Pengikut

Khamis, 2 September 2021

Habis le aku...

Pada tahun 1981, Tentera Darat Malaysia (TDM) giat memperbesarkan keanggotaannya; baik pegawai mahu pun Lain Lain Pangkat. Untuk pegawai, sasaran ialah 2000 pegawai. Keadaan ini membuatkan PULADA, Ulu Tiram tidak mampu melaksanakan kursus seperti 'Kursus Tempur Pegawai Muda' (YO Tactic Course untuk para pegawai yang baru ditauliah. Bagi mengatasi masalah tersebut, TDM telah menubuh Sekolah Tempur Pegawai Muda (STPM), Kota Belud, Sabah. Pegawai yang dipertanggungjawabkan sebagai komandan ialah Lt Kol Amir Baraharudin@Amir Guntur

Bagaimana agaknya Lt Kol Amir Guntur? Jawapannya digambarkan oleh Lt M Tengku Kamarulzaman bin Sultan Abu Bakar, 1 Peninjau. Beliau telah mengikuti kursus tersebut siri KTPM/2/81 (19 Ogos-30 Sep 1980). Beliau menyatakan bahawa, "...komandannya adalah orang Pahang, garang dan bengis, seorang komando dan freefaller, US Army Airborne Ranger trained, menggunakan cogan kata 'Sasaran Ku Langit' dan pendekatan latihan ‘when the going gets tough, the tough gets going’."  Menurut Lt M Tengku Kamarulzaman kursus itu "setanding beratnya dengan kursus komando." 


Mej Jen Dato' Amir Baharudin@Amir Guntur (B) 

Lt M Tengku Kamarulzaman menceritakan pengalaman beliau kepada kekandanya, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang ketika itu merupakan DYMM SPB Yang DiPertuan Agong Ke 7. Biar betul. Kursus YO Tac ala komando? Ini membuat tuanku berhasrat untuk menyaksikan kehebatan kursus ala komando itu. Hasrat ini tidak  menghairankan. Kerana baginda adalah mantan  pegawai tentera pernah berkhidmat sebagai pegawai muda 4 RAMD. Selain itu baginda pernah menjawat jawatan sebagai Pegawai Memerintah 12 Rejimen Askar Wataniah semasa era konfrontasi. 

Tarikh lawatan ke STPM: 30 September 1982; masa: 10:30 pagi

Di STPM, Kota BeludLt Kol Amir Guntur mundar mandir bagi menentukan semua persediaan untuk demonstrasi dan menerima tetamu terhormat berjalan lancar. Mana tidaknya. Mungkin lawatan SPB YDP Agong merupakan buat pertama kali Panglima Tertinggi ATM (Supreme Commander) turun padang hanya untuk menyaksi demonstrasi oleh siswa-siswa kursus YO Tac. Sudah tentu ini satu  penghormatan kepada STPM amnya, Lt Kol Amir Guntur khususnya.

Senario demostrasi tersebut memaparkan serangan yang dilakukan oleh satu pelatun pegawai siswa ke atas kedudukan musuh dengan dibantu oleh senjata-senjata bantuan seperti General Purpose Machine Gun 7.62 mm, Mortar Commando 60 mm dan Carl Gustav 84 mm. Sebelum penggempuran, tindakan pembersihan jerangkap samar. Peluru hidup digunakan bagi keseluruhan pertunjukan serangan tersebut. 

Perlaksanaan demonstrasi dipertanggungjawabkan kepada Mejar Ramli Muhamad selaku Ketua Jurulatih. Bagi memudahkan mengawasi perlaksaan dengan lebih berkesan semasa demonstrasi, beliau dan pegawai-pegawainya menunggang kuda. 

Di No 5 Skuadron, TUDM Labuan. Butir-butir tugasan: 

VVIP (SPB YDP Agong) + senior paxs
2 x Nuri
Nama panggilan: Harimau 558 Juliet One dan Juliet Two. 
Pintu tutup (door close) Kota Kinabalu: 10:00 pagi
Laluan: Kota Kinabalu - Kota Belud - Kundasang.  

Pada lebih kurang jam 8:00 pagi, dua buah Nuri berlepas dari Labuan. Pesawat pertama, FM1742 dikendalikan oleh Mej (U) Nor Ibrahim bin Sulaiman/Lt (U) Ali/Sjn Yeap/Sjn Hood. Turut mengikuti penerbangan ialah Lt Kol (U) Hussein bin Supian, Pegawai Memerintah. Manakala pesawat kedua dikendalikan oleh Kapt (U) Hashim Darus. Nuri kedua memainkan peranan sebagai pesawat 'standby' sekiranya Juliet One buat ragam.

Kedua-dua Nuri selamat mendarat di Kota Kinabalu pada lebih kurang jam 8:30 pagi. Biasalah...untuk penerbangan VIP/VVIP pesawat perlu sedia sekurang-kurangnya 1 jam sebelum penerbangan. Sebaik sahaja mendarat, katerer dari 'Gardenia' menghantar 'inflight meals' untuk VVIP dan rombongan. Boleh tahan juga sedapnya. Sementara menunggu ketibaan pesawat F28 dari Kuala Lumpur, kru bersembang kosong dalam pesawat manakala Lt Kol (U) Hussein menyertai rombongan Ketua Menteri, Datuk Harris bin Mohd Salleh dan Brig Jen Abul As bin Ismail, Panglima 5 BIM, yang baru tiba.

Tidak lama kemudian, pesawat F28 yang membawa VVIP mendarat. Antara anggota rombongan VVIP ialah Jen Dato' Zain bin Mahmud Hashim, Panglima Tentera Darat. Seterusnya kedua-dua rombongan serta Brig Jen Abul As menaiki pesawat FM1742. Juliet Two tidak membawa penumpang. Formasi dua Nuri berlepas ke Kota Belud. Sepanjang penerbangan cuaca baik sekali dengan Gunung Kinabalu jelas kelihatan.

Pesawat mendarat lebih kurang jam 10:20 minit. Sebaik sahaja pesawat mendarat, Lt Kol Amir Guntur mengiringi para tetamu ke galeri yang telah disediakan. Kru kedua-dua pesawat pula menunggu dalam pesawat masing-masing.

SPB YDP  turun dari pesawat. Sumber: Mej Jen Dato' Amir Baharudin@Amir Guntur (B) 
 
Kru Juliet One. Dari kiri: Sjn Hood, Lt (U) Ali bin Ghani, Lt Kol (U) Hussein bin Supian, Mej (U) Nor Ibrahim bin Sulaiman, Sjn Yeap Thean Leong. Sumber: Scrap book No 5 Skuadron


Semasa memberi taklimat kepada Baginda YDP Agong, Lt Kol Amir Guntur sempat memerhati baginda begitu tertarik dengan pergerakan Mejar Ramli Muhamad dan pegawai-pegawainya berkuda. Sebaik sahaja taklimat selesai, baginda bertanya kepada komandan  tentang fungsinya mereka itu. "Ini satu peluang. Tak boleh lepas peluang ini", fikir Lt Kol Amir Guntur. Beliau menjelaskan bahawa penggunaan kuda bagi mengawal pengendalian latihan medan, khususnya latihan menggunakan peluru hidup. Kaedah berkuda terbukti sangat sesuai dan berkesan di persekitaran kawasan latihan di Kota Belud. Seterusnya, secara berseloroh beliau membuka mulut memohon seandainya baginda berkenan memberi STPM kuda-kuda polo baginda di Pekan, Pahang yang sudah tidak diperlukan lagi. Tanpa diduga, reaksi baginda adalah positif. 

Lebih mengujakan Lt Kol Amir Guntur ialah apabila Datuk Harris Salleh secara spontan mencelah dan menawarkan kuda-kuda dari ladang ternakan kuda kerajaan Sabah di Australia untuk STPM. Beliau berkata paling lambat dalam masa dua bulan STPM akan dapat 20 ekor kuda. Tawaran tersebut membuat baginda menitahkan Lt Kol Amir Guntur supaya berurusan seterusnya langsung dengan pejabat Ketua Menteri, Sabah. Sambil ketawa, baginda mahu Lt Kol Amir Guntur lapor terus kepada baginda jika berhadapan masalah menuntut janji itu.

Setelah taklimat selesai, tiba masanya demonstrasi bermula. Sedang hingar-bingar letupan bertubi-tubi dek peluru dan mortar, tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Lt Kol Amir Guntur memaklumkan kepada baginda untuk menghentikan demonstrasi tetapi baginda mengarah supaya diteruskan. Baginda begitu teruja menyaksi demonstrasi tersebut. 

Demonstrasi berakhir dan tiba masa makan tengah hari. Trust  Lt Kol Amir Guntur! Beliau tidak menyediakan makanan istimewa. Tiada pinggan mangkok 'chinaware' untuk YDP Agong. Ini bukannya hotel lima; ini di medan. Semua para hadirin makan dalam 'messtin' dan minum pula mengguna 'water bottle mug'. Apa yang dimakan oleh anggota pasukan pasukan di medan, itu yang dijamukan kepada VVIP. Menu yang dihidang hanya bahan makanan yang terdapat dalam kotak rangsum yang dimakan oleh anggota ATM semasa membuat operasi. Antara menu termasuk 'dog biscuits’, teh, kopi dan 'orange powder.' Menu untuk pencuci mulut pula ialah nenas dalam tin. Tiada 'extra messing.' 

Messtin dan water bottle mug

Jika ada di antara  anggota rombongan yang agak gusar dengan cara Lt Kol Amir Guntur melayan VVIP yang dianggap 'sangat luar biasa', mereka silap besar! Bukan sahaja baginda begitu teruja, malah memberitahu: "...just like the old days when I was in 4 RMR during the first emergency."

YDP Agong berkata sesuatu sehingga Lt Kol Amir Baharudin tersenyum lebar
Sumber: Mej Jen Dato' Amir Baharudin@Amir Guntur (B)  

YDP Agong dan Datuk Harris Salleh memilih lauk-pauk yang terhidang secara 'buffet' dalam messtin. Sumber: Mej Jen Dato' Amir Baharudin@Amir Guntur (B) 

Dalam pesawat pula, kru kedua-dua Nuri menikmati inflight meals VVIP

Hujan masih turun dengan lebat. Kru bersembang kosong dalam pesawat. Tiba-tiba Lt Kol (U) Hussein beritahu YDP Agong akan tiba bila-bila masa untuk berlepas. Dalam hujan lebat? Tidak sempat berfikir panjang, beberapa minit kemudian baginda menaiki pesawat. Sebaikan sahaja melihat kapten pesawat, baginda memberitahu: "You're good pilot. Let's go." Lt Kol (U) Hussein hanya pandang pada kapten pesawat. Apakah tindakan kapten pesawat dalam keadaan zero visibility.’ Mungkin itu yang difikirkannya.

Walaupun hujan lebat dan jarak penglihatan sangat terbatas, namun tidak kedengaran dentuman petir. Melalui pengalaman, Mej (U) Nor Ibrahim percaya hujan hanya 'localized' sahaja dan sedia maklum tiada tanah tinggi melebihi 1000 kaki di sepanjang laluan ke Kota Kinabalu. Dengan itu, pesawat dihidupkan untuk berlepas. Sebaik sahaja mendengar enjin pesawat, Kapt (U) Hashim menghubungi Mej (U) Nor Ibrahim: "Juliet One, confirm you're taking off." Beliau tidak dapat melihat Juliet One dek hujan lebat walaupun hanya 50 meter di belakang! 

"Affirmative" respons Juliet OneDengan itu, Kapt (U) Hashim turut menghidupkan pesawatnya. 

Mej (U) Nor Ibrahim seterusnya menarik 'collective lever' untuk menaikkan pesawat secara kaedah 'towering take-off' sebelum menolak 'cyclic' untuk mendapatkan kelajuan. Lt (U) Ali pula menala kompas radio (automatic direction finder) ke frekuesi stesen 'Radio Kinabalu'. Dalam keadaan IMC (instrument meteorological conditions) ini, tumpuan diberi sepenuhnya kepada instrumen terutama 'artificial horizon'. Penerbangan berpandukan kepada jarum kompas radio yang menunjukkan stesen Radio Kota Kinabalu. Keadaan ini tidak berpanjangan. Lebih kurang lima minit, cuaca cerah secerahnya. Di kiri kelihatan Gunung Kinabalu yang kemuncaknya diselimuti awan putih dan di hadapan pula bangunan Yayasan Sabah. 

Juliet One berlepas dalam hujan lebat. Sumber: Mej Jen Dato' Amir Baharudin@Amir Guntur (B) 
 

Dengan cuaca baik itu, Mej (U) Nor Ibrahim menukar arah pesawat ke Kundasang. Juliet Two pula mengekori. Apabila hampir sahaja Kundasang, awan tebal meliputi kawasan tersebut. Oh...Oh...masalah. Dalam keadaan begini,  Mej (U) Nor Ibrahim tiada pilihan tetapi terpaksa membuat ‘u-turn’ bagi mengelak daripada termasuk ke dalam awan tebal. Seterusnya beliau cuba pula masuk melalui Ranau. Sama juga. Kundasang masih diselubungi awan. Menyedari masalah yang dihadapi oleh kapten pesawat, Datuk Harris Salleh menyarankan supaya mendarat di Tuaran dan menghubungi Menara Kawalan supaya mereka menghubungi pejabat beliau untuk mengatur kenderaan di Tuaran. Dari situ, rombongan YDP Agong akan menaiki kenderaan ke Kundasang. 

Mej (U) Nor Ibrahim memberitahu Ketua Menteri beliau akan cuba buat kali ketiga. Sekiranya masih gagal, mereka akan mendarat di Tuaran. Beliau memaklumkan kepada kapten Juliet Two apa yang berlaku yang ketika itu mengekorinya dari jarak yang selamat. Tanpa diduga, beliau ternampak ‘lubang’ yang dicari-cari. Kedua-dua pesawat selamat mendarat di LP berhampiran dengan hotel penginapan, Perkasa Hotel. Syukur alhamdulillah.

Sebaik sahaja mendarat, sebelum turun pesawat baginda menoleh ke arah Mej (U) Nor Ibrahim yang masih berada di kokpit.  "See you tonight", pesan baginda. "Baik tuanku", respons kapten pesawat. 

Setelah semua penumpang turun,  Lt Kol (U) Hussein pula 'mengingatkan’ kapten pesawat: "Jangan buat lagi!" Well...

Seperti yang dititahkan, malam itu Mej (U) Nor Ibrahim hadir 'private dinner'. Hanya ada beberapa meja sahaja. Keadaan ini membuatkan beliau agak kekok. Namun dalam apa jua keadaan sudah pasti ada hikmahnya. Malam itu Mej (U) Nor Ibrahim banyak membuat latihan kepala. Mana tidaknya. Topik perbualan yang semeja dengannya di luar frekuensi beliau. Jadi, untuk tidak dilihat agak 'kurang asam', beliau hanya sekadar menoleh ke kiri dan kanan apabila tetamu di sebelahnya berkata sesuatu serta mengangguk menunjukkan bersetuju. Selain itu sentiasa senyum.😊 

Keesokan hari, 1 Oktober, Juliet One dan Juliet Two berlepas ke Brumas dan terbang balik ke Kundasang untuk bermalam. Pada 2 Oktober, lawatan VVIP berakhir. Nuri berlepas dari Kundasang ke Kota Kinabalu di mana pesawat Fokker F28 sedia menunggu untuk membawa YDP Agong terbang balik ke Kuala Lumpur. Sepangjang tiga hari penerbangan, kru mencatat sejumlah 6 jam 40 minit jam penerbangan. 

*******

Pertengahan bulan November 1982. Di SPK, Kota Belud.  

Lt Kol Amir Guntur terima panggilan talifon daripada Pejabat Ketua Menteri. "Kolonel. 20 ekor kuda dari Australia yang dijanjikan oleh Ketua Menteri tempoh hari sudah sampai. Esok kami akan hantar ke Kota Belud." Terkejut Lt Kol Amir Guntur dan staf beliau. Ketua Menteri betul-betul menepati janjinya! Ini sama sekali di luar jangkaan mereka kerana kuda-kuda itu tiba lebih awal dari yang dijanjikan. Lt Kol Amir Guntur bernasib baik kerana di kalangan anggota STPM ada seorang sarjan, iaitu Sjn Mohd Yusof dan dua orang perajurit kerahan daripada Rejimen Askar Wataniah yang pernah berkerja dengan Kelab Polo DiRaja Pahang di Pekan. Kesemua mereka mahir berkuda, menunggang dan bermain polo. Di samping itu, salah seorang daripada jurulatih beliau, Kapt Abdul Hamid (Peninjau) adalah juga seorang yang mahir berkuda. Beliau bersama Sarjan Mohd Yusof dengan dibantu oleh dua orang perajurit berkenaan diberi tugas khas untuk mengurus kuda-kuda tersebut.

*******

Lebih kurang 10 tahun kemudian (1991). Di Institut Teknologi Udara (ITU), TUDM Kinrara. 

Mej Nor Ibrahim TUDM berdiri di belakang meja Komandan, Lt Kol Ramli TUDM. Beliau ketika bertugas sebagai Juruarah ‘Squadron Officers School(SOS)’, ITU. Pada hari itu, baginda Sultan Pahang membuat lawatan rasmi ke ITU dan SPK (Sekolah Pegawai Kadet). Tugas Mej Nor Ibrahim  adalah menyediakan 'Buku Lawatan' untuk baginda menanandatangani di Bilik Komandan. Beliau berseorangan di bilik itu menunggu ketibaan rombongan VVIP. Tidak lama kemudian, baginda yang diiringi oleh Lt Jen Dato' Mohammed Yunus Tasi selaku Panglima Tentera Udara (PTU) serta beberapa pegawai kanan TUDM masuk. Mereka duduk berehat sebentar sebelum baginda menandatangani Buku Lawatan. Baginda duduk berhadapan dengan Mej Nor Ibrahim

Melihat Mej (U) Nor Ibrahim, baginda bertanya: 'Rasanya pernah nampak mejar sebelum ini. Di mana? 

'Ya Tuanku...di Kuantan dan Sabah’, jawab Mej Nor Ibrahim

Sebaik sahaja mendengar saja jawapan itu, baginda terus menoleh kepada PTU dan bertanya sama ada PTU masih ingat cerita baginda ketika menaiki Nuri dalam keadaan cuaca buruk.

"Ya tuanku", jawab PTU. 

"He's the pilot",  secara spontan tercetus dari baginda.

"Oh...Oh...Habislah aku kali ini." Terhenti degupan jantung Mej Nor Ibrahim seketika dan berpeluh walaupun bilik berhawa dingan. Di waktu yang sama terus terasa mahu membuang air kecil!😟 Ini bermakna penerbangan tersebut adalah satu-satunya pengalaman yang  tidak dapat dilupai oleh baginda. Dan beliau telah menceritakan kepada 'RMAF top brass'. Tetapi kebimbangan Mej Nor Ibrahim tidak berasas. Sebaliknya baginda bertanya khabar dan jawatan sekarang. Malahan baginda bertanya kepada PTU mengapa saya tidak dinaikkan pangkat. Lega. ðŸ˜¬

Mengimbau kisah ini, Mej Jen Dato' Amir Guntur yang menyandangkan jawatan terakhir sebelum bersara sebagai Panglima, Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat, menyatakan: "Very nostalgic. I consider it my most challenging yet enjoyable appointment starting with the barest facilities in the ulu and ending up with the most talked course in the Army. Every level of MAF leadership, including the Agong wanted to see what Sasaran Ku Langit is all about. I had a great team, 3 of them became PTD and 2 PAT. Proud of them. I’m proud to say that 4 of my students were awarded PGB immediately on joining their units after attending my courses."

Kebanggaan Mej Jen Dato' Amir Guntur (B) ada asasnya. Memetik Jen Tan Sri Dato' Sri (Dr) Zulkifeli bin Mohd Zin (B), mantan PAT yang pernah menjadi jurulatih di bawahnya di SPTM: "Saya menganggapkan pengalaman pembelajaran saya melalui tutelage Mej Jen Dato’ Amir Guntur (Bersara) adalah yang terbaik. Dia telah membentuk saya dan menyumbang secara peribadi terhadap kejayaan saya didalam ATM. Saya amat terhutang budi dan berterima kasih kepada beliau."

Apa pula kata seorang graduan STPM? Memetik Lt Kol Mohd Nordin bin T P Kunjipathy (B), mantan RAJD: "Saya bekas siswa MAKP Siri 1, STPM Kota Belud. Banyak kenangan pahit 'neraka dunia' semasa bersama Komandan dan jurulatih. Pun begitu, I am proud to be one of the 'Gunturion'. SASARANKU LANGIT. Salute kepada Mej Jen Dato' Amir Guntur Kamparputra."

Tahun 1984 menyaksikan kursus YO Tac terakhir dijalankan oleh STPM. Pada tahun itu, 'neraka dunia' mengucap 'sayonara' kepada Kota Belud dan berpindah ke PULADA, Ulu Tiram, Johor. Namun demikian, kursus di Kota Belud memberi impak kepada para siswa. Ini terbuktinya dengan kewujudan istilah 'Gunturion.'  Satu penghormatan untuk Mej Jen Dato' Amir Guntur Kamparputra. 

Kepada Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan para pelaku yang telah menyahut panggilan Ilahi...


Buku karya Mej Jen Dato' Amir Guntur. Manuskrip kini sedang disaring oleh Markas Tentera Darat

Rujukan:

1.   Temu bual dengan Mej Jen Dato' Amir Baharudin@Amir Guntur (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 8 Mac 2021.

2.    Manuskrip daripada Mej Jen Dato' Amir Baharudin@Amir Guntur (B) diterima pada 1 September 2021.

3.    Mej Dr Nor Ibrahim bin Sulaiman PTU TUDM (B), Buku Harian Penerbangan Anak Kapal.

Tiada ulasan: