Pengikut

Sabtu, 6 Mac 2021

Itu lokasi picketing party

3 Mac 1979 hari yang ditunggu-tunggu oleh anggota Kompeni-Kompeni 12 RAMD yang terlibat dalam Op Selamat Sawadee. Giliran mereka berakhir pada hari itu. Mereka bersiap sedia di LP masing-masing yang juga merupakan Markas Kompeni menunggu ketibaan si Burung Besi untuk menerbangkan mereka ke Kroh. Dari situ, mereka akan berkonvoi balik ke pangkalan di Sg Ara, Pulau Pinang. Tugasan membawa mereka keluar dipertanggungjawabkan kepada dua pesawat kerana ia mengambil masa untuk melaksanakannya. Sepatutnya salah satu pesawat Nuri, FM1725, adalah yang sedang membuat detasmen; kru detasmen ketika itu ialah Kapt (U) Chong K.L., Lt M (U) Mohd Kamal bin Sabran dan Sjn Chen Fung Keong. Bagaimanapun, pesawat tersebut mengalami masalah teknikal dan telah terbang balik ke Butterworth pada 2 Mac 1979.  Keesokan hari, 3 Mac 1979, kru detasmen diperuntukkan  FM1719 dan mereka berlepas ke Kroh agak lewat di sebabkan  masalah teknikal. Justeru, dua buah Nuri yang ditugaskan berlepas dari Butterworth ke Kroh pagi itu. Untuk tugasan ini, Nuri akan di iringi oleh dua buah helikopter yang berada di Kroh.

Selari dengan prosedur yang telah ditetapkan, sebelum melakukan tugasan, kru kedua-dua jenis pesawat, iaitu Nuri dan helikopter gempur, diberi taklimat oleh Pegawai Risik di CTFHQ. Selain butir-butir seperti frekuensi radio dan nama panggilan, taklimat merangkumi kedudukan ‘picketing party’. Kumpulan ini diatur gerak oleh unit-unit terbabit bagi memastikan keselamatan LP ketika Nuri mendarat di LP terbabit. Sebaik sahaja taklimat berakhir, kedua-dua Nuri berlepas melaksanakan tugasan. Setiap Nuri turut diiringi oleh dua orang anggota TPU. Bagi tugasan ini, Nuri pertama mengguna nama panggilan ‘Capung 473 Juliet Alpha’ sementara Nuri kedua ‘Capung 473 Juliet Bravo’. Helikopter gempur pula mengguna panggilan ‘Scorpian One’ dan ‘Scorpian Two.’

Pagi itu, kedua-dua Nuri melakukan beberapa sorti ke beberapa LP sebelum mereka berhenti untuk makan tengah hari. Selepas makan nanti, kru Nuri merancang sorti seterusnya ditumpu ke LP Zulu.

Di pagi itu juga, sebuah Nuri, FM1726 dengan nama panggilan ‘Capung 463 Juliet’ yang dikendalikan oleh Kapt (U) Nor Ibrahim bin Sulaiman, Lt M (U) Ng K.C. dan Sjn Mohsain bin Hashim berlepas dari Butterworth untuk tugasan di kawasan operasi Sintok dan Gubir. Tugasan di kawasan operasi ini tidak memerlukan kehadiran helikopter gempur dan anggota TPU mengiringi pesawat. Tugasan berjaya dilaksanakan tanpa sebarang masalah. Sebelum berlepas balik  ke Butterworth, mereka makan tengah hari di Gubir. Pada lebih kurang  jam 3:20 petang, mereka berlepas untuk terbang balik ke Butterworth. Tugasan ini mencatat empat jam penerbangan. 

Capung 463 Juliet, come assist me” terdengar suara kapten pesawat Capung 463 Juliet One melalui radio UHF. Beliau mendengar panggilan Kapt (U) Nor Ibrahim ke Bilik Operasi TUDM Butterworth melalui radio HF ketika beliau (Kapt (U) Nor Ibrahim) melapor bahawa mereka telah berlepas dari Gubir ke Butterworth. Justeru, beliau meminta Kapt (U) Nor Ibrahim membantunya. “Roger, Capung 473 Juliet, no problem”  respons Kapt (U) Nor Ibrahim. Walau bagaimanapun, sebarang pertukaran kepada jadual tugasan perlu mendapat kelulusan POTU (Pusat Operasi Tentera Udara). Semua pergerakan pesawat sentiasa diawasi dan tidak boleh dilencong sewenang-wenangnya tanpa kelulusan atau sebab-sebab yang munasabah. Seterusnya, kapten pesawat menghubungi Bilik Operasi Butterworth memohon kebenaran untuk membantu kedua-dua Nuri. 

Capung 463 Juliet, you are cleared to proceed to Kroh. You are 473 Juliet Three,” jawapan daripada Bilik Operasi Butterworth. Sebaik sahaja menerima kelulusan tersebut, Kapt (U) Nor Ibrahim menghubungi kapten Juliet One bagi memaklumkan beliau mengenai kelulusan tersebut. Sebaik sahaja menerima berita itu, kapten Juliet One menghubungi Kapt (U) Nor Ibrahim: “Proceed to Zulu, Quebec Tango 572472.

Roger,” respons Kapt (U) Nor Ibrahim. Beliau seterusnya mengarah Lt M (U) Ng K.C: “Ng, plot heading to Zulu.” Lt M (U) Ng K.C. plot lokasi LP Zulu bersandarkan kepada Grid Reference yang diberikan dan mengira masa untuk tiba di destinasi. Sebaik sahaja mengetahui  arah dan masa tersebut, kapten pesawat  mengalih pesawat ke arah tersebut dan memaklumkan kepada Baton I di CTFHQ waktu Nuri dijangka mendarat di LP Zulu.

Apabila menghampiri LP Zulu, Kapt (U) Nor Ibrahim mendapati LP tersebut berada di lereng sebuah bukit yang sudah dibersihkan. Lebih kurang 500 ela ke utara LP Zulu terdapat sebuah bukit yang hampir dibersihkan. Dari pemerhatiannya, arah yang difikirkan sesuai untuk approach ialah dari barat dan timur. Beliau memilih approach dari arah barat. Sementara itu, dua pesawat helikopter gempur berlegar di ruang angkasa LP tersebut.

Sebaik sahaja melihat Nuri menghampiri LP Zulu, helikopter gempur menghubungi Kapt (U) Nor Ibrahim: “Juliet Three, you are cleared to land.” “Roger” respons kapten Nuri diikuti dengan “running in.” Kapten pesawat memberi tumpuan sepenuhnya mengendali pesawat untuk mendarat di atas tempat pendaratan manakala tangan kanan Lt M (U) Ng K.C. berada pada speeed selecter levers sambil mengimbas “Ts & Ps” (temperatures and pressures). Di kabin pula, Sjn Mohsain mula buka pintu kargo apabila pesawat berada lebih kurang 40 kaki dari LP.

Proses pendaratan tidak menghadapi sebarang masalah dan mendarat sepenuhnya menghadap ke arah timur pada jam 3:35 petang. Setelah mengambil faktor baki bahan api, ketinggian lokasi dan halangan, pada pengiraan Kapt (U) Nor Ibrahim 'payloads' yang boleh dibawa ialah 2400 lb bersamaan lebih kurang 12 trup; garis panduan seorang trup yang lengkap dengan peralatan perang ialah lebih kurang 200 lb. Beliau seterusnya memberitahu Sjn Mohsain untuk mengambil 12 trup. Sebaik diberitahu jumlah tersebut, Sjn Mohsain memberi isyarat tangan kepada anggota di LP untuk 12 anggota menaiki pesawat. Ketika anggota terakhir, 27885 Pbt Mat Ros, yang sedang menaiki tangga kargo, tiba-tiba: “tut...tut...tut.’

“Kapten, kita kena tembak,” Sjn Mohsain beritahu kapten pesawat.

“Allah, lagi kena tembak. bangsat komunis,” bermain dalam fikiran Kapt (U) Nor Ibrahim. Kini giliran beliau pula terngiang-ngiang mengimbau insiden ditembak musuh dengan pelancar grenad M79 di kawasan operasi Klian Intan dalam Op Kota Echo pada 24 Julai 1978. Kebetulan LP terbabit juga ialah Zulu yang merupakan Markas Kompeni Kompeni Charlie, Bn 8 PPH. Kru beliau ketika itu ialah Lt M (U) Yahya Haron dan Sjn Jeyaraju dengan pesawat FM1724. Ketika pesawat berada di LP, petualang negara telah menembak pesawat dengan senjata tersebut yang meletup hampir dengan pesawat. Helikopter gempur yang dikendalikan oleh Lt M (U) Hashim bin Hamzah yang berlegar di udara dan menyaksi letupan itu telah menjerit sekuat-kuatnya melalui radio UHF: “Juliet...cabut...cabut.” Kapt (U) Nor Ibrahim dengan pantas menarik collective lever untuk berlepas. Sebaik sahaja pesawat melepasi kanopi hutan, musuh telah menembak sebutir lagi grenad. Letupan grenad tersebut begitu kuat sehingga Nuri yang bersaiz besar bergegar. Tetapi ajal maut di tangan Allah, bukannya hak manusia. Pesawat mendarat dengan selamat di Klian Intan.

Mohsain, take off,” Kapt (U) Nor Ibrahim beritahu Sjn Mohsain untuk berlepas.

 “Hold,” jawapan Sjn Mohsain.

Hold? Jawapan ini agak menghairankan kapten pesawat. Ini membuat beliau menoleh ke belakang untuk melihat apa yang berlaku dalam kabin. Apa yang dilihat menjawab kehairanannya. Tanpa disedarinya, daging tangan kiri Sjn Mohsain diciumi besi panas dan darah mengalir. Selain Sjn Mohsain, tembakan musuh telah mencederakan Pbt Mat Ros apabila sebutir peluru telah terkena kulit kepalanya ketika beliau menaiki tangga pintu kargo. Walaupun cedera, namun demikian Sjn Mohsain sedang menarik Pbt Mat Ros masuk ke dalam pesawat dengan dibantu oleh salah seorang anggota yang berada dalam pesawat. Sementara menunggu untuk berlepas, kapten pesawat menghubungi helikopter: “Scorpions, aircraft being shot.

Sejurus kemudian, Sjn Mohsain memberitahu: “back clear.” Sebaik sahaja mendapat isyarat itu dan setelah imbasan ke atas panel instrumen menunjukkan semuanya normal dan disahkan oleh Lt M (U) Ng K.C., Kapt (U) Nor Ibrahim merentap collective lever ke maksimum torque. Tangan kanan Lt M (U) Ng K.C. pula kekal pada speed selector levers serta melaporkan: “Ts & Ps normal.” Sepanjang kejadian ini, lidah beliau terkelu untuk bersuara. Mungkin memikirkan apa akan berlaku seterusnya! Ini tidak menghairankan kerana ketika itu beliau masih seorang pembantu juruterbang pesawat Nuri berstatus kategori ‘D’ selepas lulus ujian standardisasi pada 11 Januari 1979.

Kiri: kedudukan ‘speed selector levers (SSL)’ di bahagian atas cermin tengah kokpit. Kanan: ‘cyclic’ dan ‘collective’ untuk kapten pesawat di bahagian kanan kokpit

Semasa pesawat dalam proses menaik, Kapt (U) Nor Ibrahim menghubungi helikopter gempur: “take-off, suspected fire from the hill in the north.” Seterusnya beliau menghubungi Baton I: “Capung 473 Juliet Three, aircraft being shot. Two casevac. Proceeding Ban Chan Tharat to check aircraft.”

Apabila juruterbang helikopter gempur diberitahu jangkaan kedudukan musuh laknatullah, beliau memaklumkan: “Tidak mungkin. Itu lokasi picketing party.”

Penerbangan ke landasan Ban Chan Tharat yang hanya lebih kurang lima minit diiringi oleh pesawat Capung Juliet Two dan kedua-dua helikopter gempur. Sebaik sahaja mendarat, enjin dimatikan dan kru memeriksa pesawat. Kapt (U) Nor Ibrahim mengarahkan trup yang berada dalam pesawat untuk mengambil tempat untuk memberi perlindungan kepada keselamatan mereka. Mereka perlu berwaspada kerana kemungkinan kawasan itu ramai penyokong dan yang bersimpati dengan PKM. Pesawat Nuri kedua turut mendarat kerana kapten pesawat ditugaskan oleh Baton 1 untuk menghantar dua mangsa seperti yang dilaporkan. Walau bagaimanapun, Sjn Mohsain memberitahu kapten pesawatnya kecederaan yang dialami tidak serius. Justeru, hanya Pbt Mat Ros dipindahkan ke pesawat Nuri terbabit untuk diterbangkan ke Hospital Pulau Pinang. Penduduk berdekatan pula datang mengerumuni  pesawat dan mengajukan soalan. Masalahnya dalam bahasa Thai yang tiada sesiapa yang memahaminya. Setakat Sawadee fahamlah. 

Pemeriksaan terhadap pesawat mendapati enam lubang di fiuslaj akibat ditembusi peluru. Keadaan ini tidak memudaratkan prestasi pesawat untuk diterbangkan. Sebelum berlepas, Kapt (U) Nor Ibrahim bertanya kepada salah seorang anggota 12 RMAD sama ada terdapat picketing party di lokasi terbabit. Beliau memberitahu bahawa ketika insiden kesemua anggota berada di LP Zulu. Seterusnya, pesawat berlepas ke Kroh. Sebaik sahaja trup turun  dari pesawat, tim kejuruteraan membuat pemeriksa secara terperinci. Sjn Mohsain pula pergi ke RSAT (Rumah Sakit Angkatan Tentera) di CTFHQ untuk mendapat rawatan. Lukanya tidak begitu serius namun pegawai perubatan memberinya suntikan ‘anti-tetanus toxoid’ bagi mengelak kemungkinan beliau berhadapan dengan penyakit tetanus atau kancing gigi akibat lukanya terdedah kepada bakteria ‘Clostridium Tetani.’

Tugasan hari itu ditunda keesokan hari. Pada lewat petang, Kapt (U) Nor Ibrahim dan kru berlepas balik ke Butterworth. Sepanjang hari itu, mereka mencatat empat jam 50 minit jam penerbangan.

Kru FM1726 pada 3 Mac 1979. Dari kiri: Sjn Mohsain bin Hashim, Kapt (U) Nor Ibrahim bin Sulaiman, Lt M (U) Ng K.C. Sumber: Scrap Book No 3 Skuadron

Bagi Sjn Mohsain, insiden ini merupakan buat kali ketiga pesawat yang beliau terlibat sebagai kru ditembak musuh. Sepertimana yang diceritakan sebelum ini, insiden pertama berlaku pada 16 Ogos 1978 yang telah mengorbankan L/Kpl Ismail bin Ahmad (KLIK DI SINImanakala yang kedua pada 31 Oktober 1978 pula telah mengorbankan L/Kpl Mohd Sibki bin Mat Noh (KLIK DI SINI). Semasa kedua-dua insiden tersebut, beliau tidak berada dalam radar peluru musuh. Beliau terselamat. Namun rekod ini dipecah pada 3 Mac 1979 apabila peluru musuh akhirnya berjaya mengesannya dan menciumi kulit tangan kirinya.

Kecederaan yang dialami Sjn Mohsain tidak 'melayakkan' beliau diberi keistimewaan untuk ‘direhatkan’ walaupun sehari! Keesokan hari, 4 Mac 1979, beliau ditugas menyertai misi SAR di perairan Selat Melaka antara Pulau Pinang dan Sumatra yang membabitkan sebuah kapal layar “Whistler” yang mengalami masalah enjin. Misi tersebut melibatkan Kapt (U) Nor Ibrahim, Lt M (U) Ng K.C., Sjn Hamzah De Souza dan Sjn Mohsain dengan pesawat FM1720. Keadaan ini tidak dapat dielakkan kerana di era itu, No 3 Skuadron menghadapi masalah kekurangan kru Nuri. Jadi, tidak menghairankan giliran kru membuat detasmen di Kroh begitu kerap dan disamping melakukan lain-lain tugasan penerbangan, sama ada latihan dan operasi.

Sama seperti Lt M (U) Adzli bin Osman diperkenalkan kepada operasi pesawat Nuri apabila pesawatnya ditembak pada 11 Jun 1978, insiden ini juga memperkenalkan Lt M (U) Ng K.C. kepada ancaman yang bakal dihadapi sebagai seorang juruterbang operasional helikopter Nuri. Bagi mereka yang pernah mengalami insiden seperti ini sudah pasti pengalaman sebegini akan terpahat dalam minda mereka sehingga ke akhir hayat.

 Rujukan:

 

1.           Temu bual dengan PW U I Mohsain bin Hashim (B) aplikasi WhatsApp pada 2 Mac 2021.

2.           Temu bual dengan Kapt Eric Ng K.C. melalui aplikasi WhatsApp pada 2 Mac 2021.

3.        Temu bual dengan Prof Dr Dato Wahinuddin bin Sulaiman melalui aplikasi WhatsApp pada 5 Mac 2021.

4.           Scrap Book No 3 Skuadron. Hostile Action Report bertarikh 3 Mac 1979.

5.           Lt Kol Frank Chong K.L. PTU TUDM (B). Buku Penerbangan Anak Kapal.

6.           PW U I Mohsain bin Hashim (B). Buku Penerbangan Anak Kapal.

7.           Mej Dr. Nor Ibrahim bin Sulaiman PTU TUDM (B). Buku Penerbangan Anak Kapal.

8.       Kapt Mohd Kamal bin Sabran. Buku Penerbangan Anak Kapal.

9.           Nor Ibrahim bin Sulaiman. (2011). Coretan Xnuripilot. Nor Ibrahim bin Sulaiman: Jitra.

10.     Mej Dr. Nor Ibrahim bin Sulaiman PTU TUDM (B). (2020). Nuri@Burung Besi Dalam Kenangan. Mej Dr. Nor Ibrahim bin Sulaiman TUDM (B): Jitra.

Tiada ulasan: