Sambungan dari SINI....
Pihak atasan TUDM membuat keputusan untuk membaiki FM1405. Tugasan ini dipertanggungjawabkan
kepada wira-wira di belakang tabir, iaitu Bahagian Kejuruteraan. Tugasan ini
melibatkan AIROD (Aircraft
Overhaul and Repair Depot), Subang. Bagi
memudahkan pemindahan pesawat itu, beberapa komponen dibuka dan terbangkan oleh
Nuri dari No 7 Skuadron ke Sibu sebelum diterbangkan ke Kuching.
Nuri FM1712 mengangkut enjin Pratt & Whitney R-2000-7M2 Twin Wasp melalui kaedah
‘underslung’ untuk diterbangkan lebih kurang 20 minit ke Sibu. Sumber: Kapt Wong K.F.
Setelah Caribou FM1405
sudah sedia untuk dipindahkan ke Kuching, persoalan yang menghantui para
perancang ialah bagaimana fiuslaj pesawat tersebut dibawa ke Kuching? Apakah
instrumen yang berupaya memindahkan pesawat tersebut dari sawah padi? Nuri
tidak mempunyai keupayaan untuk mengangkut pesawat tersebut. Persoalan ini
timbul kerana lokasi tersebut membatas kenderaan yang sesuai untuk mengangkutnya. Masalah
ini terungkai apabila Lt Jen (U) Mohamad bin Taib, Ketua Turus Tentera Udara
(KTTU; pra-gelaran Panglima Tentera Udara [PTU]), menghubungi Komander, Pacific
Air Forces (PACAF), Hawaii. Beliau menyuarakan kepada Komander tersebut sekira dapat
membantu untuk mengangkut pesawat Caribou bila elemen Pacific
Command berada di perairan berhampiran Sarawak. KTTU sedia maklum antara
aset helikopter dalam inventori Pacific Command ialah CH-53 Sea Stallion dan CH-47
Chinook. Kedua-dua jenis pesawat ini mampu mengangkut DHC-4A Caribou.
Permohonan PTU mendapat respons positif kerana hubungan antara kedua-dua Tentera Udara adalah baik. Pada 23 April 1979, sebuah helikopter CH-53 Sea Stallion dari kapal U.S.S. Tarawa, iaitu kapal pendarat amfibi (amphibious assault ship) yang beroperasi berhampiran Sarawak, berlepas ke Kpg Kuala Matu untuk mengangkut FM1405 ke kapal induk tersebut. Di Kuching pula, sebuah Nuri, FM1702, yang dikendalikan oleh Kapt (U) Mohd Affendi bin Mustafa bersama Lt M (U) Razali bin Sani dan Sjn Pak Singh dengan beberapa orang anggota kejuruteraan berlepas ke Kpg Kuala Matu. Anggota kejuruteraan ditugaskan untuk menyediakan pesawat FM1405 sebelum ketibaan CH-53 Sea Stallion. Seterusnya Kapt (U) Mohd Affendi mengiringi CH-53 Sea Stallion ke kapal. Mereka diberi kebenaran untuk mendarat atas U.S.S. Tarawa Pendaratan S61A-4 Nuri, FM1702, mencatat satu sejarah apabila pesawat tersebut merupakan satu-satunya pesawat tentera asing buat pertama mendarat di atas kapal U.S.S.Tarawa. Ini dirakamkam dalam laporan 'Command History': "During this evolution the first landing on TARAWA by a foreign military service aircraft occurred, and was made by a S-61 helicopter, side number 749J, from the Malaysian Air Force." Kapt (U) Mohd Affendi dan kru juga diberi kesempatan mengikuti pelayaran lebih kurang tiga jam ke persisiran Kuching.
Petikan
daripada Command History (OPNAV Report 5750-1) (U), U.S.S. TARAWA. ‘749J’
adalah nama panggilan yang diperuntukkan untuk tugasan hari itu. Sumber: Department of the Navy: U.S.S. TARAWA
Petikan
catatan dalam ‘Buku Log Penerbangan’ kepunyaan PW U I Pak Singh Johal (B) pada 23
April 1979: B749J QA (Kuching)-CRASH SITE-USS TARAWA-QA. Sumber: PW U I Pak
Singh Johal (B)
Kapal
U.S.S. Tarawa. Sumber: PW U I Pak Singh (B)
CH-53 Sea Stallion ‘underslung’ Caribou FM1405
dari Kpg Kuala Matu, Sarawak ke kapal U.S.S. Tarawa pada 23 April 1979. Sumber:
G. Howe, 31st MAU, U.S.S. Tarawa
FM1405 di atas dek U.S.S. Tarawa. Sumber: G. Howe, 31st MAU, U.S.S. Tarawa
Nuri FM1702 mencatat sejarah sebagai pesawat tentera asing pertama mendarat di atas kapal U.S.S. Tarawa. Sumber: PW U I Pak Singh (B)
Kru
Nuri FM1702 bergambar dengan anak kapal U.S.S. Tarawa.
Kru Nuri dari kiri: Sjn Pak Singh, Kapt (U) Mohd Affendi
bin Mustafa, Lt M (U) Razali bin Sani. Sumber: PW U I Pak Singh (B)
Seterusnya, CH-53 Sea Stallion menerbangkan FM1405 dari kapal ke TUDM Kuching. Pesawat tersebut diiringi oleh Nuri FM1702 yang memainkan peranan sebagai platform untuk komunikasi antara kedua-dua helikopter dengan Menara Kawalan Kuching. Ketibaan pelawat di TUDM Kuching disambut oleh Pegawai Memerintah, Lt Kol (U) Lim Way Ann, Mej (U) Abdul Rahim bin Abdul Rahman (Ketua No 7 Skuadron) dan beberapa orang pegawai dan anggota pangkalan. Orang berbudi kita berbahasa. Kru CH-53 Sea Stallion diberi cenderahati sebelum berlepas balik ke kapal U.S.S. Tarawa.
Kepakaran anggota Barisan Kedua
Kejuruteraan, TUDM Kuala Lumpur, dan DEBKAT (AIROD), Subang, berjaya membaik pulih Caribou
FM1405 pada Mei 1982. Kini pesawat tersebut perlukan menjalani ujian
penerbangan (flight test) sebelum disahkan memenuhi kelayakan udara (airworthiness). Aspek ujian penerbangan ini membabitkan pematuhan beberapa protokol
yang ditetapkan untuk pesawat setelah menjalani baik pulih. Antara protokol
berkenaan ialah ‘stall
calibration’ dan ‘compass swing.’ Tugasan ini dipertanggungjawabkan kepada Kapt
(U) Sukaimi bin Yahya, juruterbang No 1 Skuadron merangkap Pemeriksa untuk juruterbang pesawat Caribou. Beliau bersama Lt M
(U) Liew Hon Seng dan seorang kuatermaster udara dari No 1 Skuadron berlepas
dari Kuala Lumpur ke Kuching dengan penerbangan berjadual C130 Hercules. Pada 7
Mei 1982, setelah hampir tiga tahun FM1405 dipindah dari sawah padi 23 April
1979, Kapt (U) Sukaimi dan kru berlepas dari
lapangan terbang Kuching untuk penerbangan di ruang angkasa Kuching.
Penerbangan ulung sejak mendarat di Kpg
Kuala Matu pada 23 November 1978.
Penerbangan ini disaksi oleh anggota
kejuruteraan yang telah bertungkus-lumus bagi memastikan pesawat kembali kepada status layak terbang. Sebaik
sahaja pesawat mendarat, mereka begitu teruja apabila Kapt (U) Sukaimi memberitahu
bahawa pengendalian pesawat tidak menghadapi masalah serius. Keesokan hari 8
Mei 1982, Kapt (U) Sukaimi dan kru meneruskan ujian sebelum berlepas ke Labuan
untuk melakukan compass swing. Mereka bermalam di Labuan. Pada 10 Mei
1982, mereka berlepas ke Keningau, kawasan pedalaman Sabah, untuk ujian compass
swing. Ujian ini dilakukan di landasan terbang Keningau. Setelah ujian dilakukan,
mereka berlepas semula ke Labuan sebelum terbang balik ke Kuching pada tengah
hari. Setelah berpuas hati pesawat memenuhi kriteria kelayakan udara, pada 12
Mei 1982, FM1405 yang dikendalikan oleh Kapt (U) Sukaimi dan kru berlepas dari
Kuching untuk penerbangan lebih kurang empat jam balik ke pangkalannya di Kuala
Lumpur setelah ditinggalkannya pada 23 November 1978.
Petikan
catatan dalam ‘Buku Log Penerbangan’ kepunyaan Kapt Sukaimi bin Yahya pada 7
Mei 1982: AIR PERFORMANCE TEST AFTER CAT 4 REPAIR – MAIDEN FLIGHT. Sumber: Kapt
Sukaimi bin Yahya
Januari 1983 menyaksikan nombor pendaftaran FM1405 bertukar kepada M21-05.
Pertukaran ini sejajar dengan dasar TUDM menukar semua nombor pendaftaran pesawat
dari penggunaan abjad ‘FM’ (Federation of Malaysia) kepada ‘M’ (Malaysia) dalam
inventorinya. Walau bagaimanapun, perkembangan semasa menyaksikan perkhidmatan
pesawat Caribou dari No 1 Skuadron di Semenanjung berakhir pada 1992. Pada
tahun tersebut, No 1 Skuadron dan No 8 Skuadron digabungkan sebagai No 1
Skuadron dan berpangkalan di Labuan. Namun, penepatan di Labuan berakhir pada 1996
apabila skuadron tersebut dipindahkan ke PU Kuching.
Pada akhir tahun 1999, TUDM membuat keputusan untuk menamatkan perkhidmatan pesawat Caribou setelah 33 tahun (1966-1999) menyumbang bakti selama kepada negara. Tetapi malang sekali, penamatan perkhidmatan pesawat Caribou diakhiri dengan tragedi. Ia membabit pesawat M21-05@FM1405! Pesawat tersebut yang mula mendarat di Malaysia pada Mac 1969 dari Kanada, mengakhiri hayatnya pada 24 Mei 1999.
Pada hari tersebut, Kapt Asri bin Abdullah TUDM bersama kru, iaitu Kapt Johari bin Pomin TUDM, Sjn (U) Mili bin Mat dan Sjn (U) Adnan bin Arifin serta Kapt Salleh bin Abdul Malek TUDM diperuntukkan pesawat M2105 untuk penerbangan latihan. Kapt Johari bin Pomin TUDM dan Salleh bin Abdul Malek TUDM sedang menjalani kursus peralihan penerbangan sebagai pembantu juruterbang pesawat Caribou manakala Sjn (U) Adnan bin Arifin pula membuat persediaan sebelum menjalani ujian standardisasi ke kategori ‘C’. Sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Kuching, pesawat mengalami kerosakan satu enjin dan terhempas di hujung landasan pada jam 1:15 tengah hari. Nahas telah meragut kesemua lima anggota dalam pesawat
Keadaan
pesawat Caribou M21-05 (FM1405) yang terhempas di hujung landasan Lapangan
Terbang Kuching pada 24 Mei 1999, jam 1:15 tengah hari dan mengorbankan kesemua
lima anggota di dalamnya. Sumber: PW U I Othman bin Sabirin (B)
Laporan akhbar Utusan Malaysia,
25 Mei 1999. Sumber: PW U I Othman bin Sabirin (B)
Rujukan:
1.
Temu bual dengan Kapt Dato’ Faisal bin
Yusof melalui melalui telefon pada 14
Mac 2021.
2.
Temu bual dengan Brig Jen Dato’ Koh Kia
Lim TUDM (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 17 Mac 2021.
3.
Temu bual dengan Kol Ramlan bin Kasbi TUDM
(B) melalui telefon pada 19
Mac 2021.
4.
Temu bual dengan PW U I Abdul Aziz bin
Sarip (B) melalui telefon pada 19 Mac 2021.
5.
Temu bual dengan PW U I Othman bin Sabirin (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 19 Mac
2021.
6.
Temu bual dengan PW U I Mohd Faizul bin
Abdullah (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 19 Mac 2021.
7.
Temu bual dengan Kapt Wong Yoon Fatt
melalui aplikasi WhatsApp pada 23 Mac 2021.
8.
Temu bual dengan Brig Jen Dato’ Abdul
Rahim bin Abdul Rahman PGB PTU TUDM (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 28 Mac
2021.
9.
Temu bual dengan Mej Jen Dato’ Latip bin
Ismail TUDM (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 28 Mac 2021.
10.
Temu bual dengan mantan Sjn U Shab
Abdullah di Darulaman Heights pada 29 Mac 2021.
11.
Temu bual dengan Lt Kol Husamudin bin
Yaacob TUDM (B) melalui telefon pada 2 April 2021.
12.
Temu bual dengan Kapt Sukaimi bin Yahya
melalui aplikasi WhatsApp pada 11 April 2021.
13.
Temu bual dengan Lt Kol Abdul Rahman bin
Hj Taib TUDM (B) melalui WhatsApp pada 14 April 2021.
14.
PW U I Arumugam a/l Manickam (B), Buku
Harian Penerbangan Anak Kapal.
15.
PW U I Pak Singh (B), Buku Harian
Penerbangan Anak Kapal.
16.
Kapt Wong Yoon Fatt, Buku Harian Penerbangan Anak Kapal.
17.
Kapt Sukaimi bin Yahya, Buku Harian Penerbangan
Anak Kapal.
18.
Department of the Navy, Command H i s t
o r y (OPNAV Report 5750-1) (U), LHA1/37:djt 5750 s e r C-04, 18 April
1980. Lihat https:// www.history.navy.mil›nhhc›pdf › 979 (diakses pada 7 April 2021).
19.
New Straits Times, How ‘Misty 53’ came
to grief..., 28 November 1978.
20.
Utusan Malaysia, 5 maut nahas Caribou,
25 Mei 1999.
21. AIROD ditubuhkan pada 1975 sebagai
sebahagian daripada Bahagian Kejuruteraan TUDM. Elemen tersebut diswastakan
pada 1985; entiti kerajaan pertama yang diswastakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan