Bersambung dari DI SINI
Tetapi ketika peristiwa-peristiwa
tersebut berlaku, Lt (U) Mohd Som berperanan sebagai pembantu juruterbang,
bukannya pembuat keputusan. Pembuat keputusan terletak di atas bahu kapten
pesawat. Status beliau sebagai pembantu juruterbang akan berubah pada Mac 1979 apabila beliau bersama Lt (U)
Noel Richard (Mohd Noor Rashid Anthony bin Abdullah [1995]) dipilih untuk
menjalani kursus peralihan sebagai kapten pesawat Nuri. Kursus ini dilaksana di
No 3 Skuadron yang dikendalikan oleh Kapt (U) Raja Mohamed, Pegawai Latih
bersama Kapt (U) Thiagarajah. Pada 19 April 1979, status Lt (U) Mohd Som dan Lt (U) Noel Richard bernoktah
apabila Kapt (U) Munusamy, Pemeriksa dari Unit Pemeriksaan, mengesahkan mereka
melepasi ujian standardisasi sebagai
kapten dalam kategori ‘D’ (Delta). Kategori sementara ini kebiasaannya
selama enam bulan sebelum pemegang kategori ‘D’ diuji untuk dinaik taraf ke
kategori ‘C’ (Charlie). Secara ringkasnya, kapten kategori D tidak
dibenarkan membawa penumpang/trup kecuali kru tambahan (supplementary crew)
seperti anggota kejuruteraan untuk membaik pulih pesawat.
Pada awal tahun 1979, kegiatan Op Selamat
Sawadee agak tenang tidak lagi memerlukan Nuri dan helikopter gempur membuat
detasmen di Kroh. Walau bagaimanapun, kru Nuri dan helikopter gempur berada
dalam keadaan siap siaga di Butterworth untuk memenuhi keperluan perkhidmatannya
membabitkan operasi tersebut seperti pertukaran unit, ulang bekal dan casevac/medevac/bodevac. Pada 24 Jun 1979, No
3 Skuadron dipertanggungjawabkan tugasan untuk menghantar trup dan ulang bekal
kepada pasukan 4 Renjer yang berpangkalan di Kem Wardieburn,
Kuala Lumpur. Bagi tujuan itu, tiga buah Nuri diperuntukkan. Misi ini diketuai
oleh Kapt (U) Nor Ibrahim sementara dua buah lagi pesawat dikendalikan oleh Lt (U) Mohd Som dan Lt (U) Noel Richard. Kru Kapt (U)
Nor Ibrahim ialah Lt M (U) Mohd Kamal bin Sabran dan Sjn Chen dan peruntukkan
pesawat FM1718; nama panggilan ialah ‘Capung 467 Juliet One.’ Lt (U) Mohd Som bersama kru, Lt M (U) Fong Chan Kwee dan
Sjn Abdul Wahid bin Basri mengendali FM1734 dengan nama panggilan ‘Capung 467
Juliet Two.’ Manakala ‘Capung 467 Juliet Three’ nama panggilan untuk Lt (U)
Noel Richard dan kru, Lt M (U) Abdul Hamid bin Shamsudin dan Sjn Mansur yang mengendali FM1736. Mereka diiringi oleh sebuah helikopter gempur, FM1319, yang
dikendalikan oleh Kapt (U) Yeow C.C. dan Sjn Mohd Ismail bin Mohd Hashim selaku
jurumesingan dengan nama panggilan ‘Capung 467 Alpha.’
Setelah menandatangani ‘Autho
Sheet’ (Tanda-Tanda Kebenaran Rekod Ujian-Ujian Dan Waktu
Penerbangan/Authorisation And Record Of Flight Duty Exercise And Times) untuk Lt (U) Mohd Som dan Lt (U) Noel Richard, keempat-empat
pesawat berlepas ke Kroh. Seperti kebiasaan, apabila mendarat di Kroh, mereka
pergi ke Bilik Operasi CTFHQ untuk mendapatkan taklimat. Antara LP terbabit
ialah LP Lima yang menempatkan Markas Kompeni Delta, 4 Renjer, yang diketuai
oleh Kapt Zulkapli bin Abdul Rahman juga dikenali sebagai ‘American Ranger’.
Selain anggota Markas, lokasi ini menempat Platun Mortar, satu platun dan
beberapa anggota Thai Border Police Patrol (BPP). Di samping itu, seramai 19 anggota ditumpangkan ke unit itu, termasuk 1019853 Rjr Zainudin bin Ahmad.
Mereka baru menjalani latihan Lanjutan
Rekrut di 4 Renjer, Kem Wardieburn
setelah tamat latihan rekrut di Pusat Latihan Rekrut, Garison Port Dickson,
pada April 1979. Kehadiran mereka ini sebagai pengenalan kepada kehidupan yang
akan dilalui setelah menjerumuskan diri dalam bidang ketenteraan.
Bagi melicinkan pelaksanaan tugasan,
Kapt (U) Nor Ibrahim merancang supaya Lt (U) Mohd Som dan Lt (U) Noel Richard
membawa bekalan dengan kaedah ‘underslung.’ Apabila pesawat pertama tiba
di LP, bekalan akan dilepaskan (release)
di luar tempat pendaratan dan seterusnya berlepas balik ke Kroh. Seperti
pesawat pertama, pesawat kedua yang mengekori pesawat pertama, akan melepaskan
bekalan dan seterusnya mendarat di tempat mendarat untuk mengambil net kargo
yang ditinggalkan oleh pesawat pertama. Manakala Kapt (U) Nor Ibrahim pula membawa
trup ke LP dan sebaliknya. Pergerakan bermula
dengan Lt (U) Noel Richard disusuli oleh Lt (U) Mohd
Som. Destinasi pertama ialah LP Lima.
Sepertimana yang dirancang, Lt (U) Noel Richard berlepas dari Kroh dengan diiringi
oleh helikopter gempur. Sorti pertama ini tidak menghadapi sebarang masalah. Lt (U) Noel Richard membawa
pesawatnya dalam keadaan terapung di luar tempat pendaratan dan melepaskan net
kargo dan berlepas balik ke Kroh. Sebaik sahaja bekalan dilepas, Rjr Zainudin bersama lebih kurang 6-7 rakannya
ditugaskan untuk memungut bekalan tersebut dan mengambil net kargo untuk diberikan
kepada pesawat kedua. Setelah Lt (U) Noel Richard berlepas, kini giliran Lt (U)
Mohd Som memulakan fasa approach ke LP. Pada lebih kurang jam 10:00
pagi, apabila pesawat hampir dalam keadaan terapung, trup melihat cahaya suar
berpunca dari pistol ‘Very.’ Tiba-tiba, “bang...bang...bang.” Musuh menembak pesawat
dari beberapa sudut sekitar hutan keliling pangkalan. Anggota bergegas ke kubu
masing-masing. Sementara itu Rjr Zainudin dan rakan-rakannya yang sedang
mengangkat bekalan diarah berlindung di sebalik tunggul-tunggul kayu.
“Allahu Akbar,” terpacul dari mulut Lt (U) Mohd Som apabila menyedari pesawatnya ditembak serta
melihat anggota di LP melarikan diri dari LP. Secara spontan beliau menekan
butang untuk melepas net kargo yang jatuh di lereng LP. Di waktu yang sama
beliau memberitahu kru dan helikopter gempur: “Overshoot. Aircraft being
shot.” “All clear” respons Sjn Wahid
sambil menutup pintu kargo. Manakala tangan kanan Lt M (U) Fong C.K.
menolak kedua-dua speed selector levers ke hadapan. Malang sekali
helikopter tidak dapat memuntahkan peluru 20 mm HE kerana mengalami masalah
teknikal.
Serangan pengkhianat negara dibalas
oleh Kapt Zulkapli yang mengarahkan seksyen
senjata bantuan menembak GPMG (General Purpose Machine Gun) terhadap musuh.
Tidak cukup dengan tembakan GPMG, beliau meminta bantuan tembakan meriam. Tidak
lama kemudian, “boom... boom...boom” letupan peluru 105 mm bertalu-talu dari trup pasukan meriam. Tembakan meriam
yang menggegarkan suasana berterusan hampir selama 20 minit. Keadaan ini
membuatkan musuh beredar ke pangkalan mereka.
Lakaran
FM1734 ditembak musuh di LP Lima pada 24 Jun 1979. Lakaran oleh Kapt Mohd Som
bin Othman PTU
Sebaik
sahaja mengetahui pesawat Lt (U) Mohd Som ditembak, Lt (U) Noel Richard yang
ketika dalam penerbangan balik ke Kroh, menghubungi Kapt (U) Nor Ibrahim. “Juliet
One, Juliet Two kena tembak” melalui radio UHF.
“Ya Allah...Memang sial komunis”
luahan Kapt (U) Nor Ibrahim. “Bagaimana
Mohd Som?”, beliau bertanya. Ketika itu beliau berada di Kroh menunggu trup
menaiki pesawat untuk LP Lima.
“Dalam penerbangan balik”,
respons Lt (U)
Noel Richard.
Sebaik sahaja trup berada dalam
pesawat, Kapt (U) Nor Ibrahim berlepas dari Kroh.
Seterusnya, beliau menghubungi ketiga-tiga pesawat.
“Juliet Two...Mendarat
kat Ban Cha Tharat dan matikan enjin. Juliet Three dan Alpha...Iringi Juliet Two. Saya
dalam penerbangan ke Ban Cha Tharat.”
“Wilco (will comply)” respons
ketiga-tiga pesawat.
Sebaik sahaja tiba di Ban Cha Tharat,
Kapt (U) Nor Ibrahim mendapati pesawat Lt (U) Mohd Som sudah
berada di sana sementara pesawat Lt (U) Noel Richard dan helikopter gempur berlegar
di ruang angkasa landasan terbang tersebut. Sebaik sahaja mendarat dan tanpa
mematikan enjin pesawatnya, Kapt (U) Nor Ibrahim mengarahkan Lt (U) Mohd Som dan kru mengambil alih
pesawatnya. Beliau seterusnya mengarah trup untuk memberi kawalan keselamatan
berhampiran pesawat. Setelah pertukaran ini berlaku, Kapt
(U) Nor Ibrahim dan kru membuat pemeriksaan ke atas FM1734. Mereka menemui beberapa
kesan peluru menembusi fiuslaj pesawat. Walau bagaimanapun, pemeriksaan agak
terbatas kerana ketiadaan tangga untuk meneliti bahagian ekor pesawat dan kipas
utama dengan lebih teliti. Kerosakan yang ketara ialah salah satu daripada dua
penjana (generator) tidak berfungsi. Pada perkiraan Kapt (U) Nor Ibrahim,
pesawat selamat diterbangkan ke Kroh dan seterusnya ke Butterworth. Justeru,
beliau mengarahkan trup menaiki pesawat FM1718 yang kini dikendalikan oleh Lt (U) Mohd Som. Beliau pula menerbangkan FM1734.
Selain itu, Kapt (U) Nor Ibrahim mengarah Juliet Three dan Juliet Alpha
mengiringi pesawatnya.
Keempat-empat pesawat selamat
mendarat di Kroh. Kesemua kru memeriksa FM1734 tetapi tidak menemui kerosakan
baharu. Ketua Skuadron, Lt Kol (U) Nawi bin Alias menghubungi Kapt (U) Nor Ibrahim untuk bertanya keadaan
pesawat dan anak-buahnya. Setelah diberitahu keadaan kru dan pesawat, beliau
bertanya tindakan Kapt (U) Nor Ibrahim selanjutnya.
“Saya terbang balik FM1734 ke Butterworth,”
respons Kapt (U) Nor Ibrahim. Keputusan
ini diambil kerana pesawat selamat terbang dengan satu penjana lagi pula sepanjang
laluan Kroh-Baling terdapat banyak kawasan untuk membuat pendaratan kecemasan sekiranya
keadaan memaksa.
Pesawat FM1734 selamat mendarat di
Butterworth. Pemeriksaan oleh anggota kejuruteraan menemukan sejumlah lebih
kurang 12 kesan tembakan musuh. Paling mengejutkan ialah sebutir peluru telah
menembusi ‘spar’ sebilah kipas utama. ‘BIM’ (Blade Indicator Method)
di pangkal kipas tersebut bertukar warna yang menunjukkan gas nitrogen dalam spar
meresap keluar. Keadaan ini menunjukkan terdapat rekahan pada kipas tersebut.
Jika terdapat pertukaran warna pada BIM sebelum penerbangan, kipas terbabit
perlu diganti. Rekahan memungkinkan kipas itu patah. Jika itu berlaku, pesawat sukar
dikawal dan kemungkinan mengalami musibah yang serius sekiranya penerbangan
diteruskan juga. Kerosakan ini tidak dapat dikesan ketika dalam penerbangan
kerana ia tidak tersenarai pada lampu amaran di panel instrumen. Semasa
pemeriksaan di Ban Cha Tharat dan Kroh, BIM tidak menunjukkan sebarang
perubahan. Sebutir peluru pula telah menembusi penutup ‘tail rotor drive shaft’
tetapi tidak menembusi shaft. Sama seperti kerosakan kepada kipas utama,
pesawat ketika dalam penerbangan akan mengalami musibah. Selain itu, beberapa
kesan bahagian bawah pesawat yang menunjukkan tangki bahan api terkena
tembakan. Ciri-ciri ‘self-sealing’ tangki tersebut mengelak kebocoran bahan api.
Lt M (U) Fong C.K. bernasib baik kerana terdapat kesan peluru pada tempat
duduknya yang diperbuat daripada material kalis peluru.
Di LP
Lima, setelah keadaan kembali tenang, Rjr Zainudin dan rakan-rakan diarahkan untuk
mengambil bekalan catuan yang berselerak apabila dilepaskan oleh Nuri di lereng
LP. Setelah diperiksa, mereka mendapati banyak catuan seperti makanan dalam
tin, paket beras dan gula yang rosak terkena peluru petualang negara. Secara
berseloroh, ‘orang lama’ mengusik pendatang baharu: “bila la pula Nuri nak mai,
kebuloq la hampa.” Kerana ulang bekal hari itu
Petikan catatan dalam ‘Buku Log Penerbangan’
kepunyaan Mej Dr. Nor Ibrahim bin Sulaiman PTU TUDM (B) pada 24
Jun 1979. Catatan pertama: FM1718: C467J’1’-BW-KROH-LPS-KROH. Catatan kedua:
FM1734: C467J’1’-KROH-BW FERRY. Sumber: Mej Dr. Nor Ibrahim bin Sulaiman PTU
TUDM (B)
Petikan catatan dalam ‘Buku Log Penerbangan’ kepunyaan Kapt Mohd Som bin Othman PTU pada 24 Jun 1979. Catatan pertama: FM1734: C467J2-BW-KROH-LPS-KROH A/C SHOT. Catatan kedua:
FM1718: C467J2 BW-KROH-BW. Sumber: Kapt Mohd Som bin Othman PTU
‘Spar’ sebilah kipas utama FM1734 ditembusi sebutir
peluru. Sumber:
Kapt Fong C.K.
Penutup ‘tail rotor drive shaft’ FM1734 ditembusi peluru. Sumber: Kapt Fong C.K.
Pangkal
antena radio UHF di bahagian bawah pesawat FM1734 rosak ditembak musuh. Sumber:
Kapt Fong C.K.
19 anggota (berdiri) yang tamat menjalani latihan lanjutan di pangkalan 4 Renjer, Kem
Wardieburn, Kuala Lumpur setelah menjalani latihan rekrut di Pusat Latihan
Rekrut, Port Dickson. Sumber: Sjn Zainudin bin Ahmad (B)
1. Temu bual dengan Kapt Mohd Som bin Othman PTU melalui aplikasi WhatsApp
pada 19 Oktober 2020.
2. Temu bual
dengan S/Sjn Zainudin bin Ahmad (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 1 Februari
2021.
3. Temu bual
dengan Kapt Fong C.K. melalui aplikasi WhatsApp pada 1 Mei 2021.
4. Temu bual
dengan PW U I Abdul Wahid bin Basri (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 1 Mei
2021.
5. Mej Dr. Nor Ibrahim bin Sulaiman PTU TUDM (B). Buku Log Penerbangan Anak Kapal.
6. Kapt Mohd Som bin Othman PTU. Buku Log Penerbangan Anak
Kapal.
7. Lt (U) Noel Richard memeluk Islam pada 1995 dengan nama Islamnya Mohd Noor Rashid Anthony bin Abdullah (Allahyarham).
Nota: Semenjak penerbitan buku pertama saya - Coretan Xnuripilot - yang diterbitkan pada 2011, saya berusaha untuk mendapatkan siapa kru arwah Kapt Richard@Mohd Noor Rashid. Namun tidak berjaya. Pada 13 Mei 2021, Kapt Halim Abdullah telah menghantar no telefon balu arwah. Seperti yang para pembaca boleh agakkan, tanpa membuang masa, saya telah menghubungi isteri arwah dan memohon jika beliau sedia menghantar halaman 'Buku Log Penerbangan' berkaitan. Pagi tadi, 14 Mei 2021, akhirnya saya tahu siapa kru Juliet selain Lt (U) Richard. Untuk itu, TERIMA KASIH PUAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan