Pengikut

Selasa, 25 Mei 2021

Musuh Halimunan

Anggota pasukan keselamatan sama sekali tidak gentar berhadapan dengan petualang negara. Malahan misi utama mereka ialah untuk memburu pengkhianat negara untuk dibunuh. Namun, dalam melaksanakan tugasan, mereka dihantui oleh musuh halimunan – jerangkap samar. Ancaman senjata tersebut sungguh menggerunkan anggota pasukan keselamatan. Silap langkah, jika tidak menemui Pencipta, mungkin mereka yang terbabit akan tergolong dalam OKU (Orang Kurang Upaya) sepanjang hayat! Kesengsaraan anggota pasukan keselamatan yang cedera dek bahana jerangkap samar semasa Op Selamat Sawadee dikisahkan sebelum ini. Tetapi penceritaan membabitkan anggota pasukan keselamatan Malaysia. Persoalannya, adakah anggota Thai Border Police Patrol (TBPP) yang mengiringi unit pasukan keselamatan ketika membuat rondaan kebal daripada ancaman jerangkap samar? 

Pada  5 November 1978, giliran 15 RAMD yang berpangkalan di Kem Rasah, Seremban, diatur gerak ke kawasan Op Selamat Sawadee. Nasib tidak memihak mereka. Tetapi nasib baik itu tidak berpanjangan kerana tidak lama kemudian seorang anggota pasukan tersebut, L/Kpl Rahman Tawaf, tercedera akibat jerangkap samar musuh ketika membuat rondaan. Keadaan yang menimpa anggotanya, Lt Kol Ismail bin Salleh PGB, Pegawai Memerintah begitu berang. Lantas beliau mengarah Lt M Zaini bin Hasim, Ketua Platun Harimau@ UCIS (Unit Combat Intelligent Section) yang ketika itu berada di Markas Taktikal Batalion, Kroh.  

Arahannya: “Zaini, misi kamu...buru dan musnah musuh durjana. Faham?”

“Faham Tuan. Baik Tuan,” jawab Lt M Zaini. Bagai pucuk dicita ulam mendatang. Akhirnya arahan yang ditunggu-tunggu beliau dan 17 anggotanya yang lain menjadi kenyataan! Arahan tidak ternoktah di situ sahaja.

“Untuk misi itu, kekuatan platun kamu ditambah kepada 40 orang. Bawa sekali FOO, Platun Mortar dan lain-lain anggota Markas Kompeni.” Tegas Pegawai Memerintah.

Tambahan kekuatan kepada platunnya sama sekali tidak diduga oleh Lt M Zaini. Tetapi, arahan tetap arahan. “Baik Tuan.” Anggota tambahan terdiri daripada lima anggota tim FOO (Forward Observation Officer) yang diketuai oleh Lt Abdul Hamid bin Mohd Amin dari pasukan 2 Meriam. Kehadiran FOO adalah bagi mengarah bedilan meriam kepada sasaran jika bantuan tembakan meriam diperlukan. Bakinya terdiri daripada anggota Platun Mortar, Platun Rintis Serang dan Platun Tambur serta bahagian Kuatermaster (KM).

Pada akhir November, Lt M Zaini dan kumpulannya diterbangkan LP ‘Lima’, iaitu penempatan Markas Kompeni Bravo. Ketibaan mereka  ‘disambut’ oleh pengganas komunis. Sebaik sebuah Nuri berlepas dari LP setelah menurunkan anggota kompeni pada sorti keempat dan terakhir, pesawat telah ditembak. Mereka bernasib baik kerana tiada sebarang kecederaan.

Bagi melaksanakan tugasan itu, Lt M Zaini dipertanggungjawabkan untuk meronda kawasan merangkumi yang menempatkan Markas Kompeni Alpha di LP ‘Echo’ seterusnya ke Markas Kompeni Charlie di LP ‘Alpha’ hingga ke LP ‘Foxtrot’ yang merupakan Markas Kompeni Delta. Sepertimana yang diarahkan, Lt M Zaini bergerak ke LP Echo. Sebelum tiba LP Echo, mereka menjumpai bekalan makanan (food dump) yang ditanam di lereng bukit oleh musuh. Penemuan ini dilaporkan kepada Markas Taktikal. Lantas Pegawai Memerintah mengarahkan Ketua Kompeni Alpha, Kapt Shahrani bin Ariffin, mengatur anggotanya untuk mengambil bekalan tersebut. Tugasan ini dipertanggungjawabkan kepada Lt Nazarudin bin Idris, timbalan Ketua Kompeni.  

Sebaik sahaja menerima arahan tersebut, Lt Nazarudin dan anak buahnya menuruni bukit untuk ke lokasi food dump.  Dalam perjalanan itu, mereka telah mengesan satu jerangkan samar. Penemuan ini memaksa Lt Nazarudin melencong bagi mengelak musuh halimunan tersebut. Penemuan itu dimaklumkan kepada Lt M Zaini yang menunggu mereka. Lt M Zaini membuat keputusan untuk mematikan jerangkap samar. Bagi tujuan itu, beliau mengiringi Lt Nazarudin sehingga lokasi jerangkap samar tersebut dalam perjalanan mereka ke markas pangkalan. Dari pemerhatian Lt M Zaini, jerangkap samar buatan pengganas komunis menyerupai ‘claymore mine’ yang mengguna kaedah suis ‘pull/release’ untuk mengaktifkannya. Dengan kemahiran yang diperoleh setelah mengikuti kursus JSPA  (Jerangkap Samar dan Periuk Api) selama dua minggu di No 10 Skuadron Kejuruteraan, Kluang pada Jun 1976, Lt M Zaini berjaya mematikan senjata musuh itu. “Berbaloi juga aku hadir kursus itu,” bisik hati Lt M Zaini. Selepas itu, beliau  dan anggotanya meneruskan rondaan sebelum mendaki bukit ke LP Echo untuk mendapatkan bekalan dan bermalam.  

Keesokan pagi, Lt M Zaini dan 39 anggota bergerak dari LP Echo menuju ke LP Alpha, iaitu penempatan Markas Kompani Charlie. Sama seperti semalam, sekali lagi mereka menemui food dump yang mengandungi sejumlah 39 tin setiap satu tin beratnya tiga kg dan lebih kurang 100 kg beras wangi Siam. Salah seorang Ketua Kompeni menasihatkan Lt M Zaini supaya bahan makanan itu dimusnahkan. Saranannya bersandarkan kepada kemungkinan trup yang ditugaskan untuk mengambil bahan-bahan tersebut berhadapan dengan risiko mendapat kecederaan akibat jerangkap samar. Musuh halimunan sedia menunggu mangsa!

Terasa sayang pula memusnahkan beras Siam yang berkualiti tinggi. Fikir Lt M Zaini. Justeru, beliau mengarahkan anggotanya memusnahkan beras rangsum yang mereka bawa dan mengambil bahan makanan musuh untuk dibawa ke LP Alpha. Mereka kemudian meneruskan rondaan dan tiba di LP Alpha dengan selamat. Petang itu, seluruh penghuni LP tersebut berselerakan makan nasi beras wangi Siam!

Keesokan hari, 4 Disember 1978, Lt M Zaini dan anggota meneruskan rondaan untuk menjejak petualang negara hingga ke lokasi Markas Taktikal Kompeni Delta. Bagaimanapun, rondaan fasa ini turut diiringi oleh tiga anggota TBPP yang diketuai oleh Sjn Mokhtar; dua lagi beragama Buddha. Kehadiran mereka selari dengan prosedur Operasi Bersama. Apabila berada di kaki bukit, Lt M Zaini membuat keputusan  berhenti untuk berehat dan makan tengah hari. Mereka juga mengambil kesempatan untuk membersihkan diri masing-masing di anak sungai berhampiran. Selepas itu, Lt M Zaini serta anggotanya terus bergerak menyusuri denai di sebelah kiri sungai. Kedudukan Lt M Zaini dalam aturan pergerakan ialah nombor 14 dari anggota pertama. Empat di belakang Lt M Zaini, iaitu nombor 18 ialah L/Kpl Kassim, anggota TAMA (Technical Assistant Malaysian Artillery) diikuti Sjn Mokhtar dan seterusnya 23563 Kpl Othsman bin Mohamad juga dikenali sebagai ‘Man Dressing,’ Ketua Seksyen No 2.  

Semasa bergerak, mereka mengesan tiga jerangkap samar dan berjaya dimatikan. Itu yang dapat dikesan. Bagaimana yang tidak dapat dikesan? Persoalan ini terjawab pada lebih kurang jam 1:00 tengah hari. Semasa dalam pergerakan, mereka melihat akar-akar pokok bergantungan tetapi kebanyakan tidak menyentuhnya. Namun, bak kata pepatah, malang tidak berbau. Tanpa diduga, ‘haversack Sjn Mokhtar tersangkut pada salah satu akar-akar pokok itu. Kesepian hutan dikejutkan dengan: “Boom” disusuli dengan jeritan “Allah” oleh Sjn Mokhtar. Letupan yang memekakkan. L/Kpl Kassim di hadapannya pula mengalami cedera ringan.

Lakaran haversack Sjn Mokhtar, anggota TBPP, tersangkut pada akar yang tergantung yang mengaktifkan jerangkap samar pada 4 Disember 1978. Lakaran oleh S/Sjn Zainudin bin Ahmad (B)

Kecederaan Sjn Mokhtar sungguh mengerikan. Lt M Zaini yang melihat kecederaan itu menyatakan: “Inilah pengalaman yang tak dapat saya lupakan kerana jelas saya lihat organ dalaman manusia.” Mana tidaknya, beliau menggambarkan kecederaan  Sjn Mokhtar: “muka berdarah  dan lehernya koyak lebih kurang lima cm sehingga kelihatan ruang ‘larinks’ (larynx) yang bocor berwarna putih. Kelihatan kulit lehernya bergetar ketika beliau menarik dan menghembuskan nafasnya. Saya juga mendapati bajunya koyak di dada dengan darah mengalir keluar. Saya dapati kulit dadanya terkoyak lebih kurang 6-7 cm di ruang sternum serta  kelihatan jantungnya bergerak ikut denyutan nadinya.” Namun, sebagai ketua, Lt M Zaini memberanikan diri dan mengarahkan Kpl Othsman yang juga berkelayakan sebagai ‘Combat Medic,’ supaya mangsa diberi pertolongan cemas dengan membalut bahagian terbabit. Lt M Zaini juga mengarah mangsa diberi suntikan morfin. Bagaimanapun, Kpl Othsman menasihatkan sebaliknya kerana dadah tersebut boleh memberi kesan negatif terhadap jantung mangsa.

Sjn Mokhtar dan L/Kpl Kassim perlu dikeluarkan dengan segera untuk mendapatkan rawatan. L/Kpl Kassim walaupun mengalami kecederaan ringan perlu mendapat rawatan bagi mengelak kemungkinan berhadapan keracunan. Lokasi paling hampir ialah Markas Taktikal Kompeni Charlie. Dari situ si Nuri akan mengambil mangsa. Pada pengiraan Lt M Zaini perjalanan itu mengambil hampir dua jam. Itu tanpa mengambil kira kemungkinan mereka berhadapan dengan kecelakaan akibat jerangkap samar. Lantas, beliau  menghubungi Markas Taktikal Batalion memohon supaya helikopter mengambil mangsa di LP penempatan Kompeni Charlie.

Lt M Zaini seterusnya mengagih tugasan kepada anak buahnya sebagai persediaan untuk mengusung Sjn Mokhtar sementara L/Kpl Kassim masih mampu untuk mendaki bukit. Satu seksyen ditugaskan membuat strecer dengan menggunakan ponco manakala satu seksyen melaku rondaan keselamatan kawasan dan merintis laluan. Sementara itu, satu seksyen bergilir mengusung mangsa mendaki bukit ke lokasi pendaratan helikopter. 

Di Kroh, sebaik sahaja mesej diterima, ia dipanjangkan ke JTFHQ. Permohonan tersebut dilulus oleh PBUB. Tugasan seterusnya diberi kepada kru Nuri yang membuat detasmen di Kroh. Kru terbabit terdiri daripada Lt (U) Zainal bin Piee, Lt M (U) Yahya bin Haron dan Sjn Gregory Charles; pesawat Nuri ialah FM1717. Sebaik sahaja mendapat tugasan tersebut, Lt (U) Zainal Piee dan kru berlepas ke LP berkenaan. Apabila tiba di ruang udara LP yang terletak di atas bukit, beliau mendapati mangsa masih tidak berada di lokasi yang diberikan. Beliau menghubungi Lt M Zaini melalui radio HF bertanyakan kedudukan mereka. Lt M Zaini memberitahunya bahawa mereka masih berada di kaki bukit.

Dengan maklumat tersebut, Lt (U) Zainal Piee meninjau kedudukan trup tetapi beliau mendapat lokasi itu tidak sesuai untuk mengambil mangsa melalui kaedah ‘winching.’ Lantas, beliau mencadangkan supaya Lt M Zaini membawa mangsa ke satu kawasan lapang di lereng bukit yang tidak jauh dari tempat mereka. Lt M Zaini akur dengan cadangan itu. Dalam perkiraannya, masa untuk mengusung mangsa menaiki bukit ke kawasan lapang itu mengambil masa lebih kurang sejam 15 minit. Jangkaan masa mereka tiba di lokasi tersebut dimaklumkan kepada Lt (U) Zainal Piee. Sementara menunggu ketibaan mangsa di lokasi, kapten pesawat membuat keputusan untuk terbang balik dan menunggu di Kroh.

Setelah persiapan untuk mengusung mangsa siap, aturan pergerakan didahului oleh seksyen untuk merintis laluan dan menentukan keselamatan mereka. Seterusnya disusuli oleh seksyen mengusung mangsa. Dua lagi anggota TBPP turut mengiringi ketua mereka. Lt M Zaini dan 21 lagi anggota tunggu di kaki bukit kerana selepas itu, mereka akan meneruskan rondaan. Satu tugasan yang sungguh memeritkan. Mengusung strecer mendaki bukit yang agak curam sehingga dagu mencecah lutut. Mereka tiba di lokasi tepat satu jam 15 minit. Seperti yang dijanjikan,  mereka melihat Nuri berlegar-legar di lereng bukit. Lt (U) Zainal Piee yang melihat anggota sudah berada di lokasi, memulakan fasa ‘approach untuk mendarat. Memang kawasan pendaratan tersebut agak lapang tetapi disebabkan ia di lereng bukit, Nuri terpaksa mendarat dengan hanya satu gear mendarat yang mencecah bumi sementara gear mendarat yang satu lagi dan roda ekor dalam keadaan tergantung. Lt (U) Zainal Piee tiada pilihan. Beliau membawa pesawatnya supaya gear mendarat di belah kanan bertapak di atas bumi manakala gear mendarat di kiri dan roda ekor dalam keadaan tergantung.

Tetapi mereka masih ada satu senjata. Doa! Justeru, berkumat-kamit mulut Lt (U) Zainal Piee berdoa kepada Maha Pencipta: “Ya Allah...Lindungilah kami semua.” 

Dalam keadaan biasa, ini  tidak menjadi masalah. Bak kata ungkapan Inggeris: “No big deal.” Inilah kelebihan helikopter. Tetapi ini Op Selamat Sawadee di mana Burung Besi menjadi sasaran musuh negara. Pesawat bagaikan ‘sitting duck!’ Di kokpit, keadaan agak tegang. Lt (U) Zainal Piee dengan tangan kanannya menggenggamcyclic stick’ manakala tangan kirinya pula menggenggam ‘collective lever’ sambil sekali-sekala menjeling ke panel instrumen untuk menentukan ‘Ts & Ps’ dalam keadaan normal. Sementara itu, tangan kanan Lt M (U) Yahya pula memegang ‘speed selector levers’ sambil mengimbas ‘Ts & Ps’ dan menyatakan: ‘Ts & Ps normal.’ Senario Burung Besi yang sedang bertenggek di tebing bukit begitu menarik untuk menajamkan lagi kemahiran menembak. Jika sebutir peluru terkena salah satu enjin dan ia gagal berfungsi, kemungkinan besar Nuri akan bergolek ke kaki bukit. Bukan itu sahaja yang bermain dalam fikiran Lt (U) Zainal Piee. Beliau juga memikirkan sekiranya di waktu itu satu enjin meragam. Sama juga  mereka akan berakhir di kaki bukit. Jika itu berlaku, kemungkinan kru hanya tinggal dalam kenangan!

Lakaran kedudukan pesawat Nuri FM1717 mendarat dengan hanya gear mendarat sebelah kanan mencecah bumi untuk mengambil Sjn Mokhtar, anggota TBPP, yang cedera parah akibat jerangkap samar pada 4 Disember 1978. Lakaran oleh S/Sjn Zainudin bin Ahmad (B)  


Sebaik sahaja kedua-dua mangsa dengan diiringi oleh kedua-dua lagi anggota TBPP berada dalam pesawat, pesawat berlepas ke Kroh.  Ketibaan mereka ditunggu oleh staf JTFHQ dan sebuah kenderaan TBPP. Sjn Mokhtar dan dua orang anggotanya menaiki kenderaan TBPP untuk dibawa ke Betong. L/Kpl Kassim pula dihantar ke RSAT di JTFHQ. Manakala trup di lokasi pendaratan mengorak langkah menuruni bukit di mana Lt M Zaini sedang menunggu mereka di tebing sungai lebih kurang 10-15 meter dari tempat kejadian.

“Tuan...Syukur alhamdulillah. Pilot itu mahu turun untuk ambil mangsa tanpa memikirkan risiko yang dia akan hadapi. Kami sempat hulurkan strecer terus ke perut Nuri itu,” lapor ketua seksyen yang dipertanggungjawab mengusung mangsa sebaik sahaja bertemu Lt M Zaini (kiri).

Kepantasan Nuri mengambil mangsa telah berjaya menyelamatkannya. Menurut Lt M Zaini: “Selesai operasi, kami terima berita beliau dapat diselamatkan dan keadaannya stabil.” Beliau seterusnya merakamkan: “... penyerahan mangsa dalam strecer itu kepada pesawat udara sangat tepat pada masanya, very precise and timely, handed over to the air crew, tanpa pesawat menunggu walaupun seminit.”   

Lt M Zaini (kiri) turut merakamkan penghargaan terhadap keberanian dan dedikasi Lt (U) Zainal Piee yang kebetulan kawan sekelas di Tingkatan Empat di Jasin Secondary English School, Jasin, dan kru Nuri dengan menyatakan:

 “Pujian dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga juga perlu diberikan kepada juruterbang pesawat Nuri ketika itu kerana berjaya mengeluarkan mangsa dalam situasi yang getir. Situasi berhadapan dengan musuh yang tidak diketahui bila serangan akan dilaksanakan dalam keadaan hutan tebal sangat membahayakan pesawat sepertimana yang telah berlaku sebelum kejadian ini.

            Kru FM1717 pada 4 Disember 1978. Dari kiri: Lt Kol Yahya bin Haron TUDM (B), Kol Zainal bin Piee TUDM (B), PW U I Gregory Charles (B)

















Jerangkap samar musuh paling asas dan sumber mudah diperoleh tetapi tetap berkesan ialah ranjau atau punjis. Buluh yang telah diruncing ditanam. Sumber: Mej Baharudin bin Noryat (B), Kurator, Muzium RAJD, Kluang

            

Lt Kol Zaini bin Hassim (B)

    

Jerangkap samar yang menggunakan arus kuasa bateri. Sumber: Mej Baharudin bin Noryat (B), Kurator, Muzium RAJD, Kluang 


Jerangkap samar musuh paling asas dan sumber mudah diperoleh tetapi tetap berkesan ialah ranjau atau punjis. Buluh yang telah diruncing ditanam. Sumber: Mej Baharudin bin Noryat (B), Kurator, Muzium RAJD, Kluang

Rujukan:

 

1.         Temu bual dengan Kol Zainal bin Piee TUDM (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 6 Mei 2021.

2.         Temu bual dengan Lt Kol Zaini bin Hassim (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 25 Mei 2021.

3.         Temu bual dengan SAC (B) Norizan bin Murad  melalui aplikasi WhatsApp pada 25 Mei 2021.

4.         Temu bual dengan S/Sjn Zainudin bin Ahmad (B)  melalui aplikasi WhatsApp pada 25 Mei 2021.

5.         Kol Zainal bin Piee TUDM (B). Buku Log Penerbangan Anak Kapal.

 


Tiada ulasan: