Sambungan dari SINI
Operasi SAR Bermula
Pada jam 1.00 pagi, ketika kebanyakan insan-Nya masih lena dibuai dingin malam, konvoi tiga buah trak 3-ton yang membawa anggota UCIS dan Platun No 8 bergerak dari Kem Lok Kawi menuju ke Kg Melangkap Tomis di kaki Gunung Kinabalu. Pergerakan tidak selancar yang dirancang. Pada jam 2.35 pagi, konvoi terpaksa berhenti apabila sebatang pokok sebesar pemeluk tumbang melintang jalan. Halangan itu dipotong sebelum perjalanan disambung semula pada jam 3.00 pagi.
Konvoi tiba di Kg Melangkap Baru pada jam 4.30 pagi bagi menurunkan anggota UCIS, manakala Platun No 8 meneruskan perjalanan dan tiba di Kg Melangkap Tomis pada jam 5.00 pagi.[1] Keseluruhan pergerakan sekitar 160 km itu mengambil masa kira-kira empat jam. Pada jam 8.00 pagi, setelah meneliti peta, Zainal mengetuai anggotanya menyusuri Sg Panalaban menuju kawasan pencarian yang dipertanggungjawab kepadanya, dengan menggalas beg seberat kira-kira 80 kg serta raifal Steyr seberat 3 kg.[2] Permukaan bumi memaksa mereka bukan sahaja berjalan di tebing sungai, malah meranduk air sedalam paras pinggang - suatu pergerakan yang amat meletihkan.
Mereka berhenti rehat pada jam 11.00 pagi untuk makan tengah hari sebelum meneruskan misi. Menjelang jam 5.00 petang, rimba mula menelan cahaya sang suria. Lalu Zainal memutuskan untuk berkhemah. Walaupun tiada ancaman musuh, disiplin operasi tetap dipelihara. Beliau mengarah Sarjan Platun, Kpl Zulkifli bin Ahmad, mengatur giliran pengawal malam bermula waktu ‘stand-to’ - saat senja dan subuh apabila setiap trup mengambil kedudukan pertahanan sebagai persediaan dari sebarang serangan musuh. Kawalan berlangsung dari 6.00 petang hingga 6.00 pagi, dua anggota setiap giliran selama dua jam.[3]
*****
Williams
pula tiba di Kota Kinabalu pada petang itu dan menjadikan Hotel Hyatt sebagai
pusat operasi bagi usaha mengesan lima warga British yang hilang. Beliau
kemudian mengarah Brittan, Page dan Shearer berpindah ke hotel berkenaan.
Melihat keadaan fizikal Shearer yang memerlukan perhatian, Williams segera merujuknya
ke Sabah Medical Centre (SMC), Kota Kinabalu, di mana beliau ditahan untuk
rawatan selanjutnya.
*****
Pagi
itu, seperti yang diarah, Schumacher pergi ke HQBF untuk menerima taklimat
mengenai tugasannya. Foley menjelaskan peranan beliau ialah untuk
mengkoordinasi aktiviti anggota Tentera British dan kepentingan di Sabah. Bagi
melicinkan pelaksanaan operasi, Foley memberikan beliau kenaikan pangkat
sementara (local rank)
Leftenan Kolonel. Schumacher turut dibekalkan 250 pek rangsum sebagai
persediaan untuk tim RAF MRS yang dijangka tiba di Kota Kinabalu malam itu.[4]
Sebelum berlepas, beliau sempat melawat Mann dan Mayfield di BMH. Selain itu, Komander HQBF turut menghantar seorang Pegawai Perhubungan Awam, Arthur Murray daripada Joint Services’ Public Relations, bagi mengurus hubungan media susulan kehilangan lima anggota yang mendapat perhatian meluas.
Pada sebelah petang, mereka berlepas ke Kota Kinabalu dengan pesawat MAS dan mendarat pada jam 6.55 petang. Ketibaan mereka disambut oleh Williams, Brittan dan Page sebelum dibawa ke Hotel Hyatt. Williams mengingatkan Schumacher bahawa operasi ini dikendali oleh Malaysia. Peranan beliau ialah untuk membantu serta menyedia kepakaran di mana pihak Malaysia memerlukan sokongan, khususnya dalam operasi menyelamat di kawasan pergunungan.[5] Tidak lama kemudian, seorang pegawai dari Mk 5 BIM tiba di hotel berperanan sebagai Pegawai Perhubungan untuk memberi bantuan di mana perlu.
Pada jam 10.50 malam, pesawat MAS B737 dari Subang yang membawa tim RAF MRS dan tiga pegawai mendarat Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Mereka disambut oleh Schumacher dan kumpulan di hotel.[6] Seterus tetamu-tetamu yang baru tiba dibawa ke hotel dengan kenderaan yang disediakan oleh Mk 5 BIM. Setiba di sana, mereka diberi taklimat mengenai tugasan yang menanti mereka keesokan hari. Brittan dan Page membantu dengan pengalaman mereka dan cabaran yang akan dihadapi oleh anggota MRS. Mereka sememangnya begitu letih setelah berada dalam pesawat lebih kurang 16 jam penerbangan; mata merah terbakar dek ‘jet lag.’ Namun demikian, A. Haveron dan anak buahnya duduk tegak, menelan setiap butir arahan. Mereka tahu, di cerun Low’s Gully, lima rakan seperjuangan sedang bertarung dengan maut. Taklimat berakhir pada jam 3.00 pagi, 17 Mac[7] dan mereka semua beredar ke bilik masing-masing. Bagi anggota MRS, tidur malam itu hanyalah kemewahan sementara. Misi sebenar menunggu saat fajar menyingsing!
*****
Kepulangan
Alouette III ke Labuan pagi itu tidak bererti berakhirnya penglibatan aset
TUDM. Dalam operasi SAR, helikopter merupakan platform penting. Sebuah Nuri
pula ditugas untuk operasi tersebut hari itu.
*****
[1] Lt Kol Zainal Abidin (Bersara). Operasi
Menyelamat Low’s Gully: Wira Tak Didendang, (draf), hlm. 36.
[3] Ibid., hlm. 44.
[4] Lt Col Robert Neill & Major Ron Foster. (1995). SOS
sebelum ini,
hlm. 201.
[5] Richard Connaughton. (1996). Descent
Into Chaos sebelum
ini, hlm. 107.
[6]
Ibid., hlm. 105.
[7] Ibid., hlm. 106.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan