Pengikut

Rabu, 1 Jun 2022

Dari Baling ke Hat Yai - Bhg 9

Sambungan dari  SINI...

Pengisahan Op Selamat Sawadee sebelum ini berlaku dalam hutan dara di sebelah sempadan negara Gajah Putih. Persoalannya, adakah petualang negara  lupakan tindakan ke atas pasukan keselamatan di sebelah Malaysia? Sudah tentu tidak sama sekali. Jangan ingat mereka sukar menyeberang sempadan walaupun pasukan keselamatan yang telah melancar Op Kota pada 21 Februari 1968 bagi mengawasi sepanjang sempadan dari Perlis ke Kelantan.[i] Manakala kawasan operasi Op Selamat Sawadee di sebelah Malaysia bertindih dengan kawasan Op Kota Echo, iaitu kawasan sempadan Perak/Thailand. Tetapi ini tidak menghalang pengkhianat negara membuat huru-hara di kawasan Op Kota Echo.

Perlu diingat peperangan hutan (jungle warfare) jauh berbeza dengan peperangan konvensional. Mana ada ‘barisan hadapan’ dalam peperangan hutan. Di-mana-mana pun adalah barisan hadapan. Mereka membuktikan keangkuhan mereka pada 20 Julai 1979 semasa cuaca amat baik; cerah dan terang.

Pada hari tersebut, 2 buah kenderaan AFV (Armoured Fighting Vehicle) V150, elemen dari Skuadron Bravo, 2 Peninjau yang diketuai oleh 202846 Sjn Mohd Noor bin Chik bertugas untuk mengiring  konvoi pasukan keselamatan untuk laluan Kroh-Baling-Kroh.  Beliau juga sebagai komander AFV, ‘ZA 758,’ sementara 206348 Kpl Ramli bin Abd Rashid[ii] sebagai komander  AFV kedua - ZA 744.

Di era itu, pergerakan pasukan keselamatan dari Kroh ke lokasi tertentu dan sebaliknya tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya. SOP menghendaki semua pergerakan dari Kroh ke Baling, Klian Intan dan Bukit Berapit dan sebaliknya diiring oleh Pasukan Peninjau. Kecuali dalam keadaan tertentu, pergerakan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Konvoi dari Kroh yang bertolak pada jam 8:30 pagi selamat tiba di Baling pada jam 9:00 pagi. Seperti yang telah dijadualkan, pada jam 10:00 pagi kedua-dua AFV V150 bertolak dari Baling mengiringi 4 buah kenderaan untuk laluan Baling-Kroh. Kenderaan terbabit ialah 2 buah Land Rover, sebuah ambulans dan sebuah trak 3 ton Volvo. Sebuah Land Rover kepunyaan 1 Meriam dengan 7 anggota termasuk pekerja awam, En Salleh@Asman bin Omar,  manakala sebuah lagi kepunyaan Bn 19 PPH Senoi Praq dengan 3 orang anggota. Ambulans pula hanya pemandunya, 450764 L/Kpl Razali bin Mohd Noor sahaja.[iii] Sementara trak 3 ton Volvo membawa 5 orang penumpang dari 2 BIM (Briged Infantri Malaysia).[iv]  

Untuk laluan ini, aturan pergerakan didahului oleh Kpl Ramli dengan AFV ZA 744, ambulans, kedua-dua Land Rover, trak 3 ton Volvo dan AFV ZA 758. Pada jam 10:45 pagi, sebaik sahaja  ZA 744 melepasi satu selekoh di Batu 53½, betul-betul di sempadan Kedah/Perak, tiba-tiba: “bang...bang...bang.” Tembakan bertubi-tubi dari di sebelah kiri tebing. Konvoi telah diserang hendap oleh segerombolan pengkhianat negara. Semburan pertama dari petualang negara telah mengorbankan pemandu ambulans, 450764 L/Kpl Razali bin Mohd Noor dan En Salleh@Asman bin Omar sementara 6 tercedera. Walaupun cedera, mereka yang cedera bergegas terjun dari kenderaan masing-masing mencari perlindungan. Termasuk 454038 Prebet Ramli bin Hassan, pemandu trak 3 ton Volvo. 

Lokasi serang hendap di Batu 53½, Jalan Baling-Kroh, pada 20 Julai 1979
 Sumber: Lt Kol Harun bin Ayob TUDM (B)

Dalam keadaan yang begitu getir, Sjn Mohd Noor menghubungi Kpl Ramli: “contact...wait out.” Transmisi radio ini turut didengar oleh operator detasmen elemen Skuadron Bravo di Kem Kroh. Sebaik sahaja menerima panggilan daripada komandernya, Kpl Ramli cuba membawa kenderaannya berpatah balik. Namun cubaannya gagal kerana jalan raya agak sempit untuk pemandunya, 211929 Tpr Azmi bin Rahmat mengolah gerak (manoeuvre) kenderaan. Lantas, beliau mengarah Tpr Azmi  mengundurkan  kenderaan sementara 933702 Tpr Abu Hassan a/l S Sheikh Daud selaku jurumeriam pula memusingkan 'gun turret' ke arah pengganas komunis.

Sudah ditakdirkan-Nya. Dalam proses kenderaan mengundur dan memusingkan 'gun turret', kenderaan sudah berada dalam ‘zon membunuh.’ “Boom.” Peluru  'anti-tank musuh tepat mengena sasaran - AFV ZA 744.  Lalu terbakar! Ketiga-tiga anggota dalam kenderaan tersebut, iaitu 206348 Kpl Ramli bin Abd Rashid, 933702 Tpr Abu Hassan a/l S Sheikh Daud dan 211929 Tpr Azmi bin Rahmat tidak sempat menyelamatkan diri dan terkorban! Tembak menembak berlaku selama 15 minit.

 Tembak-menembak itu boleh didengar oleh anggota tentera yang berada di Kem Kroh. Mereka juga melihat kepulan asap hitam dari tempat kejadian. Kapt Zainuddin bin Mohd Piah, selaku 2IC (Timbalan Ketua Skuadron) Skuadron Bravo di Kroh, setelah diberitahu oleh operator radio mengenai transmisi radio daripada Sjn Mohd Noor, bergegas mengarah anak buahnya untuk memberi bantuan kepada konvoi tersebut.

Kebetulan pada pagi itu, sebuah Nuri dan 2 buah helikopter gempur tiba di Kroh dari No 3 Skuadron, TUDM Butterworth. Misi Nuri ialah penghantaran ulang bekal kepada trups dengan diiringi oleh helikopter gempur Alouette III. Salah seorang juruterbang helikopter gempur ialah Lt (U) Aziz bin Laji (Allahyarham) dan Sjn Baki bin Muhyiddin (Allahyarham) sebagai jurumesingan. Lt (U) Aziz menghubungi pihak atasan TUDM untuk meminta kebenaran bagi kedua-dua helikopter gempur memberi bantuan kepada konvoi tersebut. Masa terlalu kritikal. Demi semangat setia kawan, Lt (U) Aziz (kiri) membuat keputusan untuk terbang ke lokasi serang hendap.[v]

Kru helikopter gempur Alouette III. Dari kiri: Allahyarham Kapt (U) Aziz bin Laji, 
Allahyarham PW U I Baki bin Muhyiddin (B)

 Allahyarham 450764 L/Kpl Razali bin Mohd Noor gugur diserang hendap di Batu 53½, Jalan Baling-Kroh  pada 20 Julai 1979. Sumber: Dr Norwani binti Razali 

Selepas lebih kurang 15 minit pertempuran, kedengaran bunyi nyaring enjin ‘Turbomeca Artouste’ helikopter Alouette III yang tidak asing kepada anggota keselamatan mahu pun pengganas menghampiri lokasi itu. “Chow..chow...chow.”[vi] Perintah ketua petualang negara kepada gerilanya. Tembak-menembak berhenti dan mereka menyelinap berundur. Ya, mereka sememangnya gerun dan kecut perut dengan keberkesanan peluru 20 mm HE yang dimuntahkan oleh mesingan MG151 Cannon.











Tidak lama kemudian trup dari Kroh tiba di lokasi untuk memberi bantuan dan membawa mangsa-mangsa ke Kroh. Mereka yang cedera diberi rawatan awal di RSAT Kem Kroh. Selain itu, trup daripada 12 RAMD diatur gerak untuk menjejaki musuh tetapi  gagal mengesan mereka. Tinjauan di lokasi tersebut mendapati kekuatan musuh dianggar 25-35 orang dan terdapat 7 buah kubu. Penemuan kubu-kubu itu bermakna musuh sudah lama bertapak di situ dan memerhati pergerakan konvoi. Dan mereka memilih hari Jumaat..penghulu segala hari! 

Mesej daripada 2 Peninjau kepada penerima-penerima tertentu memaklumkan anggota Peninjau yang terkorban dalam serang hendap di Batu 53½, Jalan Baling-Kroh,
 pada 20 Julai 1979. Sumber: Mej Zainuddin bin Mohd Piah (B)

 Anggota pengiring dari Pasukan Peninjau di Baling. 
Sumber: Mej Zainuddin bin Mohd Piah (B)

Kedudukan serang hendap petualang negara di Batu 53½, Jalan Baling-Kroh,
 pada 20 Julai 1979. Sumber: Mej Zainuddin bin Mohd Piah (B)

Keadaan AFV ZA 744. Sumber: Mej Zainuddin bin Mohd Piah (B)

Keadaan AFV ZA 744. Sumber: Mej Zainuddin bin Mohd Piah (B)

Keadaan AFV ZA 744. Sumber: Mej Zainuddin bin Mohd Piah (B) 

Lubang kesan peluru anti-tank pada ZA 744. Sumber: Muzium TDM

ZA 744 diabadikan di Muzium TDM, Port Dickson. Sumber: Muzium TDM 

Ya, ramai anggota pasukan keselamatan terkorban dan cacat anggota tubuh badan dalam Op Selamat Sawadee. 7 wira negara terkorban dan 45 tercedera. Namun demikian, operasi ini membuahkan hasil. Kekuatan pengkhianat negara terus menyusut akibat 11 gerila komunis berjaya dibunuh sementara 17 orang menyerah diri dan lima ditangkap. Dan pasukan keselamatan memusnahkan sebuah kem musuh. Kesan operasi ini membuatkan petualang negara bukan sahaja menghadapi masalah logistik, mereka juga hilang sumber perisikan.[vii] 

Bersambung...In syaa Allah

 [i]    Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor (edit.). (2008). Tentera Darat 1933-2008. Kuala Lumpur: Army Headquarters.

[ii]      206348 Kpl Ramli bin Abd Rashid adalah anggota 1 Peninjau dan ditumpang kepada Skuadron Bravo, 2 Peninjau..

[iii]     Maklumat daripada Dr Norwani binti Razali melalui applikasi WhatsApp pada 3 Jun 2022. Menurut Dr Norwani, arwah bapanya, L/Kpl Razali bin Mohd Noor mengganti rakannya yang sepatutnya bertugas di Kroh. Oleh kerana isteri rakannya baru melahirkan anak, maka beliau telah diarah untuk mengganti rakannya. 

[iv]       Manuskrip daripada Mej Zainuddin bin Mohd Piah (B) diterima pada 31 Mei 2022. Beliau ketika itu berpangkat Kapten dan menjawat jawatan Timbalan Ketua Skuadron, Skuadron Bravo, 2 Peninjau. 

[v]        Pertemuan penulis dengan Kapt Aziz Laju di Jitra pada 4 Jun 2011. Beliau memberitahu Panglima 2 BIM telah memberi secebis nota penghargaannya untuk disampaikan kepada beliau. 

[vi]        Nor Ibrahim bin Sulaiman. (2011). Coretan Xnuripilot. Jitra: Nor Ibrahim bin Sulaiman. 

[vii]       Royal Malaysian Police. (1983). Annual Police Report 1976-1978.

 

  

Tiada ulasan: