Sambungan dari SINI
Low’s Gully: Dari Latihan ke
Operasi
Ahad, 13 Mac 1994/30 Ramadan 1414H...
Seperti
yang dirancang, pagi itu sebuah helikopter Sabah Air jenis Bell 212 yang
membawa Liew bersama Brittan dan Page berlepas ke kawasan Low’s Gully bagi
melaksana pengesanan dari udara.[1] Neill
yang melihat pesawat tersebut, cuba menarik perhatian pesawat namun tidak
dikesan oleh si pencari. Faktor topografi curam serta litupan hutan tebal dari
aras tinggi menghalang pengesanan dari udara. Tanpa sebarang petunjuk lokasi,
helikopter tersebut terpaksa berpatah balik ke Kota Kinabalu.
Berikutan kegagalan itu, Liew memaklum bahawa Ranjer Taman akan digerakkan dari kampung-kampung berhampiran sungai bagi memula pencarian darat keesokan hari - 14 Mac.[2] Beliau beri nombor telefon Mej Nigel Ramsden di Hong Kong kepada Page seperti yang dipesan oleh Neill. Brittan dan Page kemudiannya kembali ke Travellers’ Rest untuk berehat yang amat diperlukan. Ketiadaan sebarang pengesanan dari udara membawa kepada satu kesimpulan operasi yang serius - kumpulan ketua ekspedisi, yang telah kehabisan bekalan, kini diklasifikasi sebagai hilang.
*****
Sekembali di Travellers’ Rest,
Brittan membuat panggilan balas kepada Lt Kol David Kerr, CO RLC, di Hong Kong,
yang sebelum itu cuba menghubunginya semasa beliau membuat tinjauan udara.
Dalam perbualan tersebut, Brittan menjelaskan rentetan kejadian serta tindakan
yang telah diambil.3] Selepas itu, beliau
menghubungi teman wanitanya, Sadie Gray, yang bertugas di Markas Regimen RLC di
Deepcut, dengan pesanan supaya memaklum ketuanya, Capt Steve McMahon, tentang masalah yang dihadapi pada keesokan
hari, Isnin 14 Mac.[4]
Tidak lama kemudian, Scott tiba di Travellers’ Rest dan bertemu Brittan, Page dan Mayfield. Setelah menerima taklimat menyeluruh - termasuk isu kehilangan pasport Page dan Shearer - Scott segera menghubungi Pesuruhjaya Tinggi British di Kuala Lumpur untuk tindakan diplomatik selanjutnya. Menyedari berita kehilangan sudah dalam pengetahuan pihak berwajib British, mereka kemudiannya bergilir-gilir berperanan sebagai ‘operator telefon’ bagi menjawab panggilan telefon yang dijangka bertali arus.
Pada lewat petang, Mann pula muncul di tempat penginapan. Beliau yang mendakwa tidak mendapat rawatan sewajarnya dan keadaan wad kurang selesa, keluar dari hospital setelah memberitahu staf yang bertugas.[5] Dengan perkembangan ini, hanya Shearer yang masih dirawat di hospital.
*****
Isnin,
14 Mac 1994/1 Syawal 1414H...
‘Allahu Akbar…Allahu Akbar…Allahu Akbar…’ bergema takbir Hari Raya Aidilfitri. Umat Islam berduyun-duyun ke masjid bagi menunaikan solat sunat setelah sebulan berpuasa.
Namun di sebalik suasana kesyukuran umat Islam, pagi itu menyaksikan satu keputusan penting. Mann memutuskan untuk mendapat rawatan lanjut di British Military Hospital (BMA) Hong Kong. Beliau mengarah Mayfield menempah tiket ke koloni British tersebut bagi penerbangan pada keesokan hari, 15 Mac. Mayfield akan bertindak sebagai pengiring memandangkan Page kehilangan pasportnya. Beliau seterusnya menghubungi RLC, Hong Kong, untuk memaklum mereka ketibaan mereka untuk mendapat rawatan di BMH.
Pada petang itu, Shearer pula muncul di asrama selepas keluar dari hospital secara sukarela. Walaupun masih memerlukan rawatan, beliau tidak dapat menyertai Mann kerana kehilangan pasportnya.
*****
Di UK, seperti
yang dipesan oleh teman lelakinya, Sadie Grey menghubungi McMahon memberitahu
apa yang berlaku kepada ekspedisi. Berita itu seterusnya dimaklum kepada Mej
Bob Corbey, OC Brittan, yang membuat beberapa panggilan ke HQ Eastern District,
York. Para penerima berita tersebut terkejut kerana sebelum ini tiada siapa
yang menjangka para peserta ekspedisi berhadapan dengan masalah.[6]
Kini perhubungan melalui kawat dan faks bertali arus antara Suruhanjaya British di Kuala Lumpur, Kementerian Pertahanan, Whitehall, Headquarters British Forces (HQBF) Hong Kong bagi menyelaras operasi mencari dan menyelamat lima anggota terbabit. Rangkaian komunikasi ketenteraan British kini diaktifkan sepenuhnya, menandakan operasi tersebut telah beralih daripada insiden lapangan kepada krisis antarabangsa.
*****
Selasa,
15 Mac 1994/2 Syawal 1414H...
Pada jam 5.25 pagi, Kerr menghantar kawat ke RLC, Andover, dengan agihan kepada beberapa jabatan yang relevan mengenai isu kehilangan peserta Latihan Lasak. Manakala, Penasihat Pertahanan di Suruhanjaya Tinggi British, Kol Jonathan Seddon-Brown, setelah mengesah maklumat Scott, menghantar kawat ke Kementerian Pertahanan, UK, dan Headquarters British Forces (HQBF) Hong Kong. Antara isi kawat yang diterima oleh HQBF pada 12.00 tengah hari[7] menekan faktor masa untuk menyelamat mereka:
“Lima orang selebihnya
kini telah terkandas selama tiga belas hari. Neill dan Foster merupakan anggota
pasukan yang paling berpengalaman, dan Neill pernah berada di gunung tersebut
sebelum ini. Nasihat tempatan menyatakan bahawa tujuh puluh dua jam berikutnya
adalah kritikal sekiranya mangsa yang masih hidup hendak ditemui.”[8]
Pada jam 10.00 malam waktu UK, Assistant Chief of the Defence Staff (Operations) memberi mandat kepada Komander HQBF, Mej Jen John Foley, untuk menyelaras keseluruhan operasi mencari dan menyelamat dari Hong Kong. Beliau turut diarah melantik seorang pegawai sebagai ‘Komander Nasional’ di medan, mewakili pasukan tentera British yang bakal terlibat.[9]
Dengan keputusan itu, status latihan ‘Ex Gully Heights’ secara rasmi dinaik taraf menjadi ‘Op Gully Heights (British)’ - satu peralihan daripada latihan rutin kepada operasi sebenar yang melibatkan nyawa.
*****
Pada hari yang
sama, sebuah pesawat British Airways yang berlepas dari Lapangan Terbang Heathrow
pada 14 Mac mendarat di Hong Kong. Antara penumpangnya ialah Mej Tony Schumacher,
OC, British Army Jungle Warfare School (AJWS). Beliau dalam perjalanan kembali
ke Brunei selepas bercuti di UK.
Setibanya di
hotel, satu mesej segera menantinya. Beliau dimaklumkan tentang latar belakang
operasi SAR tersebut dan pelantikannya sebagai Komander Nasional serta diarah
melapor diri ke HQBF pada keesokan pagi.
*****
Pada jam 9.45
pagi, PW Alastair Haveron dari RAF Mountain Rescue Service (MRS)[10] menerima panggilan
daripada Kementerian Pertahanan, Whitehall. Beliau diarah membentuk satu tim
berpengalaman lengkap dengan peralatan untuk operasi mencari dan menyelamat.
Pasukan tersebut dijadual berlepas dari Heathrow ke Kuala Lumpur dengan pesawat
Malaysia Airlines - MH001 - pada jam 10.00 malam itu juga sebelum meneruskan
penerbangan ke Kota Kinabalu.[11] Semua anggota
dikehendaki berkumpul (RV) di RAF Brize Norton, Oxfordshire.
Dalam perkiraannya, A. Haveron memerlu 17 anggota termasuk dirinya untuk misi tersebut.[12] Faktor pemilihan ialah beliau menitikberat pengalaman operasi di altitud tinggi. Sehubungan itu, beliau menghubungi kesemua enam MRS di seluruh UK - RAF Kinloss dan RAF Leuchars di Scotland, RAF Leeming di North Yorkshire, RAF Stafford di Midlands, RAF Valley di Wales, serta RAF St Athan.[13]
Bagi menjimatkan masa, anggota dari Scotland diterbangkan dengan pesawat rondaan maritim Nimrod, manakala pasukan dari Wales digerak dengan helikopter. Selebihnya melalui jalan darat. Setibanya di RAF Brize Norton, kumpulan tersebut disertai oleh Mej Dr Tony Williams serta dua jurulatih dari RAF School of Combat Survival and Rescue, St Mawgan - Flt Lt Richard Mowbray dan Flt Lt Richard Mason. Turut menyertai misi itu ialah Lt Kdr Mike Elesmore (B), yang pernah berkhidmat di Outward Bound Sabah berhampiran Kota Kinabalu.[14] Pada lewat petang itu, kesemua 21 anggota Tentera British dihantar ke Lapangan Terbang Heathrow untuk penerbangan ke Kuala Lumpur.
*****
Tidak
lama kemudian, Mann menerima panggilan daripada Lt Kdr Cliff Williams, Penolong
Penasihat Pertahanan British di Kuala Lumpur. Williams memaklumkan bahawa
beliau akan berlepas dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu pada 16 Mac untuk mengambil
alih pengurusan keperluan SAR. Beliau memerlukan Mann untuk sesi taklimat
sebaik sahaja beliau tiba, bagi mendapat gambaran menyeluruh tentang situasi
yang telah berlaku. Namun bagi Mann, keutamaan ketika itu bukan lagi taklimat
atau laporan tetapi rawatan segera. Lantaran itu, beliau menegaskan bahawa beliau
tetap akan terbang ke Hong Kong keesokan hari seperti yang dirancang, lagi pula
tiket penerbangan telah dibeli.
Petang itu, seperti dirancang, Mann dan Mayfield berlepas ke Hong Kong menaiki pesawat MAS B737. Ketibaan mereka disambut oleh seorang Staf Sarjan dari RLC yang kemudian membawa mereka bertemu Kerr, Pegawai CO RLC, bersama Mej Noble. Usai taklimat, kedua-duanya dihantar ke BMH dan ditahan di sana, bagaimanapun ditempatkan di wad yang berasingan.[15]
*****
Dalam
kemeriahan sambutan Hari Raya, Mej Rahim Awang selaku PT 2 Gerakan, Markas 5
BIM (Briged Infantri Malaysia), Kem Lok Kawi, menerima mesej daripada
Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) melalui Markas 1 Divisyen di Kuching. Brig
Jen Hussin bin Mohammed Yusoff, Panglima 5 BIM, dilantik sebagai Pengarah
Operasi Mencari dan Menyelamat Bersepadu (Director of Combined Search and Rescue Operations).[16] Beliau diarah “...untuk mencari, mengesan dan
menyelamatkan lima anggota British yang hilang di Low’s Gully.”[19]
Sebaik
menerima arahan tersebut berserta nombor perhubungan yang diberi, beliau
menghubungi Mann pada pagi itu untuk mendapatkan butiran lanjut. Tugasannya
dipermudah dengan kehadiran Brittan dan Page.[18]
Seterusnya, beliau menghubungi Lt Kol Yahya bin Haris,
CO 16 RAMD, yang berpangkalan di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu. Semasa itu, Yahya
sedang bertandang ke rumah PW I Md Saad bin Yusoff, Sarjan Mejar Rejimen, bersama
pegawai-pegawainya. Yahya diarah mengatur gerak pasukan bagi misi SAR - Op
Belantara (TDM).[19]
Sebaik menerima arahan itu ketika masih berada di rumah Mohd Said, Yahya mengeluarkan ‘amaran awal’ (warning order) bahawa satu kompeni akan diatur gerak bagi operasi tersebut. Kebetulan Kapt Shamsudin bin Sulaiman, Ketua Kompeni C, turut berada di situ, maka misi itu dipertanggungjawab kepada beliau.
Memandangkan kepentingan operasi, Yahya turut mengarah Lt Zainal Abidin bin Ismail, Pegawai Risik Batalion yang baharu dilantik, mengetuai Platun No 8, Kompeni C. Turut diatur gerak ialah Platun UCIS (Unit Combat Intelligent Squad) yang diketuai Lt Mohamad Qayyum Badaruddin, manakala Kompeni A di bawah Kapt Yatim bin Mohd Nor bertindak sebagai kompeni simpanan.
Semua elemen terbabit kemudiannya diperintah membuat persiapan, dan dikehendaki berada di Bilik Gerakan tepat jam 5.00 petang untuk arahan CO selanjutnya dan tiada pergerakan sebelum jam 8.00 malam.[20]
*****
Sebelum
perancangan terperinci dibuat, Yahya perlu melaksana tinjauan udara. Justeru, 5
BIM memohon kepada Mawilud II, Kuching, sebuah pesawat untuk tinjauan pada hari
itu. Permohonan dilulus dan sebuah Alouette III diperuntuk bagi tugasan
tersebut. Sebaik Bilik Gerakan PU Labuan menerima tugasan daripada Mawilud II,
pegawai operasi segera menghubungi Kapt Kamarudin bin Hassan TUDM, kru Alouette
III yang bertugas, manakala Mej Rosli bin Mohd Yusof TUDM, CO No 5 Skuadron,
turut dimaklum.
Demi kepentingan operasi, Rosli mengetepi kemeriahan Hari Raya untuk turut serta. Tidak lama kemudian, pesawat yang dikendali beliau bersama Kamarudin dan seorang crewman[21] berlepas ke Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu. Setelah menerima taklimat di Lok Kawi, pesawat berlepas bersama Yahya dan Brittan bagi melaksana tinjauan. Dengan panduan Brittan, tinjauan meliputi menyusuri sungai serta sektor bahagian bawah bahagian bawah Low’s Gully. Selain itu, meliputi laluan yang diambil oleh kumpulan beliau dengan andaian kumpulan Neill berkemungkinan keluar dari gaung melalui laluan yang sama. Namun begitu, walaupun keadaan cuaca terang dan jarak penglihatan baik, tinjauan gagal mengesan Neill.[22] Mereka kemudiannya kembali ke Lok Kawi.[23]
Rosli membuat keputusan untuk kru bermalam di situ dan terbang balik ke Labuan keesokan hari. Beliau mengenali Yahya mereka ditauliahkan bersama di Maktab Tentera Diraja meskipun daripada pengambilan pegawai yang berbeza.[24] Kesempatan itu dimanfaatkan Rosli untuk berkunjung ke rumah keluarga Yahya bersama kru pesawatnya.
*****
Pada
jam 4.30 petang, pegawai-pegawai 16 RAMD sudah berada di Bilik Gerakan menunggu
ketibaan CO. Dalam arahannya, Yahya memilih Kg Nahandang Melangkap
sebagai Markas Taktikal Batalion (Mk Tak Bn) yang juga menempatkan Kompeni
simpanan. Beliau seterusnya mengagih sektor pencarian kepada setiap elemen. Shamsudin
bersama Markas Taktikal Kompeni (Mk Tak Kom) dan Platun 7 menyusuri rabung kiri
dari Stesen Sayap Kota Belud ke arah Gunung Kinabalu. Zainal Abidin pula
mengatur pergerakan dari belakang Gunung Kinabalu bermula di Sungai Penataran,
Kg Melangkap Tomis, sebelum mendaki ke puncak. Satu seksyen yang diketuai oleh
Kpl Zulkifeli bin Ahmad mendaki Gunung Kinabalu melalui laluan pelancong dan
seterusnya ke Low’s Gully. Beliau dikehendaki bergabung dengan kumpulan Abidin.
Selaras dengan peranan UCIS, Qayyum mendahului pergerakan menyusuri rabung kanan dari Kg Melangkap Baru ke arah Gunung Kinabalu melalui sektor Kota Belud.[25] Kapt Shamsudin bersama markasnya serta Platun No 7 dijadual bergerak pada 17 Mac, manakala elemen lain Kompeni C dan UCIS memulakan gerakan seawal pagi 16 Mac.[26]
Selepas menerima arahan itu, mereka bersurai untuk membuat persiapan terakhir. Setiap anggota diarah membawa rangsum 14 hari serta peralatan pendakian seperti tali, toggle rope dan snap link.[27] Setelah semua siap sedia, kini trup menunggu arahan untuk bertolak ke lokasi masing-masing.
Dengan itu, negara amnya dan ATM khususnya, terlibat secara langsung dalam operasi SAR - Op Belantara/Op Gully Heights. Bagi anggota yang terlibat - 5 BIM dan TUDM - kemeriahan Hari Raya diketepikan demi melaksana amanah operasi.
[1] Rich Mayfield with Bob Mann.
(1997). Kinabalu Escape sebelum ini, hlm. 241.
[2] Lt Col Robert Neill & Major
Ron Foster. (1995). SOS sebelum ini, hlm. 172.
[3] Ibid.
[5] Rich Mayfield with Bob Mann.
(1997). Kinabalu Escape sebelum ini, hlm. 247.
[6] Lt Col Robert Neill & Major Ron
Foster. (1995). SOS sebelum ini, hlm. 172.
[7] HQ British Forces, Hong Kong, OPERATION
GULLY HEIGHTS POST OPERATION REPORT, HK 10002/8 J3 OPS bertarikh 7 April
1994, hlm. 1.
[8] Lt Col Robert Neill & Major Ron
Foster. (1995). SOS sebelum ini, hlm. 196.
[9] HQ British Forces, Hong Kong, OPERATION
GULLY sebelum ini, hlm. 1.
[10] E-mel daripada PW A. Haveron (B) pada 8 November 2025.
Beliau menjelaskan dalam struktur pangkat Royal Air Force (RAF) untuk Lain-Lain Pangkat (LLP), tiada pengelasan
Pegawai Waran I (PW I) dan II (PW II); hanya Pegawai Waran (PW) sahaja.
[11]
Richard Connaughton. (1996). Descent
Into Chaos sebelum
ini, hlm. 104.
[12]
Emel daripada Sqn Ldr
Brian Canfer (Retired), Chairman & Archivist, RAF Mountain Rescue Services,
pada 29 September 2025.
[13] Richard Connaughton. (1996). Descent
Into Chaos sebelum
ini, hlm. 104.
[15] Rich Mayfield with Bob Mann. (1997).
Kinabalu Escape sebelum ini, hlm. 255 dan 259. Mann dan Mayfield berlepas dari
Hong Kong ke Gatwick pada 18 Mac 1994.
[16] Richard Connaughton. (1996). Descent
Into Chaos sebelum
ini, hlm. 105.
[17] Ibid., hlm. 106
[18] Lt Col Robert Neill & Major Ron
Foster. (1995). SOS sebelum ini, hlm. 200.
[19] Lt Kol Zainal Abidin (Bersara). Operasi
Menyelamat Low’s Gully: Wira Tak Didendang, (draf), hlm. 3.
[20] Ibid. hlm. 28.
[21] Pada era itu, kebiasaannya istilah KU/AQM
pesawat Alouette III dikenali sebagai ‘crewman.’ Istilah ini dikekal dalam
nukilan ini.
[22] Lt Col Robert Neill & Major Ron
Foster. (1995). SOS sebelum ini, hlm. 200.
[23] Penjelasan Brig Jen Dato’ Rosli bin Mohd Yusof TUDM
(B) dan Lt Kol Kamarudin bin Hassan TUDM (B) melalui aplikasi WhatsApp
masing-masing 22 September 2025 dan 5 Oktober 2025.
[24] Penjelasan Brig Jen Dato’ Rosli bin
Mohd Yusof TUDM (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 14 Februari 2026. Semasa
latihan di Maktab Tentera Diraja, beliau tergolong dalam kategori Pegawai Tauliah
Jangka Pendek (Short Service Commission) sementara Lt Kol Yahya bin Haris
(B) pula Pegawai Tauliah Jangka Tetap (Regular
Commission). Namun demikian, mereka
ditauliah bersama.
[25] Lt Kol Zainal Abidin
(Bersara). Operasi Menyelamat Low’s Gully: Wira Tak Didendang, (draf),
hlm. 31.
[26] Ibid., hlm. 34.
[27] Ibid., hlm. 30.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan