Pengikut

Rabu, 7 Julai 2021

IMBAUAN BUKU LOG PENERBANGAN

 

Draf Prakata buku yang sedang diusahakan untuk diterbitkan nanti, in syaa Allah. Bila? Tertakluk bila PKP berakhir, wallahualam. 


PRAKATA 


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

 

Lafaz syukur saya ucapkan ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya saya masih diberi kekuatan untuk menerbit buku yang merupakan koleksi coretan-coretan terpilih dalam blog saya - Coretan Xnuripilot. Saya sejujurnya sudah ketandusan modal untuk mencoret kisah penglibatan helikopter Nuri@Burung Besi dalam usaha kerajaan menentang ancaman insurgensi komunis terhadap negara Malaysia tercinta ini di suatu ketika dulu.  Di Semenanjung Malaysia ancaman tersebut berakhir apabila termeterainya Perjanjian Damai antara Kerajaan Malaysia dengan PKM di Hotel Lee Gardens, Hat Yai pada 2 Disember 1989. Dengan ternoktahnya perjanjian tersebut, adalah menjadi harapan saya agar negara tidak lagi berhadapan dengan ancaman daripada pihak yang masih tegar menjadikan negara tercinta ini ‘menganut’ ideologi komunisme. Ideologi yang tidak percaya kepada sebarang agama! “Nauzubillah min zalik (Kami berlindung dengan Allah daripada perkara [perkara buruk] tersebut [daripada menimpa kami]).”

 

            Pada saya, rakyat yang cinta kepada tanah air perlu terus diperingatkan ancaman insurgensi komunis itu. Minda mereka perlu diasak supaya mengimbau apa yang berlaku semasa era itu. Kesejahteraan kehidupan yang mereka nikmati sekarang tidak datang bergolek begitu sahaja. Banyak darah mengalir bagi menentukan petualang negara gagal dalam objektif mereka.  Bagi tujuan itu, saya hanya mampu berulang kali kongsi pengalaman saya dan rakan seperjuangan yang pernah kami alami di waktu itu.  Di era persekolahan saya dahulu, istilah digunakan ialah ‘cheap matinee’, kini lebih dikenali sebagai ulang tayang. Walaupun ulang tayang, saya sedaya upaya cuba mengemas kini kisah-kisah tersebut berlandaskan kepada maklumat-maklumat mutakhir yang diterima daripada para pelaku sesuatu insiden.  Saya percaya ramai di luar sana yang ‘tertinggal’ membaca coretan-coretan dalam blog saya atau buku-buku saya terdahulu.

 

            Tumpuan utama buku ini ialah penglibatan helikopter Sikorsky S61A-4 Nuri@Burung Besi dan pengiringnya, helikopter gempur Alouette III semasa Op Selamat Sawadee (24 April 1978 - 5 Julai 1980). Operasi ini menyaksikan Nuri berterusan menjadi mangsa buruan pengkhianat negara. Selain itu, turut memuatkan kisah pesawat Canadair CL-41G Tebuan, De Havilland Canada DHC-4A Caribou dan Douglas A-4 Skyhawk.

 

Ramai mereka yang terbabit dalam penceritaan sudah pergi menyahut panggilan Ilahi. Manakala kelima-lima jenis pesawat kini tidak lagi berada dalam inventori TUDM. Perkhidmatan mereka telah ditamatkan. Bagi mereka yang pernah terlibat dengan pesawat-pesawat tersebut, kini hanya tinggal dalam kenangan!

 

            Saya bersyukur kerana daripada pemerhatian saya, ramai rakyat terutama golongan muda yang dahagakan kisah-kisah membabitkan pasukan keselamatan. Perkembangan ini sangat membanggakan. Pada saya, negara boleh dianggap bernasib baik kerana ramai para veteran yang terlibat semasa konfrontasi oleh Indonesia ke atas Malaysia dan ancaman insurgensi komunis di seluruh Malaysia masih hidup. Ramai antara mereka yang sedia berkongsi pengalaman. Harapan mereka agar pengalaman yang dikongsi itu akan dapat menaikkan semangat patriotisme di kalangan para pendengar. Mungkin pihak berwajib dapat mempertimbang supaya diwujudkan platform yang sesuai untuk mereka. Tetapi diharapkan program itu secara berterusan, bukan bermusim!

 

            Saya juga mengharapkan supaya para veteran mendokumentasi pengalaman mereka dalam bentuk buku supaya dijadikan bahan rujukan untuk generasi akan datang. Malang sekali jika pengalaman itu berkubur dengan jasad apabila tiba masanya jika tidak dibukukan. Dan destinasi terakhir menghampiri setiap saat!

 

            Saya ingin merakam penghargaan kepada rakan-rakan seangkatan yang sedia kongsi pengalaman mereka dan melayan kerenah saya tanpa mengira waktu. Terima kasih kepada Brig Jen Dato’ Ibrahim bin Hashim TUDM (B), Kol Mohd Amin bin Mohd Razi TUDM (B), Kol Zainal bin Piee TUDM (B),  Lt Kol Chong K.L. TUDM (B),  Lt Kol Nik Ibrahim bin Hassan (B), Lt Kol Zaini bin Hasim (B), Lt Kol Abu Bakar bin Hashim TUDM (B), Mej Ahmad Mohaini bin Mohamed Nor (B), Mej Govindaraj A/L Kanappan (B), Kapt Dato’ Faisal bin Yusof, PW U I Mohsain bin Hashim. Dan ramai lagi yang tidak dapat disenaraikan di sini.

 

            Setinggi-tinggi penghargaan dirakamkan juga buat Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang PTU TUDM, Panglima Angkatan Tentera yang sudi berkongsi pengalaman walaupun sibuk dengan urusan negara. Tidak ketinggalan kepada Lt Kol Muhd Zuraiman bin Abdul Ghani dan saudara Aidy Abdullah yang menyumbang beberapa rekaan untuk kulit buku sementara S/Sjn Zainudin bin Ahmad memberi pandangan membina.

 

            Selain itu, penghargaan kepada isteri tercinta, Siti Roffini bt Mohd Yusof yang sentiasa menyokong usaha saya ini.

 

Sekali lagi saya mengharapkan agar buku ini dapat mencetuskan ramai lagi para veteran mencoret pengalaman mereka untuk tatapan rakyat yang menyintai negara ini. Demi tanah air tercinta.

 

 

 

MEJ DR. NOR IBRAHIM BIN SULAIMAN PTU TUDM (B)


Bila PKP berakhir, akan dapatkan sebut harga dari pencetak, in syaa Allah. Cadang nak cetak 400 naskah sahaja. Rasanya tak diulang cetak, wallahualam.

Tiada ulasan: