Sambungan dari SINI...
Jam 5:00 pagi keesokan hari, 15 Jun 1971. Rjr Abang Bolhi melihat musuh-musuh meninggalkan gua itu dan menghilang dalam kegelapan. Pemergian petualang negara menaikkan semangatnya dan Allah pula telah memulihkan tenaga. Maka, beliau membatalkan hasratnya untuk menyusuri sungai ke Chemor kerana tidak pasti bila beliau boleh tiba di Chemor. Sebaliknya, beliau membuat keputusan untuk berpatah balik ke lokasi beliau bermalam pada 13 Jun 1971, iaitu hari pertempuran tersebut. Beliau percaya pasukan tambahan sudah berada di lokasi pertempuran dan mencarinya.
Tekanan
mendiang Kapt Chandran yang diasak ke atas anggota kompeninya yang mementingkan
kecergasan dan kekuatan mental memang berkesan.[1] Ini
terbukti kekuatan mental yang dipamerkan oleh Rjr Abang
Bolhi; sungguh menakjubkan. Walaupun cedera parah, mengalami kekejangan dan
kali terakhir menjamah makanan tiga hari lalu, beliau tiba destinasinya
walaupun pergerakan ada kalanya terpaksa merangkak mendaki bukit. Dan dalam
keadaan letih lesu dengan tangan kirinya masih menggenggam grenad.
Apabila
tiba di lokasi yang dituju, Rjr Abang Bolhi terus terbaring di bawah pokok dalam
keadaan letih
lesu.
*****
Pada lewat petang,
15 Jun 1971, Kapt Ariffin bin Yaakob, Ketua Kompeni
Bravo, 4 Renjer bersama 22 anggota telah diterbangkan ke kawasan pertempuran
oleh sebuah Nuri yang dikendali oleh Kapt Richard Jalleh dan kru, iaitu Fy Off
Ismail bin Saud dan Sjn Marimuthu.[2]
Oleh kerana tiada tempat mendarat, mereka diturunkan melalui kaedah winching.
Tidak lama kemudian, mereka bertemu dengan kumpulan Lt M Donald dan juga Kpl Rahman
daripada kumpulan Kapt Chandran.
Kini Kapt Ariffin
mengambil alih operasi. Beliau mengarah Lt M Donald dan empat anggotanya
sebagai cut-off party, manakala beliau bersama anggotanya bergerak
ke lokasi kejadian dengan Kpl Rahman sebagai petunjuk arah.
Pergerakan perlu
berhati-hati. Bukan sahaja kemungkinan berhadapan dengan musuh, lebih
menggerunkan ialah musuh halimunan...jerangkap samar. Seterusnya Kapt Ariffin
dengan segera bergerak ke lokasi pertempuran. Mereka tiba di lokasi pada jam
lebih kurang 6:00 petang dalam cuaca mendung. Lebih kurang 100 meter daripada
kem musuh, peninjau (scout) menjumpai wayar. Ini bermakna kewujudan jerangkap
samar. Lantas, Kapt Ariffin membuat pemeriksaan yang membawanya hingga ke pinggir
kem. Alangkah leganya apabila tiada jerangkap samar; palsu.
Pemeriksaan
terhadap kem itu mendapati telah dikosongkan oleh musuh. Hari mulai gelap dan
hujan renyai-renyai mulai membasahi mereka. Kapt Ariffin mendapati terdapat
satu pondok besar pada jarak lebih kurang 30 meter. Sebagai langkah
keselamatan, beliau terus melutut untuk memerhati keadaan sekeliling pondok
itu. Tindakan yang sungguh wajar. Beliau ternampak kelibat seseorang dalam pondok itu.
Kapt Ariffin terus
memberi isyarat tangan yang musuh berada di depannya kepada Kpl Rahman yang
berada di belakang beliau. Di waktu yang sama, beliau mendapati seorang Renjer
yang berada lebih kurang 10 meter di belakangnya mara ke hadapan. Manakala
seorang Lans Koperal yang berada di sebelah kirinya pula sedang merapati
sebatang pokok besar di hujung pondok tersebut.
Pergerakan ini
telah disedari musuh. Oh...musuh pun tidaklah begitu hebat. Tanpa diduga,
mereka telah mencabar dalam bahasa Cina. Ya, mereka ingat yang menghampiri
mereka adalah rakan mereka. Lans Koperal di sebelah kiri Kapt Ariffin melihat tiga
pengganas komunis dalam pondok itu. Justeru, beliau membidik senjata SLRnya (Self Loading Rifle) menghala ke pondok itu. Kapt Ariffin yang memerhati tindakan anggota
tersebut, agak hairan tidak kedengaran letupan peluru 7.62 mm melungsur dari
laras SLR. Anggota tersebut terlupa untuk mencekah (cocked) senjatanya! Setelah mencekah raifalnya, anggota tersebut terus
menembak ke arah pondok itu. Namun, bukan tembakan kaedah automatik, hanya
terdengar satu tembakan sahaja.[3]
Lantas, Kapt
Ariffin mengangkat SLRnya dan melepaskan
satu tembakan ke arah pondok disusuli dengan melepaskan tiga tembakan pelancar
grenad M79. Petualang yang terkejut dengan serangan pasukan keselamatan
membalas tembakan bertubi-tubi. Walau bagaimanapun, tembakan musuh tidak
memberi kesan kepada Kapt Ariffin dan anggotanya. Setelah yakin pengkhianat
negara telah beredar dari kubu komunis, Kapt Ariffin membuat keputusan untuk
bermalam di situ.
Keesokan pagi, 16 Jun 1971. Pada pagi itu Kapt Ariffin memulakan misi mencari dan menyelamat. Beliau memecah anggotanya kepada beberapa kumpulan untuk mencari mayat Kapt Chandran dan Rjr Abang Bolhi yang tidak diketahui statusnya. Tanpa menghiraukan aspek keselamatan, mereka melaung: “Abang Bolhi... Abang Bolhi.” Pada lebih kurang jam 9:00 pagi, kumpulan di kawasan kaki bukit yang terdiri daripada Kpl Morni dan seorang lagi anggota mendengar sayup-sayup: “...saya di sini, saya di sini. Tolong...tolong...tolong.” Respons Rjr Abang Bolhi sebaik sahaja mendengar laungan namanya.[4]
Bagi
mendapat kepastian, pencari menjerit: “Siapa itu?”
“Rjr Abang Bolhi dari
4 Renjer...saya di sini...saya di sini.” Jawab Rjr
Abang Bolhi. Sebaik sahaja mendengar nama rakan seperjuangan, lantas mereka
bergegas ke arah suara itu. Setiba di situ, memang sah Rjr
Abang Bolhi yang terbaring dengan menyandang MGK
tanpa kelopak. Sebaik sahaja menghampirinya, mereka tiba-tiba berhenti. Mereka
melihat sebutir grenad tanpa pin keselamatan dalam genggaman Rjr Abang Bolhi.
“Tuan,
tuan, tuuuaaaaan, tuuuaaannnnn.”[5] Jerit Kpl
Morni ke arah atas bukit. Sebaik sahaja mendengar jeritan itu, Kapt Ariffin dan beberapa orang anggotanya termasuk
Kpl Rahman bergegas menuruni bukit menuju ke arah jeritan tersebut. Kapt
Ariffin mendapati Rjr Abang Bolhi
dalam keadaan kaku dek kesejukan dengan
tapak tangan kanannya masih menggenggam grenad. Dengan penuh berhati-hati, Kapt
Ariffin membuka skru grenad dalam genggaman Rjr Abang Bolhi bagi mengeluarkan
fiusnya. Bagaimanapun usahanya gagal kerana jari-jemari Rjr Abang Bolhi sudah
‘beku.’
Kapt Ariffin sedia
maklum anggota Rjr Abang Bolhi perlu dipanaskan supaya darah dapat mengalir
semula. Maka, beliau mengurutnya jari-jemari mangsa sehingga membolehkannya
mengeluarkan fius grenad. Beliau seterusnya memeluk Rjr
Abang Bolhi. Pemeriksaan ke atas badan mangsa mendapati luka di belakang
Rjr Abang Bolhi sudah berulat. Kpl Rahman pula bersyukur kerana anak buah masih
hidup. Beliau sebelum ini tidak mengetahui nasib Rjr Abang Bolhi setelah cedera
ditembak musuh.
Kapt Ariffin mengarah anggotanya untuk membuat strecer
dengan menggunakan buai rajut (hammock).’ Rjr
Abang Bolhi seterusnya diusung mendaki bukit ke lokasi kem komunis. Apabila
tiba di sana, beliau dijamu dengan teh panas dan satu tin nanas rangsum. Tidak
lama kemudian, mereka menemui mayat mendiang Kapt Chandran tidak jauh dari
perimeter kem. Mayat ditutup dengan daun-daun di celah batu besar dan dalam
keadaan sempurna malahan tidak berbau. Ini disebabkan keadaan cuaca sejuk. Kapt Ariffin mendapati mendiang ditembak di kepala
kiri dan tembus ke belakang dengan ‘carbine.[6]
Kapt Ariffin
seterusnya menghubungi Markas 4 Renjer meminta sebuah helikopter untuk
penerbangan casevac dan bodevac. Rjr Abang Bolhi dan mayat Kapt Chandran berjaya
dibawa keluar melalui kaedah ‘winching’
oleh sebuah Nuri yang dikendali oleh Kapt (U) Richard Jalleh dan kru. Mereka
diturunkan di padang Kem Suvla Line. Rjr
Abang seterusnya dikejar ke hospital Ipoh. Dua hari kemudian, beliau
diterbangkan ke Hospital Terendak, Melaka dan discaj enam bulan kemudian.
Pemeriksaan ke atas
penempatan komunis, mengesahkan mereka sudah bertapak di situ. Kem itu boleh
menempatkan 30-40 orang.[7]
Kedudukannya yang sungguh strategik. Ia dibina di lereng permatang sebuah bukit
kecil dengan tebing yang curam. Keadaan ini menyukar pendakian dan menuruni. Kem itu dikelilingi
dengan ‘parit komunikasi’ berukuran tiga kaki lebar dan empat kaki dalam.[8]
Mengimbau peristiwa
ini, Kapt Arifin
bin Yaakob masih ingat kata-kata mendiang Kapt Chandran
apabila beliau menegurnya kerana mendiang memakai pakaian seragam Tentera Darat
New Zealand sebelum bertolak dari Kem Suvla Line ke
kawasan operasi:
“Chandran, you’re improperly dress.” “What
are we Arifin? We command only 10 men. We are not Company Commander." Itu jawapannya. Satu petunjuk ia akan pergi buat
selama-lamanya.”[9]
Kapt Arifin juga
kagum dengan semangat Rjr Abang Bolhi: “Saya tabik padanya. Semangatnya KENTAL.”
L/Kpl Bajau ak Ladi PGB (B) pula semasa Majlis HUT Jubli Emas 4 RRD di
Kem Syed Putra, Ipoh pada 26 Jun 2016 mengharapkan agar “...peristiwa
ini dapat menyedarkan generasi muda tentang pengorbanan wira-wira kita.”[10]
PW II Abang Bolhi bin Abang Doladi (B) pula mana mungkin dapat melupakan peristiwa
tersebut sehingga ke akhir hayatnya apabila melihat tangan kanan kanannya:
“Setiap
kali terpandang parut ini, ingatan saya segera mengimbau detik cemas ketika
bertempur dengan sekumpulan pengganas komunis di Hutan Simpan Ulu Kinta, Perak
yang hampir meragut nyawa saya, 48 tahun lalu.”[11]
PW II Abang Bolhi
juga kecewa apabila terdapat suara-suara sumbang yang memperlekehkan perjuangan
anggota ATM dalam usaha mempertahankan kedaulatan negara. Luahan ini dilapur
oleh akhbar ‘Berita Harian’ (24 September 2019):
“Beliau
turut menyatakan rasa terkilan apabila kini perjuangan anggota tentera yang
menggadai nyawa mempertahankan kedaulatan negara sering diperlekehkan dan
berharap masyarakat menghayati pengorbanan anggota tentera sama ada yang sudah
lama meninggalkan perkhidmatan mahupun yang masih berkhidmat ketika ini.”[12]
KIA
[1] Maklumat daripada PW II
Ekram bin Zaini melalui aplikasi WhatsApp pada 15 November 2022.
[2] E-mel daripada Lt Kol Richard Jalleh
TUDM (B) pada 23 Januari 2022. Beliau kini menetap di Perth, Australia.
[3] Penjelasan oleh
Kapt Ariffin bin Yaakob melalui aplikasi WhatsApp pada 9 Ogos 2022.
[5] Ibid., hlm. 176.
[7] Col Sharom bin Hashim (Editor-in-Chief). (2008). The Malaysian Army’s Battle against Communist Insurgency in Peninsular Malaysia 1968-1989. Kuala Lumpur: Army Headquarters,Othman Syed Omar. (1993). Pahlawan Angkatan Tentera Malaysia, hlm. 120.
[8] Syed Othman Syed
Omar. (1993). Pahlawan Angkatan Tentera Malaysia, hlm. 175.
[9] Penjelasan oleh Kapt Arifin bin Yaakob melalui aplikasi WhatsApp pada 16 November 2022.
[10] New Straits Times, ‘Captain Chandran saved our live’, 28
Ogos 2016
[11] Berita Harian, Parut imbau
kenangan bertempur, September 24, 2019. Lihat https://www.bharian.com.my/beri ta/wilayah/2019/09/610348/parut-imbau-kenangan-bertempur.
[12] Ibid.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan