Pengikut

Sabtu, 18 Februari 2023

“Saya hendak tolong”

 Sambungan dari SINI...

Susulan kematian Kapt Chandran pada 13 Jun 1971, 2 BIM nekad untuk memburu dan memusnah petualang negara. Bagi tujuan itu, antara pasukan yang diatur gerak ialah Trup No 3, Skuadron X-ray, 1 RGKM. Trup diketuai oleh Lt Mohd Rashid bin Jaafar. PTT (Pegawai Tidak Bertauliah) terdiri daripada 11939 S/Sjn Md Ali bin Tahir, Sarjan Trup; 10961 Sjn Adam bin Ahmad, Ketua No 1 Seksyen; 14040 Kpl Yusof bin Abu, Ketua No 2 Seksyen; 11914 Kpl Rahmat bin Surat, Ketua No 3 Seksyen.[1]

Pada 5 Julai 1971, Trup tersebut bergerak dari Kem Tambun dengan menaiki trak ke kawasan Gunung Chingkai,[2] Perlop melalui Sungai Siput. Mereka diturunkan di penempatan satu trup daripada Pasukan Meriam di Tanah Rancangan Belia Perlop. Dari situ, mereka mengikuti trak balak ke kawasan hutan. Pergerakan didahului oleh Seksyen No 1. Pada lewat petang, Lt Mohd Rashid membuat keputusan untuk bermalam di satu lokasi. Bagi menentukan keselamatan lokasi tersebut, beliau menghantar beberapa RKK (ronda kumpulan kecil).

Kumpulan Sjn Adam yang meronda di satu tebing yang curam, telah ditemukan rumpun pokok enau di permatang. Itu biasa; tumbuhan yang subur di hutan tropika. Dalam keadaan darurat, “...dalam hutan, umbut adalah makanan paling sedap mengganti nasi.”[3] Yang tidak biasa ialah beliau  mendapati umbut sepohon pokok enau yang agak tersorok dan sukar diakses telah dipotong dengan parang. Beliau mengandai umbuk itu dipotong 1-2 hari lalu. Persoalannya, mengapa si pemotong bersusah payah meredah ke pokok tersebut pada hal banyak pokok di permatang? Seolah-olah menyembunyi kehadiran si pemotong!

Sebagai ‘otai’ pemburu petualang negara, firasatnya kuat mengatakan ini angkara petualang negara. Bukan cara kaum Orang Asli mengambil umbut.  Itu rumusan Sjn Adam. Seterusnya, mereka menemui sepohon pokok asam kumbang. Mereka mendapati sisa-sisa buah itu dimakan manusia. Mungkin Orang Asli atau komunis? Atau pun primat seperti kera, berok? Tiada jawapan. Beliau seterusnya balik ke perkhemahan mereka. Penemuan itu telah diberitahu kepada Lt Mohd Rashid.

Lt Mohd Rashid bersetuju dengan rumusan Sjn Adam. Lalu, sebelum bermalam Ketua Trup merancang dan memberi taklimat kepada anggotanya. Mereka akan bergerak keesokan hari, 6 Jul 1971 pada jam 8:00 pagi. Aturan pergerakan didahului oleh Seksyen No 2 (Kpl Yusof) diikuti Seksyen No 3 (Kpl Rahmat). Manakala Seksyen No 1 (Sjn Adam) di belakang sekali. IA Drills (immediate action drills), iaitu tindakan sekiranya diserang, Kpl Rahmat bertanggungjawab bergerak ke sebelah kanan sementara  Sjn Adam ke sebelah kiri. Sebelum mengakhiri taklimatnya, “Lt Mohd Rashid mengingatkan semua anggota agar berwaspada dan berhati-hati untuk bergerak pada keesokan hari kerana terdapat tanda-tanda yang mencurigakan.”[4]

Seperti yang rancang, pada jam 8:00 pagi, 6 Julai 1971 Trup No 3 bergerak meninggal pangkalan mereka. Setelah lebih kurang sejam bergerak, Lt Mohd Rashid mengarah trupnya untuk berhenti untuk berehat sebentar. Namun demikian, seksyen Kpl Yusof yang agak jauh ke hadapan, meneruskan pergerakan. Tidak sama sekali beliau terniat mengingkar arahan ketuanya. Sebaliknya pada waktu itu kumpulannya menghampiri satu kawasan agak landai dan beliau berhasrat berehat di itu. Pada beliau lokasi itu lebih selamat.

Setiba di kawasan berlandai tersebut dan sebelum mereka berehat, Kpl Yusof mengambil tindakan bagi menentukan kawasan itu selamat. Justeru, beliau mengarah 20677 Tpr Mohd Shariff bin Hadi selaku peninjau pertama (scout) dan 19151 Tpr Rasli bin Buang, peninjau kedua mengambil perlindungan di hadapan dan juga sebagai sentri. Manakala lain-lain anggota mengekal kedudukan masing-masing.

Sebaik sahaja menerima arahan tersebut, pada jam lebih kurang 9:30 pagi, Tpr Mohd Shariff bergerak ke arah sebatang pokok berhampiran. Tanpa diduga, tiba-tiba “bang...bang...bang.” Musuh menunggu ketibaan mereka! Tembakan musuh bertubi-tubi ke arah Tpr Mohd Shariff. “Allah...”, jerit Tpr Mohd Shariff. Peluru panas menembusi hadapan perutnya sehingga hampir terburai. Beliau terus tertiarap tapi masih bernyawa! Sebaik sahaja mendengar tembakan itu, seperti kilat Tpr Rasli dan lain-lain anggota membalas tembakan musuh sambil mara ke hadapan untuk menyelamat Tpr Mohd Shariff. Tetapi mereka terpaksa berhenti disebabkan permukaan bumi yang curam di kiri dan kanan. Dan mangsa masih tertiarap tanpa perlindungan.

Keadaan begitu getir sekali!

*****

Tanpa membawa ‘haversacks’, Lt Mohd Rashid dan lain-lain anggota berkejar untuk membantu Seksyen No 2. Selari dengan IA Drills, Kpl Rahmat bergerak ke sebelah kanan sementara  Sjn Adam ke sebelah kiri. Tetapi pergerakan seksyen Sjn Adam yang didahului oleh 17437 Tpr Mohd Mahadzir bin Ibrahim tidak sebegitu lancar. Topografi bumi sebelah kiri lokasi pertempuran memaksa beliau dan seksyennya menuruni permatang sebelum mendakinya semula.

Dalam proses mendapatkan posisi yang sesuai, giliran Sjn Adam pula menjadi sasaran musuh. Mereka dihujani peluru musuh. Lantas beliau memberitahu L/Kpl Sufian, operator radio, untuk meminta bantuan tembakan meriam. Tidak lama kemudian, “boom...boom...boom”. Letupan peluru 105 mm yang dimuntahkan oleh 105 mm Packed Howitzer dari Tanah Rancangan Belia Perlop.

*****

Walaupun berhadapan dengan peluru berdesing-desing, Tpr Mohd Mahadzir berjaya mendapat perlindungan di sebelah kiri pertempuran. Beliau terpandang Tpr Rasli berada hanya berapa ela di sebelah kanan di hadapannya sedang menembak musuh. Keadaan memang begitu getir namun Tpr Mohd Mahadzir nekad untuk mara ke hadapan. Sambil berlari ke satu tempat perlindungan ke satu perlindungan, beliau terus melepaskan tembakan. Tiba-tiba beliau merasai ada sesuatu menimpa belakangnya. Tanpa disedarinya, sebutir peluru musuh telah mencium belakangnya. Secara spontan tangan beliau cuba meraba belakangnya. “Bang.” Kali ini siku tangan kanannya pula ditembusi besi panas.[5] Beliau menjadi sasaran petualang negara!

“Sarjan, saya kena!” Jerit Tpr Mohd Mahadzir kepada Sjn Adam.[6]

“Kamu ambil perlindungan. Satu orang bantu Mahadzir.” Arahan Sjn Adam yang memerhati Tpr Mahadzir dari belakang sebatang pokok kepada anggota seksyennya. Tpr Rasli yang melihat Tpr Mahadzir rebah, cekal untuk menyelamat rakan seperjuangannya. Dengan semangat setia kawan yang berkobar-kobar, tanpa mempeduli peluru berdesing-desing, beliau meluru ke arah Tpr Mahadzir. Terkejut Sjn Adam apabila melihat Tpr Rasli berlari dari arah kanan menuju ke arah Tpr Mohd Mahadzir.

“Mengapa engkau datang, Rasli?” Jerit Sjn Adam kepada Tpr Rasli.

“Saya hendak tolong.” Jawab Tpr Rasli.

“O.K. Hati-hati. Musuh di hadapan. Kamu bergerak dari pokok ke pokok.”[7] Sjn Adam mengingatkan Tpr Rasli. Beliau dan anggotanya terus menembak ke arah musuh di waktu yang sama mara ke hadapan.

Dalam keadaan peluru bersimpang-siur, belum sempat Tpr Rasli berlindung di sebatang pokok, sebutir peluru pengkhianat negara telah menembusi lehernya. “Allah!”. Perkataan terakhir terpacul dari mulut wira negara itu. Dan terus tersungkur menyembah bumi!

Sjn Adam yang menyaksi tumbangnya Tpr Rasli dan walaupun nalurinya kuat mengatakan anggota tersebut telah terkorban, namun beliau mengarah mangsa untuk mendapatkan perlindungan. Arahan yang tidak sama sekali akan dipatuhi oleh Tpr Rasli yang telah pergi menyahut panggilan Ilahi!

Sjn Adam seterusnya menjerit: “GPMG! GPMG! GPMG!...”.[8] Beliau meminta senjata bantuan yang berada dalam kumpulan Lt Mohd Rashid. Ketua Trup mengarah 19305 Tpr Mohd Yusof bin Daud, pembawa senjata itu dan 901370 Tpr Sigai anak Nawan membantu Sjn Adam. Namun demikian, pergerakan mereka terbatas dek peluru musuh berterbangan. Keadaan ini tidak menghalang Tpr Mohd Yusof cuba menembak musuh dengan senjata tersebut. Dalam masa yang begitu getir senjata itu pula ‘meragam’. Ia mengalami ‘stoppages’, iaitu
halangan dalam badan senjata itu.

Senjata bantuan GPMG berkaliber 7.62 mm. Gambar hiasan. Sumber: www.clash-of-steel.org

Lantas, Tpr Sigai mengambil GPMG tersebut daripada  Tpr Mohd Yusof. Dengan pantas beliau membaiki masalah itu. Sebaik sahaja mengatasi kerosakan, beliau meluru ke arah musuh tanpa menghiraukan simpang-siur peluru musuh sambil memuntahkan peluru 7.62 mm dari laras GPMG.[10] “Tut...tut...tut.” Terkejut musuh melihat tindakan Tpr Sigai yang menunjukkan keberanian yang begitu luar biasa. Beliau seolah-olah menepis peluru begitu sahaja. Kebal agaknya. Tindakan Tpr Sigai membuatkan musuh menghentikan tembakan dan tunggang-langgang  meloloskan diri. Mereka tiada pilihan dalam usaha menyelamatkan diri dari kemaraan komando dari arah kanan dan kiri kecuali menuruni atau terjun ke gaung. Sementara Tpr Sigai pula terus menyerang dan hanya menghenti tembakan apabila yakin musuh durjana sudah beredar.[11]

      Sebaik sahaja yakin musuh sudah beredar, Sjn Adam meluru ke Tpr Rasli. Nalurinya memang tepat sekali. Tpr Rasli telah meninggalkan alam fana ini buat selama-lamanya. “Innalillahi wa inna ilaihi raji’un”/ Sesungguhnya kita milik Tuhan, dan kepada Tuhan jualah kita kembali. Lt Mohd Rashid mengarah anggotanya membalut kecederaan Tpr Mahadzir dan Tpr Mohd Shariff yang mengalami cedera parah tetapi masih bernyawa. Tpr Mahadzir disuntik dengan morfin bagi mengurangkan kesakitan.

      Lt Mohd Rashid seterusnya menghubungi Markas Taktikal di 2 BIM meminta helikopter untuk misi ‘casevac’ dan ‘medevac.’ Sementara menunggu ketibaan pesawat, mereka melakukan penggeledahan di lokasi tersebut. Mereka ditemukan darah bertaburan tetapi tidak menemui pemilik limpahan darah itu. Kesan darah membawa mereka ke tebing yang curam di sebelah kanan kedudukan trup. Pengganas meloloskan diri dengan terjun dari tebing ke gaung.

      Tidak lama kemudian, sebuah helikopter Alouette III berlegar di kawasan tersebut. Kawasan tersebut padat dengan pokok-pokok yang ketinggiannya melebihi 100 kaki (30.5 meter). Ketinggian ini membatas keupayaan pesawat tersebut menaikkan mangsa melalui kaedah ‘winching.’ Ini kerana panjang kabel ‘hoist’ hanya lebih kurang 80 kaki (24 meter) sahaja.

      Juruterbang memaklumkan masalah yang dihadapinya. Beliau menyarankan trup mencari lokasi baharu dan menumbangkan beberapa pokok bagi memudahkan pesawat berada dalam keadaan terapung. Persoalannya, trup tidak bawa PE (plastic explosives) atau peralatan untuk menundukkan pokok, seperti kapak. Dan masa begitu kritikal. Bagi mengatasi masalah ini, pesawat tersebut akan menghantar keperluan tersebut. Dengan itu, pesawat tersebut meninggalkan lokasi untuk terbang balik ke Ipoh. Lt Mohd Rashid pula mengarah anggotanya untuk membuat strecer untuk mengusung ketiga-tiga mangsa ke satu lokasi lebih kurang 200 meter dari lokasi pertempuran.[12]

      Mereka tidak tunggu lama. Pesawat itu kembali semula ke lokasi. Dalam keadaan terapung ‘crewman’ menggugurkan beberapa kapak dan bungkusan PE yang berasingan dengan detonators. Pengasingan ini mengambil kira ciri-ciri membabitkan bahan letupan. Seterus pesawat berlepas ke Ipoh.

      Trup bertungkus-lumus  memasang bahan letupan untuk menumbangkan pokok. “Boom...boom...boom” dan beberapa pokok menyembah bumi. Sebaik sahaja kawasan tersebut siap pada lebih kurang jam 6:00 petang, Alouette III tiba. Mangsa pertama dinaikkan melalui kaedah winching ialah Tpr Mohd Shariff. Pesawat berlepas ke Ipoh sebaik mangsa ditarik masuk dalam pesawat. Tetapi casevac telah bertukar kepada bodevac. Tpr Mohd Shariff turut menyahut panggilan Ilahi sebelum pesawat mendarat di Kem Tambun.

Sebaik sahaja menurunkan jenazah Tpr Mohd Shariff, pesawat berlepas semula ke lokasi walaupun kegelapan malam hampir tiba. Kini giliran  Tpr Mahadzir dinaikkan. Apabila mendarat di Kem Tambun, mangsa dibawa ke Hospital Besar Ipoh dengan ambulans yang sedia menunggu. Beliau ditahan di hospital selama hampir dua minggu.[13] Penerbangan bodevac (Tpr Rasli) terpaksa ditunda keesokan hari kerana hari sudah malam.

*****

Pagi-pagi lagi keesokan hari, 7 Julai 1971, Lt Mohd Rashid mengarah anak buahnya untuk menyiapkan tempat pendaratan (LP) helikopter untuk mengambil jenazah Tpr Rasli. Pada lebih kurang jam 10:00 pagi, sebuah Nuri[14] mendarat di LP. Pesawat berlepas balik ke Kem Tambun sebaik sahaja jenazah dinaikkan dalam pesawat.

Tugasan memburu musuh durjana masih belum selesai. Sebaik sahaja Nuri berlepas dari LP, Lt Mohd Rashid membawa anak buahnya memburu musuh. Namun  demikian, musuh gagal dikesan. Mereka seterusnya diarah untuk bergerak ke pinggir hutan Rancangan Tanah Belia, Perlop untuk dibawa pulang ke Ipoh dengan trak.

*****

Pada hari itu juga, 7 Julai 1971, jenazah Tpr Rasli telah diterbangkan oleh pesawat TUDM ke Kuching. Pesawat mendarat di TUDM Kuching agak lewat. Walaupun rakan seperjuangan dari No 3 Trup tidak mengiringinya, namun Lt Yap Poh Meng, Ketua Trup No 2, Skuadron X-ray turut menunggu ketibaan jenazah Tpr Rasli. Trup No 2 telah diatur gerak semenjak Ogos 1970.[15] Disebabkan sudah lewat, jenazah seterusnya dibawa ke surau Kem Penrissen yang berhampiran dengan TUDM Kuching. Sepanjang malam jenazah di surau, 19186 Tpr Abdul Ghani bin Abdul Kadir bersama empat anggota dari Trup No 2 menemani jenazah Tpr Rasli.[16]

*****

8 Julai 1971. Pada lebih kurang jam 8:00 pagi, jenazah dibawa ke ‘dispersal’ Pergerakan Udara, TUDM Kuching. Sebuah Nuri sedia menunggu untuk penerbangan terakhir wira negara ke kampung kelahirannya, Kampung Buntal untuk disemadikan. Apabila kenderaan bergerak dari surau, Tpr Abdul Ghani dan rakan-rakannya kembali ke Trup mereka.

*****

Op Iblis telah menonjol semangat perjuangan anggota pasukan keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan negara. Semangat setia kawan yang telah dipupuk sejak menceburi dalam bidang ketenteraan mendorong mereka sedia berkorban nyawa dan raga bagi menyelamat rakan seperjuangan.

 KIA

Gugurnya bunga bangsa dari Trup No 3, Skuadron X-ray, 1 RGKM pada 6 Julai 1971 semasa Op Iblis di kawasan Perlop, Perak. Dari kiri: Allahyarham Tpr Rasli bin Buang SP, Allahyarham Tpr  Mohd Shariff bin Hadi

 

WIA

Sjn Mohd Mahadzir bin Ibrahim (B) cedera di bahagian belakang dan siku tangan kanan


 *****

Sememangnya keberanian luar biasa yang dipamerkan oleh Kpl Sigai anak Nawan PGB dalam usaha menyelamat Tpr Mahadzir. Tidak menghairankan kerana beliau berpegang kepada “...kalau nak mati di tangan musuh, biarlah mati lagipun saya masih bujang.”[17]

Op Iblis memberi kesan kepada Jen Tan Sri Borhan Ahmad (B) yang ketika itu menjawat jawatan Pegawai Memerintah 1 RGKM. Beliau menyatakan:

Insiden 6 Julai 1971 di mana kita kehilangan dua wira yang menyerang musuh dari hadapan semasa bertembung dengan musuh dan kelewatan membawa mereka keluar ke hospital sesungguhnya memberi pengajaran penting kepada kami. Juga, memberi masa dan ruang kepada  PGK untuk meloloskan diri setelah pertempuran, mengajar kami kepentingan operasi susulan. Salah satu aspek kesan insiden ini yang terlepas pandang dan tidak didokumentasi dalam beberapa kejayaan kami ialah bagaimana kami berjaya mengurangkan kecelakaan ke atas anggota kami walaupun berhadapan dengan peningkatan tindakan musuh dan jerangkap samar. Kekuatan dan keberanian sahaja bukanlah kriteria terpenting apabila berhadapan dengan mereka yang menjadikan hutan belantara sebagai habitat semula jadi mereka. Bersandar kepada ‘teori’ ‘hanya pencuri yang dapat menangkap pencuri lain’, RGKM telah mewujudkan teknik baharu dan dalam proses itu, melahirkan pencuri yang lebih bijak dikalangan pencuri. (The 6 July 1971 incident where we lost two very brave troopers who took a frontal assault on the enemy immediately upon contact and the delay in their evacuation to the hospital had indeed taught us a big lesson. Also, providing CTs the time and space to disappear after the contact, showed us the need for urgency in follow-up operations. One of the many things that went unnoticed and unwritten in our successes from here on was how we had managed to keep our own casualties low despite increased enemy lay-back actions and booby trap ambushes. Strength and bravery alone were not the important criteria when taking on those who had made the jungle their natural habitat. Based on the ‘theory’ that ‘it takes a thief to catch a thief,’ the MSSR created new techniques and in the process, produced smarter thieves to dwell among the thieves!)”[18]

*****

Op Iblis mengesahkan petualang negara telah bertapak di kawasan operasi Sungai Siput. Oleh kerana itu, 2 BIM telah melancar Op Setia pada 2 September 1971 di sekitar Gunong Korbu, Sungai Siput dan Tanah Hitam. Objektif operasi ini ialah “...untuk mencari dan memusnahkan Unit Penggempur Ke-5 PGK yang beroperasi di Negeri Perak.”[19] Konsep operasi ini ialah:

“...tekanan utama membabitkan perang saraf (psywar) dan tindakan jiwa murni, dilaksana  dengan penglibatan bersama tentera, polis dan agensi kerajaan. (major emphasis on the psywar and civic action needs, with a combined participation of the military, police dan the civil governmental machinery.”[20]

*****

Saya tabik spring kepada kerajaan Wilayah Sarawak. Sarawak yang sedia memberi pengiktirafan dan penghormatan kepada wira-wira negara kelahiran Wilayah Sarawak tanpa mengambil kira ‘status’ wira-wira tersebut. Sarawak bangga dengan pengorbanan Allahyarham 19151 Tpr Rasli bin Buang yang dianugerah ‘Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) pada 7 Julai 1972, telah mewarta pusara beliau sebagai antara pusara Pahlawan Negara pada sekitar 2015. Ini bererti pembiayaan dan penyenggaraan pusara tersebut ditanggung oleh kerajaan.[21]

Persoalan: Adakah lain-lain negeri sedia mencontohi Wilayah Sarawak bagi menghargai anak watan mereka yang sanggup berkorban demi mempertahankan kedaulatan negara tercinta ini? Wallahualam.

Nota:

 Coretan Op Iblis ini bersandar kepada buku oleh Lt Kol Dr Syed Othman bin Syed Omar (B), "Pahlawan Angkatan Tentera Malaysia: Penerima S.P. dan P.G.B, Jilid 1", terbitan DBP pada 1993. Tajuk kisah ialah 'Tpr. Rasli dalam Pertempuran di Perlop', hlm.181-188. Beliau telah menemubual  PW II Yusof bin Abu (B), S/Sjn Adam bin Ahmad (B), Sjn Mohd Mahadzir bin Ibrahim (B) dan Kpl Sigai anak Nawan PGB. 

Panglima 3 Briged Infantri, Brig Jen Mohd Bustaman Mat Zin dan Panglima 31 Briged Sempadan, Brig Jen Jamaluddin Jambi serta staf dan ahli PVATM menziarahi pusara Allahyarham Truper Rosli bin Buang SP (tengah) di Kampung Buntal pada 4 Ogos 2016 sempena sambutan Hari Pahlawan dan Jubli Emas Divisyen Pertama Infantri. Sumber: Mohd Roji Kawi, BH, 4 Ogos, 2016


 

Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) telah memasang pos ini – Seorang Perwira Dari Desa di Pinggir Kota – di Esplanad Buntal  bagi memperingati pengorbanan 19151 Tpr Rasli bin Buang. Sumber: The Borneo Post, 2016

Sijil Kematian Allahyarham Allahyarham 20677 Tpr Mohd Shariff bin Hadis 
yang telah meninggal dunia pada 6 Julai 1971, jam 2:00 petang. Sumber: koleksi Kpl Rebu bin Hadis





[1]              Syed Othman Syed Omar. (1993). Pahlawan Angkatan Tentera Malaysia. Penerima S.P. dan P.G.B. – Jilid 1. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 183.

[2]              Penjelasan PW II Suhaili bin Majid (B) melalui telefon  pada 17 Februari 2023. Beliau kini menetap di Kuala Lumpur.

[3]           Penjelasan Kol Zolkeflee bin Hassan, Mk 21 GGK, Kem Iskandar, melalui aplikasi WhatsApp pada 4 Februari 2023.

[4]           Syed Othman Syed Omar. (1993). Pahlawan Angkatan Tentera, hlm. 183.

[5]           Penjelasan S/Sjn Mohd Mahadzir bin Ibrahim (B) melalui aplikasi WhatsApp pada 5 Februari 2023.

[6]              Syed Othman Syed Omar. (1993). Pahlawan Angkatan Tentera, hlm. 185.

[7]           Ibid.

[8]              Ibid.

[9]           Ibid., hlm. 211-213; Neilson Ilan Mersat, Regina Garai, Mohd Melintang Abdullah. (2021). Agi Idup Agi Ngelaban. Kota Samarahan,: Universiti Malaysia Sarawak, hlm. 221. Kpl Sigai anak Nawan telah berjaya membunuh dua pengganas komunis pada 11 Mei 1972 di Ulu DAP, Kanowit semasa Op Sarak. Beliau telah dianugerah PGB pada 5 Jun 1974.

[10]            Syed Othman Syed Omar. (1993). Pahlawan Angkatan Tentera, hlm. 185.

[11]          Perbualan dengan Kpl Sigai anak Nawan melalui telefon pada 15 Februari 2023. Beliau kini menetap di Kenowit, Sarawak.

[12]            Syed Othman Syed Omar. (1993). Pahlawan Angkatan Tentera, hlm. 186.

[13]            Penjelasan oleh Sjn Mohd Mahadzir bin Ibrahim  melalui telefon pada 5 Februari 2023. Beliau kini menetap di Kuala Muda, Kedah Darulaman.

[14]            Penjelasan PW II Suhaili bin Majid (B) sebelum ini.

[15]            Penjelasan PW II Abdul Ghani bin Abdul Kadir telefon  pada 17 Februari 2023. Beliau kini menetap di Kemaman, Terengganu.

[16]          Ibid.

[17]            Neilson Ilan Mersat, Regina Garai, Mohd Melintang Abdullah. (2021). Agi Idup Agi Ngelaban. Kota Samarahan,: Universiti Malaysia Sarawak, hlm. 220.

[18]          Borhan Ahmad. (2012). In Pursuit of Quality Soldiering. Kem Sungai Besi: UPNM, hlm. 137.

[19]          Mej Jen Dato’ Raja Mohamed Affandi bin Zainal Abidin (Ketua Pengarang). (2008). Tentera Darat 1933-2008. Kuala Lumpur: Markas Tentera Darat, hlm. 141.

[20]          Royal Malaysia Police. (1973). Annual Report 1971, hlm. 84.

[21]          Borneo Oracle. JEJAK PAHLAWAN SARAWAK – TPR RASLI BIN BUANG, 26 Januari 2017· Lihat https://ms-my. facebook.com/BorneoOracle/posts/jejak-pahlawan-sarawak-tpr-rasli-bin-buang-mungkin-ramai-generasi-baru-anak-sara/1275040869209461/

 

 

Tiada ulasan: