Sambungan dari SINI...
Pada malam 19 Jun 1978, mereka semua bertolak dari Kroh
dengan kenderaan dan tiba di Ban Chan
Tharat hampir tengah malam. Mereka meneruskan pergerakan ke lokasi sementara di
kaki sebuah bukit. Mereka tiba di lokasi tersebut pada awal pagi 20 Jun 1978.
*****
Mej Duraisamy seterusnya mengarah Lt Rajasaikaran memasuki ‘Sektor Bravo’ untuk
meluaskan kawasan operasi. Bagi tujuan itu, Lt Basri
Asari ditumpangkan kepada Lt Rajasaikaran untuk
membantunya jika bantuan meriam diperlukan. Tanpa berlengah, Lt Rajasaikaran
dan anggotanya bersama Lt Basri Asari dan timnya bergerak ke sektor terbabit. Apabila
dimaklumkan kepada Ketua Skuadron yang mereka telah tiba di lokasi itu, Lt
Rajasaikaran telah diarah untuk mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk penghantaran ulang bekal yang akan
digugurkan oleh Nuri.
Setelah berehat sebentar, pada lebih kurang jam 1:00
tengah hari, Lt Rajasaikaran mengetuai RKK (Ronda Kumpulan Kecil) terdiri
daripada 5 anggotanya dan seorang anggota TBPP, bergerak bagi melaksana tugasan
seperti yang diarahkan. Anggota terbabit ialah: 25867 L/Kpl Sofri bin Jaafar; 29571
Tpr Mohd Effendi bin Awang Abdullah; 30717 Tpr Mohd Amin bin Hassan;32537 Tpr
Minhat bin Abdullah; 930286
Tpr Jasman bin Safar; Pbt Wah Jirat Omar@Abd Kadir (TBPP).[1]
Aturan pergerakan di dahului oleh L/Kpl Sofri diikuti
Lt Rajasaikaran, Pbt Wah Jirat, Tpr Mohd Effendi, Tpr Mohd Amin, Tpr Minhat dan
Tpr Jasman di belakang sekali. Setelah bergerak hampir 30-40 minit, mereka menghampiri
kawasan lapang. “Pelik, kawasan lapang di tengah hutan dara? Ada yang tidak
kena,” terfikir Lt Rajasaikaran.
Lt Rajasaikaran memberi isyarat untuk berhenti dan mengarah anggota berkedudukan sebaris (standard line) untuk menggeledah kawasan tersebut.
Mereka menggeledah kawasan itu dengan teliti namun tidak menemui sebarang kesan
kehadiran pengganas komunis. Dengan itu, mereka meneruskan rondaan dengan lebih
berhati-hati.
Setelah mengenal pasti satu lokasi yang sesuai, RKK
berehat sebentar sebelum bergerak semula ke pangkalan. Setelah bergerak hampir
30-40 minit, mereka tiba di lokasi
kawasan lapang itu. L/Kpl Sofri yang masih
mendahului pergerakan, tiba-tiba memberi isyarat untuk berhenti dan menunjukkan
sesuatu kepada Lt Rajasaikaran. Mereka mendapati terdapat dua beg galas
terletak berhampiran sebatang pokok. “Dari mana pula datang beg-beg ini?”
Sungguh menghairankan. Kerana
penggeledahan sebelum itu tidak diketemukan sebarang beg. Salah satu barang
dalam karung itu terdapat sehelai tuala ‘Good Morning’ yang
masih basah. Pbt Wah Jirat dengan menggunakan senjata mengambil tuala itu.
Ini membimbangkan Lt Rajasaikaran. “Ah...ini satu tipu
helah musuh. Mungkin aku berada dalam zon bunuh,” bermain dalam fikiran.
Lantas Lt Rajasaikaran memberi isyarat kepada semua
anggota untuk berkedudukan pelindungan sekeliling (all round defence). Di waktu yang sama beliau telah
menghubungi pangkalan terup dengan menggunakan 'walkie talkie' memaklumkan untuk bersiap sedia sebarang
kemungkinan.
Naluri beliau tepat sekali. Salah seorang
anggotanya, Tpr Md Amin yang berada di
sebelah hujung telah ternampak 2 orang musuh menuju ke arahnya. Dalam keadaan
begitu getir, beliau tidak sedia menunggu musuh menembaknya dahulu. Siapa cepat
dia selamat. “Bang...bang...bang.” Lantas beliau lepaskan tembakan dan berlaku tembakan
antara kedua-duanya. Lain anggota terus menembak ke hala tembakan musuh itu.
Kekuatan musuh bukan 2 orang itu sahaja. Itu yang
dialami oleh komando. Kini mereka berhadapan dengan tembakan bertubi-tubi dari
lereng bukit. Mereka telah diserang hendap! Dari kuasa tembakan musuh Lt
Rajasaikaran menganggar kekuatan musuh adalah lebih besar dari kekuatan beliau
yang hanya 6 orang. Beliau perlu membuat sesuatu supaya musuh tidak ketahui
kekuatan RKK. Justeru, Lt Rajasaikaran telah mengarah Pbt Wah Jirat menembak pelancar
grenad M79 ke arah musuh di lereng bukit. (Peluru M79 TBPP memberi kuasa tembakan yang
kuat berbentuk semburan apabila di tembak). Beliau juga mengarahkan Tpr Minhat
membaling bom tangan ke arah musuh di lereng bukit.
Pertempuran berlanjutan lebih kurang 7-10 minit. Keadaan
begitu getir sekali. Tetapi bernasib baik. Sebaik sahaja menerima mesej
daripada Ketua Trup mereka melalui walkie talkie, Kpl Md Isa, Hassan
Leong dan beberapa anggota yang berada di pangkalan sementara lain bergegas ke lokasi yang dimaksudkan. Sebaik
sahaja mendengar tembak-menembak, mereka menukar langkah kepada berkejar ke lokasi pertempuran.
Walaupun keadaan tidak memihak kepada komando, Lt
Rajasaikaran dan anggotanya begitu bersemangat menentang musuh. Undur tidak
sama sekali. Beliau menghubungi Lt Basri Ashari meminta bantuan tembakan meriam
terhadap sasaran yang telah di daftar.
Lantas Lt Basri Asari membuat ‘fire mission,’ panggilan tembakan. “Boom...boom...boom.” Letupan bertubi-tubi peluru HE 105 mm
dimuntahkan oleh meriam Howitzer ke atas sasaran. Bukan sahaja musuh kecut
perut dibedil oleh meriam,[2]
komando juga dalam keadaan begitu. Mana tidaknya, terdapat peluru meriam jatuh
sehampir 20 meter dari kedudukan mereka. Sungguh berbahaya kepada kedua-dua
pihak. Ini membuat Lt Rajasaikaran mengarahkan supaya bedilan meriam
dihentikan. Apa pun, tembakan tersebut memang amat berkesan.[3] Berkepul
asap hitam di lokasi pertempuran sehingga membatas penglihatan buat seketika
waktu. Dan tiada lagi tembakan musuh. Mereka sudah berundur.
Lt Rajasaikaran begitu lega apabila mendapati semua
anggotanya selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan manakala semangat
mereka begitu tinggi. Seterusnya beliau telah membahagikan anggotanya kepada 2
Kumpulan Penggeledahan. Semasa penggeledahan, Kumpulan Penggeledahan di lokasi
pertempuran ditemukan mayat seorang pengganas komunis dalam keadaan terlentang.
Tangan kanannya masih memegang raifal M16 di atas dada sementara jarinya masih
terlekat di picu senjata. Pada pengamatan mereka, mangsa seorang remaja dalam
usia 17-20 tahun. Laras M16 masih panas. Semua peluru pada kelopak yang
terpasang pada senjata habis di tembak, manakala satu lagi kelopak berisi
peluru diikat dengan pita perikat bersama kelopak di senjata.
Sementara itu, Kumpulan Penggeledahan yang melaku
penggeledahan di kawasan lereng bukit telah menemui sebanyak 8 beg yang tersusun dan satu kotak hitam berukuran 3
kaki x 2 kaki x 2 kaki. Pemeriksaan ke atas beg-beg itu menemui pakaian
persendirian dan makanan dalam tin. Juga terdapat 1 laras 'shot gun'
berjenama
'Special Force' dalam salah satu beg
itu. Kotak hitam itu pula mengandungi ubat-ubatan herba bertulisan Cina dan Thai
serta akar kayu. Bukan itu sahaja, terdapat juga sehelai seluar dalam wanita
berwarna biru.[4]
Mayat dan ‘harta rampasan’ yang mengandungi 2 laras
senjata (M16 dan shot gun), 10 beg
galas dan satu kotak hitam diusung ke
pangkalan. Sebuah Nuri tiba di pangkalan sementara No 8 Trup untuk mengambil
mayat dan harta rampasan melalui kaedah winching untuk diturunkan di Kroh.
Pada keesokan hari, 21 Jun 1978, dua Kumpulan Penggeledahan
telah di atur gerak untuk menggeledah lokasi pertempuran dan memburu musuh yang
melarikan diri. Setelah menggeledah hampir 30-40 minit, mereka ternampak seorang
lagi musuh yang tersandar di sebelah sebatang pokok besar.
Masih hidupkah musuh itu? Dengan berhati-hati, mereka
menghampiri musuh itu. Memang sudah mati. Mayat musuh berbadan tegap dalam usia
lingkungan 35-40 tahun. Terdapat kesan tembakan dan kecederaan di bahagian
badan. Yang menarik perhatian komando ialah terdapat sebatang giginya bersalut
emas. Tetapi tiada sebarang senjata atau peralatan mahu pun beg galas. Kemungkinan
musuh itu tercedera atau terbunuh semasa pertempuran semalam atau terkena
serpihan bom 105 mm HE. Jika cedera, dia ditinggalkan oleh rakan-rakannya
kerana keutamaan adalah menyelamatkan diri mereka sendiri.
Sebuah Nuri ditugaskan untuk mengambil mayat itu.
Tugas ini dipertanggungjawabkan kepada saya bersama kru, Lt M (U) Fong Chan
Kwee dan Sjn Mohsain bin Hashim yang baru tiba dari TUDM Buttterworth pagi itu untuk giliran kami
membuat detasmen di Kroh. Penerbangan Nuri ini diiringi oleh dua buah pesawat
helikopter gempur. Mayat dinaikkan melalui kaedah winching.
[2] C.C. Chin
& Karl Hack (Edit). (2004). Dialogues With Chin Peng: New Light On The
Malayan Communist Party. Singapore: NUS, hlm 292. Jawapan kepada soalan apa
yang Chin Peng takut terhadap musuh (1968-1989): (1) Senoi Praaq, (2) bedilan
meriam & dari pesawat, (3) guguran risalah dan hebahan dari pesawat.
[3] Temu bual dengan Allahyarham Lt Kol
Basri bin Asari (B) di Kuala Lumpur pada 19 Januari 2016.
[4] Menurut
Mej Rajasaikaran terdapat seorang
wanita bersama dengan kumpulan musuh yang telah menerima latihan perubatan di
Negara Cina.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan