Pengikut

Khamis, 18 Februari 2021

YA ALLAH!

 Bersambung dari KLIK DI SINI

Satu aspek yang berbeza dengan muka bumi di sempadan antara Malaysia dan Thailand ialah di kebanyakan kawasan di sebelah Thailand tiada lagi hutan belantara. Hutan telah dibersihkan dan ditanam dengan pokok getah dan lain-lain tanaman seperti jagung. Sebaliknya, hutan di sebelah Malaysia padat dengan hutan dara. Keadaan di sebelah Thailand ini ada kelebihannya. Bagi juruterbang pesawat Nuri, keadaan ini memudahkan mereka mengenal pasti lokasi pasukan keselamatan yang memerlukan perkhidmatan Burung Besi tersebut. Namun, keadaan ini juga ada keburukannya. Nuri terdedah kepada tembakan musuh seperti yang dialami oleh Kapt (U) Chong Keng Lay dan kru, Lt M (U) Adzli bin Osman dan Sjn Jeyaraju.  

Rupa muka bumi di sempadan Kedah/Perak-Thailand. Di sebelah Malaysia dipenuhi dengan hutan dara sementara di Thailand dibersihkan untuk ditanam dengan pokok getah. Sumber: RMAF. (2013). The Fighter Force. MINDEF: RMAF HQ

Pada 7 Jun 1978 giliran Kapt (U) Chong Keng Lay selaku Ketua Flait (Nuri) mengambil alih detasmen di Kroh. Pada pagi itu, beliau bersama kru yang terdiri daripada Lt M (U) Adzli bin Osman dan Sjn Jeyaraju berlepas ke Kroh dengan pesawat FM1724. Setiba di Kroh, mereka mendapati tugasan menunggu untuk dilaksanakan. Bertimbun kotak rangsum menunggu untuk dihantar kepada trup di beberapa lokasi. Semua tugasan berjaya dilaksanakan tanpa sebarang halangan. Pada lewat petang, mereka telah ditugaskan misi casevac dan menghantarnya ke Hospital Pulau Pinang. Oleh kerana hari hampir malam, Kapt (U) Chong K.L. membuat keputusan untuk bermalam di Butterworth.

Keesokan hari, mereka berlepas ke Kroh dengan pesawat yang sama. Tugasan yang dipertanggungjawab kepada mereka tidak terbatas kepada Op Selamat Sawadee sahaja. Pada 9 Jun 1978, mereka diberi tugasan di Banding dan seterusnya ke Lasah, Sungai Siput. Di Lasah, mereka telah membuat beberapa sorti ke beberapa LP sebelum terbang balik ke Kroh.

Pada tengah hari, 11 Jun 1978, mereka ditugaskan misi ulang bekal kepada LP Tango dan LP India. Seperti biasa, sebelum memulakan tugasan, mereka diberi taklimat keselamatan oleh Pegawai Risik 2 BIM. Antara lain, mereka diberitahu LP India adalah penempatan satu platun Thai ‘Border Police Patrol (BPP)’ bersama dengan dua orang pegawai Tentera Darat Malaysia selaku Pegawai Perhubungan. Selain itu, kru diberi frekuensi radio dan nama panggilan untuk menghubungi trup. Dari aspek keselamatan LP, mereka diyakinkan bahawa trup telah diatur gerak ke beberapa lokasi lebih kurang 200 ela di luar perimeter LP. Lega kru mendengar tahap keselamatan LP India.

Setelah taklimat berakhir, mereka beredar ke landasan. Apabila kotak-kotak rangsum dimuatkan ke dalam pesawat, mereka berlepas dengan diiringi oleh dua orang anggota Tim Penyelamat Udara (TPU) dari pasukan komando. Dalam perancangan Kapt (U) Chong K.L., beliau akan melakukan dua sorti ke LP Tango dan LP India hanya memerlukan satu sorti sahaja kerana berat rangsum hanya lebih kurang 3340 lb sahaja. Bagi tujuan itu, beliau merancang destinasi pertamanya ialah LP Tango diikuti LP India. Tugasan ke LP Tango dilaksanakan tanpa sebarang halangan. Seperti yang dirancang, sorti seterusnya ialah LP India; tugasan terakhir hari itu.

Apabila menghampiri LP India, Kapt (U) Chong K.L. mendapati LP tersebut terletak di satu lembah yang sempit antara dua jajaran bukit yang arah jajarannya Utara-Selatan. Berhampiran LP terdapat sungai mengalir. Kawasan lembah telah dibersihkan dan ditanam dengan pokok jagung dan terdapat anak pokok getah. Sementara itu, terdapat pokok getah yang sudah besar di lereng bukit sebelah barat manakala di sebelah timur pula masih terdapat tompok-tompok hutan yang masih belum dibersihkan sepenuhnya.

Kedudukan LP India mendedahkan pesawat kepada ancaman musuh. "Tak boleh ambil risiko”, fikir Kapt (U) Chong K.L. Lantas, beliau membuat keputusan untuk melakukan penerbangan taktikal. Tangan kirinya yang sentiasa memegang ‘collective lever’ diturunkan dengan segera di waktu yang sama tangan kanannya menolak ‘cylic’ ke hadapan. Tindakan ini menyaksikan pesawat menjunam. Manakala tangan kanan Lt M (U) Adzli pula memegang kedua-dua ‘speed selector levers’ di bahagian atas di cermin tengah pesawat. Kapten pesawat menerbangkan pesawat lebih kurang 50 kaki dari ketinggian pokok-pokok. Pesawat selamat mendarat dengan arah pesawat menghadap ke barat yang beliau percaya lebih selamat. Kotak-kotak rangsum seperti kilat dipunggah oleh anggota BPP yang sedia menunggu.

Sementara muatan diturunkan, mata Kapt (U) Chong K.L. mengimbas kedudukan LP. Imbasan tersebut meyakinkan beliau bahawa berlepas secara biasa tidak sesuai. Justeru, sebaik sahaja muatan sudah diturunkan, beliau berlepas melalui kaedah ‘spiral climbing.’ Pada jam 4:44 petang, semasa pesawat dalam proses menaik secara berpilin, tiba-tiba kru dikejutkan: “tut...tut...tut.” “Ya Allah” terpacul dari mulut Lt M (U) Adzli yang ketika itu tangan kanannya memegang speed selector levers. “Bastards” menyumpah Kapt (U) Chong K.L. Sebahagian cermin (screen) depan kapten pesawat tiba-tiba terdapat sarang labah-labah hasil sebutir peluru petualang negara menembusi cermin tersebut!

Kedua-dua juruterbang mengimbas panel instrumen. “Ts&Ps normal” bersuara Lt M (U) Adzli. Ini menunjukkan suhu dan tekanan enjin dan kotak gear utama dalam keadaan normal. Seterusnya Kapt (U) Chong K.L. menghubungi Baton I: “Baton I. This is Cepung 472 Juliet. Aircraft being. No casualty. Estimate landing Kroh 1655 hours.”

Pesawat selamat mendarat di Kroh. Setelah melakukan pemeriksaan terhadap FM1724, lima butir peluru musuh telah menciumi pesawat. Malam itu, setelah makan malam,  Lt M (U) Adzli terus beredar ke biliknya yang dikongsi bersama tiga orang pegawai. Beliau hilang minat untuk bersembang atau menuntun televisyen di Mes Pegawai. Insiden petang itu masih terngiang-ngiang dalam fikirannya. Sungguh traumatik! Perasaan itu tidak menghairankan. Hanya dua minggu sebelum ini, iaitu pada 29 Mei 1978, jam 10:30 pagi, pesawat beliau ditembak semasa Op Ukur di kawasan Padang Sanai, Kedah. Penerbangan tersebut adalah merupakan tugas penerbangan operasi julung-julung kalinya buat beliau. Kebetulan insiden tersebut membabitkan pesawat dan kapten pesawat yang sama, iaitu FM1724 dan Kapt (U) Chong K.L.; kuatermaster udara pula ialah Sjn Gregory Charles. Pada hari tersebut, sebaik sahaja mereka berlepas dari penempatan Delta Kompeni, Bn 12 PPH di sempadan berhampiran Padang Sanai, setelah menurunkan bekalan, pengganas komunis telah menembak Nuri. Pesawat selamat mendarat di Padang Sanai.  Pemeriksaan ke atas Nuri mendapati dua lubang bekas kena tembakan di bahagian bawah ekor tetapi kerosakan tidak serius dan tidak memudaratkan pesawat. Pesawat diterbangkan balik ke Butterworth.

Lt M (U) Adzli ketika itu baru lulus menjalani ujian standardisasi di tahap kategori ‘Delta’ sebagai ko-pilot Nuri pada 24 April 1978 setelah mengikuti kursus penerbangan peralihan kepada pesawat Nuri di No 7 Skuadron, TUDM Kuching, Sarawak. Setelah itu, beliau ditukar ke No 3 Skuadron, TUDM Butterworth pada 17 Mei 1978. Bagi kebanyakan juruterbang yang baru menjerumuskan diri sebagai kru pesawat Nuri, insiden seperti ini sudah pasti memberi kesan kepada mereka. Satu pengalaman yang pasti terpahat dalam ingatan Lt M (U) Adzli sepanjang hayat!

Keesokan hari, 12 Jun 1978, detasmen Kapt (U) Chong K.L. dan kru berakhir. Mereka terbang balik ke Butterworth dengan FM1720.

Cermin di hadapan kapten pesawat FM1724 ditembusi sebutir peluru pada 29 Mei 1978. Sumber: Lt Kol Adzli bin Osman TUDM (B)

Kru FM1724 yang ditembak musuh pada 11 Jun 1978. Dari kiri: Kapt (U) Chong K.L., Sjn Jeyaraju (mendiang), Lt M (U) Adzli bin Osman. Sumber: Scrap Book No 3 Skuadron 

Rujukan:

1.             Temu bual dengan  Lt Kol Frank Chong K.L. PTU TUDM (B) melalui  aplikasi WhatsApp pada 2 Februari 2021.

2.             Temu bual dengan Lt Kol Adzli bin Osman TUDM (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 15 Februari 2021.

3.             Lt Kol Frank Chong K.L. PTU TUDM (B).  Buku Log Penerbangan.

4.             Lt Kol Adzli bin Osman TUDM (B). Buku Log Penerbangan.

5.             Scrap Book 3 Skuadron. Hostile Action Report bertarikh 13 Ogos 1978.

6.       Raja Mohamed Affandi Zainal Abidin. (2008). Tentera Darat 1933-2008. (Ketua Pengarang). Kuala Lumpur: Markas TD, hlm. 156.

7.              Laporan 6 BIM, Laporan Kejadian, 291030GH Mei 1978.

Tiada ulasan: