Anggota pasukan keselamatan sama sekali tidak gentar berhadapan dengan petualang
negara. Malahan misi utama mereka ialah untuk memburu pengkhianat negara untuk
dibunuh. Namun, dalam melaksanakan tugasan, mereka dihantui oleh musuh
halimunan – jerangkap samar. Ancaman senjata tersebut
sungguh menggerunkan anggota pasukan keselamatan. Silap langkah, jika tidak
menemui Pencipta, mungkin mereka yang terbabit akan tergolong dalam OKU (Orang
Kurang Upaya) sepanjang hayat! Kesengsaraan anggota pasukan keselamatan yang
cedera dek bahana jerangkap samar semasa Op Selamat Sawadee dikisahkan sebelum
ini. Tetapi penceritaan membabitkan anggota pasukan keselamatan Malaysia. Persoalannya,
adakah anggota Thai Border Police Patrol (TBPP) yang mengiringi unit pasukan
keselamatan ketika membuat rondaan kebal daripada ancaman jerangkap samar?
Pada 5 November 1978, giliran 15 RAMD yang
berpangkalan di Kem Rasah, Seremban, diatur gerak ke kawasan Op Selamat
Sawadee. Nasib tidak memihak mereka. Tetapi nasib baik itu tidak berpanjangan
kerana tidak lama kemudian seorang anggota pasukan tersebut, L/Kpl Rahman Tawaf,
tercedera akibat jerangkap samar musuh ketika membuat rondaan. Keadaan yang
menimpa anggotanya, Lt Kol Ismail bin Salleh PGB, Pegawai Memerintah begitu
berang. Lantas beliau mengarah Lt M Zaini bin Hasim,
Ketua Platun Harimau@ UCIS (Unit Combat Intelligent Section) yang ketika itu berada
di Markas Taktikal Batalion, Kroh.
Arahannya: “Zaini, misi kamu...buru
dan musnah musuh durjana. Faham?”
“Faham Tuan. Baik Tuan,” jawab Lt M
Zaini. Bagai pucuk dicita ulam mendatang. Akhirnya arahan yang ditunggu-tunggu beliau
dan 17 anggotanya yang lain menjadi kenyataan! Arahan tidak ternoktah di situ
sahaja.
“Untuk misi itu, kekuatan platun kamu
ditambah kepada 40 orang. Bawa sekali FOO, Platun Mortar dan lain-lain anggota
Markas Kompeni.” Tegas Pegawai Memerintah.
Tambahan kekuatan kepada platunnya
sama sekali tidak diduga oleh Lt M Zaini. Tetapi, arahan tetap arahan. “Baik
Tuan.” Anggota tambahan terdiri daripada lima anggota tim FOO (Forward
Observation Officer) yang diketuai oleh Lt Abdul Hamid bin Mohd Amin dari
pasukan 2 Meriam. Kehadiran FOO adalah bagi mengarah bedilan meriam kepada
sasaran jika bantuan tembakan meriam diperlukan. Bakinya terdiri daripada anggota
Platun Mortar, Platun Rintis Serang dan Platun Tambur serta bahagian Kuatermaster
(KM).
Pada akhir November, Lt M Zaini dan
kumpulannya diterbangkan LP ‘Lima’, iaitu penempatan Markas Kompeni Bravo. Ketibaan
mereka ‘disambut’ oleh pengganas
komunis. Sebaik sebuah Nuri berlepas dari LP setelah menurunkan anggota kompeni
pada sorti keempat dan terakhir, pesawat telah ditembak. Mereka bernasib baik
kerana tiada sebarang kecederaan.
Bagi melaksanakan tugasan itu, Lt M Zaini dipertanggungjawabkan untuk meronda kawasan merangkumi
yang menempatkan Markas Kompeni Alpha di LP ‘Echo’ seterusnya ke Markas Kompeni Charlie di LP ‘Alpha’ hingga ke LP ‘Foxtrot’
yang merupakan Markas Kompeni Delta. Sepertimana yang diarahkan, Lt M Zaini
bergerak ke LP Echo. Sebelum tiba LP Echo, mereka menjumpai bekalan makanan (food dump) yang ditanam di
lereng bukit oleh musuh. Penemuan ini dilaporkan kepada Markas Taktikal. Lantas
Pegawai Memerintah mengarahkan Ketua Kompeni Alpha, Kapt
Shahrani bin Ariffin, mengatur anggotanya untuk mengambil bekalan tersebut.
Tugasan ini dipertanggungjawabkan kepada Lt Nazarudin bin
Idris, timbalan Ketua Kompeni.
Sebaik
sahaja menerima arahan tersebut, Lt Nazarudin dan
anak buahnya menuruni bukit untuk ke lokasi food dump. Dalam perjalanan itu, mereka telah mengesan
satu jerangkan samar. Penemuan ini memaksa Lt Nazarudin melencong bagi mengelak
musuh halimunan tersebut. Penemuan itu dimaklumkan kepada Lt M Zaini yang
menunggu mereka. Lt M Zaini membuat
keputusan untuk mematikan jerangkap samar. Bagi tujuan itu, beliau mengiringi Lt
Nazarudin sehingga lokasi jerangkap samar tersebut dalam perjalanan mereka ke
markas pangkalan. Dari pemerhatian Lt M Zaini, jerangkap
samar buatan pengganas komunis menyerupai ‘claymore mine’ yang mengguna kaedah
suis ‘pull/release’
untuk mengaktifkannya. Dengan kemahiran yang diperoleh setelah mengikuti kursus
JSPA (Jerangkap Samar dan Periuk Api) selama
dua minggu di No 10 Skuadron Kejuruteraan, Kluang pada Jun 1976, Lt M Zaini berjaya
mematikan senjata musuh itu. “Berbaloi juga aku hadir kursus itu,” bisik hati Lt
M Zaini. Selepas itu, beliau dan
anggotanya meneruskan rondaan sebelum mendaki bukit ke LP Echo untuk mendapatkan
bekalan dan bermalam.
Keesokan pagi, Lt
M Zaini dan 39 anggota bergerak dari LP Echo menuju ke LP Alpha, iaitu penempatan Markas Kompani Charlie. Sama
seperti semalam, sekali lagi mereka menemui food dump yang mengandungi
sejumlah 39 tin setiap satu tin beratnya tiga kg dan lebih kurang 100 kg beras
wangi Siam. Salah seorang Ketua Kompeni menasihatkan Lt M Zaini supaya bahan
makanan itu dimusnahkan. Saranannya bersandarkan kepada kemungkinan trup yang
ditugaskan untuk mengambil bahan-bahan tersebut berhadapan dengan risiko mendapat
kecederaan akibat jerangkap samar. Musuh halimunan sedia menunggu mangsa!
Terasa sayang pula memusnahkan beras
Siam yang berkualiti tinggi. Fikir Lt M Zaini. Justeru, beliau mengarahkan
anggotanya memusnahkan beras rangsum yang mereka bawa dan mengambil bahan
makanan musuh untuk dibawa ke LP Alpha. Mereka kemudian meneruskan rondaan dan tiba
di LP Alpha dengan selamat. Petang itu, seluruh penghuni LP tersebut
berselerakan makan nasi beras wangi Siam!
Keesokan hari, 4 Disember 1978, Lt M Zaini dan anggota meneruskan rondaan untuk
menjejak petualang negara hingga ke lokasi Markas Taktikal Kompeni Delta.
Bagaimanapun, rondaan fasa ini turut diiringi oleh tiga anggota TBPP yang
diketuai oleh Sjn Mokhtar; dua lagi beragama Buddha. Kehadiran mereka selari
dengan prosedur Operasi Bersama. Apabila berada di kaki bukit, Lt M Zaini
membuat keputusan berhenti untuk berehat
dan makan tengah hari. Mereka juga mengambil kesempatan untuk membersihkan diri
masing-masing di anak sungai berhampiran. Selepas itu, Lt
M Zaini serta anggotanya terus bergerak menyusuri denai di sebelah kiri sungai.
Kedudukan Lt M Zaini dalam aturan pergerakan ialah nombor 14 dari anggota
pertama. Empat di belakang Lt M Zaini, iaitu nombor 18 ialah L/Kpl Kassim, anggota
TAMA (Technical Assistant Malaysian Artillery) diikuti Sjn
Mokhtar dan seterusnya 23563 Kpl Othsman bin Mohamad juga dikenali sebagai
‘Man Dressing,’ Ketua Seksyen No 2.
Semasa bergerak, mereka mengesan tiga jerangkap samar dan berjaya dimatikan. Itu yang dapat dikesan. Bagaimana yang tidak dapat dikesan? Persoalan ini terjawab pada lebih kurang jam 1:00 tengah hari. Semasa dalam pergerakan, mereka melihat akar-akar pokok bergantungan tetapi kebanyakan tidak menyentuhnya. Namun, bak kata pepatah, malang tidak berbau. Tanpa diduga, ‘haversack’ Sjn Mokhtar tersangkut pada salah satu akar-akar pokok itu. Kesepian hutan dikejutkan dengan: “Boom” disusuli dengan jeritan “Allah” oleh Sjn Mokhtar. Letupan yang memekakkan. L/Kpl Kassim di hadapannya pula mengalami cedera ringan.
Lakaran
haversack Sjn Mokhtar, anggota TBPP, tersangkut pada akar yang tergantung yang
mengaktifkan jerangkap samar pada 4 Disember 1978. Lakaran oleh S/Sjn Zainudin
bin Ahmad (B)
Kecederaan Sjn Mokhtar sungguh
mengerikan. Lt M Zaini yang melihat kecederaan itu menyatakan: “Inilah
pengalaman yang tak dapat saya lupakan kerana jelas saya lihat organ dalaman
manusia.” Mana tidaknya, beliau menggambarkan kecederaan Sjn Mokhtar: “muka berdarah dan lehernya koyak lebih kurang lima cm sehingga
kelihatan ruang ‘larinks’ (larynx) yang bocor berwarna putih. Kelihatan
kulit lehernya bergetar ketika beliau menarik dan menghembuskan nafasnya. Saya
juga mendapati bajunya koyak di dada dengan darah mengalir keluar. Saya dapati
kulit dadanya terkoyak lebih kurang 6-7 cm di ruang sternum serta kelihatan jantungnya bergerak ikut denyutan
nadinya.” Namun, sebagai ketua, Lt M Zaini memberanikan
diri dan mengarahkan Kpl Othsman yang juga
berkelayakan sebagai ‘Combat Medic,’ supaya mangsa diberi pertolongan
cemas dengan membalut bahagian terbabit. Lt M Zaini juga mengarah mangsa diberi
suntikan morfin. Bagaimanapun, Kpl Othsman menasihatkan sebaliknya kerana dadah
tersebut boleh memberi kesan negatif terhadap jantung mangsa.
Sjn Mokhtar dan L/Kpl
Kassim perlu dikeluarkan dengan segera untuk mendapatkan rawatan. L/Kpl Kassim walaupun mengalami kecederaan ringan perlu
mendapat rawatan bagi mengelak kemungkinan berhadapan keracunan. Lokasi paling
hampir ialah Markas Taktikal Kompeni Charlie. Dari situ si Nuri akan mengambil
mangsa. Pada pengiraan Lt M Zaini perjalanan itu
mengambil hampir dua jam. Itu tanpa mengambil kira kemungkinan mereka
berhadapan dengan kecelakaan akibat jerangkap samar. Lantas, beliau menghubungi Markas Taktikal Batalion memohon
supaya helikopter mengambil mangsa di LP penempatan Kompeni Charlie.
Lt M Zaini seterusnya mengagih
tugasan kepada anak buahnya sebagai persediaan untuk mengusung Sjn Mokhtar
sementara L/Kpl Kassim masih mampu untuk mendaki bukit. Satu seksyen ditugaskan
membuat strecer dengan menggunakan ponco manakala satu seksyen melaku rondaan
keselamatan kawasan dan merintis laluan. Sementara itu, satu seksyen bergilir
mengusung mangsa mendaki bukit ke lokasi pendaratan helikopter.
Di Kroh, sebaik sahaja mesej
diterima, ia dipanjangkan ke JTFHQ. Permohonan tersebut dilulus oleh PBUB. Tugasan
seterusnya diberi kepada kru Nuri yang membuat detasmen di Kroh. Kru terbabit
terdiri daripada Lt (U) Zainal bin Piee, Lt M (U) Yahya
bin Haron dan Sjn Gregory Charles; pesawat Nuri ialah FM1717. Sebaik sahaja
mendapat tugasan tersebut, Lt (U) Zainal Piee dan kru berlepas ke LP berkenaan.
Apabila tiba di ruang udara LP yang terletak di atas bukit, beliau mendapati
mangsa masih tidak berada di lokasi yang diberikan. Beliau menghubungi Lt M
Zaini melalui radio HF bertanyakan kedudukan mereka. Lt M Zaini memberitahunya
bahawa mereka masih berada di kaki bukit.
Dengan maklumat tersebut, Lt (U)
Zainal Piee meninjau kedudukan trup tetapi beliau mendapat lokasi itu tidak
sesuai untuk mengambil mangsa melalui kaedah ‘winching.’ Lantas, beliau mencadangkan supaya Lt M Zaini membawa mangsa
ke satu kawasan lapang di lereng bukit yang tidak jauh dari tempat mereka. Lt M Zaini akur dengan cadangan itu. Dalam
perkiraannya, masa untuk mengusung mangsa menaiki bukit ke kawasan lapang itu
mengambil masa lebih kurang sejam 15 minit. Jangkaan masa mereka tiba di lokasi
tersebut dimaklumkan kepada Lt (U) Zainal Piee. Sementara
menunggu ketibaan mangsa di lokasi, kapten pesawat membuat keputusan untuk
terbang balik dan menunggu di Kroh.
Setelah persiapan untuk mengusung
mangsa siap, aturan pergerakan didahului oleh seksyen untuk merintis laluan dan
menentukan keselamatan mereka. Seterusnya disusuli oleh seksyen mengusung
mangsa. Dua lagi anggota TBPP turut mengiringi ketua mereka. Lt M Zaini dan 21
lagi anggota tunggu di kaki bukit kerana selepas itu, mereka akan meneruskan
rondaan. Satu tugasan yang sungguh memeritkan. Mengusung strecer mendaki bukit
yang agak curam sehingga dagu mencecah lutut. Mereka tiba di lokasi tepat satu
jam 15 minit. Seperti yang dijanjikan, mereka
melihat Nuri berlegar-legar di lereng bukit. Lt (U) Zainal Piee yang melihat
anggota sudah berada di lokasi, memulakan fasa ‘approach’
untuk mendarat. Memang kawasan pendaratan tersebut agak lapang tetapi
disebabkan ia di lereng bukit, Nuri terpaksa mendarat dengan hanya satu gear
mendarat yang mencecah bumi sementara gear mendarat yang satu lagi dan roda ekor dalam keadaan tergantung. Lt (U) Zainal Piee tiada pilihan. Beliau membawa
pesawatnya supaya gear mendarat di belah kanan
bertapak di atas bumi manakala gear mendarat di kiri dan roda ekor dalam
keadaan tergantung.
Tetapi mereka masih ada satu senjata. Doa! Justeru, berkumat-kamit mulut Lt (U) Zainal Piee berdoa kepada Maha Pencipta: “Ya Allah...Lindungilah kami semua.”
Dalam keadaan biasa, ini tidak menjadi masalah. Bak kata ungkapan
Inggeris: “No big deal.”
Inilah kelebihan helikopter. Tetapi ini Op Selamat Sawadee di mana Burung Besi
menjadi sasaran musuh negara. Pesawat bagaikan ‘sitting duck!’ Di kokpit,
keadaan agak tegang. Lt (U) Zainal Piee dengan tangan kanannya menggenggam ‘cyclic
stick’ manakala tangan kirinya pula menggenggam
‘collective lever’
sambil sekali-sekala menjeling ke panel instrumen untuk menentukan ‘Ts & Ps’ dalam keadaan normal. Sementara itu, tangan
kanan Lt M (U) Yahya pula memegang ‘speed selector levers’ sambil
mengimbas ‘Ts & Ps’ dan menyatakan: ‘Ts &
Ps normal.’ Senario Burung Besi yang sedang bertenggek di tebing bukit begitu
menarik untuk menajamkan lagi kemahiran menembak. Jika sebutir peluru terkena
salah satu enjin dan ia gagal berfungsi, kemungkinan besar Nuri akan bergolek
ke kaki bukit. Bukan itu sahaja yang bermain dalam fikiran Lt (U) Zainal Piee. Beliau
juga memikirkan sekiranya di waktu itu satu enjin meragam. Sama juga mereka akan berakhir di kaki bukit. Jika itu
berlaku, kemungkinan kru hanya tinggal dalam kenangan!
Sebaik sahaja kedua-dua mangsa dengan
diiringi oleh kedua-dua lagi anggota TBPP berada dalam pesawat, pesawat
berlepas ke Kroh. Ketibaan mereka
ditunggu oleh staf JTFHQ dan sebuah kenderaan TBPP. Sjn Mokhtar dan dua orang
anggotanya menaiki kenderaan TBPP untuk dibawa ke Betong. L/Kpl Kassim pula
dihantar ke RSAT di JTFHQ. Manakala trup di lokasi pendaratan mengorak langkah
menuruni bukit di mana Lt M Zaini sedang menunggu
mereka di tebing sungai lebih kurang 10-15 meter dari tempat kejadian.
Kepantasan
Nuri mengambil mangsa telah berjaya menyelamatkannya. Menurut Lt M Zaini: “Selesai
operasi, kami terima berita beliau dapat diselamatkan dan keadaannya stabil.” Beliau
seterusnya merakamkan: “... penyerahan mangsa dalam strecer itu kepada pesawat
udara sangat tepat pada masanya, very
precise and timely, handed over to the air crew,
tanpa pesawat menunggu walaupun seminit.”
Lt
M Zaini (kiri) turut merakamkan penghargaan terhadap keberanian dan dedikasi Lt
(U) Zainal Piee yang kebetulan kawan sekelas di Tingkatan Empat di Jasin Secondary English School, Jasin, dan
kru Nuri dengan menyatakan:
“Pujian dan ucapan terima kasih yang tidak
terhingga juga perlu diberikan kepada juruterbang pesawat Nuri ketika itu
kerana berjaya mengeluarkan mangsa dalam situasi yang getir. Situasi berhadapan
dengan musuh yang tidak diketahui bila serangan akan dilaksanakan dalam keadaan
hutan tebal sangat membahayakan pesawat sepertimana yang telah berlaku sebelum
Kru FM1717 pada 4 Disember
1978. Dari kiri: Lt Kol Yahya bin Haron TUDM (B), Kol Zainal bin Piee TUDM (B),
PW U I Gregory Charles (B)
Jerangkap
samar musuh paling asas dan sumber mudah diperoleh tetapi tetap berkesan ialah
ranjau atau punjis. Buluh yang telah diruncing ditanam. Sumber: Mej Baharudin
bin Noryat (B), Kurator, Muzium RAJD, Kluang
Jerangkap
samar yang menggunakan arus kuasa bateri. Sumber: Mej Baharudin bin Noryat (B),
Kurator, Muzium RAJD, Kluang
Jerangkap
samar musuh paling asas dan sumber mudah diperoleh tetapi tetap berkesan ialah
ranjau atau punjis. Buluh yang telah diruncing ditanam. Sumber: Mej Baharudin
bin Noryat (B), Kurator, Muzium RAJD, Kluang
Rujukan:
1. Temu bual dengan Kol Zainal bin Piee TUDM (B) melalui aplikasi WhatsApp
pada 6 Mei 2021.
2. Temu bual dengan Lt Kol Zaini bin Hassim (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 25
Mei 2021.
3. Temu bual dengan SAC (B) Norizan bin Murad melalui aplikasi WhatsApp pada 25 Mei 2021.
4. Temu
bual dengan S/Sjn Zainudin bin Ahmad (B)
melalui aplikasi WhatsApp pada 25 Mei 2021.
5. Kol
Zainal bin Piee TUDM (B). Buku Log Penerbangan Anak Kapal.