Pengikut

Ahad, 14 Mac 2021

Hostile Fire Indicator

Kegilaan petualang negara menjadikan siBurung Besi mangsa buruan mereka tidak menunjukan penurunan, malahan makin menjadi-jadi. Mereka tidak melepaskan peluang menunggu kehadiran Nuri untuk dijadikan ‘target practice’ bagi meningkatkan kemahiran menembak sasaran bergerak. Peluang ini dipermudahkan dengan kehadiran Nuri yang kerap membuat penerbangan ke beberapa LP di kawasan operasi. Musuh yang memerhati pergerakan Nuri dan helikopter gempur boleh meramal jadual instrumen talian hayat tersebut. ‘Latihan’ menembak ini dimudahkan lagi apabila mereka sedia maklum Nuri akan mengambil laluan yang sama untuk ‘approach’/berlepas ke/dari LP. Jadi tidak menghairankan mereka menembak Nuri ketika pesawat dalam fasa approach, bertapak di atas bumi dan semasa berlepas.

Pihak atasan TUDM memandang serius ancaman yang dihadapi kru Nuri. Justeru, pada lewat 1979 sebuah Nuri, FM1737, telah dipasang dengan satu alat ‘Hostile Fire Indicator (Hofin)’ untuk percubaan. Instrumen ini dipasang di konsol tengah di kokpit. Secara prinsipnya, jarum alat tersebut akan menunjukkan arah apabila pesawat ditembak. Maklumat ini akan dimaklumkan oleh kapten pesawat Nuri kepada helikopter gempur untuk mereka memuntahkan 20 mm HE.

Setelah alat tersebut sedia diuji, pesawat tersebut (FM1737) diperuntukkan kepada kru yang membuat detasmen di Kroh. Kru yang diberi kehormatan menguji keberkesanan alat berkenaan dipikul oleh Lt (U) Adnan bin Ibrahim, Lt (U) Mohd Som bin Othman dan Sjn Hamzah De Souza. Giliran detasmen mereka bermula pada 20 Disember 1978 dengan mengendali pesawat FM1717. Namun demikian, pada 21 Disember, mereka telah terbang balik ke Butterworth sementelah pesawat itu menghadapi masalah teknikal. Pada pagi keesokan hari, 22 Disember 1978, mereka diperuntukkan pesawat FM1737 dan berlepas ke Kroh untuk meneruskan detasmen dengan nama panggilan ‘Capung 479 Juliet One.’ Mereka diekori oleh sebuah Nuri lagi dengan nama panggilan ‘Capung 479 Juliet Two.’ Nuri tambahan ini diperlukan memandang tugasan hari itu membabitkan misi ulang bekal ke beberapa LP. Kehadiran dua buah pesawat Nuri akan mempercepatkan proses melaksanakan tugasan. Mereka akan diiringi oleh dua buah helikopter gempur yang sedia ada di Kroh; masing-masing mengguna nama panggilan ‘Scorpion One’ dan ‘Scorpian Two.’

Selari dengan prosedur yang ditetapkan, sebaik sahaja mendarat, semua kru – Nuri dan helikopter gempur – diberi taklimat oleh Pegawai Risik 2 BIM di CTFHQ. PBUM pula memberi ‘Task Sheets’ kepada kru pesawat. Antara LP terbabit ialah Foxtrot, Tango dan Echo. Mereka seterusnya beredar ke landasan terbang untuk menunaikan amanah yang diberikan. Seperti biasa, dua orang anggota TPU yang berada di Kroh diperuntukkan kepada setiap Nuri.

Sebagai ketua, Lt (U) Adnan merancang pagi itu kedua-dua Nuri tumpu ke LP Foxtrot disusuli LP Tango. Lepas makan tengah hari, mereka akan fokus LP Echo pula. Setelah semua sudah siap sedia, keempat-empat pesawat berlepas ke LP Foxtrot dengan didahului oleh helikopter gempur. Memang tepat perancangan Lt (U Adnan. Misi ke LP Foxtrot disusuli LP Tango berjaya dilakukan dalam beberapa misi menjelang tengah hari tanpa sebarang halangan. Seterusnya, kesemua pesawat mendarat di Kroh untuk mengisi bahan api dan makan tengah hari.

Selepas makan tengah hari, mereka beredar ke landasan terbang. Tumpuan kru sekarang kepada LP Echo, iaitu penempatan Markas Kompeni Alpha, 15 RAMD, yang diketuai oleh Kapt Shahrani bin Arifin. Unit  ini mengambil alih daripada 8 Renjer. Anggota dari Markas Taktikal 15 RAMD mula mengangkut  kotak-kotak rangsum ke dalam pesawat. Selain rangsum, sorti pertama ke LP Echo turut membawa Lt Kol Ismail bin Salleh PGB, Pegawai Memerintah. Pemergian beliau ke lokasi terbabit adalah untuk melawat anak buahnya di samping bertemu Lt M Wan Dzulpakar bin Wan Majid, Ketua No 3 Platun dan anggota platunnya bagi merakam penghargaannya kepada mereka yang telah berjaya membunuh seorang petualang negara pada 18 Disember 1978. Oleh kerana sorti pertama ke LP Echo akan dilakukan oleh Capung 479 Juliet Two, maka Lt Kol Ismail menaiki pesawat tersebut. Beliau akan menaiki pesawat yang sama pada sorti kedua dari LP ke Kroh.

Sebaik sahaja semua siap sedia, keempat-empat pesawat berlepas dengan didahului oleh helikopter gempur ke LP Echo yang terletak di atas sebuah bukit. Semua kru sedia maklum, di LP Echo inilah 24794 L/Kpl Mohd Sibki bin Mat Noh, anggota TPU terkorban akibat terkena tembakan musuh jahanam hampir dua bulan berlalu, iaitu pada 31 Oktober 1978.

Apabila menghampiri destinasi, kapten Capung 479 Juliet Two mengimbas kedudukan LP tersebut. Hasil imbasan itu, beliau  membuat keputusan arah approach dari Barat. Keputusan ini dimaklumkan kepada helikopter gempur untuk tindakan mereka seterusnya. Maklumat ini diterjemahkan apabila jurumesingan  memuntah berpuluh-puluh butir peluru 20 mm HE di laluan Nuri. Ini disusuli dengan arahan kepada Nuri: “Juliet Two, you’re cleared to land”; juruterbang helikopter gempur memberi lampu hijau untuk mendarat. Nuri mendarat dengan selamat dan berlepas setelah penumpang dan muatan diturunkan. Sebaik sahaja berlepas, giliran Lt (U) Adnan pula mendarat. Juga dengan selamat.

Sorti ke dua ke LP Echo oleh[u1]  Capung 479 Juliet Two juga tidak menghadapi sebarang masalah. Setelah muatan diturunkan, Lt Kol Ismail menaiki pesawat untuk terbang balik ke Kroh. Kini giliran Lt (U) Adnan berlepas semula ke LP Echo untuk sorti kedua. Seperti prosedur sebelum ini, sebelum memulakan fasa approach:  “boom...boom...boom” letupan berpuluh-puluh butir 20 mm HE sebaik sahaja jari jurumesingan helikopter gempur menarik picu MG 151/20 cannon di laluan approach Nuri. Sejurus kemudian: “Juliet One, you’re cleared to land.” Scorpian One memberitahu Lt (U) Adnan. “Roger” respons Lt (U) Adnan diikuti: “running in” apabila beliau memulakan fasa approach. Lt (U) Mohd Som pula meletakkan tangan kanan ke ‘speed selector levers’ sambil mengimbas ‘Ts & Ps’: Ts & Ps normal.”

Pada jam 4:30 petang, Lt (U) Adnan mula menarik cyclic untuk mengurangkan kelajuan. Apabila pesawat berada lebih kurang 50-70 ela dari tempat pendaratan, tiba-tiba: “tut...tut...tut” akibat musuh menembak pesawat. Di waktu yang sama segmen No 6 Hofin menyala yang menunjukkan tembakan dari arah jam 7:30 minit. Tompok kecil dengan batang balak melintang!  Tangan kanan Lt (U) Mohd Som pula terasa desingan besi panas melepasi tangannya. “Allah” terpacul dari mulutnya. Sebutir peluru menembusi di bahagian cermin tengah kokpit berhampiran dengan speed selector levers.

Secara spontan, Lt (U) Adnan menolak cyclic ke hadapan dan menjunam ke lembah di sebelah kanan sambil menghubungi helikopter gempur: “Aircraft being shot suspected from 7:30.”  Sementara itu, menyedari pesawat ditembak, kedua-dua anggota TPU membalas tembakan dari kedudukan di pintu kabin dan kargo. Mereka melepas geram terhadap musuh membunuh L/Kpl Mohd Sibki, rakan seperjuangan mereka. “Mampus kau komunis,” mungkin itu yang bermain dalam fikiran mereka ketika itu!

Sebaik sahaja percaya di luar kawasan LP Echo, Lt (U) Adnan menarik collective untuk menaikkan pesawat ketinggian yang akan memudahkannya melakukan ‘autorotation’ sekiranya keadaan memaksanya melaksanakan tindakan tersebut. Beliau meneruskan penerbangan ke landasan Ban Chan Tharat untuk memeriksa pesawat yang hanya lebih kurang lima minit penerbangan.

Ts & Ps normal” lapor Lt (U) Mohd Som.

Baton I, this is Capung 479 Juliet One. Aircraft being shot. Proceeding to Ban Cha Tharat to inspect aircraft.” Lt (U) Adnan menghubungi Baton I. Seterunya, beliau mengarahkan Sjn Hamzah untuk memeriksa kabin sekiranya terdapat kesan kebocoran akibat tembakan musuh. “Negative leakage,” respons Sjn Hamzah. Penerbangannya ke Ban Cha Tharat diiringi oleh sebuah helikopter gempur sementara sebuah lagi helikopter gempur membedil lokasi musuh bersandarkan kepada laporan Lt (U) Adnan.

Nuri mendarat di Ban Cha Tharat. Pemeriksaan mendapati tiada komponen kritikal terkena tembakan. Mereka seterusnya berlepas balik ke Kroh. Sebaik sahaja mendarat, kru bersama anggota kejuruteraan memeriksa pesawat dengan lebih teliti. Mereka mendapati 12-14 lubang di fiuslaj pesawat selain di cermin tengah. Tugasan hari terpaksa ditunda.  Pada lewat petang, Lt (U) Adnan bersama kru berlepas balik ke Butterworth dengan pesawat FM1737 untuk dibaiki. Keesokan hari, 23 Disember 1978, mereka berlepas ke Kroh dengan pesawat  FM1723 untuk meneruskan detasmen. 

Dalam insiden ini, Hofin mempamerkan ia dapat mengesan arah tembakan walaupun tidak dapat disahkan. Masalah dialami oleh juruterbang yang menerbangkan FM1737 ialah Horin kerap memberi amaran yang salah atau palsu. Keadaan ini sudah pasti memberi tekanan kepada kru! Penulis pernah mengalami apabila Hofin menyala ketika ‘taxiing’ untuk parkir pesawat berhampiran hangar di No 3 Skuadron. Malahan ada kala alat tersebut menyala apabila ada orang bertepuk tangan berhampiran pesawat. Oleh kerana itu, penggunaan alat tersebut tidak diteruskan.

Kru FM1737. Lubang di bahagian atas cermin tengah (dalam bulatan) kesan sebutir peluru menembusinya. Dari kiri: Sjn Hamzah De Souza, Lt (U) Mohd Som bin Othman, Lt (U) Adnan Ibrahim. Sumber: Scrap Book 3 Skuadron

         Bagi Lt (U) Mohd Som, insiden ini merupakan buat kali keempat beliau selaku pembantu juruterbang mengalami pesawat ditembak. Namun demikian, insiden kali ini sungguh mengerikan kerana tangan kanan hampir dicium sebutir besi panas. Buat kali ketiga, cermin tengah kokpit menjadi sasaran pengkhianat sehingga  hampir mencedera tangan kanan pembantu juruterbang. Beliau kini memahami perasaan Lt M (U) Adzli bin Osman dan Lt M (U) Mohd Johan bin Othman yang melalui pengalaman yang sama masing-masing pada 11 Jun 1978 dan 16 Ogos 1978.

Hostile Action Report mengenai insiden FM1737 ditembak pada 22 Disember 1978. Sumber: Scrap Book 3 Skuadron

Rujukan:

1.    Temu bual dengan Kapt Mohd Som bin Othman PTU aplikasi WhatsApp pada 27 Februari 2021.

 2.  Temu bual dengan Kapt Adnan bin Ibrahim aplikasi WhatsApp pada 6 Mac 2021.

3.   Temu bual dengan Mej Wan Dzulpakar bin Wan Majid aplikasi WhatsApp pada 17 Mac 2021.

4.     Kapt Mohd Som bin Othman PTU. Buku Penerbangan Anak Kapal.  

5.      Scrap Book No 3 Skuadron. Hostile Action Report bertarikh 27 Disember 1978.

Tiada ulasan: