Dengan
penuh keyakinan yang mereka telah bersedia, kumpulan bersenjata PKM telah
melancar serang hendap terhadap konvoi Pasukan Polis Hutan (PPH) dalam
perjalanan dari Kroh (Pangkalan Hulu) ke Betong pada 17 Jun 1968 lebih kurang
jam 5.00 petang. Unit terlibat ialah Strike Force daripada Platun 11 Batalion
1, Kompeni C, PPH Ulu Kinta dan Platun 11 Batalion 2 untuk tugas menjalankan
tugas “Ops Sawadee Salam”. Sebelum itu,
Platun 11, Batalion 2, PPH Ulu Kinta, yang diketuai oleh ASP G/3067 Tan Hun
Tiong (Johnny) bersama enam orang anggota telah bergerak ke setor di Sungai
Petani untuk mengambil kawat duri untuk dibawa ke Tek di Betong. Kemudiannya
bergabung bersama pasukan Strike Force yang bermalam di Pangkalan Batalion 19
PPH, Kroh.
Maklumat
awal mengatakan ada ura-ura pihak komunis akan menyerang Tek PPH di Betong.
Atas sebab itu, pasukan bantuan dan kawat duri diperlukan untuk mengukuh
pertahanan. Setelah semuanya berkumpul di Pangkalan Batalion 19, Kroh, konvoi
mula bergerak dengan didahului oleh Inspektor Malik diikuti oleh tiga buah lori
yang turut dimuatkan dengan katil tambahan untuk dibawa ke Tek Betong dan di
belakang sekali adalah lori tanpa bumbung yang sarat dengan kawat duri dinaiki
oleh ASP Tan Hun Tiong bersama anggotanya. Apabila sampai di pekan Kroh, Inspektor
Malik telah berhenti untuk membeli barang keperluan dan minta supaya ASP Tan
bergerak dahulu.
Sebaik
sahaja lori ASP Tan melepasi sempadan, kedengaran deruan kenderaan konvoi yang
berada di belakang telah semakin hampir.
Dengan tidak semena-mena, ketika itu
juga terdengar tembakan bertalu-talu ke arah konvoi Inspektor Malik. ASP
Tan dan anak buahnya dengan pantas melompat turun dari lori mengambil kedudukan
berlindung. PC Low Teng (pemandu lori), tanpa berlengah, telah memecut lori
seorang diri menuju ke Tek Betong untuk meminta bantuan. ASP Tan dan anggotanya terus dihujani peluru
sehingga tidak dapat memberi bantuan kepada Inspector Malik, sungguh pun
jaraknya begitu hampir. Walaupun tiada tempat
untuk berlindung dan ditembak dari arah kiri dan kanan bukit, mereka
terus melawan. Akhirnya, satu persatu anggota konvoi rebah ke bumi. Kedudukan
musuh amat strategik kerana berada di atas tiga buah bukit dan menyerang
sewaktu konvoi melalui selekoh tajam.
Beberapa
minit kemudian, satu platun dari Tek Betong, diketuai oleh Sarjan Isam Bin
Long, telah tiba untuk memberi bantuan tetapi segala-galanya telah terlambat.
Pada waktu itu, yang tinggal hanyalah mayat yang bergelimpangan dan
anggota-aggota yang menagalami kecedaraan parah. Kejadian ini telah mengorbankan
16 orang. Manakala, 16 orang yang lain telah mendapat kecederaan, sementara
Inspektor Malik mengalami cedera parah.
Muzium PDRM....Terima kasih.