahawa:

“Lembaga Penyiasatan mengesyor bahawa tingkah laku dan prestasi Kpl Brittan, L/Kpl Mayfield dan L/Kpl Cheung adalah pada tahap yang wajar menerima pengiktirafan rasmi. Oleh itu, dengan sukacita saya mengumumkan bahawa ketiga-tiga anggota PTT tersebut telah dianugerah pujian atas tindakan mereka semasa ekspedisi itu.”[6]

Mej Jen Patrick Cordingley tidak ketinggalan merakam penghargaan kepada Malaysia:

“...saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memberi penghormatan kepada usaha cemerlang Angkatan Tentera Malaysia serta bantuan daripada Kerajaan Malaysia yang telah membawa operasi menyelamat ini kepada suatu penyelesaian yang memuaskan.”[7]

*****

Dengan dapatan tersebut, memetik akhbar The Herald pada 21 September 1994, daripada sumber Tentera Darat: “Peluang kenaikan pangkat Lt Kol Neill kini dianggap telah tertutup.”[8] Mej Ron Foster tidak begitu terkesan mengenai kerjayanya kerana beliau hanyalah anggota Wataniah.

 Lt Kol Neill akur terhadap dapatan tersebut. Beliau menerima tanggungjawab penuh terhadap sebarang kegagalan yang berlaku dan menyatakan bahawa dapatan Lembaga tersebut adalah sepenuhnya adil. Beliau turut gembira penganugerahan pujian rasmi ke atas tiga anggota terbabit sambil menegas bahawa kesemua mereka merupakan anggota muda yang amat berani. Tidak ketinggalan, Lt Kol Neill  merakam penghargaan kepada para penyelamat yang telah mempertaruh nyawa mereka dalam keadaan operasi yang amat mencabar.[9]

*****

Episod ini turut dibincang dalam Parlimen UK pada 21 June 1994. Seorang ahli Parlimen bertanya tentang  perancangan masa mengenai rancangan masa hadapan ‘adventurous  training.’ Menteri Negara bagi Angkatan Tentera (Minister of State for the Armed Forces) memberitahu kementeriannya sedang merancang satu kajian khusus bagi menilai sejauh mana kecekapan maksimum dan proses rasionalisasi latihan bercorak cabaran dapat dilaksanakan.[10]

Jawapan tersebut selari dengan dapatan Lembaga Penyiasatan. Memetik Mej Jen Patrick Cordingley, beliau menegas:

 “Tiada apa-apa yang terdedah sepanjang Lembaga Penyiasatan ini menimbul sebarang keraguan terhadap nilai berterusan latihan bercorak cabaran (adventurous training) sebagai kaedah pembangunan anggota tentera bagi Tentera Darat dan oleh itu, komitmen kami terhadap latihan tersebut kekal teguh seperti sedia ada.”[11]

*****

Bagi L/Kpl Richard Mayfield pula, ekspedisi Low’s Gully menjadi titik awal kepada pengakhiran perkhidmatannya sebagai seorang anggota tentera. Sebelum Lembaga Penyiasatan, Lt Kol Robert telah membuat kenyataan yang disiar dalam televisyen. Beliau mendakwa “...kumpulan hadapan telah ingkar arahan dan menerus pergerakan menuruni jurang itu tanpa kebenaran beliau.”[12] Dalam tentera, satu dakwaan yang serius! Stigma dakwaan meninggalkan kumpulan ketua ekspedisi membuta beliau terasa dipinggir oleh pasukannya sendiri walaupun kemudiannya Lembaga Penyiasatan telah membebasnya daripada dakwaan tersebut.[13] Di samping itu, kesan ekspedisi menjejas kesihatannya sehingga kerap menjadi ‘tetamu’ di hospital. Ekoran itu, sebelum keputusan Lembaga diumun, beliau membuat keputusan memohon untuk ‘Premature Voluntary Release,’ iaitu, menamat perkhidmatan. Permohonannya dilulus pada 6 Januari 1995 tanpa mengikuti ‘Latihan Peralihan’ sebagai persediaan menghadapi dunia luar.

Beliau seterusnya telah menyaman Kementerian Pertahanan UK kerana “...suffering from dehydration, malnutrition, and mental trauma,”[14] iaitu mengalami penghidratan, malnutrisi, dan trauma mental. Keputusan mahkamah pada 18 Ogos 2000 memihak kepada beliau dan Kementerian Pertahanan membayar £100,000.[15] 

*****

TUDM sudah pasti berbangga dengan kejayaan anggotanya. Kebanggaan ini terbukti apabila lapan anggota dianugerah pingat untuk satu misi – tiga PTU dan lima BAT. Satu sejarah dalam TUDM. Malahan buat pertama kali, tiga juruterbang - Kapt Mohamad Izhar, Kapt Gabriel, dan Lt Nazhar -  telah dianugerah Pingat Tentera Udara (PTU) serentak. Pingat ini dikurnia kerana “...keperwiraan, keberanian atau taat setia yang teristimewa yang ditunjukkan oleh anggota-anggota Tentera Udara Diraja Malaysia semasa menjalankan tugas di dalam dan di luar operasi penerbangan.”16] Lebih manis lagi, mereka merupakan penerima terakhir anugerah tersebut. 

PTU, salah satu daripada lima ‘Anugerah Perkasa Persekutuan,’ telah diwarta pada Ogos 1968 dan dihenti penganugerahan berkuat kuasa pada Julai 2011. Penerima anugerah diberi Elaun Kenangan RM1,000.00 sebulan. Sepanjang tempuh itu, hanya terdapat 32 penerima. Sehingga coretan ini, hanya 17 penerima masih ada.

*****

Episod Low’s Gully mendapat liputan meluas di UK. Akhbar melapor agar hubungan antara Malaysia dengan UK pulih kembali. Dalam laporan The Sunday Times, “...Whitehall is anxious to restore links with Malaysia, one of the world’s fastest -growing economies.”[17] Harapan UK termakbul apabila Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri, mengumun menarik balik sekatan perdagangan ke atas Britain pada awal September 1994.[18]

Dengan itu, peristiwa Low’s Gully kekal bukan sekadar kisah kehilangan dan penyelamatan, tetapi satu pengajaran mahal tentang kepimpinan, tanggungjawab, dan harga sebenar sebuah latihan bercorak cabaran.  

TAMAT



[1]              Rich Mayfield with Bob Mann. (1997). Kinabalu Escape: The Soldiers’ Story. London: Constable, hlm. 279. Appendix One: Opening Statement to the Press following the Board of Enquiry by Major General Patrick Cordingley DSO, General Officer Commanding Eastern District.

[2]              Mary Braid, Independent, Leaders of lost expedition criticised, 21 September 1994.

[3]              Rich Mayfield with Bob Mann. (1997). Kinabalu Escape: The Soldiers’ Story. London: Constable, hlm. 273.

[4]              Ibid., hlm. 281.

[5]              Ibid.

[6]              Ibid.

[7]              Lt Col Robert Neill & Major Ron Foster. (1995). SOS. London: Century, hlm. 261.

[8]              The Herald, Jungle expedition leaders rapped by inquiry. Judgement of Army officers was flawed, 21 September 1994.

[9]              Mary Braid, Independent, Leaders of lost expedition sebelum ini.

[10]            UK Parliament. HANSARD 1803–2005. DEFENCE - Training Centres. 21 June 1994 vol 245 cc108-9. Lihat https://api.parliament. uk/historic-hansard/commons/1994/jun/21/training-centres (diakses pada 10 Disember 2025).

[11]            Rich Mayfield with Bob Mann. (1997). Kinabalu Escape sebelum ini, hlm. 280.

[12]            Ibid., hlm. 269.

[13]            Ibid., hlm. 276.

[14]            Linus Gregoriadis, The Telegraph, £100,000 for soldier who was rescued from jungle, 19 Ogos 2000.

[15]            Ibid. Laporan itu menyata Sjn Mann juga turut menyaman Kementerian Pertahanan UK dan menang tetapi tidak disebut jumlah yang diterima.

[16]            Data.gov.my. Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa (BIUPA), Senarai Penerima Kurniaan Pingat Tentera Udara. Dengan penamatan anugerah PTU, anak kapal pesawat yang layak akan dianugerah Jasa Perkasa Persekutuan (PJJ). Penerima anugerah ini turut menerima Elaun Kenangan RM1,000.00. Lihat https://archive. data.gov.my/data/ms_MY/dataset/senarai-penerima-kurniaan-pingat-tentera-udara-tahun-1958-hingga-2011 (diakses pada 13 Disember 2025).

[17]            New Straits Times, Rescue spurs hope ties will improve, 29 Mac 1994, hlm. 23.

[18]            Lt Col Robert Neill & Major Ron Foster. (1995). SOS sebelum ini, hlm. 257.     


Ahad, 14 Disember 2025

SAR Low's Gully: "Jangan masuk...jangan masuk"

 Sambungan dari di SINI

Penghormatan Negara Ke Atas Wira Low's Gully Pada 1995

Pingat Tentera Udara (PTU)

Dari kiri: Laksma (M) Dato’ Mohamad Izhar bin Hassan PTU (B), Kapt Gabriel Buja Joel TUDM PTU (B) (Mendiang), Mej Nazhar bin Abdullah PTU TUDM (B)

 Bentara Angkatan Tentera (BAT)


Watikah BAT. Sumber: F/Sjn Mohd Salleh bin Shariff (B)

Dari kiri: PW U I Gobiraja a/l Ayayoo (B), PW U II Sandiran a/l Gopal (B), 
F/Sjn Mohd Salleh bin Shariff (B)

Dari kiri: PW U I Mohd Noh bin Bidin (B) (Allahyarham), Kpl U Aris bin Rahaba (B) (Allahyarham)

F/Sjn Sandiran menerima pingat BAT daripada DYMM SPB Agong di Istana Negara 
pada 8 April 1995. Sumber: PW U II Sandiran a/l Gopal (B)

F/Sjn Gobiraja dan F/Sjn Sandiran bersama pasangan masing-masing. 
Sumber: PW U II Sandiran a/l Gopal (B)

Dari kiri: LUK Aris, F/Sjn Sandiran, F/Sjn Gobiraja, Sjn U Mohd Salleh.  
Sumber: F/Sjn Mohd Salleh bin Shariff (B)

Dari kiri: LUK Aris, Sjn U Mohd Salleh.
 Sumber: F/Sjn Mohd Salleh bin Shariff (B)

Kad jemputan Pengurnian Darjah Kepahlawanan ATM di Istana Negara 
pada 8 April 1995. Sumber: PW U I Gobiraja a/l Ayayoo (B)

Bersambung...in...sya...Allah...

Jumaat, 12 Disember 2025

SAR Low's Gully: "Jangan masuk...jangan masuk"

  Sambungan dari  di SINI

The Grand Master’s Commendation

Logo GAPAN/The Honourable Company of Air Pilots. Sumber: SKYbrary


Hari silih berganti. Seperti mana-mana peristiwa - sehebat mana sekali pun - kisah operasi mencari dan menyelamat Low’s Gully pada Mac 1994 perlahan-lahan mula tenggelam daripada ingatan. Itulah resam dunia. Namun, bukan semua. Tanpa diketahui oleh kru penyelamat, kisah mereka telah mendapat perhatian satu institusi berprestij di bawah naungan Ratu Elizabeth II, iaitu ‘The Guild of Air Pilots and Air Navigators (GAPAN),’ yang beribu pejabat di London. Institusi ini telah ditubuh pada tahun 1929 dan kini dikenali sebagai ‘The Honourable Company of Air Pilotssemenjak 2014 dan King Charles pula adalah Penaungnya.[1] Sebab itu, Kol Muhammad bin Yunus, Penasihat Pertahanan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London terkejut apabila menerima sepucuk warkah daripada GAPAN bertarikh 30 September 1994 pada 3 Oktober 1994.

 Surat itu memaklum bahawa “...His Royal Highness The Prince Philip, Duke of Edinburgh, has approved the award of the Grand Master’s Commendation to the crew of the S61A-4 helicopter who completed the above rescue.”[2] Ya, Prince Philip selaku ‘Grand Master’ institusi itu bersetuju menganugerah ‘Grand Master’s Commendation,’ kini dikenali sebagai ‘The Grand Master’s Award,’ kepada kru helikopter S61A-4. Asas pencalonan mereka ialah “For their outstanding skill and bravery in rescuing safely five British soldiers lost in Low’s Gully, Mount Kinabalu, Sabah on 25/26 March 1994.”[3] iaitu mereka telah memapar tindakan keberanian bagi menyelamat lima warga British yang hilang di Low’s Gully.

Mereka ialah: (1) Lt  Gabriel Buja Joel TUDM; (2) Lt Nazhar bin Abdullah TUDM; (3) F/Sjn Gobiraja a/l Ayayoo; (4) F/Sjn Sandiran a/l Gopal (B); (5) LUK Mohd Noh bin Bidin; (6) LUK Aris bin Rahaba.

Keenam-enam mereka diundang ke majlis bankuet untuk menerima sijil ‘Grand Master’s Commendation’ yang akan berlangsung di Mansion House, London, pada 29 November 1994. 



Surat daripada GAPAN kepada Penasihat Pertahanan di London.  
Sumber: Koleksi: PW U II Sandiran a/l Gopal (B) 

Kol Muhammad  memanjang undangan tersebut kepada Pejabat Panglima Tentera Udara pada 6 Oktober 1994 untuk tindakan selanjutnya.[4] 
Surat daripada Penasihat Pertahanan di London ke Markas Tentera Udara.  
Sumber: Koleksi: PW U II Sandiran a/l Gopal (B) 

Kad jemputan daripada GAPAN kepada F/Sjn Sandiran a/l Gopal. 
Sumber: Koleksi: PW U II Sandiran a/l Gopal (B) 

Jemputan itu dimaklum kepada para jemputan oleh Markas Tentera Udara (MTU) pada 24 Oktober 1994.[5] Sememangnya satu penghormatan kepada anggota terbabit dan juga negara. Pihak TUDM tiada halangan mereka mengambil cuti tahunan untuk menghadiri majlis tersebut. Namun demikian, di atas sebab tertentu mereka terpaksa menanggung pembiayaan sendiri.[6] Dengan ini, perbelanjaan untuk tiket penerbangan, penginapan dan pengangkutan sepanjang berada di kota raya tersebut. Tiket penerbangan untuk dua hala sahaja berharga RM2,400.00 seorang![7]

 Namun demikian, kru ‘Rescue 08’ - Kapt  Gabriel (kini berpangkat Kapten), Lt Nazhar, F/Sjn Gobiraja, dan F/Sjn Sandiran tidak melepas peluang untuk menerima undangan tersebut. Sebaliknya, beban kewangan ini merupakan halangan untuk LUK Mohd Noh dan LUK Aris turut menyertai mereka.[8] Keempat-empat anak kapal mengambil cuti selama lebih kurang seminggu.[9] Kapt  Gabriel dan F/Sjn Sandiran membawa pasangan masing-masing manakala F/Sjn Gobiraja tidak membawa isterinya sementara Lt Nazhar pula masih bujang.

 Mereka bernasib baik. Seorang hamba-Nya memahami bebanan kewangan ini. Justeru, beliau berusaha supaya wakil syarikat ‘Sikorsky Aircraft’ di London menaja penginapan sepanjang mereka berada di kota raya tersebut.[10] Selain itu, menyedia pengangkutan semasa ketibaan di London dan pada hari bankuet tersebut. Syarikat berkenaan bersetuju untuk menaja mereka. Mana tidaknya, platform untuk penyelamatan tersebut tidak lain tidak bukan ialah produk keluaran syarikat – Sikorsky S61. Secara tidak langsung peristiwa tersebut telah menonjol imej helikopter Sikorsky. Keprihatinan  insan itu banyak meringan kewangan. Satu kelegaan, syukur alhamdulillah.  

 Para tetamu GAPAN berlepas dari Kuching ke Singapura dengan pesawat ‘MAS’ (MH641) pada jam 11.05 pagi, 25 November 1994. Mereka bermalam di situ untuk penerbangan ke London pada keesokan hari, 26 November 1994. Malam itu, mereka menginap di hotel dengan bayaran RM166.00 sebilik.[11] Keesokan hari, mereka berlepas dengan pesawat ‘SIA’ (SQ320) pada jam 12.30 tengah hari.[12] Setelah melepasi lapan zon masa dan lebih kurang 13 jam di angkasa, pesawat mendarat di Lapangan Terbang Heathrow kira-kira jam 17:30 petang (waktu tempatan), hari yang sama.

 Ketibaan mereka disambut oleh seorang wakil Sikorsky. Mereka dibawa ke Forte Crest Hotel (kini Holiday Inn) berhampiran lapangan terbang; lebih kurang 15 minit perjalanan. Syarikat tersebut telah menempah empat bilik termasuk makan sepanjang mereka berada di London. Pada malam 29 November 1994, wakil Sikorsky menjemput mereka untuk ke majlis tersebut yang bermula pada jam 7:00 malam di Mansion House. Tetamu kehormat ialah Raja Hussein bin Talal al-Hashimi, Raja Jordon. Baginda yang akan menyampaikan anugerah tersebut. Majlis berakhir sebelum jam 10.45 malam.[13] Seperti yang dijanji, wakil Sikorsky membawa mereka balik ke hotel.

Bergambar bersama Raja Hussein bin Talal al-Hashimi, Raja Jordon, selepas menerima sijil di Mansion House  pada 29 November 1994. Dari kiri: F/Sjn Gobiraja, Kapt Gabriel, 
Raja Hussein, Lt Nazhar, F/Sjn Sandiran. Sumber: Koleksi PW U I Gobiraja a/l Ayayoo (B)

Sumber: Koleksi PW U I Gobiraja a/l Ayayoo (B)

Asas pemilihan kru Rescue 08 sebagai penerima Grand Master’s Commendation
Sumber:  Eloise Cummins, The Honourable Company of Air Pilots

Dari kiri: Puan Weenie Louis Balan, Kapt Gabriel, F/Sjn Gobiraja, F/Sjn Sandiran, Puan Gankaisegamoni, Lt Nazhar. Sumber: Koleksi PW U II Sandiran a/l Gopal (B)

Dari kiri: Puan Gankaisegamoni, F/Sjn Sandiran, F/Sjn Gobiraja. 
 *****

Seperti yang dijadual, pada 6 Disember 1994 jam 2.30 pagi, mereka berlepas dari London ke Singapura dengan pesawat SIA (SQ315) dan tiba di destinasi pada lebih kurang jam11.30 malam. Seperti sebelum ini, mereka bermalam di Singapura dan menerus penerbangan ke Kuching  pada keesokan hari, 7 Disember 1994, dengan pesawat SIA (SQ186).

*****

Para pelancong dari Kuching. Dari kiri: F/Sjn Gobiraja, Kapt Gabriel, Lt Nazhar, F/Sjn Sandiran. 
Sumber: Koleksi PW U I Gobiraja a/l Ayayoo (B)

*****

Kenangan PW U I Gobiraja a/l Ayayoo (B) semasa di London:

 “Saya pergi seorang sahaja kerana kos ke London mahal. Isteri saya tidak bekerja. Guna duit simpanan. Sebaik tiba di Lapangan Heathrow, seorang wakil Sikorsky daripada kaum Sikh, menunggu kami. Kami dibawa ke hotel 4 bintang lebih kurang 10-15 minit perjalanan. Sikorsky menempah empat bilik dan makan ditanggung oleh syarikat tersebut. Bilik besar. Jadi, saya dan Lt Nazhar bersetuju untuk kongsi bilik. Bermakna Sikorsky sewa tiga bilik sahaja walaupun peruntukan untuk empat bilik. Kami beritahu wakil Sikorsky duit bilik satu lagi diberi kepada kami untuk perbelanjaan kami. Dia setuju. Dengan duit itu, kami guna untuk menyewa kereta.

Setiap pagi kami mengambil sarapan sehingga betul-betul kenyang. Sarapan yang dihidang secara bufet. Dalam diam-diam kami ambil roti, bun dan pastri diisi dalam beg kecil yang kami bawa. Nak jimat belanja. Dah datang ke London, bukan nak duduk  dalam hotel sahaja. Nak juga meronda tengok Kota London. Harga makanan amat mahal; kadar tukaran pula sekitar £1 lebih kurang RM4. Tidak mampu kami makan di luar setiap masa.

 Di hotel itu, ada seorang pekerja lelaki Cina dari Johor. Dia mula perasan yang kami tidak pernah muncul untuk makan tengah hari atau makan malam. Selepas 2-3 hari, dia bertanya mengapa kami langsung tidak turun makan tengah hari dan malam.

 Saya berterus terang dengan dia. Kami berada di sini kerana diundang oleh GAPAN untuk menerima ‘Grand Master’s Commendation.’ Pada masa sama, kami ambil peluang melihat-lihat kota raya. Jadi, susahlah  kami balik ke hotel hanya untuk makan tengah hari. Lokasinya pun jauh dari tempat kami melawat.

 Bila dia tahu saja, dia kata: “You guys famous here.” Dia ambil beberapa keratan akhbar. Katanya lagi: You all di muka hadapan akhbar selama tujuh hari berturut-turut.” Lepas itu, dia ajak kami ke ‘bar.’ Di situ, dia  memperkenalkan kami kepada mereka yang berada di situ. Katanya: “Merekalah orang yang menyelamat lima anggota British.” Malam itu, sesiapa yang minum di situ “on the house.”

Bukan itu sahaja. Dia mengatur supaya penyambut tetamu di kaunter untuk memberi kupon untuk mereka. Dengan kupon itu, mereka boleh makan percuma di mana-mana hotel. Mulai hari itu,  setiap pagi mulai hari itu, kami diberi kupon makan - untuk makan tengah hari, makan malam dan juga ‘tea break.’

Bagaimana pun, kami tetap mengambil sarapan yang berat setiap pagi sebelum keluar meronda sepenuhnya masa yang ada. Bantuan kupon itu sangat bermakna bagi kami ketika itu.”

Bersambung...in...sya...Allah...

[1]              SKYbrary, The Honourable Company of Air Pilots. Lihat  https://skybrary.aero/articles/honourable-company-air-pilots (diakses pada 8 Disember 20250.

[2]              Surat daripada The Guild of Air Pilots and Air Navigators kepada Penasihat Pertahanan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia, London, bertarikh 30 September 1994, bertajuk ‘Award of the Grand Master’s Commendation To The Crew Of A Royal Malaysian Air Force (RMAF) S61-4 Helicopter Who Rescued The Five British Soldiers Lost In Low’s Gully On 25/26 March 1994.” Sumber daripada koleksi PW U I Gobiraja a/l Ayayoo (B).

[3]              Sijil “Grand Master’s Commendation”; E-mel daripada Eloise Cummins, Events & Awards Co-ordinator, The Honourable Company of Air Pilots, pada 10 Disember 2025.

[4]              Surat daripada Penasihat Pertahanan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia, London, kepada Pejabat Panglima Tentera Udara bertarikh 6 Oktober 1994, bertajuk “Awards the Grand Master’s Commendation Kepada Anak Kapal Pesawat Nuri Yang Terlibat Dengan Operasi Menyelamat Di Gunung Kinabalu.” Sumber daripada koleksi PW U I Gobiraja a/l Ayayoo (B).

[5]              Mesej daripada MTU, Awards the Grand Master’s Commendation Kepada Anak Kapal Pesawat Nuri Yang Terlibat Dengan Operasi Menyelamat Di Gunung Kinabalu, MTU/Sek E/60 bertarikh 24 Oktober 1994. Sumber daripada koleksi PW U I Gobiraja a/l Ayayoo (B).

[7]              Maklumat daripada koleksi PW U II Sandiran a/l Gopal (B).

[8]              Penjelasan oleh PW  U I Gobiraja a/l Ayavoo (B) melalui telefon pada 10 Disember 2025.

[9]              Ibid.

[10]            Ibid.

[11]            Ibid.

[12]            Salinan tiket penerbangan daripada koleksi PW U II Sandiran a/l Gopal (B).

[13]            Salinan arahan GAPAN kepada para hadirin daripada koleksi PW U II Sandiran a/l Gopal (B).