Kegilaan petualang
negara menjadikan siBurung Besi mangsa buruan mereka tidak menunjukan
penurunan, malahan makin menjadi-jadi. Mereka tidak melepaskan peluang menunggu
kehadiran Nuri untuk dijadikan ‘target
practice’ bagi meningkatkan kemahiran menembak sasaran
bergerak. Peluang ini dipermudahkan dengan kehadiran Nuri yang kerap membuat
penerbangan ke beberapa LP di kawasan operasi. Musuh yang memerhati pergerakan
Nuri dan helikopter gempur boleh meramal jadual instrumen talian hayat
tersebut. ‘Latihan’ menembak ini dimudahkan lagi apabila mereka sedia maklum Nuri
akan mengambil laluan yang sama untuk ‘approach’/berlepas ke/dari LP. Jadi
tidak menghairankan mereka menembak Nuri ketika pesawat dalam fasa approach,
bertapak di atas bumi dan semasa berlepas.
Pihak atasan TUDM memandang serius ancaman yang
dihadapi kru Nuri. Justeru, pada lewat 1979 sebuah Nuri, FM1737, telah dipasang
dengan satu alat ‘Hostile Fire Indicator (Hofin)’ untuk
percubaan. Instrumen ini dipasang di konsol tengah di kokpit. Secara
prinsipnya, jarum alat tersebut akan menunjukkan arah apabila pesawat ditembak.
Maklumat ini akan dimaklumkan oleh kapten pesawat Nuri kepada helikopter gempur
untuk mereka memuntahkan 20 mm HE.
Setelah alat tersebut sedia diuji, pesawat tersebut
(FM1737) diperuntukkan kepada kru yang membuat detasmen di Kroh. Kru yang
diberi kehormatan menguji keberkesanan alat berkenaan dipikul oleh Lt (U) Adnan
bin Ibrahim, Lt (U) Mohd Som bin Othman dan Sjn Hamzah De Souza. Giliran
detasmen mereka bermula pada 20 Disember 1978 dengan mengendali pesawat FM1717.
Namun demikian, pada 21 Disember, mereka telah terbang balik ke Butterworth
sementelah pesawat itu menghadapi masalah teknikal. Pada pagi keesokan hari, 22
Disember 1978, mereka diperuntukkan pesawat FM1737 dan berlepas ke Kroh untuk
meneruskan detasmen dengan nama panggilan ‘Capung 479
Juliet One.’ Mereka diekori oleh sebuah Nuri lagi dengan nama panggilan ‘Capung
479 Juliet Two.’ Nuri tambahan ini diperlukan memandang tugasan hari itu
membabitkan misi ulang bekal ke beberapa LP. Kehadiran dua buah pesawat Nuri
akan mempercepatkan proses melaksanakan tugasan. Mereka akan diiringi oleh dua
buah helikopter gempur yang sedia ada di Kroh; masing-masing mengguna nama
panggilan ‘Scorpion One’ dan ‘Scorpian Two.’
Selari dengan prosedur yang ditetapkan, sebaik
sahaja mendarat, semua kru – Nuri dan helikopter gempur – diberi taklimat oleh
Pegawai Risik 2 BIM di CTFHQ. PBUM pula memberi ‘Task Sheets’ kepada kru
pesawat. Antara LP terbabit ialah Foxtrot, Tango dan
Echo. Mereka seterusnya beredar ke landasan terbang untuk menunaikan amanah
yang diberikan. Seperti biasa, dua orang anggota TPU yang berada di Kroh
diperuntukkan kepada setiap Nuri.
Sebagai ketua, Lt (U) Adnan merancang pagi itu kedua-dua
Nuri tumpu ke LP Foxtrot disusuli LP Tango. Lepas makan tengah hari, mereka
akan fokus LP Echo pula. Setelah semua sudah siap sedia, keempat-empat pesawat
berlepas ke LP Foxtrot dengan didahului oleh helikopter gempur. Memang tepat
perancangan Lt (U Adnan. Misi ke LP Foxtrot disusuli LP Tango berjaya dilakukan
dalam beberapa misi menjelang tengah hari tanpa sebarang halangan. Seterusnya,
kesemua pesawat mendarat di Kroh untuk mengisi bahan api dan makan tengah hari.
Selepas makan tengah hari, mereka beredar ke
landasan terbang. Tumpuan kru sekarang kepada LP Echo, iaitu penempatan Markas
Kompeni Alpha, 15 RAMD, yang diketuai oleh Kapt Shahrani bin Arifin. Unit ini mengambil alih daripada 8 Renjer. Anggota
dari Markas Taktikal 15 RAMD mula mengangkut kotak-kotak rangsum ke dalam pesawat. Selain
rangsum, sorti pertama ke LP Echo turut membawa Lt Kol Ismail bin Salleh PGB, Pegawai
Memerintah. Pemergian beliau ke lokasi terbabit adalah untuk melawat anak
buahnya di samping bertemu Lt M Wan Dzulpakar bin Wan Majid, Ketua No 3 Platun dan
anggota platunnya bagi merakam penghargaannya kepada mereka yang telah berjaya
membunuh seorang petualang negara pada 18 Disember 1978. Oleh kerana sorti
pertama ke LP Echo akan dilakukan oleh Capung 479 Juliet
Two, maka Lt Kol Ismail menaiki pesawat tersebut. Beliau akan menaiki
pesawat yang sama pada sorti kedua dari LP ke Kroh.
Sebaik sahaja semua siap sedia, keempat-empat
pesawat berlepas dengan didahului oleh helikopter gempur ke LP Echo yang
terletak di atas sebuah bukit. Semua kru sedia maklum, di LP Echo inilah 24794
L/Kpl Mohd Sibki bin Mat Noh, anggota TPU terkorban akibat terkena tembakan
musuh jahanam hampir dua bulan berlalu, iaitu pada 31 Oktober 1978.
Apabila menghampiri destinasi, kapten Capung 479 Juliet Two mengimbas kedudukan LP tersebut. Hasil
imbasan itu, beliau membuat keputusan
arah approach dari Barat. Keputusan ini dimaklumkan kepada helikopter gempur
untuk tindakan mereka seterusnya. Maklumat ini diterjemahkan apabila
jurumesingan memuntah berpuluh-puluh
butir peluru 20 mm HE di laluan Nuri. Ini disusuli dengan arahan kepada Nuri: “Juliet Two, you’re cleared to land”; juruterbang
helikopter gempur memberi lampu hijau untuk mendarat. Nuri mendarat dengan
selamat dan berlepas setelah penumpang dan muatan diturunkan. Sebaik sahaja
berlepas, giliran Lt (U) Adnan pula mendarat. Juga dengan selamat.
Sorti ke dua ke LP Echo oleh[u1] Capung 479 Juliet Two juga tidak menghadapi sebarang masalah. Setelah muatan diturunkan, Lt Kol Ismail menaiki pesawat untuk terbang balik ke Kroh. Kini giliran Lt (U) Adnan berlepas semula ke LP Echo untuk sorti kedua. Seperti prosedur sebelum ini, sebelum memulakan fasa approach: “boom...boom...boom” letupan berpuluh-puluh butir 20 mm HE sebaik sahaja jari jurumesingan helikopter gempur menarik picu MG 151/20 cannon di laluan approach Nuri. Sejurus kemudian: “Juliet One, you’re cleared to land.” Scorpian One memberitahu Lt (U) Adnan. “Roger” respons Lt (U) Adnan diikuti: “running in” apabila beliau memulakan fasa approach. Lt (U) Mohd Som pula meletakkan tangan kanan ke ‘speed selector levers’ sambil mengimbas ‘Ts & Ps’: “Ts & Ps normal.”
Pada jam 4:30 petang, Lt (U) Adnan mula menarik cyclic
untuk mengurangkan kelajuan. Apabila pesawat berada lebih kurang 50-70 ela dari
tempat pendaratan, tiba-tiba: “tut...tut...tut” akibat musuh menembak pesawat.
Di waktu yang sama segmen No 6 Hofin menyala yang menunjukkan tembakan dari arah
jam 7:30 minit. Tompok kecil dengan batang balak melintang! Tangan kanan Lt (U)
Mohd Som pula terasa desingan besi panas melepasi tangannya. “Allah”
terpacul dari mulutnya. Sebutir peluru menembusi di bahagian cermin tengah
kokpit berhampiran dengan speed selector levers.
Secara spontan, Lt (U) Adnan
menolak cyclic ke hadapan dan menjunam ke lembah di sebelah kanan
sambil menghubungi helikopter gempur: “Aircraft being
shot suspected from 7:30.” Sementara itu, menyedari pesawat ditembak, kedua-dua
anggota TPU membalas tembakan dari kedudukan di pintu kabin dan kargo. Mereka
melepas geram terhadap musuh membunuh L/Kpl Mohd Sibki, rakan seperjuangan
mereka. “Mampus kau komunis,” mungkin itu yang bermain dalam fikiran mereka
ketika itu!
Sebaik sahaja percaya di luar kawasan LP Echo, Lt
(U) Adnan menarik collective untuk menaikkan pesawat ketinggian yang
akan memudahkannya melakukan ‘autorotation’
sekiranya keadaan memaksanya melaksanakan tindakan tersebut. Beliau meneruskan
penerbangan ke landasan Ban Chan Tharat untuk memeriksa pesawat yang hanya
lebih kurang lima minit penerbangan.
“Ts & Ps normal” lapor Lt (U) Mohd Som.
“Baton I, this is Capung 479 Juliet One.
Aircraft being shot. Proceeding to Ban Cha Tharat to inspect aircraft.” Lt
(U) Adnan menghubungi Baton I. Seterunya, beliau mengarahkan Sjn Hamzah untuk memeriksa kabin sekiranya terdapat
kesan kebocoran akibat tembakan musuh. “Negative leakage,” respons Sjn
Hamzah. Penerbangannya ke Ban Cha Tharat diiringi oleh sebuah helikopter gempur
sementara sebuah lagi helikopter gempur membedil lokasi musuh bersandarkan
kepada laporan Lt (U) Adnan.
Nuri mendarat di Ban Cha Tharat. Pemeriksaan
mendapati tiada komponen kritikal terkena tembakan. Mereka seterusnya berlepas
balik ke Kroh. Sebaik sahaja mendarat, kru bersama anggota kejuruteraan memeriksa
pesawat dengan lebih teliti. Mereka mendapati 12-14 lubang di fiuslaj pesawat
selain di cermin tengah. Tugasan hari terpaksa ditunda. Pada lewat petang, Lt (U) Adnan bersama kru
berlepas balik ke Butterworth dengan pesawat FM1737 untuk dibaiki. Keesokan
hari, 23 Disember 1978, mereka berlepas ke Kroh dengan pesawat FM1723 untuk meneruskan detasmen.
Dalam insiden ini, Hofin mempamerkan ia dapat mengesan arah tembakan walaupun tidak dapat disahkan. Masalah dialami oleh juruterbang yang menerbangkan FM1737 ialah Horin kerap memberi amaran yang salah atau palsu. Keadaan ini sudah pasti memberi tekanan kepada kru! Penulis pernah mengalami apabila Hofin menyala ketika ‘taxiing’ untuk parkir pesawat berhampiran hangar di No 3 Skuadron. Malahan ada kala alat tersebut menyala apabila ada orang bertepuk tangan berhampiran pesawat. Oleh kerana itu, penggunaan alat tersebut tidak diteruskan.
Kru FM1737. Lubang di bahagian atas cermin tengah (dalam bulatan) kesan sebutir peluru menembusinya. Dari kiri: Sjn Hamzah De Souza, Lt (U) Mohd Som bin Othman, Lt (U) Adnan Ibrahim. Sumber: Scrap Book 3 Skuadron
Bagi Lt (U) Mohd Som, insiden ini merupakan buat kali keempat beliau selaku pembantu juruterbang mengalami pesawat ditembak. Namun demikian, insiden kali ini sungguh mengerikan kerana tangan kanan hampir dicium sebutir besi panas. Buat kali ketiga, cermin tengah kokpit menjadi sasaran pengkhianat sehingga hampir mencedera tangan kanan pembantu juruterbang. Beliau kini memahami perasaan Lt M (U) Adzli bin Osman dan Lt M (U) Mohd Johan bin Othman yang melalui pengalaman yang sama masing-masing pada 11 Jun 1978 dan 16 Ogos 1978.
Hostile
Action Report mengenai insiden FM1737 ditembak pada 22 Disember 1978. Sumber:
Scrap Book 3 Skuadron
Rujukan:
1. Temu bual dengan Kapt Mohd Som bin Othman PTU aplikasi WhatsApp pada 27 Februari 2021.
2. Temu bual dengan Kapt Adnan bin Ibrahim aplikasi WhatsApp pada 6 Mac 2021.
3. Temu bual dengan Mej Wan Dzulpakar bin Wan Majid aplikasi WhatsApp pada 17 Mac 2021.
4. Kapt Mohd Som bin Othman PTU. Buku Penerbangan Anak Kapal.
5. Scrap Book No 3 Skuadron. Hostile Action Report bertarikh 27 Disember 1978.